"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nekad tinggal bayi sebab tak mampu bayar bil hospital RM45,000

Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my
JKM kesan waris bayi lelaki yang ditinggalkan ibu kandung di Hospital Sultan Ismail (HSI).
JKM kesan waris bayi lelaki yang ditinggalkan ibu kandung di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Kota Tinggi: Seorang wanita warga Indonesia bertindak meninggalkan bayi lelakinya di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini selepas tidak mampu menjelaskan bil hospital berjumlah RM45,000.

Menurut sumber, bayi lelaki kembar itu dilahirkan pra matang di sebuah kebun kelapa sawit, 26 Julai lalu.

Menurutnya, bagaimanapun kembarnya meninggal dunia manakala bayi berkenaan dibawa ke klinik sebelum ke Hospital Kota Tinggi (HKT).

Katanya, kemudian bayi berkenaan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi rawatan lanjut pada 27 Julai lalu.

"Difahamkan ibunya yang juga warga Indonesia meninggalkan bayi itu selepas gagal membayar kos rawatan yang mencecah RM45,000," katanya.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Kota Tinggi, Nor Haslinda Mohd Surandi berkata, bayi berkenaan kini berusia lima bulan dan dalam keadaan sihat.

Beliau berkata, bayi berkenaan menjadi mangsa pengabaian ibunya dan sehingga kini wanita itu gagal tampil untuk menuntutnya.

Menurutnya, bayi berkenaan diselamatkan dan ditempatkan di Institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan perintah mahkamah.

"Ibu kandung bayi berkenaan dikenali sebagai Rostah, warga Indonesia dan difahamkan meninggalkan bayinya selepas gagal menjelaskan bil hospital.

"Bayi berkenaan lahir sebagai bayi pra matang dan dilahirkan di kebun kelapa sawit, Felda Bukit Besar dan kini dia dalam keadaan sihat serta sudah mencecah usia lima bulan.

"Alamat terakhir ibu kandung adalah di Kota Tinggi.

"Sehingga kini ibu kandung atau waris terdekat tidak dapat dihubungi dan tidak pernah hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kota Tinggi bagi tujuan menuntut bayi itu," katanya.

Beliau berkata, bayi berkenaan dikategorikan sebagai kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.

Menurutnya, pihaknya ingin mengesan ibu kandung mahupun waris kepada

bayi lelaki berkenaan bagi tujuan siasatan penyediaan laporan pelindung.

"Orang awam atau waris yang mengenali ibu kandung bayi berkenaan boleh menghubungi Pelindung Kanak-kanak Daerah Kota Tinggi, Nur Nabihah Johari di talian 07-8835536." katanya.

Tiada ulasan: