"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'23 mati dalam 10 tahun, kes rogol' - MP ingatkan sejarah hitam PLKN

Malaysiakini 

Seorang ahli parlimen Pakatan Harapan menggesa kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan semula Program Khidmat Negara (PLKN) 3.0, dengan menyatakan tiga sebab,

Semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Pertahanan, Chow Yu Hui (PH -Raub) berkata walaupun program itu bertujuan memupuk perpaduan negara dan patriotisme, kegagalan dan kelemahan masa lalu tidak boleh diabaikan.

Menekankan "sejarah hitam PLKN tidak boleh diabaikan", Chow menyenaraikan rekod keselamatan PLKN yang lemah pada masa lalu.

- Pada 2004, seorang pelatih wanita dirogol di Kem Merang, Terengganu.
- Pada tahun 2009, seorang lagi jadi mangsa serangan seksual di Kem Chini, Pahang. Pelakunya adalah lebih daripada 20 pelatih lelaki
- Pada tahun 2009 juga, Kem Chini mencatat pergaduhan berunsur perkauman.
- Lebih teruknya, setakat 2013, Malay Mail melaporkan bahawa sebanyak 23 orang anak-anak muda telah mati dalam kem-kem PLKN.

"Insiden-insiden ini telah menggugat keyakinan rakyat terhadap PLKN. Kita tidak boleh melaksanakan semula program ini tanpa jaminan keselamatan yang kukuh," katanya.

Dia berkata, kebimbangan keselamatan juga menjadi faktor utama dalam keputusan kerajaan PH untuk menamatkan program itu pada 2018.

Dia turut mengingatkan risiko seperti kes buli di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) baru-baru ini boleh berlaku di kem PLKN.

Dia berkata orang ramai telah hilang kepercayaan terhadap keupayaan PLKN untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan neutral, dengan memetik tinjauan Januari 2024 oleh NGO Architects of Diversity yang mendapati:

- 52% responden sangat bimbang tentang gangguan seksual di PLKN - 49% risau akan masalah buli

- 41% menolak kandungan yang dianggap menyokong agenda politik tertentu dalam PLKN.

Dia mempersoalkan sekiranya tragedi sebegini berulang, siapa yang akan bertanggungjawab?

Kos yang tidak wajar

Faktor kedua yang dibangkitkan Chow ialah kos program yang tidak wajar.

Dia berkata dari 2004 hingga 2018, PLKN menelan belanja RM8.4 bilion, termasuk 43% untuk sewa kem tanpa tender terbuka.

"Malah untuk percubaan kecil pada 2025, kos dianggarkan mencecah RM40 juta.

"Pada pandangan saya, ini bukan cara terbaik menggunakan wang rakyat. Adalah lebih baik dana ini disalurkan kepada biasiswa pendidikan yang memanfaatkan semua belia tanpa mengira kaum.

"Pelaburan dalam pendidikan yang adil dan saksama pastinya akan lebih berkesan dalam memupuk semangat patriotisme di kalangan belia," katanya.

Sebab lain yang dibangkitkan Chow ialah program itu gagal memupuk perpaduan kaum yang tulen.

"PLKN dipromosikan sebagai platform untuk menggalakkan perpaduan kaum. Tetapi hakikatnya, selepas tamat kem, belia akan kembali ke realiti kehidupan, mereka terus berdepan dengan pelbagai cabaran dan ketidakadilan," katanya.

Menyatakan sistem kuota matrikulasi menyekat ramai lepasan SPM yang cemerlang, Chow mengimbau kembali peristiwa yang dikongsi oleh penerima Anugerah Diraja UTeM, Nhavin, yang menceritakan bagaimana rakannya dinafikan kemasukan ke matrikulasi dan secara tragis memilih untuk menamatkan hidupnya sendiri.

"Kisah ini menggambarkan dengan jelas bahawa tanpa dasar yang adil, sebarang program seperti PLKN tidak akan dapat mengatasi kegelisahan generasi muda terhadap peluang pendidikan," katanya.

Chow berkata jika kerajaan serius untuk memupuk perpaduan dan patriotisme sejati, reformasi pendidikan adalah kuncinya.

"Penyatuan sistem kemasukan universiti dan pemberian biasiswa berdasarkan keperluan serta pencapaian, adalah langkah penting untuk memberi peluang yang adil kepada semua.

"Dasar yang adil dan menyeluruh bukan sahaja mampu merapatkan jurang kepercayaan antara kaum, tetapi juga melahirkan generasi muda yang benar-benar merasa dihargai dan bangga menjadi rakyat Malaysia," katanya.

Dia menambah bahawa memperkenalkan semula PLKN adalah langkah regresif dan belia tidak memerlukan kem wajib untuk memahami perpaduan, tetapi peluang pendidikan dan pembangunan yang adil dan saksama.

"Hanya apabila mereka merasakan keadilan dan kesaksamaan, semangat cinta negara dapat tumbuh secara semula jadi dan berkekalan," katanya.

Tiada ulasan: