"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

50 wakil rakyat Sabah, Sarawak gesa kerajaan tarik balik rayuan kes Allah

MALAYSIA DATELINE

Seramai 50 wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak dan empat ahli Dewan Negara

menyeru Perdana Menteri untuk menarik balik rayuan oleh kerajaan Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata, dengan berbuat demikian, ia akan dapat menamatkan polemik yang dihadapi oleh masyarakat di Sabah, Sarawak serta Orang Asli yang sudah berlanjutan lebih 35 tahun.

Kumpulan wakil rakyat dari Malaysia timur itu turut meminta semua parti politik untuk tidak menangguk di air keruh dan mencari keuntungan politik dalam isu berkenaan.

“Kami menyeru kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menarik balik rayuan oleh kerajaan Persekutuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi itu supaya polemik yang berusia 35 tahun ini dan penderitaan yang ditanggungi oleh begitu ramai orang Sabah, orang Sarawak dan Orang Asli, Insya-Allah, dapat tamat.

“Ini akan menjadi satu legasi positif bagi Perdana Menteri.

“Kami menyeru semua parti politik untuk tidak menangguk di air keruh dan mencari keuntungan politik dalam kes ini,” kata mereka.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu memutuskan bahawa kerajaan melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah “Allah” kepada orang bukan Islam pada 1986.

Sehubungan itu, mahkamah sama memutuskan seorang wanita Kristian yang berbangsa Melanau berhak menggunakan kalimah “Allah” untuk tujuan keagamaan dan pendidikan.

Susulan itu, adalah diputuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah “Allah” dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan iaitu Baitullah, Kaabah dan solat.

Semalam, kerajaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan ke peringkat Mahkamah Rayuan.

Dalam kenyataan sama, mereka menjelaskan bahawa kalimah Allah dan istilah keagamaan Islam dikongsi oleh kebanyakan orang Kristian Borneo dan Orang Asli, sama seperti yang berlaku di beberapa kawasan dan kaum di Indonesia.

“Di Sarawak, Bahasa Iban menggunakan ‘Allah Taala’, Bahasa Bidayuh menggunakan ‘Tuhan Alla’ sebagai kalimah untuk Yang Maha Esa manakala Lun Bawang, Lun Dayeh dan Kelabit menggunakan ‘Tuhan Allah’,” ujarnya.

Kata mereka, umat Islam di Sabah dan Sarawak menyokong dan tidak berasa terancam dengan saudara-mara atau teman Kristian mereka yang menyembah Allah, untuk semua agama wahyu yang berakarkan daripada ajaran Nabi Ibrahim.

Mereka juga menyifatkan keputusan kabinet persekutuan pada tahun 1986 – yang melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah – sebagai satu kekhilafan.

Kekhilafan pada masa itu, kata mereka, disebabkan tekanan sesetengah orang Malaya yang rasa tidak selamat dan “jahil” akan keadaan di Sabah dan Sarawak, serta sifat angkuh mereka dengan tanggapan bahawa orang Malaya boleh menentukan cara hidup di Sabah dan Sarawak.

Keputusan mahkamah tinggi itu, kata mereka, tidak akan menyebabkan pendakwahan ke atas orang Islam dan kemurtadan mereka, sebaliknya dakwa mereka, ia hanyalah ketakutan tidak berasas yang cuba diapi-apikan oleh sesetengah orang Malaya.

“Keputusan Mahkamah Tinggi ini sekadar memperbetulkan satu ketidakadilan yang menyakiti hati orang Sabah, orang Sarawak dan Orang Asli akibat kegelisahan, kejahilan dan keangkuhan sesetengah (pihak),” kata mereka lagi.

Kenyataan itu disokong oleh seramai 18 ahli Dewan Rakyat, iaitu Wilfred Madius Tangau (Tuaran), Chan Foong Hin (Kota Kinabalu), Darell Leiking (Penampang), Noorita Sual (Tenom), Vivian Wong Shir Yee (Sandakan), Christina Liew (Tawau merangkap Adun Api-api), Mordi Bimol (Mas Gading), Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching), Chong Chieng Jen (Stampin), Willie Mongin (Puncak Borneo), Richard Riot Anak Jaem (Serian), Masir Kujat (Sri Aman), Wong Ling Biu (Sarikei), Larry Sng (Julau), Alice Lau Kiong Yieng (Lanang), Oscar Ling Chai Yew (Sibu), Baru Bian (Selangau), serta Anyi Ngau (Baram).

Ia turut disokong empat ahli Dewan Negara, selain sembilan Adun dari Sabah dan 23 Adun dari Sarawak.

Mereka merupakan wakil rakyat daripada Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Warisan Sabah (Warisan, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), dan wakil bebas.

Tiada ulasan: