Bernama
ACP Sazalee Adam (kanan) menunjukkan 60 keratan kabel dan peralatan memotong kabel ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya hari ini. - Bernama
BALIK PULAU: Sepasang kekasih antara lima individu ditahan polis pada Sabtu lepas kerana disyaki terlibat dengan kegiatan mencuri kabel di sekitar Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata pasangan yang juga disyaki dalang kegiatan itu ditahan di sebuah hotel di Sungai Petani, Kedah manakala tiga yang lain ditahan di sekitar kawasan sama.
Beliau berkata usaha mengesan suspek berusia 25 hingga 40 tahun itu dilakukan selepas polis menerima laporan daripada orang awam kira-kira 4.20 pagi hari sama memaklumkan berlaku satu kes kecurian kabel di belakang sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor.
"MPV polis yang tiba di tempat kejadian telah terserempak dengan dua kenderaan dan ketika itu suspek sedang memasukkan kabel ke dalam kenderaan terbabit.
"Sebaik menyedari kehadiran polis, mereka (suspek) melarikan diri namun satu daripada kenderaan itu berjaya dikejar sejauh tiga kilometer sebelum terbabas di tengah Jalan Sultan Azlan Shah. Bagaimanapun, suspek melarikan diri ke arah Sungai Dua," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sazalee berkata pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemukan peralatan memotong kabel, tukul besi, pemutar skru, telefon bimbit, jaket, 60 keratan kabel dan kunci kereta.
Beliau berkata bertindak atas maklumat, sepasukan polis menyerbu sebuah rumah di Taman Berangan, Sungai Petani kira-kira 9.30 malam dan menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes itu.
"Susulan itu, polis menahan empat lagi suspek termasuk pasangan kekasih berkenaan," katanya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mereka aktif menjalankan kegiatan itu sejak setahun lepas dengan menyasarkan lokasi sekitar negeri ini dan menjualnya untuk membeli bekalan dadah.
Kesemua suspek yang positif dadah dan memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Sazalee berkata susulan itu, pihaknya sedang mengesan tujuh individu disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan itu dan memohon bantuan orang awam untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Nazirul Azhar Abdul Mutalib di talian 011-5414 3254.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan