"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kru kapal jatuh di Langkawi ditemui selamat di Satun

BuletinTV3 
Foto: Maritim Malaysia
LANGKAWI: Seorang lelaki yang hilang kira-kira 24 jam selepas terjatuh daripada kapal layar di perairan Tanjung Belua di sini, pagi semalam, ditemui selamat berhampiran Pulau Ta Nga, Satun, Thailand, pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 6.15 pagi semalam, mangsa Velikokhotko Konstantin, 50, yang juga kru kapal layar Karana 1, dilaporkan telah terjatuh daripada kapal layar yang dinaikinya di perairan Tanjung Belua, di sini.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 6.15 pagi semalam.

“MRSC Langkawi telah menerima maklumat daripada Pengurus Rebak Island Resort & Marina, Derrick Van Deventer, yang memaklumkan mangsa telah terjatuh di perairan Tanjung Belua.

“Bertindak atas maklumat itu, bot Petir 81 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah diatur gerak ke lokasi bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Romli berkata bagaimanapun, mangsa kemudian dilaporkan ditemui dalam keadaan selamat kira-kira 8.5 kilometer nautika Tenggara Pulau Ta Nga, Satun, Thailand, oleh kru sebuah kapal layar, pada jam 8.36 pagi tadi.

“Maklumat penemuan mangsa dalam keadaan selamat itu telah dilaporkan kepada pihak berkuasa oleh juga kru kapal layar Marina 1,” katanya.

Pengkhianat dalam imigresen sendiri yang bocorkan operasi di Whatsapp

Imigresen buru pihak bocor, hebah operasi di WhatsApp
FMT Reporters

Pengarah Imigresen Sabah Sh Sitti Saleha Habib Yusof berkata pihaknya akan mendapat kerjasama Kementerian Komunikasi dan polis.

Pengarah Imigresen Sabah Sh Sitti Saleha Habib Yusof berkata tindakan menghebahkan operasi penguat kuasa itu membolehkan sebahagian pendatang haram sempat melarikan diri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Sabah akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan polis bagi mengesan individu yang membocorkan maklumat operasi agensi itu di Keningau baru-baru ini yang dihebahkan secara meluas di WhatsApp.

Pengarah Imigresen Sabah Sh Sitti Saleha Habib Yusof berkata individu itu juga merakam gambar kehadiran kenderaan imigresen dan memaklumkan pergerakan anggota di aplikasi berkenaan, lapor Bernama.

Katanya, hebahan tidak bertanggungjawab itu secara langsung mengganggu operasi jabatan itu.

“Pergerakan (anggota imigresen) pun diiringi tonto, maklumat mereka hantar khusus memaklumkan ke dalam kumpulan Whatsapp bahawa ada operasi di kawasan tersebut.

“Kita akan cari mereka ini melalui risikan dan akan mendapatkan bantuan Kementerian Komunikasi selain kita juga sebenarnya bekerjasama dengan polis tujuan menyelesaikan perkara ini,” katanya kepada pemberita di Tawau.

Sitti Saleha berkata sebahagian penyebar maklumat itu merupakan warga asing dan tindakan menghebahkan operasi penguat kuasa itu membolehkan sebahagian pendatang haram sempat melarikan diri.

Sementara itu, Sitti Saleha berkata dalam operasi di Tawau dan Semporna yang bermula semalam dan berakhir pagi tadi seramai 139 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Wanita dilanggar bas ketika minum di restoran

Sinar Harian

Kejadian berlaku apabila bas yang berhenti di bahu jalan bergerak sendiri tanpa pemandu, melanggar sebuah kereta dan bangunan kedai makan. -Sinar Harian

KUALA KANGSAR: Seorang wanita cedera selepas dilanggar sebuah bas persiaran yang bergerak sendiri di sebuah restoran di Jalan Daeng Selili di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu pada jam 10.30 pagi.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila sebuah bas yang sedang berhenti di bahu jalan berhadapan Pejabat Pos Kuala Kangsar bergerak sendiri tanpa pemandu telah melanggar sebuah kereta dan bangunan kedai makan di sebelah kanan jalan.

"Kemalangan ini mengakibatkan seorang perempuan berusia 51 tahun yang sedang minum di kedai tersebut mengalami kecederaan bengkak di betis akibat terkena serpihan batu bangunan kedai.

"Pemandu bas, pemandu kereta dan pekerja kedai makan tidak mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Heisham berkata, kes disiasat di bawah Peraturan 14 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 14 LN 166/59).

Sementara itu, beliau meminta bantuan kepada orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

Menurutnya, maklumat tersebut boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kes, Sub Inspektor Mohd Fariq Sabaludun dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuala Kangsar di talian 012-2712335 atau 05-7762222.

Terdahulu sebuah video berdurasi 25 saat tular di Facebook menunjukkan sebuah bas persiaran terbabas melanggar sebuah restoran di Kuala Kangsar menyebabkan premis tersebut turut mengalami kerosakan. -Sinar Harian

Adun Ayer Kuning meninggal dunia

Malaysiakini 
story-image
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 58 tahun hari ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pemuda Umno Tapah, Fahmi Jakhsi.

"Ya, beliau meninggal dunia petang tadi," katanya kepada Malaysiakini.

Fahmi berkata allahyarham mengalami serangan jantung ketika bermain bola sepak di Pulau Pinang.

Dilahirkan pada 31 Ogos 1966, Ishsam merupakan bekas pemain bola sepak dan telah menghabiskan sebahagian besar kerjayanya bermain untuk Perak FA.

Dia salah seorang pemain dalam pasukan Perak ketika negeri itu menjuarai Piala FA pada tahun 1990.

Ishsam bertanding kerusi DUN Ayer Kuning pada pilihan raya umum yang lalu.

Allahyarham memenangi kerusi tersebut dalam pertandingan lima penjuru, dengan majoriti lebih 2,000 undi mengatasi pencabar terdekatnya, Nazri Hashim daripadaa Bersatu.

Bahana vape: Budak perempuan 12 tahun rosak paru-paru kerana vape

Agensi

Bangkok: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di wilayah Buri Ram, Thailand, disahkan mengalami kerosakan paru-paru yang teruk akibat penggunaan rokok elektronik (vape) selama dua tahun.

Keluarga langsung tidak menyedari tabiat budak itu sehinggalah pihak sekolah memaklumkan mengenai perkara berkenaan.

Nenek gadis itu, Ae, terkejut apabila guru di sekolah anaknya di Tambon Don Mon, daerah Satuek, memaklumkan penyakit cucunya.

Kes gadis itu pertama kali didedahkan di Facebook (Fb) oleh Paphawarin Simlakorn iaitu seorang anggota penyelamat dari Perbandaran Tambon Don Mon.

Menerusi hantarannya, Simlakorn memberi amaran dan menggesa ibu bapa untuk memantau dengan teliti anak mereka yang menggunakan rokok elektronik.

Paphawarin melaporkan bahawa dia baru-baru ini membawa tiga pelajar masing-masing gred lima, enam dan lapan ke hospital selepas mereka mengalami sesak nafas dan sakit dada akibat penggunaan rokok elektronik.

Menurut pejabat penyelamat tempatan, seorang pelajar berusia 15 tahun di daerah kecil sama meninggal dunia pada Januari lalu, selepas penggunaan rokok elektronik untuk tempoh berpanjangan.

Ae menjelaskan bahawa cucunya seorang pelajar yang rajin, namun sikapnya berubah dengan ketara selepas memasuki Tahun Empat.

Menurut Ae, cucunya berhenti membantu kerja rumah dan kerap keluar dari rumah dengan alasan pergi belajar berkumpulan dengan rakan.

Cucu ya kemudiannya dimasukkan ke Hospital Satuek selepas mengalami sesak nafas, muntah-muntah, dan kelemahan yang melampau.

Doktor kemudian mendapati hampir 100 peratus paru-paru kanak-kanak itu rosak akibat rokok elektronik.

Dia kini berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan alat bantuan pernafasan.
-hmetro 

Lelaki yang menyamar sebagai peguam tembak mati pengedar dadah dalam mahkamah

AFP

Colombo: Seorang lelaki Sri Lanka yang didakwa sebagai pengedar dadah utama ditembak mati di dalam mahkamah pada 19 Februari lalu.

Menurut polis, mangsa, Ganemulle Sanjeeva ditembak oleh seorang lelaki bersenjata yang menyamar sebagai peguam.

Sanjeeva ditembak dari jarak dekat ketika memasuki kandang tertuduh dalam perbicaraan permohonan ikat jamin di Mahkamah Majistret Colombo, kata polis dalam satu kenyataan.

Sanjeeva dibawa ke mahkamah di bawah pengiring bersenjata berat oleh komando dari pasukan elit khas.

Lelaki itu kemudian diserahkan kepada pengawal penjara di pintu masuk.

Suspek bersenjata itu melarikan diri ketika Sanjeeva yang parah dimasukkan ke dalam kenderaan keselamatan.

Sanjeeva dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia sebaik tiba di pusat perubatan.

"Kami menemukan sepucuk pistol yang digunakan dalam tembakan dan identiti lelaki bersenjata sudah dikenal pasti.

"Pencarian sedang dijalankan," kata Timbalan Menteri Keselamatan Awam, Sunil Watagala kepada pemberita di luar mahkamah.

Menurut data polis, sembilan individu terbunuh dalam beberapa tembakan tahun ini di Sri Lanka, yang berpunca daripada persaingan kumpulan.

Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob tak sedarkan diri, dikejarkan ke hospital

Malaysiakini 

Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob, 65, dikejarkan ke hospital selepas didapati tidak sedarkan diri awal pagi tadi.

Saluran berita 8TV memetik setiausaha akhbar Ismail yang tidak dinamakan yang berkongsi perkara itu.

"Dengan perasan sedih saya ingin berikan makluman semua rakan rakan seperjuangan. YB DSIS (Ismail Sabri) telah dikejarkan ke Hospital Sunway Medical Centre Kota Damansara pada jam 2.30 pagi tadi.

"Dato Sri pengsan dan tidak sedarkan diri pagi tadi. Saya mohon doa semua agar YB DSIS diberi kesembuhan oleh Allah SWT, insyAllah," katanya.

Seorang pembantu Ismail memberitahu Malaysiakini bahawa Ahli Parlimen Bera itu dipercayai mengalami serangan jantung tetapi kini berada dalam keadaan stabil.

Beginilah gelagat warga emas kelihatan seronok selepas sah menjadi isteri kepada lelaki yang 24 tahun lebih muda darinya

Pengantin tua seronok dapat kahwin lelaki muda
Oleh KIM SYAZIE
Gelagat seorang pengantin wanita warga emas yang kelihatan seronok selepas sah menjadi isteri kepada seorang lelaki lebih muda daripadanya menjadi bualan ramai.

Lapor portal berita NTV News, pengantin wanita berusia 63 tahun, manakala pengantin lelaki berusia 39 tahun.

Perbezaan usia kira-kira 24 tahun tidak menghalang pasangan dari Indonesia itu untuk mendirikan rumah tangga. 

AFP melaporkan, rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @soloposofficial memaparkan pasangan pengantin duduk di hadapan wali semasa  akad nikah. 

Wanita itu bersorak sambil bertepuk tangan selepas calon suaminya melafazkan akad dengan sempurna. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 493,400 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Untung nenek, saya yang muda masih tidak laku,” kata seorang netizen. 

“Saya kalah dengan nenek,” kata pengguna media sosial lain. 

Lelaki cekik anak, ugut pukul isteri kerana berang diminta cerai

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan polis selepas bertindak agresif dengan mencekik anak serta mengugut untuk memukul isterinya kerana berang dengan permohonan cerai wanita itu, dalam kejadian di Tawau petang kelmarin.

Ketua Polis Tawau, Jasmin Hussin, suspek berusia 40an ditahan susulan laporan yang dibuat mangsa yang juga seorang jurujual berusia 39 tahun.

“Suspek dikatakan bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan permohonan cerai dan tuntutan fasakh yang dibuat isterinya.

“Suspek sering mengganggu mangsa sejak permohonan itu dikemukakan dan dalam kejadian terbaharu suspek bertindak agresif dengan mencekik anak mereka sebelum mengugut mahu mencederakannya.

“Ia menyebabkan mangsa ketakutan lalu segera membuat laporan polis bagi mendapatkan perlindungan,” katanya dalam kenyataan semalam, menurut Sinar Harian.

Susulan laporan itu, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau.

Jasmin berkata, lelaki yang juga warga asing itu dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 323 dan 326A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah,” katanya.

Katanya, polis memandang serius kes keganasan rumah tangga dan akan bertindak tegas terhadap mana-mana individu yang mengancam keselamatan ahli keluarga mereka.

Usaha menangkap buaya berhampiran Mid Valley, ayam digunakan sebagai umpan

AIDIEL ZABIDI
TANGKAP layar rakaman tular memaparkan seekor buaya sepanjang tiga meter yang dikatakan muncul di sungai berhampiran Mid Valley, Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menggunakan umpan ayam dalam usaha menangkap seekor buaya yang dikesan di Sungai Klang berhampiran pusat membeli-belah, Mid Valley di sini.

Pengarah Perhilitan Wilayah Persekutuan, Ishak Muhammad berkata, setakat ini reptilia berkenaan belum masuk ke dalam perangkap yang dipasang.

“Buaya itu tidak lagi kelihatan sejak kali terakhir ia dikesan. Kami masih menjalankan pemantauan rapi di kawasan ini dengan harapan dapat menangkap dan memindahkannya ke lokasi yang lebih selamat,” katanya.

Semalam, Perhilitan mengesahkan telah memasang perangkap bagi menangkap buaya sepanjang tiga meter yang dikatakan muncul di sungai berkenaan

Ishak berkata, orang ramai dinasihatkan supaya menjauhi kawasan tersebut sehingga reptilia berkenaan berjaya ditangkap bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Berdasarkan rakaman video yang tular, kami percaya buaya itu merupakan reptilia yang sama sebelum ini dikesan di kawasan Masjid Jamek,” katanya.

Pada 8 Februari lalu, tular video memaparkan kelibat seekor buaya di Sungai Klang berhampiran Masjid Jamek. – UTUSAN

Mayat OKU ditemui bawah landasan LRT Titiwangsa

FMT Reporters

Pasukan bomba mengeluarkan mayat mangsa dari landasan tren di Stesen LRT Titiwangsa. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Mayat seorang lelaki kurang upaya (OKU) ditemui bawah landasan Stesen LRT Titiwangsa pagi tadi.

Komander Operasi Fadil Hesam Mohd berkata Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan kira-kira 8.38 pagi tadi melalui sistem MERS-999 yang memaklumkan penemuan mayat itu.

Beliau berkata, mangsa yang dipercayai OKU buta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan.

“Berdasarkan siasatan awal, dipercayai mangsa terjatuh di kawasan rel kereta api sebelum dilanggar sebuah kereta api yang melintasi kawasan tersebut.

“Kejadian ini dipercayai berlaku akibat kehilangan keseimbangan mangsa yang terjatuh tanpa disedari pemandu kereta api,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pihak berkuasa sedang meneruskan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu dan memeriksa rekod operasi tren pada waktu kejadian.

Sementara itu, Rapid Rail berkata, perkhidmatan tren di Stesen LRT PWTC hingga Sentul Timur yang digantung sementara pagi tadi, kini pulih sepenuhnya susulan kejadian seorang penumpang terjatuh di kawasan landasan Stesen LRT Titiwangsa.

“Tren kini beroperasi seperti biasa dan jadual perjalanan kembali normal.

“Oleh itu, tren alternatif dan bas perantara telah ditamatkan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Manusia pengkhianat: Bongkar, ‘Datuk’ dalang kartel Pakistan di KLIA?

B Nantha Kumar

Seorang bekas pegawai Jabatan Imigresen yang kini bergelar ‘Datuk’ disyaki menjadi dalang utama di sebalik kartel Pakistan yang bertanggungjawab menyeludup pekerja asing ke Malaysia, menurut sumber kepada Malaysiakini.

"Datuk ini merupakan bekas pegawai imigresen. Selepas bersara, beliau mula bekerjasama dengan ejen Pakistan untuk menjalankan sindiket, terutamanya untuk projek 'A ke B'," kata sumber dari ibu pejabat Jabatan Imigresen di Putrajaya.

"Walaupun beliau tidak terlibat secara langsung, beliau memainkan peranan penting untuk ejen Pakistan dengan mengatur kelulusan kuota pekerja asing dan menguruskan urusan dengan jabatan.

"Beliau juga memiliki beberapa syarikat yang hanya wujud di atas kertas untuk memudahkan sindiket 'A to B'," kata sumber tersebut.

Sumber berkata anak Datuk itu juga kini berkhidmat di Jabatan Imigresen.

Sindiket "A to B" dilapor melibatkan "majikan" yang mendaftarkan syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), memperoleh kuota besar untuk pekerja asing, sebelum menjual kuota tersebut kepada pihak ketiga dengan harga antara RM4,500 hingga RM5,500 seorang pekerja.

Sebelum ini, aktiviti penyeludupan pekerja asing didakwa lebih banyak melibatkan warganegara Bangladesh dan China.

Namun, pelaporan terkini oleh Malaysiakini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendapati dakwaan sindiket yang bertanggungjawab kini didominasi oleh ejen Pakistan.

Seorang ejen tempatan yang mengenali sindiket tersebut memberitahu Malaysiakini ejen Pakistan kini menguasai KLIA, terutamanya di Terminal 1.

"Terdapat beberapa sebab mengapa orang Pakistan mula 'mengawal' KLIA. Kita semua tahu bahawa kerajaan kini membenarkan warganegara China menggunakan sistem 'autogate' untuk masuk atau keluar dari Malaysia," katanya.

Menurutnya, kemudahan autogate telah menyukarkan urusan sindiket dengan warga China, kerana mereka tidak lagi perlu berurusan dengan ejen atau pegawai imigresen.

"Oleh sebab itu, ejen lebih sukar untuk bekerjasama dengan warganegara China. Tiada alasan untuk ejen meminta wang daripada mereka dengan alasan mereka perlu membayar jabatan imigresen.

"Bagi Bangladesh, kita semua tahu terdapat banyak laporan mengenai pemerdagangan manusia yang melibatkan warganegara Bangladesh yang masuk ke Malaysia. Akibatnya, pihak berkuasa kedua-dua negara telah mengetatkan peraturan kemasukan untuk warganegara Bangladesh.

"Saya tidak mengatakan sindiket Bangladesh sudah tiada, tetapi sindiket Pakistan kini lebih dominan," kata ejen itu yang enggan dikenali.

Pendedahan ini mencetuskan kebimbangan terhadap kelemahan sistem kawalan imigresen negara dan kemungkinan berlakunya rasuah di peringkat atasan yang membolehkan sindiket ini terus beroperasi tanpa halangan.

Pegawai imigresen selit pasport

Baru-baru ini, Malaysiakini melaporkan seorang pegawai imigresen telah dilaporkan kepada polis kerana memiliki 12 pasport asing yang dipercayai berkaitan dengan sindiket "Fly".

Menurut laporan tersebut, pegawai berkenaan terlibat dalam sindiket dengan menguruskan sekitar 30 pasport setiap hari daripada ejen Pakistan, dengan setiap pasport "Fly" dijual pada harga sekitar RM1,400.

Beberapa ejen di lapangan mengenal pasti seorang warganegara Pakistan yang dikenali sebagai "Asif" (nama samaran) sebagai antara orang paling berpengaruh dalam kalangan ejen Pakistan di Malaysia.

"Terdapat banyak ejen di lapangan, tetapi Asif adalah salah satu yang paling berkuasa, dan dia dilindungi oleh Datuk.

"Saya tidak tahu nama sebenarnya, tetapi dalam kalangan ejen dan pegawai KLIA, dia dikenali sebagai Asif," katanya.

Sumber berkata Asif berkahwin dengan seorang wanita tempatan dan kini menetap di Malaysia menggunakan pas lawatan sosial (spouse visa).

Rangkaian Sindiket: Dari ‘Counter Setting’ ke ‘A to B’

Menurut sumber lagi, selain terlibat dalam sindiket "counter setting" dan "Fly", Asif juga dikatakan memainkan peranan penting dalam skim "A to B".

"Datuk menubuhkan syarikat dan mendapatkan kelulusan kuota, manakala Asif membawa masuk pekerja asing dari Pakistan," jelas seorang ejen.

Sumber turut memberitahu seorang lagi warganegara Pakistan yang dikenali sebagai Zahid (nama samaran) merupakan orang kanan Asif di KLIA.

"Zahid bertindak sebagai 'runner' di lapangan, mencari pelanggan untuk sindiket 'Fly'.

“Dialah yang menyerahkan pasport kepada pegawai imigresen yang baru-baru ini dilaporkan kepada polis kerana memiliki 12 pasport asing.

"Dia bukan sahaja menguruskan pasport Pakistan tetapi juga bekerjasama dengan sindiket yang melibatkan warganegara dari negara Arab dan Afrika," kata sumber tersebut.

Zahid kebal undang-undang?

Seorang ejen pula mendakwa Zahid mempunyai latar belakang yang kontroversi.

"Salah satu sebab dia begitu berpengaruh adalah kerana dia pernah menjalani hukuman penjara selama tiga tahun di Malaysia kerana pemerdagangan manusia.

"Di bawah undang-undang Malaysia, warganegara asing yang terlibat dalam aktiviti jenayah dilarang masuk semula ke negara ini. Tetapi Zahid masih di sini, menggunakan pas profesional," kata ejen itu.

Sindiket "Fly" merujuk kepada dakwaan kegiatan yang memalsukan status imigresen, membersihkan rekod individu yang telah melebihi tempoh visa atau disenarai hitam dengan menggunakan cop keluar dan masuk dengan bayaran tertentu.

Sebelum ini, dilaporkan pegawai imigresen akan secara rahsia membawa cop keluar ke lokasi tertentu, kemudian mencap pasport yang disediakan oleh ejen sebelum mengutip bayaran. Namun, kini sindiket itu didakwa menggunakan kaedah yang lebih terancang dan sukar dikesan.

Menurut sumber, sindiket itu beroperasi dengan cara pegawai imigresen sendiri membawa pasport yang diberikan oleh ejen ke kaunter rasmi untuk dicop secara sah, sebelum mengembalikannya kepada ejen.

Selain sindiket pemalsuan imigresen, Malaysiakini turut diberitahu sebuah koperasi yang beroperasi di Pahang telah menjual kuota pekerja asingnya kepada ejen Pakistan.

Menurut sumber, koperasi tersebut telah mendapat kelulusan untuk mengupah 1,125 pekerja asing dalam sektor perladangan.

"Bagaimanapun, setahu saya, koperasi tersebut hanya mengupah sekitar 200 pekerja asing untuk kegunaan sendiri.

"Selebihnya kuota tersebut dijual kepada agensi pekerja asing yang berpusat di pinggir Kuala Lumpur, yang kemudian menjualnya kepada pihak ketiga," kata sumber tersebut.

Menurut maklumat yang diperoleh, agensi ini dimiliki oleh seorang warganegara India yang dikenali sebagai George (nama samaran).

George dipercayai menjual hampir keseluruhan kuota yang diperoleh koperasi tersebut kepada ejen Pakistan, dengan harga antara RM6,400 hingga RM6,800 bagi setiap pekerja.

"Pada masa lalu, kuota sektor perladangan biasanya dijual kepada ejen Bangladesh atau India. Kini, ejen Pakistan mengambil alih," tambah sumber tersebut.

Penyamaran wartawan dedah skandal

Malaysiakini sebelum ini melaporkan mengenai penglibatan koperasi ini dalam sindiket "A to B", apabila kuota pekerja asing digunakan untuk tujuan selain daripada sektor yang diluluskan.

Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas, seorang wartawan Malaysiakini menyamar sebagai ejen dan bertemu dengan wakil agensi pengambilan pekerja asing tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hasil siasatan mendapati sekurang-kurangnya 200 kuota pekerja asing sedang ditawarkan untuk dijual.

Pada mulanya, harga yang ditawarkan bagi setiap kuota ialah RM6,800, namun selepas rundingan, harga dikurangkan kepada RM6,400.

Namun, apabila dihubungi kemudian, George menafikan sebarang penglibatan dalam aktiviti penjualan kuota ini.

Dia mendakwa agensi tersebut hanya membantu koperasi tersebut membawa masuk pekerja asing untuk ladangnya.

Syria: Legenda 'lelaki si leher panjang'

Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
Kisah legenda rakyat Syria berkaitan 'lelaki si leher panjang' cukup menggerunkan. Majoriti rakyat negara itu tidak berani mengangkat kepala apatah lagi menyebut namanya sebelum ini.
Hikayat ini bukan cerita dongeng malah ia dikatakan benar-benar terjadi di bumi Syam. Lelaki ini dikatakan pemakan daging manusia dan amat hauskan darah rakyatnya.

Berdasarkan kisah dikongsi dari mulut ke mulut, 'raksasa' yang menghuni istana di puncak bukit Mezzeh, Damsyik ini pernah membunuh jutaan rakyat Syria antara tahun 2011 hingga November 2024.

Sepanjang pemerintahannya, 'lelaki si leher panjang' atau dikenali dengan nama Presiden Bashar al-Assad melakukan pelbagai bentuk kekejaman dan pembunuhan besar-besaran hingga meninggalkan kesan mendalam terhadap rakyat dan sejarah negara itu.

Rejim diktator Bashar Al-Assad bertanggungjawab dalam beribu siri kekejaman gila terhadap rakyatnya. Ini termasuklah penyeksaan, pembunuhan skala besar dan 'kehilangan' tanpa jejak ratusan ribu rakyatnya.

Sejurus rejim Bashar ini digulingkan pada 8 Disember 2024, satu persatu dosa sabu'iyyah dilakukannya dibongkar.

Antara paling mengejutkan adalah penemuan 12 kubur besar di Daraa, Syria, menghimpunkan ratusan ribu rangka manusia dipercayai mangsa pembunuhan besar-besaran oleh rejim Bashar.

Dua kubur besar turut ditemui di bandar Qutayfah dan Najha di Damsyik, berisi lebih 100,000 mayat mangsa yang hilang dan diseksa hingga mati.

Sebahagian besar mangsa ini adalah antara ratusan orang awam yang ditahan secara paksa oleh tentera rejim di Tadamon, Damsyik pada 2013.

Berdasarkan rakaman video yang bocor pada tahun 2022, anggota perisikan tentera Bashar menolak tahanan yang ditutup mata ke dalam lubang parit sebelum menembak mati semua mereka.

Tidak cukup dengan itu, lebih 1,700 penduduk di Ghouta Timur, utara Syria dibunuh beramai-ramai menggunakan bom gas beracun sarin yang digugurkan di kawasan penempatan padat.

Pembunuhan beramai-ramai pada 21 Ogos 2013 itu menyebabkan ramai mangsa termasuk kanak-kanak mati bergelimpangan dalam keadaan mulut berbuih keracunan.

Penduduk yang masih bernyawa dikepung pasukan tentera selama tiga tahun hingga menderita kebuluran. Ada yang terpaksa memakan rumput dan kucing untuk meneruskan hidup.

Turut tidak dapat dilupakan pembunuhan beramai-ramai selama lima hari di Darayya, Damsyik pada Ogos 2012 apabila tentera rejim melancarkan serangan bom besar-besaran mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya 700 penduduknya.

Penulis yang berada di Aleppo di utara Syria baru-baru ini turut menyaksikan sendiri kesan kemusnahan akibat serangan besar-besaran tentera Bashar Al-Assad pada April 2016.

Serangan roket, bom dan meriam ke kawasan kediaman, hospital serta sekolah mengakibatkan ribuan struktur bangunan rosak atau runtuh sepenuhnya.

Tinggalan kesan kemusnahan itu masih dibiarkan sehingga kini bagi memperingati sejarah kekejaman Bashar terhadap rakyatnya sendiri.

Selain pembunuhan besar-besaran, rejim Assad juga didakwa terbabit dalam penahanan 'black maria'. Beratus ribu penduduk negara itu dilaporkan [hilang' selepas ditangkap polis rahsia kerana dituduh menentang kerajaan tanpa bukti.

Ramai yang ditahan ini tidak pernah kembali dan ghaib selama-lamanya. Mangsa diheret polis rahsia Syria atau dikenali sebagai Mukhabarat ke penjara-penjara maut dibina sekitar Damsyik.

Bukti penganiayaan dan penyeksaan dilakukan rejim Bashar masih tertulis pada dinding-dinding sel Penjara Seydnaya, Syria yang pernah menempatkan beratus ribu tahanan.
‘LELAKI si leher panjang’.
‘LELAKI si leher panjang’.
Penjara ini yang mendapat jolokan rumah sembelihan dan menyiat kulit manusia menjadi lokasi penyeksaan dan pembunuhan sistematik terhadap tahanan politik.

Seperti apa dikatakan bekas anggota polis Syria, Mahmoud Al Mahmoud pada penulis, banduan di penjara ini tidak akan dibenarkan sesekali mati dengan mudah.

Sebaliknya mereka akan melalui berpuluh kaedah penyeksaan ngeri yang membuatkan mereka menggelupur sakit dan mati perlahan-lahan.

Menjengah penjara itu awal Februari lalu, penulis menyimpulkan penjara kebanggaan presiden Bashar Al-Assad ini tidak ubah umpama rumah mayat yang digunakan untuk memproses dan menghancurkan daging serta tulang banduan.

Bau hamis darah dan mayat manusia yang menyelubungi penjara Seydnaya sudah cukup menggambarkan penderitaan sadis dialami penghuninya. Hanya sebilangan kecil berjaya diselamatkan manakala majoritinya lenyap tanpa kubur.

Ketamakan kuasa dan kegilaan ditonjolkan Bashar ini meletakkan nama pemimpin ini setaraf dengan ketua Nazi, Adolf Hitler yang pernah membunuh 50 juta penduduk seluruh dunia ketika Perang Dunia ke 2. Malah namanya sebaris pemimpin Khmer Rouge, Pol Pot yang menyembelih 1.7 juta rakyat Kemboja hanya dalam masa tiga tahun pemerintahan.

Ternyata dosa-dosa besar rejim Bashar al-Assad ini meninggalkan luka amat dalam di jiwa rakyat Syria. Luka berparut yang akan dikenang generasi ke generasi seterusnya.

Biarpun dinasti Assad berusia lima dekad sudah digulingkan namun usaha mendapatkan keadilan, pembelaan serta memulihkan negara Syria pastinya bukan tugas mudah.

Ketika ini rakyat Syria masih bergembira meraikan 'hari pembebasan' dan kemerdekaan selepas tentera mujahiddin Hayat Tahrir al-Sham (HTS) pimpinan Ahmed al-Sharaa (Presiden inferim ketika ini) berjaya menggulingkan pemimpin diktator pada 8 Disember lalu.

Setiap hari halwa telinga penulis disajikan lagu patriotik 'Syria Janna' yang berkumandang di mana-mana. Ramai yang menari di jalanan sesuatu yang tidak pernah berlaku ketika di zaman Bashar.

Bait lirik lagu Syria Janna 'angkatlah kepala mu tinggi, kamu orang Syria yang sudah merdeka. Syria itu syurga dan kebahagiaan itu adalah Syria' cukup menggambarkan jiwa merdeka dirasa rakyat Syria.

Di pasar besar al-Hamidiyah dan kaki lima kota pula, wajah karikatur Bashar disulam pada stokin dijual kepada orang ramai. Tertera tulisan bahasa arab 'lelaki si leher panjang' pada stokin yang layaknya disarung di tapak kaki sebagai simbol kebencian rakyat.

Di bawah kepimpinan Ahmed al-Sharaa penulis merumuskan sedang berlaku peralihan politik yang teratur dan inklusif di Syria.

Tidak sampai tiga bulan memerintah, beliau sudah menunjukkan kemampuan membina semula institusi dan struktur politik Syria.

Walaupun berdepan dengan cabaran ekonomi dan pemulihan infrastruktur yang musnah angkara rejim Bashar, namun penulis dapat melihat perubahan drastik di ibu kota Damsyik.

Transformasi Ahmed al-Sharaa menjadi pemimpin politik yang lebih sederhana ternyata semakin diterima masyarakat antarabangsa.

Sebagai individu yang menyaksikan sendiri perubahan ini secara langsung, penulis melihat harapan dan ketabahan dalam diri setiap rakyat Syria. Walaupun jalan di hadapan penuh ranjau, dunia kini menantikan bagaimana Syria akan menulis semula naratifnya dan membentuk masa depannya di bawah kepimpinan baharu.


Penulis adalah Pengarang Berita Harian Metro

Arab Saudi larang rekod siaran langsung solat tarawih

Sinar Harian

JEDDAH: Kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan larangan penggunaan kamera untuk merekod jemaah yang menunaikan solat tarawih, termasuk siaran langsung sepanjang ibadah tersebut dijalankan.

Larangan ini diumumkan oleh Kementerian Urusan Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi baru-baru ini.

Menurut laporan yang dipetik daripada Middle East Monitor, larangan ini bukan sahaja terpakai untuk solat tarawih sepanjang bulan Ramadan, tetapi juga untuk semua solat berjemaah di masjid.

Kementerian menyatakan bahawa larangan ini bertujuan untuk memastikan kesucian masjid, mencipta suasana yang kondusif bagi menjalani ibadah, serta menjamin keselesaan jemaah yang hadir.

"Kementerian juga menekankan pentingnya imam dan khatib untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan dan membimbing jemaah agar mematuhi etika yang sesuai di dalam masjid," petik laporan tersebut.

Selain itu, Kementerian turut melarang pengumpulan derma untuk jamuan berbuka puasa di dalam masjid. Umat Islam yang ingin berkongsi berbuka puasa diminta untuk melaksanakannya di tempat yang telah ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan.

Ramadan di Arab Saudi dijangka bermula pada Sabtu, 1 Mac 2025, menurut perhitungan astronomi yang disampaikan oleh Presiden Astronomi Jeddah (JAS), Majed Abu Zahwa.

Sebanyak tujuh imam akan memimpin solat tarawih di Masjidil Haram sepanjang bulan Ramadan ini, termasuk Syekih Abdurrahman as-Sudais. - Sinar Harian memetik agensi

Ditampar mentua ketika pengantin perempuan ingin bersalam minta restu

Pengantin perempuan ditampar mentua ketika salam minta restu

Sinar Harian

Insiden seorang wanita ditampar oleh ibu mentuanya ketika memohon restu pada hari pernikahannya di Sulawesi Selatan. - Gambar/ Sinar Harian/ Agensi

HARI bahagia seorang wanita ini bertukar duka setelah dia ditampar oleh ibu mentuanya pada hari pernikahan.

Kejadian memalukan itu menimpa pengantin perempuan dikenali sebagai Dilla yang berasal dari Bontang, Kalimantan Timur di Indonesia.

Rakaman insiden itu yang dikongsikan @nenktainment menerusi Instagram turut menjadi tular di media sosial.

Pada mulanya, proses sungkeman atau memohon restu orang tua di majlis yang berlangsung di Sulawesi Selatan berjalan lancar.

Namun, suasana menjadi tegang ketika pengantin perempuan duduk bersimpuh di hadapan ibu mentuanya.

Momen Dilla mencium tangan ibu mentuanya dengan tertib dan dibalas tamparan secara spontan oleh wanita itu turut dirakamkan jurugambar.

Pengantin lelaki dikenali sebagai Ali bagaimanapun terkejut lalu bingkas bangun dan menegur perbuatan ibunya.

Tetamu undangan dan ahli keluarga yang lain juga terkesima menyaksikan insiden tersebut.

Dilla turut berkongsi catatan di media sosial untuk menerangkan punca dia diperlakukan sedemikian.

"Mamaku sendiri tidak pernah menyakitiku. Sejak dari awal bercinta dengan Ali, saya tidak pernah mendapat restu daripada mentua kerana kerjaya sebagai penyanyi.

"Selain itu, dia juga tidak bersetuju dengan pernikahan kami kerana saya ibu tunggal. Saya cuba bertahan kerana Ali tetap mempertahankan saya sehingga kami disatukan," lapor TribunnewsBogor.com pada Khamis memetik catatannya itu. - Sinar Harian/ Agensi

Tekanan perasaan, masalah kewangan punca lelaki bunuh isteri

Noor Hidayah Tanzizi
hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kajang: Wanita warga emas ditemukan maut dipercayai dibunuh suaminya dalam kejadian di rumah mereka di Bandar Sungai Long, di sini, semalam.

Suami mangsa kemudian cuba mencederakan diri sendiri dengan pisau selepas kejadian itu sebelum anak lelakinya melaporkan perkara itu kepada polis pada 5.32 petang.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa warga tempatan berusia 63 tahun ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik tidur dan disahkan meninggal dunia.

Menurutnya, pisau yang digunakan dalam kejadian itu juga sudah dirampas bersama beberapa barang kes lain bagi membantu siasatan.

"Susulan itu, suspek, lelaki warga tempatan berusia 65 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Pasangan itu sudah berkahwin selama 36 tahun dan mempunyai anak lelaki dan perempuan.

"Suspek dipercayai mengalami tekanan perasaan kerana perniagaan selama 25 tahun diusahakannya mengalami masalah kewangan selain penyakit yang dialami oleh mangsa. Bagaimanapun, punca kejadian masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Naazron berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat yang dijalankan pada 4.30 petang, hari ini dan punca kematiannya adalah 'suffocation'.

"Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 27 Februari ini dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes berkenaan diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan RK Umesh di talian 012-6114900 untuk membantu siasatan lanjut.

Video fitnah yang dimuatnaik oleh seorang Pemuda Pas sudah cecah lebih 2 juta tontonan

Video fitnah sudah cecah lebih 2 juta tontonan, banyak komentar maki Menteri Pendidikan

Harapandaily

Satu klip video fitnah yang dimuatnaik oleh seorang Pemuda Pas mengenai kenyataan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang diputar belit kini sudah mencecah 2.4 juta tontonan setakat ini.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kawasan Gombak, Mohamad Suffi Kamari hanya memuatnaik enam saat sedutan reaksi Fadhlina yang berseloroh tentang pulang awal bagi sesi petang persekolahan semasa bulan Ramadan.

Kenyataan menteri yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal dari PKR berkenaan yang ‘dikerat’ dan tidak sepenuhnya disiar itu dilihat telah diputar belit oleh pembangkang.

“… jika diberi kelonggaran sedikit awal di musim Ramadan nanti, para guru, ibu bapa dan pelajar boleh segera balik awal, bersedia dan bersiap untuk berbuka puasa.

“You (Fadhlina) sejak dulu sampai sekarang, dulu kisah qunut nazilah tak bagi… hormat orang bukan Islam.

“… sibuk pasal kaum dan agama lain tapi kalau untuk pelajar dan umat Islam, para ibu bapa dan guru untuk memastikan lebih banyak ruang masa mereka untuk bersama keluarga semasa petang berbuka puasa itu, tak fikir panjang Menteri Pendidikan kita ni nampaknya,” sembang Suffi lagi.

Susulan fitnah tersebut, berduyun-duyun warganet dilihat mengecam dan memaki Fadhlina serta kerajaan di ruangan komentar platform TikTok Suffi itu.

Rata-ratanya yang dilihat penyokong pembangkang terus menjatuhkan hukum kononnya Fadhlina tidak layak menjadi Menteri Pendidikan serta dituduh cetek ilmu agama.

Malah, pembangkang berharap Fadhlina diganti dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN) seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia dari Bersatu, Muhammad Hilman Idham.

Walhal, pada sidang media di SK Taman Pelangi Semenyih, 17 Februari lalu, Fadhlina berkata, sesi persekolahan termasuk kantin di sekolah sepanjang Ramadan akan beroperasi seperti biasa sebagaimana bulan puasa sebelum ini.

Mengikut garis panduan KPM, sekolah sesi petang yang mempunyai murid dan guru beragama Islam akan menamatkan sesi seawal jam 5.30 petang bagi negeri di Semenanjung.

Sementara itu, bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pada jam 5 petang.

Sehubungan itu, sebahagian netizen mendesak pihak Fadhlina mengambil tindakan undang-undang terhadap Suffi yang pernah didakwa menceroboh kediaman rasmi Menteri Besar Selangor pada Januari tahun lalu itu.

“Siapa pegawai yang terdekat dengan YB Fadhlina, pastikan video ni sampai ke tangan YB! Komen dah banyak maki YB!” gesa pengguna X, @PejuangPH yang turut menanda Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Kelantan: Wanita curi duit semasa kenduri kahwin ditahan lagi, kes di Tumpat pula

Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my
17 FEBRUARI 2025. PASIR MAS. Dua warga emas wanita berusia 61 tahun dan rakan lelakinya berusia 62 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes curi beg tangan mengandungi wang tunai RM2,500 di majlis perkahwinan di Kampung Tasek Berangan di sini, pada 1 Februari lalu ditahan reman selama empat hari di Mahkamah Pasir Mas. Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. VIDEO NIK ABDULLAH NIK OMAR
17 FEBRUARI 2025. PASIR MAS. Dua warga emas wanita berusia 61 tahun dan rakan lelakinya berusia 62 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes curi beg tangan mengandungi wang tunai RM2,500 di majlis perkahwinan di Kampung Tasek Berangan di sini, pada 1 Februari lalu ditahan reman selama empat hari di Mahkamah Pasir Mas. Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. VIDEO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tumpat: Wanita yang dipercayai terbabit dalam kes mencuri beg tangan mengandungi wang tunai di majlis perkahwinan di Kampung Tasek Berangan Pasir Mas, dekat sini ditahan sekali lagi untuk siasatan berhubung laporan yang diterima di Tumpat.

Wanita berusia 61 tahun itu ditahan semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas sebaik tamat tahanan reman selama empat hari sebelum dibawa ke IPD Tumpat.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, turut ditahan adalah seorang lelaki berusia 60-an dipercayai suami wanita berkenaan yang disyaki turut terbabit dengan kes itu.

"Kami menerima laporan berhubung kecurian beg tangan yang mengandungi wang tunai RM3,000 di Kampung Periok, Chabang Empat di sini pada 22 Februari tahun lalu.

"Dalam laporan yang dibuat, pengadu yang juga seorang lelaki berusia 60 tahun mendakwa seorang wanita berpura-pura menghadiri majlis perkahwinan anak perempuannya sebelum menceroboh memasuki bilik tidurnya.

"Wanita terbabit dipercayai mencuri beg tangan milik isteri pengadu yang mengandungi wang tunai berjumlah RM3,000 sebelum beredar meninggalkan kenduri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Khairi berkata, pihaknya melihat modus operandi yang dilakukan adalah sama seperti kes yang berlaku di Pasir Mas sebelum terus membuat penahanan semula wanita terbabit sebaik selesai remannya di IPD Pasir Mas semalam.

Menurutnya lagi, wanita itu direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 24 Februari untuk siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) kerana mencuri dalam bangunan manakala suaminya pula direman selama dua hari.

"Kami menyeru kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah Sarjan Mejar Norhafeza Jusoh di talian 097257222," katanya.

Bekas wakil rakyat antara warga Indonesia diselamatkan di Myanmar

Malaysiakini 

Seorang bekas wakil rakyat peringkat daerah (Dewan Perwakilan Rakyat Daerah atau DPRD) di Indramayu, Jawa Barat adalah antara 46 mangsa pemerdagangan manusia yang dibawa pulang ke Indonesia dari Myawaddy, Myanmar pada petang semalam.

Pengarah Perlindungan Warganegara Indonesia di Kementerian Luar, Judha Nugraha, pada Jumaat berkata semua mangsa pemerdagangan manusia yang diselamatkan itu datang dari sembilan wilayah dengan majoriti berasal dari Sumatera Utara dan Jawa Barat.

"Kami juga mengesahkan yang salah seorang daripada 46 pekerja migran yang diselamatkan adalah bekas ahli DPRD Daerah Indramayu dengan namanya bermula dari huruf R ," katanya seperti dilaporkan agensi berita Antara.

Pegawai terbabit berkata, rakyat Indonesia terbabit diseksa ketika ditahan di Myanmar sebelum diselamatkan dan dihantar pulang melalui satu daripada dua penerbangan yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada lewat semalam dan awal hari ini.

Sambil memuji sumbangan positif Kedutaan Besar Indonesia di Myanmar, Judha berkata, proses membawa pulng pekerja migran Indonesia dari Myawaddy adalah “proses yang panjang."

Dia turut mengesahkan masih ada 270 rakyat Indonesia di Myawaddy dan Kementerian Luar akan terus berusaha untuk membawa mereka pulang ke tanah air.

"Kami akan memulakan siasatan terperinci untuk mengenal pasti pihak yang membantu mereka ke luar negara sejak awal dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perlindungan di Kementerian Perlindungan Pekerja Migran Indonesia, Rinardi, berkata 46 rakyat Indonesia yang diselamatkan itu akan menjalani proses penilaian di kemudahan Kementerian Hal Ehwal Sosial.

"Selepas semuanya selesai, kami akan membantu menghantar mereka pulang ke kampung halaman di bawah pemantauan Kementerian Hal Ehwal Sosial," katanya.

- Bernama/Antara

Penjual jagung yang tampal notis rasis didenda RM400, isteri masuk penjara

story-image
Malaysiakini 

Seorang penjual jagung yang menjadi tajuk utama kerana meletakkan botis papan tanda perkauman telah dikenakan denda RM400.

Isterinya yang berwarga Indonesia, bagaimanapun, dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan selepas disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Pasangan itu didakwa di Mahkamah Majistret Sepang hari ini dan mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, G Shan Gopal Krishnan, kejadian yang menjadi tular di media sosial itu disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 4, Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Susulan laporan polis, tangkapan ke atas lelaki berumur 64 tahun yang merupakan penjual jagung bersama isterinya yang berumur 52 tahun yang merupakan seorang warga Indonesia pada 17 Februari lalu di Jalan Labuhan Dagang-Nilai, Sepang.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya Selangor dan arahan telah diberikan untuk menuduh penjual jagung ini, di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, bersama dengan pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan.

“Isteri peniaga ini didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Sehubungan itu, Shan Gopal menasihati orang ramai agar menjaga hubungan antara kaum dan tidak mengeluarkan sebarang bentuk provokasi sehingga membangkitkan ketegangan kaum dan agama.

Pada 15 Februari lalu, tindakan lelaki itu, Abdul Aziz Musa yang mempamerkan satu notis yang berunsur perkauman di Kota Warisan, Sepang, Selangor,  mencetuskan kemarahan di media sosial dan dikutuk oleh pelbagai kumpulan.

Bagaimanapun, dia kemudiannya telah memohon maaf dan berkata, perbuatan itu sama sekali tidak berniat untuk menghina kaum India.

Bagaiamanpun, ramai yang tidak berpuas hati. Antara mereka, termasuk Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh yang berkata, tindakan menghina antara kaum perlu dikenakan tindakan undang-undang.

Menurut Adun Merlimau itu  tindakan seumpama itu tidak boleh dibiarkan dengan hanya berakhir dengan memohon maaf sahaja.

“Tidak kira siapa pelakunya,tindakan undang-undang perlu dikenakan agar menjadi pengajaran kepada pihak yang lain.

“Kalau tidak, budaya sebegini yang buat dulu lepas tu minta maaf akan semakin berleluasa dan semakin mudah golongan-golongan ini terlepas!” katanya.

Orang hilang: Diminta tolong bantu cari Cikgu Hamdan

Alias Abd Rani
bhnews@bh.com.my
Cikgu Hamdan hilang selepas keluar rumah ke sekolah sejak Isnin lalu. - Foot ihsan PDRM
Cikgu Hamdan hilang selepas keluar rumah ke sekolah sejak Isnin lalu. - Foot ihsan PDRM
SEGAMAT: Seorang guru lelaki dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah menuju ke tempat kerja di Jementah, dekat sini, sejak Isnin lalu.

Hamdan Hamzah, 46, keluar jam 5.15 pagi dengan menunggang motosikal sebelum kehilangannya itu disedari ahli keluarga yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Tenang, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata pada hari kehilangannya, guru terbabit menunggang motosikal Yamaha Ego.

"Mangsa berasal dari FELDA Kemelah bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Jementah.

"Laporan diterima pada jam 6.22 petang Rabu lalu dan polis menggiatkan usaha mengesan guru terbabit," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Zamry meminta orang ramai mempunyai maklumat mengenai guru terbabit berhubung segera dengan pegawai penyiasat, Sarjan Mejar Shamsuddin Ramli di talian 07-92799222 atau balai berhampiran.

CAP: Sudah tiba masanya tindakan diambil terhadap peniaga jual makanan ringan di luar sekolah

Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Georgetown: Perlu ada undang-undang ketat berkaitan makanan yang dijual kepada kanak-kanak, kata Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Pegawai Pendidikan CAP dan aktivis NV Subbarow berkata, semua makanan ringan atau 'junk food' yang dijual kepada kanak-kanak hendaklah mempunyai logo kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kita bercakap tentang kesihatan kanak-kanak kecil. Sudah tiba masanya KKM mengambil tindakan dan tidak mengamalkan dwi standard.

"Mereka harus mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga yang menjual makanan ringan di luar kawasan sekolah.

"KKM tidak boleh berdiam diri lagi. Kanak-kanak ini tidak tahu apa-apa tentang kualiti, kandungan, apa yang ada di dalam makanan dan sebagainya.

"Satu-satunya tarikan ialah warna dan gula atau kemanisan, jadi pihak berkuasa tidak boleh cuci tangan," katanya pada kenyataan, hari ini.

Subbarow berkata demikian ketika mengulas kejadian menimpa kanak-kanak berusia 10 tahun yang meninggal dunia dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata.

Katanya, CAP kesal dengan kejadian yang menyebabkan kematian kanak-kanak terbabit.

Tinjauan CAP mendapati, lebih 200 makanan ringan dijual di pasaran negeri ini, juga dipercayai di seluruh Malaysia.

"Kesemuanya mengandungi gula dengan pelbagai jenis warna yang tidak sesuai untuk kanak-kanak.​

"Jadi ibu bapa mesti menyediakan makanan sihat bagi anak-anak mereka yang bersekolah," katanya lagi.

Polis cekup suspek kes cabul budak perempuan dalam masjid

Malaysiakini

Polis menahan seorang lelaki berusia 19 tahun yang disyaki terbabit dalam perbuatan mencabul kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Batang Kali, Hulu Selangor, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Ahmad Faizal Tahrim, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 8.19 pagi berhubung insiden yang tular di media sosial itu.

"Seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 19 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada 22 Feb (esok) untuk dipohon reman bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan, petang ini.

Menurutnya kes disiasat bawah Seksyen Akta 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, berkaitan kesalahan amang seksual fizikal.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan seorang lelaki mencabul seorang murid sekolah perempuan dalam sebuah masjid di Batang Kali, Selangor pagi tadi.

Lebih menyedihkan kejadian itu berlaku ketika budak itu sedang sujud ketika bersolat Subuh bersama orang ramai pagi tadi.

Rakaman video kamera litar tertutup (CCTV), yang kini tersebar di media sosial, merakamkan kejadian jijik itu.

Susulan itu, kerajaan negeri Selangor mahu tindakan tegas dikenakan terhadap pelaku yang terbabit dalam cubaan merogol kanak-kanak perempuan di Masjid Jamek Sungai Masin, Batang Kali, pagi tadi.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Mohammad Fahmi Ngah, berkata ia penting bagi memelihara masjid sebagai tempat selamat daripada jenayah.

Sementara itu, Ahmad Faizal meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menyalurkan kepada pihak berkuasa.

"Orang ramai yang mempunyai apa-apa maklumat diseru untuk tampil membantu pihak polis dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60651021 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya lagi.

#kaburajadulu Hasilnya ceroboh negara jiran untuk mencuri

Ceroboh untuk mencuri, APMM tahan 7 warga Indonesia di pelantar minyak

Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my
TUJUH lelaki warga Indonesia yang menceroboh pelantar minyak tidak berpenghuni yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
TUJUH lelaki warga Indonesia yang menceroboh pelantar minyak tidak berpenghuni yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan tujuh lelaki warga Indonesia yang menceroboh sebuah pelantar minyak tidak berpenghuni untuk mencuri di perairan Terengganu semalam.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abdul Majid berkata, semua suspek berusia antara 25 hingga 45 tahun itu ditahan ketika bersembunyi di ruang ventilasi pelantar minyak berkenaan.

Beliau berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu (PUSOP) sebelum itu menerima maklumat daripada sebuah syarikat cari gali minyak berkaitan kejadian pencerobohan sebuah pelantar minyak tidak berpenghuni pada kedudukan 77 batu nautika timur Kuala Terengganu kira-kira jam 1.30 petang kelmarin.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima, kru operasi pelantar mengesan serta menemui tanda-tanda pelantar diceroboh serta melihat kelibat seseorang sedang bersembunyi di bilik jana kuasa ketika melaksanakan pemeriksaan rutin.

"Bertindak atas aduan, Kapal Maritim (KM) Rawa yang sedang dalam penugasan Op Iman diatur gerak ke lokasi dan tiba di lokasi jam 9 malam.

"Kita berdepan sedikit kesukaran untuk menaiki pelantar berkenaan kerana keadaan yang gelap serta keadaan laut yang bergelora sebelum menaiki pelantar berkenaan kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

"Hasil pemeriksaan menemukan kesan-kesan kabel yang dipotong, bateri yang dilonggokkan, bekas-bekas makanan serta peralatan yang digunakan seperti pemotong kabel, set spanar serta tali," katanya ketika sidang media di Pejabat Maritim Negeri Terengganu di sini hari ini.

Mohd Khairulanuar berkata, hasil soal siasat awal mendapati kesemua suspek dihantar ke pelantar berkenaan menggunakan sebuah bot namun bot itu melarikan diri sebaik melihat kehadiran kapal yang membawa kru operasi pelantar.

Katanya, siasatan juga mendapati kesemua suspek sudah dua hari berada di atas pelantar minyak berkenaan untuk mencuri.

"Hasil siasatan mereka ini mengambil barang-barang penting seperti panel solar, bateri, kabel-kabel yang berkualiti dan barang-barang lain yang boleh dijual untuk mendapatkan duit.

"Apa yang membimbangkan kita adalah tindakan mereka itu boleh menyebabkan operasi pelantar minyak terhenti sekiranya mereka mencuri barang-barang penting sehingga boleh mengakibatkan kerugian puluhan juta ringgit selain nyawa mereka sendiri.

"Dengan penahanan suspek, kita percaya dapat menyelesaikan empat laporan

kecurian di pelantar minyak yang tidak berpenghuni di sekitar perairan Terengganu sejak Januari lalu," katanya.

Menurutnya lagi, nilai rampasan masih dalam siasatan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan ada pihak lain yang menjadi dalang dengan memfokuskan pelantar minyak tidak berpenghuni.

Katanya, semua suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 378 Kanun Keseksaan.

Lelaki cabul budak perempuan sedang solat subuh di masjid

story-image
Haspaizi Zain

Seorang lelaki mencabul seorang murid sekolah perempuan dalam sebuah masjid di Batang Kali, Selangor pagi tadi.

Lebih menyedihkan kejadian itu berlaku ketika budak itu sedang sujud ketika bersolat Subuh bersama orang ramai pagi tadi.

Rakaman video kamera litar tertutup (CCTV), yang kini tersebar di media sosial, merakamkan kejadian jijik itu.

Pihak masjid Masjid Sungai Masin mengesahkan kejadian cabul itu ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi.

"Ya, kejadian berlaku ketika solat Subuh pagi tadi. Pelakunya juga telah pun berjaya ditangkap.

"Saya tak boleh bagi maklumat lanjut, selebihnya boleh tanyakan pihak polis," katanya seorang ahli jawatankuasa masjid yang enggan namanya didedahkan.

Dalam rakaman itu, seorang lelaki berkopiah putih menyelinap masuk ke bahagian ruangan solat wanita sebelum memeluk dari belakang budak itu dan membawanya keluar dari ruangan solat wanita.

Murid berkenaan sedang solat di saf belakang seorang diri, justeru menyebabkan tindakan itu tidak disedari jemaah perempuan lain.

Dalam rakaman lain, dia dilihat bergelut, meraba, memeluk dan cuba melondeh seluar mangsa.

Bagaimanapun dia kemudian melarikan diri setelah budak itu melawan.

Malaysiakini telah menghubungi pihak polis dan sedang menunggu maklum balas mereka.

Difahamkan kenyataan media berkaitan perkara itu akan dikeluarkan selepas ini.