Tuan Ibrahim: Menang dulu baru bincang calon MB Pahang
NS Ramli
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man beranggapan kenyataan dibuat Muhyiddin Yassin mengenai parti Bersatu menyasarkan jawatan menteri besar Pahang pada PRU akan datang adalah terlalu awal.
Walaupun PAS bersikap terbuka dalam hal berkenaan, namun, katanya, cadangan Presiden Bersatu itu masih terbuka untuk dibincangkan.
"Kita terbuka... ini tidak ada isu dan sebagai pembangkang kita bergerak atas Perikatan Nasional (PN).
". .. apa-apa pun kita bincang melalui rundingan (dan) perancangan... apa-apa pun yang penting kita menang dulu... bincang gerak kerja untuk menang dulu baru kita fikir siapa (menteri besar).
"Ini duduk bahas untung siapa nak bagi, lembu kambing pun tak bela lagi... jadi saya fikir perkasakan parti... perkara itu kita boleh bincang (kemudian), dalam PN apa-apa keputusan kita bincang bersama," katanya dalam sidang media di Kuantan, Pahang hari ini.
Tuan Ibrahim yang juga Adun Cheka sebelum ini menyertai perbahasan Belanjawan Pahang 2025 pada sidang DUN Pahang yang berlangsung sejak Jumaat lalu di Wisma Sri Pahang, dekat Kuantan.
Muhyiddin ketika sidang media sempena Perhimpunan Agung Bersatu di Shah Alam, Selangor Sabtu lalu berkata, parti itu pada masa ini menyasarkan jawatan menteri besar Pahang, Perak dan Selangor jika PN berjaya merampas negeri-negeri itu pada PRU akan datang.
Dia yang juga pengerusi PN berkata demikian ketika menjawab soalan berkenan kedudukan Bersatu bersama-sama PAS yang pada masa ini mengetuai pentadbiran di empat negeri, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
PAS menerajui keempat-empat negeri pembangkang, dengan tiada satu pun jawatan menteri besar daripada Bersatu.
PAS kini memiliki bilangan kerusi yang lebih besar berbanding rakan gabungannya di parlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan