"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kedah: Anak terkilan gagal selamatkan bapa lemas depan mata

Adie Sufian Zulkefli

Muhammad Khairul Ikhwan menunjukkan lokasi di mana bapanya, Ismail Hashim lemas dibawa arus deras dalam kejadian di Sungai Kedah di Kampung Paya Parit Lateh, dekat Jitra, petang semalam. - Gambar Astro AWANI

KUBANG PASU: Seorang anak terkilan tidak dapat berenang menyelamatkan bapanya yang terkapai-kapai sebelum tenggelam di depan mata dalam kejadian lemas di Sungai Kedah di Kampung Paya Parit Lateh, dekat Jitra, di sini, petang semalam.

Menceritakan detik cemas itu, Muhammad Khairul Ikhwan Ismail, 20, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama bapanya, Allahyarham Ismail Hashim, 49, memukat ikan di kawasan tersebut pada pukul 7.15 malam.

Katanya, kedua-dua mereka datang ke lokasi tersebut yang terletak hanya kira-kira 500 meter dari rumah di Kampung Paya Chegar bersama ibunya, Siti Nor Sanisah Ishak, 46, serta dua adiknya iaitu Muhammad Khairul Irfan, 15, dan Siti Nur Asyyifa, 8.

Muhammad Khairul Ikhwan yang juga seorang tukang besi berdepan detik-detik memilukan dalam hidupnya apabila melihat sendiri bagaimana bapanya lemas di depan mata, sambil turut disaksikan ibu serta adik-beradiknya yang lain di sungai tebatan banjir,

"Kami tiba di tebing hampir 7 petang dan ayah kemudiannya turun ke sungai selepas Maghrib. Biasanya, ayah terlebih dulu menyeberangi jambatan di kawasan berhampiran untuk merentangkan pukat tetapi semalam, dia mengambil keputusan untuk mengikat tali nilon di pinggang dan berenang ke seberang.

"Ayah memang pandai berenang tetapi entah mengapa, dia tiba-tiba dia berpatah balik apabila hampir sampai di seberang. Saya cuba menarik tali yang diikat di pinggangnya tetapi tali itu terasa ringan kerana ayah telah merungkaikannya.

"Selepas itu saya lihat ayah tenggelam agak lama sebelum timbul dan tenggelam semula. Situasi itu berlaku tiga kali sebelum ayah hilang dari pandangan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.29 malam.

Sepasukan 18 anggota dari BBP Jitra dan Pasukan Gerak Cepat (PGC) dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan di sekitar tebing dan permukaan sungai dan selaman dilakukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di lokasi mangsa dilaporkan terjatuh dan lemas.

“Kita menghadapi cabaran kerana arus deras dan kedalaman air sedalam 10 meter,” katanya.

Tiada ulasan: