"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

LAPORAN KHAS: Kemelut penjajaran politik baharu menjelang PRU-15

LAPORAN KHAS MALAYSIA DATELINE

SEJAK kebelakangan ini Malaysia berbicara tentang kemungkinan berlakunya pilihanraya umum dalam tempoh terdekat. Dengan pilihanraya yang makin hampir, persaingan antara parti-parti politik dalam negara menjadi semakin dinamik dan menarik, dan kadangkala mengelirukan.

Saingan utama tentunya antara Umno/BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). PN yang terdiri dari Bersatu, Pas dan beberapa lagi parti lain, walaupun masih baharu dan belum teruji, mempunyai kelebihan sebagai penguasa kerajaan dan penentu tarikh pilihanraya.

Dalam PRU 14, PH menguasai sekitar 90% undi Cina dan India, manakala Umno dan Pas menguasai lebih 70% undi Melayu.

UMNO MENCATU

Paling menarik mutakhir ini adalah bagaimana Umno memposisikan partinya menjelang PRU15. Pada 19 Februari 2021 mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno membuat keputusan bahawa parti mereka tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU15, tapi pada masa yang sama kekal menyokong kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan.

Keputusan Umno ini umpama satu gerakan bidak catur yang menyentak pemain lawan. Dari gerakan ini, ia mencetus kepada posisi pertembungan 3 kolisi utama iaitu BN, PN dan PH.

Umno yang sejak setahun lalu memberi laluan kepada ahli-ahli Parlimennya menyokong kerajaan PN, sebelum ini dilihat ‘subservient’ atau seakan berada di bawah telunjuk Bersatu. Tapi, setelah mengambil ketetapan ini Umno kini kembali berada dalam posisi yang lebih berpengaruh.

Walaupun Umno sedar jalan mudah untuk menang PRU15 adalah dengan gabungan 3 parti Melayu iaitu Umno kekal bersama Pas dan Bersatu di dalam PN, namun ianya bukan pilihan yang baik untuk masa depan Umno.

Sebagai sebuah parti yang telah menerajui pentadbiran negara selama 60 tahun, Umno tidak mungkin rela menjadi “pak turut” kepada Bersatu iaitu parti yang merupakan serpihan Umno sendiri, dan kalangan pemimpin-pemimpinnya adalah mereka yang melarikan kerusi yang dimenangi oleh Umno pada PRU14.

Umno ingin menang dan memimpin kerajaan. Oleh itu, lojiknya pilihan terbaik pasangan untuk Umno adalah Pas. Di atas kertas, dengan laungan “Penyatuan Ummah” dan “Melayu Islam”, gabungan Umno & Pas sudah cukup untuk merebut sokongan sebahagian besar undi Melayu dan menang PRU15. Dalam kerjasama ini, Umno yang akan memimpin.

Umno melihat Pas tiada cita-cita besar, cukup dengan mendapat tiga negeri, jawatan menteri dan habuan kedudukan dalam GLC, Pas sedia menurut. Oleh kerana itu, keputusan MKT Umno pada 19 Februari 2021 menyatakan tidak akan bekerjasama dengan “Bersatu”, maksudnya masih terbuka bekerjasama dengan Pas.

PAS MAIN DUA KOLAM

Tatkala Umno membuat keputusan meninggalkan PN, Datuk Mustafa Ali, veteran Pas yang lama sebagai strategis parti membuat satu sidang akhbar menggesa agar Umno kekal bersama Pas dan Bersatu dalam PRU15.

Menurut Mustafa Ali tindakan Umno akan menyebabkan pertembungan 3 penjuru dan akan memberi sedikit kelebihan kepada PH.

Pas sedar kekuatan sebenar undi Melayu masih berpihak kepada Umno. Analisa keputusan PRU14 menunjukkan Umno masih menguasai 45% dari keseluruhan undi Melayu dan Pas mendapat hampir 30%. Tetapi undi Pas tertumpu di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah. Hanya sedikit di negeri lain.

Teras pengundi yang ada pada Pas dan Bersatu tidak mampu membawa PN memenangi PRU15 dan jauh sekali membentuk kerajaan. Untuk menang PRU15, Pas sepatutnya memilih Umno.

Tetapi, memutuskan hubungan dengan PN bermakna pemimpin-pemimpin Pas akan kehilangan jawatan dalam kerajaan dan GLC.

Berlaku perselisihan dalaman di kalangan pemimpin Pas di mana satu pihak cenderung memilih PN dan pihak kedua memilih MN. Akhirnya Pas mengambil ketetapan untuk kekal dengan kedua-duanya, PN dan MN.

Atas gelagat itu, Pas digelar sebagai ‘bermain di dua kolam’ bahkan terbaharu Tengku Razaleigh atau Ku Li menggelarkan Pas sebagai ‘pelacur’.

Tidak mustahil apabila Parlimen dibubarkan, Pas kembali bersama Umno untuk pakatan pilihanraya. Itupun jika Umno masih sudi menerima.

BERSATU DENGAN POLITIK KUASA DAN WANG

Bersatu telah mengangkat politik lompat parti ke satu tahap baharu dalam negara. Semasa di dalam Kerajaan PH, Bersatu menarik 13 Ahli Parlimen (MP) Umno melompat ke Bersatu.

Semasa Langkah Sheraton, 10 MP dari PKR melompat. Peristiwa MP lompat-melompat masih berterusan hingga sekarang. Pada masa ini 16 MP Umnodan 14 MP PKR telah melompat menyokong kerajaan PN.

Walaupun mungkin Bersatu mempunyai kuasa dan wang yang boleh menarik ramai MP untuk melompat menyokong mereka dan PN, mereka sedar mereka tidak mampu membuat perkara yang sama untuk mendapat sokongan rakyat bagi memenangkan PN dalam pilihanraya.

Untuk pilihanraya, Bersatu dan PN memerlukan Umno. Pada Umno terletak teras sokongan pengundi Melayu.

Kenyataan Pengarah Pilihanraya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali beberapa hari lepas mengajak Umno kembali ke meja rundingan menunjukkan PN sedar nilai yang ada pada Umno. Tindakan terdesak itu sudah terlewat kerana Umno tidak akan kembali untuk dibuli oleh Bersatu.

Mungkin itu proses pujukan terakhir sebelum PN mengambil jalan untuk terus menekan dan menyerang Umno. Apakah mungkin selepas ini ada tindakan mengharamkan Umno? 

Walaupun PN tidak menguasai pemimpin utama Umno, mereka telah berjaya mendapat sokongan yang agak kukuh dari sebilangan besar pemimpin Umno terutama mereka yang berada di dalam kerajaan PN. Usaha keras juga sedang digerakkan untuk menguasai kepimpinan Umno di peringkat akar umbi.

Apapun, kuasa masih di tangan PN, sehingga mereka yakin bahawa mereka berjaya mengawal sokongan Umno, tidak mungkin mereka bersedia untuk memanggil pilihanraya.

PAKATAN HARAPAN YANG MASIH BELUM BERPAKAT

Dengan kemungkinan berlakunya pertembungan 3 penjuru, PH berada dalam posisi yang lebih selesa. Ia seperti mengulangi kedudukan perlawanan dalam PRU14 di mana Umno dan Pas berada di dua pihak yang bertembung. Bezanya, dahulu PH ada PPBM, sekarang parti itu (Bersatu) berada pada pihak yang sama dengan Pas.

Pun begitu, PH masih belum jelas menetapkan haluan kerjasama mereka. Apakah kekal hanya 3 parti atau ada kerjasama tambahan (plus-plus) dengan parti lain?

Kelemahan PH adalah pada sokongan undi Melayu. Tidak dapat dipastikan apakah trend sokongan pengundi Melayu terhadap PH pada waktu ini, apa yang pasti pada PRU14 yang lepas PH mendapat kurang 30% sokongan pengundi Melayu.

Semasa PH menjadi kerajaan dari 2018 hingga 2020, PH seolah-olah tidak mendapat restu sepenuhnya dari institusi Melayu di pelbagai peringkat samada kuasa politik, birokrat, masyarakat sivil dan mungkin sesetengah istana. Malah, setiap hari mereka diserang dengan isu-isu yang berkait sentimen kaum dan agama.

Untuk PH menjadi kerajaan yang lebih stabil, PH perlu mendapat lebih banyak sokongan dari pengundi Melayu. Ianya samada dengan PH meningkatkan kempen di kalangan pengundi Melayu atau bekerjasama dengan mana-mana parti Melayu yang mempunyai teras sokongan yang kukuh.

AMANAH dan DAP cenderung untuk menetapkan PH bekerjasama dengan Pejuang dan Muda, dua parti serpihan Bersatu yang belum berjaya didaftarkan. Persoalannya, setakat mana lonjakan sokongan pengundi Melayu boleh diraih PH dengan kerjasama ini? Kalau dengan PPBM pun PH hanya mampu mendapat kurang dari 30% undi Melayu, apakah serpihan parti itu mampu memberi nilai tambah yang lebih dari itu? 

Yang menjadi lebih sukar adalah bayangan imej Tun Mahathir di belakang Pejuang dan Muda yang secara umumnya telah ditolak oleh penyokong PKR. Populariti Tun Mahathir merosot teruk sejak kejatuhan kerajaan PH. Mengikut satu kajian yang dijalankan secara dalam talian oleh Kuala Lumpur School of Artificial Intelligence pada bulan Oktober 2020, Tun M menduduki tempat ketiga (65.6% undian) sebagai pemimpin politik paling dibenci di Malaysia, selepas Datuk Seri Azmin Ali (90.6%) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (75.6%).

PKR pula kelihatan cenderung merintis kerjasama bersama Umno. Perkara ini mencetus polemik bukan sahaja di kalangan parti-parti dalam PH malah di kalangan pemimpin dan akar umbi Umno.

Kerjasama PH dengan Umno kedengarannya janggal kerana identiti mereka jelas bertentangan dalam soal integriti. PH adalah juara politik menentang rasuah dan penyelewengan kuasa manakala Umno pula sedang bergelut dengan imej buruk kleptokrasi, rasuah dan penyelewengan kuasa. Malah, sebahagian pemimpin Umno pada masa ini sedang berdepan dengan pendakwaan di mahkamah dan mereka digelar “Kluster Mahkamah”.

Maka tidak hairan apabila beberapa pemimpin DAP dan AMANAH telah memberi amaran tegas tiada kerjasama dengan kleptokrat dan kluster mahkamah.

Yang lebih mencabar dalam cadangan kerjasama ini adalah soal dominasi dan kepimpinan. Siapa calon Perdana Menteri? Dan, apakah PH mampu pertahankan agenda reformasi yang menjadi teras utama perjuangan mereka? Amat sukar untuk percaya bahawa Umno akan sanggup memberi laluan kepada PH untuk memimpin dan Anwar Ibrahim meneraju negara sebagai Perdana Menteri.

Oleh kerana tiada pilihan yang mudah untuk PH, kelihatannya parti-parti di dalam PH masih belum mampu berpakat dalam soal penjajaran baharu politik.

Mungkin lebih baik PH kekal dengan 3 parti dan bekerja lebih keras untuk menarik pengundi Melayu. Rakyat sudah boleh menilai keupayaan PH sebagai kerajaan dan mungkin lebih ramai pengundi Melayu yang akan menerima PH dalam PRU15.

RAKYAT MEMILIH

Setelah setahun merampas kuasa, kerajaan PN gagal membentuk sebuah pentadbiran yang stabil dan meyakinkan. Dengan majoriti tipis dan legitimasi yang sentiasa dicabar, tumpuan pemimpin kerajaan dilihat lebih banyak dihabiskan untuk bertahan kekal sebagai kerajaan.

Dengan kedudukan kerajaan yang tidak stabil, reputasi negara sebagai tempat perniagaan dan pelaburan teruk terjejas. Pengisytiharan Darurat dan ketiadaan sidang Parlimen juga turut menjejaskan keyakinan pelabur. Ditambah pula dengan kesan bencana pandemik, maka sudah banyak perniagaan yang tutup dan ada yang berpindah operasi ke negara lain. Kesannya, ramai yang telah hilang pekerjaan dan sumber pendapatan. Kewangan dan emosi rakyat tertekan.

Mengikut Kaji Selidik Prestasi Setahun Kerajaan PN yang dijalankan oleh Sinar Harian baru-baru ini, didapati 59.71% responden menyatakan tidak berpuashati dengan usaha memulihkan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan PN berbanding hanya 22.26% yang berpuashati.

Secara umum, 61.6% responden menyatakan tidak puas hati dengan pencapaian kerajaan.

Kerajaan juga dilihat gagal menangani krisis pandemik. Mengikut kajian tersebut, 43.73% responden berpandangan kerajaan telah gagal dalam menangani Covid19. Paling mengecewakan apabila rakyat melihat wujud layanan penguatkuasaan yang berbeza kepada kumpulan elit politik berbanding apa yang dikenakan kepada rakyat dalam soal pelanggaran SOP.

Jelas, rakyat mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan mempunyai kemampuan untuk meneraju negara mengharungi cabaran pandemik dan pasca pandemik terutamanya dalam soal pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Parti-parti politik yang sedang merangka persiapan pilihanraya perlu meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu menjanjikan sebuah kerajaan yang kukuh, stabil dan boleh menampilkan pemimpin-pemimpin yang kompeten untuk menanggung tugas besar ini.

Rakyat akan memilih!

Tiada ulasan: