"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tukang cat positif dadah dituduh belasah suami teman wanita

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Tukang cat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Muar, atas tuduhan mencederakan suami teman wanitanya. FOTO Alias Abd Rani
Tukang cat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Muar, atas tuduhan mencederakan suami teman wanitanya. FOTO Alias Abd Rani
Muar: "Kalau saya mengaku salah, boleh tak kurangkan hukuman," demikian pertanyaan seorang tukang cat yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan memukul suami teman wanitanya, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Rashimi Mahmood, 43, tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap suami teman wanitanya berusia 42 tahun di hadapan sebuah rumah di Jalan Salleh, Parit Setongkat, di sini, pada jam 6 petang, 27 November lalu.

ADVERTISING

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga mangsa ke rumah tertuduh untuk mengajak isterinya pulang selepas tiga hari berada di situ.

Mangsa pada ketika itu memarahi isterinya namun tertuduh masuk campur urusan rumah tangga pasangan terbabit.

Kemuncaknya apabila tertuduh memukul suami teman wanitanya hingga cedera di perut, lengan dan paha sebelum mendapat rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqiilah Ahmad Rofaie manakala tertuduh diwakili Siti Nurashikin Fuaddin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Susulan pengakuan tidak bersalah, mahkamah menetapkan 13 Januari ini untuk serahan dokumen serta membenarkannya diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, mahkamah juga memerintahkan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Di mahkamah sama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana air kencing positif dadah.

Tertuduh mengaku bersalah dengan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 serta perintah penjara lima bulan jika gagal membayarnya.

Tiada ulasan: