"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerusi ‘lompat’: Azmin ajak bincang tapi Umno berkeras ambil semula

FAZLI RADZI

Kemungkinan tinggi pertembungan tiga penjuru sekurang-kurangnya di 13 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat bakal berlaku.

Hal ini ekoran pendirian tegas kepimpinan Umno untuk terus meletakkan calon bertanding di kawasan ‘lompat’ ke Bersatu selepas PRU14.

Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mempersoalkan ajakan Bersatu bagi membincangkan kerjasama pada PRU15.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu menegaskan Umno sudah membuat keputusan untuk mengambil semula semua kawasan milik mereka.

“Pendirian Umno ialah mengambil semula semua kawasan lompat itu.

“Jadi bila nak ambil balik, tiada perundingan,” tegasnya dipetik Sinar Harian hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengajak Umno untuk kembali ke meja rundingan.

Bekas pemimpin PKR itu berkata, rundingan itu bagi membincangkan sekurang-kurangnya 13 kerusi Parlimen yang menjadi salah satu punca keretakan dalam kerjasama Umno-Bersatu itu. 

Dalam masa sama, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak itu berkata, Umno tidak harus memusnahkan kerajaan PN yang dibina bersama sejak setahun lalu.

“Hanya 13 kerusi yang menjadi pertikaian. Yang dikatakan mereka menang atas tiket parti lain (Umno) dan kemudian mereka pindah ke parti lain (Bersatu),” katanya.

Mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya PN itu, Tajuddin bagaimanapun menegaskan tiada sesiapa yang mahu memusnahkan kerajaan PN.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya Umno mahu memusnahkan kerajaan PN. Tidak ada tujuan kita untuk memusnahkan.

“Itu sebab kita kata (sebelum ini) Umno akan sokong kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan,” tegasnya yang disahkan positif Covid-19 pada 20 Januari lalu itu lagi.

Pada 4 Mac lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dalam kenyataannya memaklumkan keputusan mesyuarat pada 19 Februari mengenai tiada kerjasama parti itu dengan Bersatu pada PRU-15.

Walau bagaimanapun, Umno meneruskan kebersamaan dalam kerajaan PN sehingga pembubaran Parlimen.

Tiada ulasan: