"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Disyaki minta rasuah seks bagi pinjaman pertanian, ketua jabatan ditahan

Willie Jude

KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki meminta rasuah berbentuk perkhidmatan seks daripada seorang wanita.

Lelaki berusia 51 tahun yang bertugas sebagai ketua di sebuah jabatan kerajaan negeri itu ditahan 3.30 petang semalam, di sebuah hotel di Keningau.

“Perkhidmatan seks itu adalah sebagai suapan untuk suspek memberikan sokongan kepada wanita berkenaan bagi mendapatkan pinjaman pertanian,” kata sumber SPRM.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Katanya, suspek ditahan selama 24 jam untuk diambil keterangan sebelum dilepaskan dengan jaminan SPRM berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin.

“Kes disiasat bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

“Tafsiran suapan mengikut Seksyen 3 Akta SPRM 2009 meliputi pelbagai perkara termasuk pinjaman, jawatan serta perkhidmatan seperti perkhidmatan seks,” katanya.

Tiada ulasan: