"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ahli Parlimen Miri mengaku ditawar keluar parti, sokong PN

RAYMOMD LUI

Ahli Parlimen Miri mengaku ditawar keluar parti, sokong PN

Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo Yu Keng mengakui telah ditawarkan untuk keluar parti dan menyokong Perikatan Nasional (PN).

Bagaiamanapun, beliau telah menolak tawaran itu dan tetap memegang prinsip untuk terus menyokong penuh kepimpinan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sejak beberapa bulan yang lalu saya sudah diajak beberapa kali untuk lompat parti dan mengkhianati Anwar.

“Saya telah ditawarkan pelbagai tawaran oleh pihak tertentu yang berusaha meruntuhkan proses demokrasi di negara kita melalui kerajaan pintu belakang.

“Namun, pendirian saya tetap kuat dan berprinsip dan saya tidak bersedia untuk dijual beli oleh mana-mana pihak.

“Sudah 21 tahun saya pilih untuk mengikut Anwar dan berjuang secara sukarela. Saya tetap percaya Anwar seorang pemimpin yang cukup berwibawa dalam memperjuangkan prinsip reformasi dan keadialan untuk semua,” katanya menerusi hantaran facebooknya.

Beliau turut percaya Anwar mempunyai formula untuk membawa Malaysia keluar daripada kemelut yang kini melanda negara termasuk kemerosotan ekonomi akibat pelbagai penyelewengan dan urus tadbir yang lemah yang menyebabkan kadar kemiskinan makin ketara.

“Saya percaya Anwar dapat menyatukan rakyat majmuk di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama supaya kita semua dapat hidup secara aman dan harmoni, serta mampu membawa transformasi kepada seluruh Sarawak dan Malaysia, dari segi sosioekonomi, kesihatan, pendidikan dan pembanguan terutamanya pembangungan luar bandar,” tambahnya.

Kata Dr Teo lagi, rakyat golongan B40 dan desa yang tertindas sentiasa menjadi tumpuan dan merupakan golongan sasaran selama 50 tahun berkhidmat sebagai seorang doktor dan lebih 20 tahun menceburi bidang politik.

Beliau yang juga merupakan Naib Presiden PKR tetap menyokong kepimpinan Anwar kerana beliau telah banyak untuk memperjuangkan nasib rakyat sejak zaman 1970-an lagi.

“Anwar adalah seorang aktivis mahasiswa di Universiti Malaya dan ditahan di bawah akta ISA kerana memperjuangkan isu rakyat yang mengalami kebuluran dalam peristiwa Baling di Kedah.

“Lebih dua dekad kemudian, apabila Anwar memperjuangkan prinsip reformasi dan anti-rasuah di dalam kerajaan pada 1998, beliau telah dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu serta ditangkap di bawah ISA dan dibelasah dengan teruk di dalam penjara.

“Kebebasan beliau telah dirampas selama 10 tahun apabila dipenjarakan sebagai tahanan politik dan mengalami pelbagai keperitan dan kesakitan dari segi kesihatan ketika itu.

“Isteri beliau mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan anaknya Nurul Izzah serta seluruh keluarga turut banyak berkorban untuk rakyat dan bertungkus lumus untuk membina parti ini selama beliau dipenjarakan sebagai tahanan politik,” jelas beliau.

Dr Michael juga menganggap terlalu ramai yang telah mengkhianati Anwar dalam tempoh 21 tahun yang lalu, namun beliau enggan menjadi salah seorang daripada mereka.

“Saya tidak rela tergolong dalam kumpulan pengkhianat dan akan memilih untuk kekal bersama Anwar dan PKR tidak kira apa jua cabaran yang melanda.

Justeru, beliau menyeru kepada semua penyokong dan ahli PKR untuk tetap sabar dan berdiri teguh berprinsip bersama Anwar.

“PKR adalah parti masa kini yang sangat relevan dan parti masa depan yang benar-benar memperjuangkan nasib rakyat.

“Semoga kita bersama-sama dapat memenuhi aspirasi rakyat, ‘Keadilan untuk Sarawak, Keadilan untuk Semua,” tegasnya.

Tiada ulasan: