"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Budak 10 tahun 'balas dendam' hingga bapa ditahan polis

Agensi

Beijing: Kanak-kanak lelaki yang bengang dimarahi bapa kerana tidak siapkan kerja sekolah bertindak 'membalas dendam' dengan memaklumkan kepada polis yang bapanya menyimpan dadah.

Kejadian berlaku di wilayah Yongning, China apabila budak 10 tahun itu menelefon polis menggunakan telefon di kedai berhampiran rumahnya untuk membuat laporan.

Kanak-kanak itu keluar dari rumah dalam keadaan marah dan menelefon pihak berkuasa, memaklumkan bapanya menyimpan bunga popi kering, bahan diklasifikasikan dadah bahaya negara itu.

Dia kemudian menunggu polis tiba dan membenarkan pasukan itu masuk untuk memeriksa kediaman, yang mana bahan terlarang berkenaan ditemui di balkoni rumah.

Polis menjumpai lapan popi kering, dengan bapa budak terbabit mengaku membelinya, namun mendakwa ia hanya untuk kegunaan perubatan selain menyatakan kekesalan melanggar peraturan.

Polis kemudian menyita bahan itu dan menahan bapa kanak-kanak terbabit sebelum kes terbabit diserahkan kepada Bahagian Anti Narkotik untuk siasatan lanjut.

"Undang-undang jelas menyatakan bahawa penanaman atau pemilikan pokok popi tanpa kebenaran adalah satu jenayah dan pelakunya boleh dikenakan hukuman berat," kata jurucakap polis yang dipetik Oddity Central.

Walaupun pokok popi dikatakan mempunyai nilai perubatan untuk meredakan kesakitan, membantu tidur dan mengurangkan tekanan, penggunaannya tetap diharamkan kerana berkait rapat dengan penghasilan dadah opium yang pernah membawa kehancuran besar kepada negara China suatu ketika dahulu.

Bapa durjana, culik, rogol anak tiri ditahan reman 7 hari

Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my
Suspek warga asing, ditahan reman tujuh hari. FOTO Ihsan PDRM
Suspek warga asing, ditahan reman tujuh hari. FOTO Ihsan PDRM
Kalabakan: Polis menahan seorang lelaki warga asing kerana disyaki menculik dan merogol anak tirinya yang berumur sembilan tahun, Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berumur 32 tahun itu ditahan susulan laporan dibuat ibu mangsa (pengadu) kira-kira jam 10.15 pagi di Balai Polis Kalabakan, semalam.


Menurutnya, pengadu memberitahu bahawa anak perempuannya diculik oleh suspek yang juga bekas suaminya dari rumah mereka di sebuah perumahan pekerja ladang dekat Kalabakan, Ogos tahun lalu.

"Bagaimanapun pengadu tidak melaporkan kejadian culik itu kerana telah diugut oleh suspek yang akan bertindak membunuh kanak-kanak itu sekiranya dia membuat laporan polis.

"Mangsa kemudiannya menceritakan kejadian dia dirogol suspek selepas dihantar pulang ke rumah mereka kira-kira jam 7 malam, Isnin lalu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jasmin berkata suspek akhirnya berjaya ditangkap sepasukan anggota polis di sebuah ladang berhampiran kira-kira jam 6 petang, hari yang sama.

"Suspek ditahan reman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana merogol dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan," katanya.

Pegawai rendah polis, dua lelaki Bangladesh direman ke rasuah

SAFINA RAMLI
Ketiga-tiga suspek ketika dibawa ke Mahkamah Majistret George Town, hari ini.
GEORGE TOWN – Seorang pegawai rendah polis dan dua lelaki warga Bangladesh direman tiga hari bermula hari ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM29,000.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Azlan Basri di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Menurut sumber, difahamkan pegawai rendah polis berusia 55 tahun serta dua lelaki Bangladesh berusia 52 dan 44 tahun itu menjadi perantara untuk menyelesaikan kes pergaduhan dan menarik balik laporan membabitkan pengadu yang juga warga Bangladesh.

“Kes berlaku pada 2022 dan 2024, di mana pada tahun 2022 pegawai rendah polis ini meminta wang rasuah berjumlah RM22,000 daripada pengadu. Pengadu telah memberikan wang tersebut kepada pegawai polis dan dua lelaki Bangladesh ini bagi menyelesaikan kes pergaduhan tetapi kes pengadu tetap berjalan,” katanya di sini hari ini.

Sumber memberitahu, kemudian pada 2024, pegawai polis berkenaan meminta wang berjumlah RM10,000 kepada pengadu bagi menyelesaikan kes.

“Pengadu kemudian menyerahkan RM7,000 kepada pegawai polis dan dua lelaki Bangladesh tersebut di mana jumlah wang rasuah yang telah diberikan pengadu kepada mereka berjumlah RM29,000,” katanya.

Katanya, pegawai polis dan seorang lelaki Bangladesh itu kemudiannya ditahan tengah hari semalam di pejabat SPRM Pulau Pinang ketika hadir memberi keterangan.

“Seorang lagi lelaki Bangladesh ditahan malam semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Dua beranak maut: Pengawal keselamatan terkilan tak jenguk kereta mangsa

Sinar Harian

Ahmad menunjukkan lokasi sebuah kereta yang diparkir di hadapan sekolah di Bandar Baru Uda, sebelum dilaporkan penemuan mayat ibu dan anak.- Foto Sinar Harian

JOHOR BAHRU: "Saya terkilan kerana tak cuba hampiri kereta BMW itu kerana setiap hari banyak kereta berhenti di situ."

Demikian luahan pengawal keselamatan yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 60, mengenai insiden dua beranak maut dalam kereta di hadapan sebuah sekolah di Bandar Baru Uda di sini pada Khamis.

Ahmad memberitahu selepas waktu bekerjanya berakhir pada jam 7 malam, kereta BMW terbabit masih berada di lokasi sama dengan enjin masih hidup.

"Saya terkilan kerana tidak peduli apabila sebuah kereta BMW berhenti jam 2 petang depan sekolah kebangsaan tempat saya bekerja.

"Saya memang tidak syak apa-apa. Cuma, apabila beberapa kali saya dengar bunyi pedal minyak ditekan, saya cuma tengok dari jauh kerana cermin kereta gelap dan tak nampak sesiapa di dalam.

"Sehingga jam 7 petang, saya tidak nampak sesiapa pun keluar dari kereta itu tetapi enjin kereta masih hidup. Saya terkejut apabila pada sebelah malam, rakan sekerja beritahu ada ibu dan anak meninggal dunia dalam kereta berkenaan," ujarnya.

Pada Jumaat, media melaporkan seorang ibu ditemui meninggal dunia bersama-sama anak perempuan bongsunya dalam kereta yang diparkir di tepi jalan hadapan sekolah berkenaan.

Difahamkan, jenazah ibu dan anak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu di sini, kira-kira jam 3 petang Jumaat selepas selesai proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, ketika kereta itu diparkir di tepi jalan berkenaan pada kira-kira jam 2 petang Khamis, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana setiap hari ada sahaja kereta yang berhenti di lokasi berkenaan.

"Memang biasa ada kereta yang berhenti kejap di tepi jalan sama ada berhenti nak gunakan telefon bimbit atau ada yang periksa kereta rosak atau sebagainya.

"Ini pertama kali perkara seumpama ini berlaku sejak saya bekerja di sini selama empat tahun," katanya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh dilaporkan berkata, pihaknya masih menunggu siasatan makmal (pending laboratory investigations) dan siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.

Bagaimanapun, beliau dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

Pada masa sama, Balveer Singh menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kes berkenaan.

"Kerjasama masyarakat amat dihargai untuk membolehkan siasatan dijalankan dengan teliti dan adil.

"Kita menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kes ini untuk menyalurkan maklumat di talian 07-5563122 atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Helmy Halim di talian 012-5759953," jelasnya. -- Sinar Harian

Isu ‘ham’: Harith Iskander dedah terima ugutan bunuh

Isu ‘ham’: Harith Iskander dedah terima ugutan bunuh

 NUR EMIRA SAIZALI

PETALING JAYA – Pelawak terkenal Harith Iskander membuat laporan polis selepas menerima ugutan bunuh susulan perkongsian dalam media sosial berkaitan isu perkataan ‘ham’ baru-baru ini.

Menurut bekas isteri yang juga pengurusnya, Dr. Jezamine Lim, Harith berkata, ugutan tersebut diterimanya pada minggu lalu tetapi paling mengecewakan apabila anak-anaknya turut terkena tempias daripada isu tersebut.

“Minggu lalu, saya menerima ugutan bunuh yang tetapi apa yang lebih mengecewakan adalah terdapat pihak melemparkan kecaman yang teruk terhadap anak-anak saya.

“Mengancam keselamatan kanak-kanak yang tidak bersalah sudah melampaui batas. Perkara tersebut sangat keji, pengecut dan tidak berperikemanusiaan.

“Laporan polis juga sudah dilakukan dan pihak berkuasa sedang melakukan siasatan. Saya enggan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung isu tersebut,” katanya dalam Instagram hari ini.

Dalam pada itu, Harith dan Jezamine turut kecewa apabila persembahan komedi yang sepatutnya berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) hari ini dibatalkan disebabkan isu tersebut.

“Saya dan Harith berasa amat kecewa dengan pembatalan persembahan Harith di DFP. Selepas perbincangan, ini adalah keputusan terbaik untuk kami.

“Keputusan ini bukan mudah untuk kami lakukan kerana Harith telah mencurahkan persiapan dan kerja keras selama berbulan-bulan.

“Paling membuatkan kami kecewa kerana Zander dan Zydane sepatutnya menjadi sebahagian daripada persembahan pembuka.

“Namun, kami menerima keputusan pembatalan persembahan tersebut demi kepentingan keselamatan dan keselamatan,” ujarnya.

Harith dan Jezamine juga kesal dengan sikap segelintir individu yang mudah melemparkan kata-kata negatif selepas itu tersebut tular.

“Saya sedih melihat orang ramai yang mudah melemparkan rasa kebencian, menyebarkan kemarahan dan menulis perenggan komen kesat dalam media sosial.

“Saya sudah diajar Allah SWT untuk melakukan kebaikan kepada semua orang, tanpa mengira tindakan atau status mereka,” katanya lagi.

Sebelum ini, hantaran dalam Facebook dipercayai dimuat naik pelawak berusia 54 tahun itu memaparkan menu kedai kopi dengan item bernama ‘Ham Sap Kopi’.

Harith dikatakan secara sarkastik menyentuh isu ‘ham’ yang menjadi kontroversi sebelum itu apabila kedai rangkaian serbaneka menjual sandwic ham tanpa sijil halal sah di sebuah pusat pengajian tinggi.

Rentetan itu, ramai individu serta wakil pertubuhan mengutuk tindakannya yang disifatkan biadab, malah Polis Johor juga mengesahkan menerima tiga laporan polis. – KOSMO! ONLINE

Main mercun atas jalan, dua termasuk remaja ditahan

Norzamira Che Noh
bhnews@bh.com.my
Tindakan dua lelaki, termasuk seorang remaja bermain mercun di jalan raya dekat Taman Sentosa, Klang. - Foto viral
Tindakan dua lelaki, termasuk seorang remaja bermain mercun di jalan raya dekat Taman Sentosa, Klang. - Foto viral
SHAH ALAM: Tindakan dua lelaki, termasuk seorang remaja bermain mercun di jalan raya dekat Taman Sentosa, Klang di sini, mengundang padah apabila ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata kedua-dua lelaki tempatan berusia 18 dan 21 tahun itu ditahan jam 11.30 malam tadi.

Katanya, terdahulu seorang wanita berusia 26 tahun membuat laporan berhubung tindakan dua lelaki membakar mercun di sebelah kenderaannya sehingga menyebabkan kerosakan dalam kejadian jam 2 petang.

"Hasil siasatan mendapati semasa pengadu melalui jalan itu, suspek membakar mercun dan meletakkan di atas bonet kereta wanita berkenaan.

"Selepas dimarahi, suspek kemudian mengambil semula mercun berkenaan dan meletakkan di tepi kenderaan sehingga menyebabkan sedikit kerosakan pada bahagian bumper dan sisi kereta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan dua lelaki itu dirakam menerusi kamera papan pemuka kereta mangsa dan susulan itu polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 (5) Akta Kesalahan Kecil 1955.

"Hasil semakan kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kini direman untuk siasatan lanjut sehingga 27 Januari.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Lelaki meninggal dalam bot fiber tersadai, seorang lagi cedera

Norzamira Che Noh
bhnews@bh.com.my
Dua lelaki dijumpai dalam sebuah bot fiber yang tersadai di beting lumpur di Pulau Carey, Kuala Langat, semalam. - Foto ihsan Maritim Malaysia
Dua lelaki dijumpai dalam sebuah bot fiber yang tersadai di beting lumpur di Pulau Carey, Kuala Langat, semalam. - Foto ihsan Maritim Malaysia
SHAH ALAM: Seorang lelaki dipercayai warga Indonesia meninggal dunia, manakala seorang lagi cedera dalam sebuah bot fiber yang ditemui tersadai di beting lumpur di Pulau Carey, Kuala Langat, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad, berkata terdahulu pihaknya menerima aduan orang awam mengenai penemuan bot itu di kira-kira 0.4 batu nautika barat daya Pulau Carey.

Susulan itu, beliau berkata, sebuah bot digerakkan ke lokasi untuk pemeriksaan lanjut.

"Setiba di lokasi, penguat kuasa Maritim Malaysia mendapati sebuah bot fiber berwarna biru tanpa nombor pendaftaran, berada dalam keadaan tersadai.

"Hasil pemeriksaan lanjut menemui dua lelaki dalam bot itu yang mana seorang cedera, manakala seorang lagi tidak sedarkan diri," katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Muhaimin berkata, bot bersama dua lelaki itu kemudian dibawa ke Jeti Pontoon Maritim Selangor untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, pasukan perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) turut tiba di jeti dan memberikan rawatan awal.

"Bagaimanapun, mangsa yang tidak sedarkan diri disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Kedua-dua mangsa didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan disyaki warga Indonesia," katanya.

Beliau berkata, kes itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor untuk siasatan terperinci.

"Orang ramai yang ada sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi pihak berkuasa melalui talian 999 bagi membantu siasatan," katanya.

Rakyat Korea Utara sanggup bergaduh kerana najis

KOSMO!
GAMBAR fail petani bekerja di Pyongan Selatan. - Foto AFP
PYONGYANG  – Rakyat Korea Utara sanggup bergaduh sehinggakan ada yang terpaksa dirawat di hospital semata-mata untuk mencuri najis manusia, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Situasi itu berlaku selepas pemimpin mereka, Kim Jong-un meminta rakyat mengutip najis sendiri pada setiap Januari dengan harapan dapat digunakan sebagai baja untuk  meningkatkan hasil pertanian.
L

Arahan tersebut dikeluarkan kerana Korea Utara mengalami masalah kekurangan baja yang serius.

Menurut saluran Radio Free Asia, kuota najis untuk tahun ini sangat tinggi sehingga memaksa rakyat Korea Utara mencuri atau membeli kotoran itu untuk mengelakkan hukuman dihantar ke  kem buruh paksa.

Setiap orang dewasa mesti memberikan 500 kilogram najis manusia dan setiap murid sekolah perlu menyumbangkan kepada pemerintah 200 kilogram bahan kumbahan itu.

Menurut sumber tempatan, satu pergaduhan berlaku di Unsan, utara Pyongyang yang menyebabkan dua lelaki dirawat di hospital.

“Seorang pekerja kilang cuba mencuri najis di rumah milik lelaki lain.

“Mereka bergaduh sesama sendiri menggunakan kapak dan penyodok sebelum cedera parah,” kata sumber tersebut.

Dalam satu kejadian lain, pergaduhan tercetus selepas seorang pelajar sekolah ditangkap kerana menyerbu tandas awam untuk mencari najis. – AGENSI

5 yang ditembak serang penguat kuasa Maritim Malaysia

Safeek Affendy Razali
safeek@bh.com.my
Dua lelaki dijumpai dalam sebuah bot fiber yang tersadai di beting lumpur di Pulau Carey, Kuala Langat, semalam. - Foto ihsan Maritim Malaysia
Dua lelaki dijumpai dalam sebuah bot fiber yang tersadai di beting lumpur di Pulau Carey, Kuala Langat, semalam. - Foto ihsan Maritim Malaysia
KUALA LUMPUR: Lima lelaki yang ditembak di perairan Tanjung Rhu, Banting, awal pagi semalam dilaporkan menyerang pegawai Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang sedang melakukan rondaan.

Bot yang dinaiki suspek dilaporkan telah melanggar bot Maritim sebanyak empat kali sebelum dua daripada mereka cuba menyerang pegawai penguat kuasa dengan parang.

Atas faktor keselamatan dan mempertahankan diri pegawai Maritim melepaskan tembakan ke arah bot dinaiki suspek yang kemudian melarikan diri dalam gelap.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata pihak Maritim kemudian menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan sebuah bot yang terdampar di Pantai Banting, pada jam 9 pagi hari yang sama.

"Pihak Maritim telah bergerak ke lokasi sebelum menemui dua lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum menunda bot dinaiki mereka ke pengkalan Maritim di Pelabuhan Klang, serta mendapatkan bantuan ambulans.

"Pemeriksaan mendapati seorang lelaki telah meninggal dunia manakala seorang lagi ditemui masih hidup dan dalam keadaan kritikal.

"Suspek yang cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussein berkata, sekitar jam 7.30 pagi semalam, tidak lama selepas kejadian tembakan itu berlaku, satu laporan polis dibuat oleh Pegawai Perubatan, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, yang menyatakan menerima tiga pesakit lelaki disyaki warga asing dalam keadaan sedar yang cedera akibat tembakan pada anggota badan mereka.

"Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun.

"Kes ini juga turut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas yang boleh memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 bagi kesalahan melepaskan tembakan yang memperuntukkan hukuman penjara selama setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Kelantan: Penghantar 13 ekor lembu seludup ditahan di Tumpat

Bernama

Nik Ros Azhan ketika melakukan tinjauan sekitar sempadan Malaysia- Thailand Sungai Golok baru-baru ini. --fotoBERNAMA

KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas sebanyak 13 ekor lembu seberat 8,450 kilogram yang dianggarkan bernilai RM126,750 di Kampung Bunohan, Tumpat pada Khamis lepas.

Komander PGA Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan itu dilakukan selepas anggota PGA menahan sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 38 tahun.

Beliau berkata lori itu dilihat memandu dalam keadaan mencurigakan semasa menjalankan tugas Op Taring Wawasan Kelantan di kawasan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori, sebanyak 13 ekor lembu ditemukan tanpa dokumen yang sah. Lembu-lembu ini dipercayai diseludup dari Thailand," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek dipercayai bertindak sebagai penghantar lembu terbabit ke pasaran tempatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

"Suspek serta barang rampasan telah diserahkan ke Balai Polis Chabang Empat, Tumpat untuk tindakan lanjut.

Korek lubang untuk sembunyi selepas nampak penguat kuas

Baharom Bakar
am@hmetro.com.my
Pegawai Penguatkuasa JIM negeri sedang memeriksa dokumen warga asing dalam Ops Sapu, semalam. FOTO IHSAN JIM negeri
Pegawai Penguatkuasa JIM negeri sedang memeriksa dokumen warga asing dalam Ops Sapu, semalam. FOTO IHSAN JIM negeri
Kuala Terengganu: Sempat sembunyi dalam lubang khas selama 15 minit sebelum tidak tahan menanggung kepanasan dan akhirnya keluar.

Taktik tidak jadi seorang lelaki warga Kemboja itu terbongkar dalam operasi Jabatan Imigresen (JIM) Terengganu di rumah kongsi di tapak pembinaan di Kampung Gelugor Kedai, Marang semalam.

Dalam Op Sapu pada 8 malam kelmarin hingga 6 pagi semalam, pasukan JIM mengesan lubang khas di rumah kongsi berkenaan yang disyaki dikorek sebaik ternampak kelibat anggota menghampiri kawasan.

Penguat kuasa memutuskan untuk memantau taktik lelaki warga Kemboja yang cuba bersembunyi dalam lubang itu, sebelum menahannya selepas dia keluar dan beralih tempat persembunyian di dalam timbunan kain.

Pengarah JIM negeri, Mohd Yusri Mohd Nor berkata, seramai 45 warga asing termasuk seorang wanita dan dua kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan diperiksa dalam operasi di lapan premis di Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang.

Bagaimanapun, katanya, selepas saringan dilakukan, 17 warga asing berusia antara tujuh dan 49 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Mereka adalah lelaki Myanmar, empat warga Indonesia, 10 warga Kemboja dan dua lelaki Bangladesh.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal dalam negara tanpa dokumen sah dan Seksyen 15 (1) (c), akta yang sama atas kesalahan tinggal dalam negara melebihi tempoh dibenarkan," katanya.

Mohd Yusri berkata, semua warga asing termasuk tiga kanak-kanak yang ditahan dihantar ke Depot Imigresen Ajil, Kuala Berang.

Katanya, operasi membanteras warga asing akan terus dipergiat dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menyalurkan kepada pihaknya.

Patung Yunani berusia 2,000 tahun ditemukan dalam beg sampah

Bernama-AA
Gambar edaran yang dikeluarkan oleh Polis Greece pada 22 Januari 2025 ini, menunjukkan patung purba selepas ia "dilihat oleh seorang warganegara dalam beg plastik hitam berhampiran tong sampah" di sebuah jalan di Thessaloniki.  Foto Greek Police/AFP
Gambar edaran yang dikeluarkan oleh Polis Greece pada 22 Januari 2025 ini, menunjukkan patung purba selepas ia "dilihat oleh seorang warganegara dalam beg plastik hitam berhampiran tong sampah" di sebuah jalan di Thessaloniki. Foto Greek Police/AFP
Istanbul: Pihak berkuasa Greece mengumumkan penemuan patung marmar berusia 2,000 tahun dari zaman Helenistik, yang ditemukan berbalut dalam beg sampah dan dibuang berhampiran tong sampah di Thessaloniki, bandar raya kedua terbesar di negara itu.

Seorang lelaki berusia 32 tahun menyerahkan artifak purba itu kepada Jabatan Siasatan Jenayah dan Pendakwaan Thermaikos pada petang 18 Januari, lapor Agensi Anadolu (AA) berdasarkan kenyataan media polis.

Menurut polis, lelaki itu "mendakwa menemukan (patung) itu di dalam beg hitam berhampiran tong sampah."

Patung marmar putih itu berbentuk bahagian badan seorang wanita tanpa lengan dan kepala, dengan gaun labuh beralun.

Seorang ahli arkeologi Ephorate of Antiquities, yang memeriksa artifak, mengesahkan patung itu berasal dari zaman Helenistik yang menjangkau dari 323 SM hingga 31 SM.

Pejabat Perlindungan Warisan Budaya merampas artifak itu dan siasatan sedang dijalankan untuk menentukan sama ada patung itu dikaitkan dengan pemerdagangan artifak haram.

"Subdirektorat Jenayah Terancang Utara Greece sedang menjalankan siasatan awal ke atas kes ini," dan disahkan oleh polis.

Patung itu akan dihantar ke Subdirektorat Penyiasatan Forensik Utara Greece untuk analisis makmal yang terperinci. Setelah itu ia akan dijaga oleh Ephorate of Antiquities untuk penilaian dan pemeliharaan selanjutnya.

Saintis jumpa dua gunung 100 kali lebih tinggi daripada Everest

KOSMO!
GAMBAR fail Gunung Everest. - Foto AFP
AMSTERDAM – Dua gunung rahsia ditemui oleh sekumpulan saintis disahkan melebihi 100 kali ganda tinggi Gunung Everest di Nepal yang memiliki ketinggian 8,800 meter, lapor laman berita MailOnline kelmarin

Penemuan itu dibuat oleh kumpulan saintis Universiti Utrecht di Belanda.

Mereka berkata, dua gunung setinggi 1,000 kilometer itu terletak di sempadan di antara teras dengan lapisan mantel Bumi di bawah Benua Afrika dan Lautan Pasifik

Dua gunung itu dianggarkan berusia sekurang-kurangnya setengah bilion tahun dan dipercayai wujud selepas pembentukan Bumi, empat bilion tahun lalu.

Ketua kajian, Dr. Arwen Deuss berkata: “Tiada siapa yang tahu sama ada dua gunung ini hanya fenomena sementara atau jika ia telah wujud selama berjuta-juta atau mungkin berbilion-bilion tahun.”

Sebelum ini, saintis-saintis mengetahui bahawa terdapat struktur besar yang tersembunyi jauh di dalam mantel Bumi.

Maklumat itu diketahui mungkin kerana gelombang kejutan seismik yang berlaku akibat bencana gempa bumi yang kemudian merebak ke bahagian dalam planet ini. – AGENSI

Wanita Indonesia lakukan hubungan seks dengan OKU tanpa persetujuan

BHarianonline 

SINGAPURA: Seorang wanita dihadapkan ke mahkamah daerah hari ini dan didakwa kerana berulang kali mengadakan hubungan seksual dengan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) intelek tanpa persetujuannya pada 2022.

Dia turut didakwa membuat panggilan video kepada teman lelakinya ketika melakukan kesalahan yang didakwa itu.

Bagaimanapun, dokumen mahkamah tidak mendedahkan apa kaitan wanita Indonesia itu dengan lelaki OKU yang menjadi mangsanya.

Wanita itu dihadapkan atas tiga pertuduhan melakukan hubungan seksual serta didakwa atas dua pertuduhan 'voyeurisme' iaitu menonton orang lain melakukan aktiviti seks bagi memperoleh keseronokan atau kepuasan seks.

Terdapat perintah 'gag order' atau larangan bercakap mengenai identiti lelaki itu dan wanita berkenaan tidak dinamakan kerana berbuat demikian boleh menyebabkan lelaki itu dikenali.

Wanita itu berada di flat Bukit Panjang bersama lelaki OKU intelek itu antara Januari dan Februari 2022, apabila dia didakwa melakukan seks oral tanpa persetujuannya.

Pada masa itu, dia juga dikatakan membenarkan teman lelakinya memerhatikannya melakukan perbuatan yang didakwa itu melalui panggilan video dengannya menerusi telefon bimbitnya.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan mangsa terbabit sehingga Ogos 2022. Dia dijangka mengaku bersalah apabila dihadapkan ke mahkamah pada 7 Ogos depan. - AGENSI
Berita lewat 

Pertama kali dalam sejarah Denmark, pendakwa raya fail pertuduhan kes hina al-Quran

Bernama-AA

Copenhagen (Denmark): Buat pertama kalinya dalam sejarah Denmark, dua individu didakwa atas layanan yang tidak wajar terhadap kitab suci agama selepas didakwa tidak menghormati al-Quran, pendakwa raya mengumumkan pada Jumaat, lapor Agensi Anadolu.

"Pendakwa Raya di Copenhagen telah membawa kes pertama pelanggaran Seksyen 110e(2) Kanun Jenayah Denmark mengenai layanan yang tidak wajar terhadap kitab suci agama," menurut kenyataan pejabat pendakwa raya.

Pertuduhan itu dibuat selepas Menteri Kehakiman Denmark meluluskan cadangan untuk meneruskan kes itu, tambah kenyataan tersebut.

Menurut pendakwa raya, kejadian yang didakwa berlaku pada 15 Jun 2024, semasa Pesta Rakyat di pulau Bornholm. Suspek dilaporkan melakukan perlakuan tidak wajar terhadap al-Quran di dalam khemah, sama ada secara terbuka atau dengan niat untuk berkongsi perbuatan itu dengan khalayak yang lebih luas.

"Penilaian kami adalah bahawa, berkaitan acara semasa Pesta Rakyat, layanan yang tidak wajar terhadap al-Quran telah berlaku, dan ia berlaku di khalayak ramai, kerana ia dihadiri oleh beberapa orang dan juga merebak ke kalangan yang lebih luas dengan dirakam dan disiarkan secara langsung melalui Facebook," menurut kenyataan itu.

Pendakwa Raya Lise-Lotte Nilas mengesahkan bahawa denda telah dicadangkan untuk suspek. Kes itu telah dikemukakan kepada Mahkamah Bornholm untuk penjadualan, tetapi tarikh mahkamah masih belum ditetapkan.

Suami isteri warga emas maut, kereta terbabas masuk anak sungai

Omar Ahmad
am@hmetro.com.my
Dua warga emas maut maut dalam kemalangan di Jalan Mersing Endau, Kampung Bukit Buruk, tengahari tadi. FOTO IHSAN BOMBA
Dua warga emas maut maut dalam kemalangan di Jalan Mersing Endau, Kampung Bukit Buruk, tengahari tadi. FOTO IHSAN BOMBA
Mersing : Pasangan dipercayai suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Mersing Endau, Kampung Bukit Buruk, tengah hari tadi.

Mangsa yang kedua-duanya warga emas maut di lokasi kejadian selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam anak sungai.

Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Endau, Mohd Alias Hussin berkata pihak bomba menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 12.17 tengah hari.

Katanya, seramai 16 anggota dari BBP Mersing dan Endau dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar terdapat kemalangan jalan raya membabitkan Perodua Alza dan Volkswagen yang terbabas ke dalam air.

"Kesemua mangsa telah dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan PKO. Terdapat dua mangsa yang menaiki Volkswagen disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan iaitu warga emas lelaki dan wanita.

"PKO memastikan tiada mangsa yang terperangkap dalam kenderaan dan seterusnya memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera dan menyerahkan mangsa kepada ambulans dan pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemandu Lamborghini RM2.6 juta larikan diri selepas kemalangan

KOSMO!
KERETA Lamborghini remuk teruk selepas melanggar sebuah pikap. - Foto Facebook/ InsidePitlok
BANGKOK – Seorang pemandu keluar dari kereta sport Lamborghini dan melarikan diri selepas kenderaannya berlanggar dengan sebuah trak pikap di wilayah Phitsanulok, utara Bangkok, lapor portal berita Thaiger hari ini. 

Pemandu tersebut dipercayai seorang ahli perniagaan. Dia  meninggalkan wang tunai berpuluh-puluh  ribu baht di dalam ‘supercar’ bernilai lebih 20 juta baht (RM2.6 juta) itu yang telah remuk.

Polis yang tiba di lokasi kejadian di luar sebuah restoran kira-kira pukul 1.30 pagi (waktu tempatan) berhampiran tiang elektrik di tepi jalan,  menemui kad pengenalan pemandu tersebut di dalam sebuah beg.

Pemandu pikap berusia 32 tahun pula terperangkap di dalam kenderaannya. Mangsa mengalami kecederaan di muka dan bahu sebelum diselamatkan oleh anggota-anggota pasukan kecemasan dan dihantar ke hospital berdekatan.

Polis masih menyiasat kemalangan itu.

Nama pemandu Lamborghini itu tidak didedahkan tetapi saluran televisyen, Channel 7 melaporkan bahawa dia pernah terlibat dalam satu kemalangan berprofil tinggi pada tahun lepas. 

Dia dilaporkan merempuh kereta Porsche bernilai 5 juta baht miliknya (RM652,000) pada sebatang tiang elektrik menyebabkan kenderaan itu terbakar  tetapi pemandunya melarikan diri tanpa mengalami kecederaan. – AGENSI

Merusuh, 15 lelaki Bangladesh direman empat hari

Zuhainy Zulkiffli
bhnews@bh.com.my
Seramai 15 lelaki warga Bangladesh dibawa ke Kompleks Mahkamah Balik Pulau, Pulau Pinang bagi mendapatkan perintah reman kerana merusuh. - Foto NSTP/Zuhainy Zulkiffli
Seramai 15 lelaki warga Bangladesh dibawa ke Kompleks Mahkamah Balik Pulau, Pulau Pinang bagi mendapatkan perintah reman kerana merusuh. - Foto NSTP/Zuhainy Zulkiffli
BALIK PULAU: Seramai 15 lelaki warga Bangladesh direman empat hari bagi membantu siasatan merusuh dengan mencederakan seorang lelaki tempatan di sebuah tapak pembinaan kawasan perindustrian Bayan Lepas, dekat sini.

Perintah reman bermula hari ini hingga 25 Januari dikeluarkan Majistret, Chia Huey Ting bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut.

Terdahulu, semua suspek yang berusia antara 24 hingga 54 tahun tiba di pekarangan mahkamah jam 8.20 pagi bagi mendapatkan perintah reman.

Difahamkan berlaku perselisihan faham antara penyelia warga Bangladesh dengan penyelia tempatan tapak pembinaan itu sebelum berakhir dengan insiden merusuh.

Kejadian pada jam 4 petang itu turut menyebabkan mangsa lelaki tempatan berusia 30-an cedera di kepala.

Namun mangsa dilapor stabil selepas mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

Semua warga Bangladesh didapati mempunyai dokumen perjalanan sah dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.

Tukang cat didakwa hayun rantai kunci basikal ke kepala anak tiri

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang tukang cat didakwa di Mahkamah Sesyen Muar hari ini kerana mencederakan anak tirinya menggunakan rantai kunci basikal sehingga mangsa cedera parah di kepala.

Muhammad Azam Ismail, 33, mengaku tidak bersalah menganiayai seorang remaja lelaki berusia 16 tahun bawah pemeliharaannya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, di sebuah rumah di Jalan Haji Abdullah, pada Isnin lepas.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Othman Affan, manakala tertuduh tiada diwakili peguam, lapor Berita Harian.

Terdahulu, pihak pendakwaan membantah ikat jamin untuk tertuduh kerana bimbang dia akan mengganggu mangsa, memandangkan mereka berdua tinggal sebumbung.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya tertuduh tidak diikat jamin.

Hakim Sayani Mohd Nor menetapkan 25 Feb depan untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.

Kejadian dilaporkan berlaku apabila mangsa enggan menghantar makanan ke rumah jiran seperti yang disuruh tertuduh.

Tertuduh yang berang kemudian mengambil rantai kunci basikal lalu menghayunnya ke kepala mangsa

Mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut.

Ibu, anaknya berusia 14 tahun ditemukan maut dalam kereta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Wanita dan anaknya ditemukan maut dalam kereta mewah disyaki terhidu gas beracun akibat kebocoran saluran petrol yang meluap memasuki sistem pendingin hawa, dalam kejadian di sekolah dekat Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

Wanita berusia 42 tahun ditemui orang awam kira-kira 9 malam tadi dalam keadaan tidak sedarkan diri bersama anaknya berusia 14 tahun.

Ketua Polis Johor Bahru Utara, Balveer Singh Mahindar Singh, berkata pihaknya menerima laporan kira-kira 10 malam tadi dengan disahkan tiada unsur jenayah berlaku.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru bagi bedah siasat.

“Setakat ini, kita mendapati tiada unsur jenayah dan bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa masih menunggu siasatan makmal,” katanya menurut Berita Harian pada sidang media di IPD Johor Bahru Utara.

Beliau berkata, menerusi perbualan terakhir mangsa dalam kumpulan WhatsApp bersama rakannya, mangsa memaklumkan baru selesai membeli-belah di kawasan kejadian, lalu berhenti seketika kerana kurang sihat.

“Mangsa yang mempunyai tiga anak tinggal di Bakar Batu, Johor Bahru dan keluar bersama anak bongsunya,” katanya yang mengesahkan enjin kenderaan masih hidup ketika dua beranak itu ditemui.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Lima lelaki warga Indonesia ditembak, ditinggalkan di Hospital Serdang dalam keadaan parah

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

Sepang: Lima lelaki warga Indonesia ditinggalkan di Hospital Serdang selepas ditembak seorang individu yang tidak kenali, hari ini.

Difahamkan, empat daripadanya cedera parah manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Polis mengesahkan kejadian, semua individu berkenaan adalah warga Indonesia namun setakat ini identiti semua individu terbabit tidak diperolehi.

"Dalam kejadian itu seorang maut ditembak manakala empat lagi mengalami kecederaan.

"Siasatan lanjut kini sedang dijalankan mengenai kejadian berkenaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, pada masa ini pihaknya menerusi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan IPD Sepang sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk bagi mengenalpasti punca kejadian.

Sementara itu, difahamkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menemui bot dinaiki lelaki yang terbunuh itu ketika membuat rondaan di kawasan perairan pantai Morib.

Selain itu, pihak berkuasa turut menemui seorang lagi mangsa yang cedera dalam bot berkenaan.

Pasukan peronda APMM kemudian menunda bot itu ke Pulau Carey untuk tindakan lanjut.

Difahamkan juga, tiga lagi lelaki yang turut cedera dalam kejadian tembakan berkenaan, berenang ke pantai sejurus selepas itu.

Sumber berkata, ketiga-tiga mangsa yang mengalami kecederaan akibat terkena tembakan dihantar ke hospital oleh sebuah kereta jenis Toyota Vios.

"Pakaian dua daripada mereka basah, manakala seorang lagi mangsa hanya memakai seluar pendek. "Ketika tiba di hospital, ketiga-tiga mereka juga tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah," katanya.

Remaja ditahan di Belgium kerana rancang serang masjid

BHarianonline 

BRUSSELS: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang disyaki mempunyai pandangan pelampau kanan ditahan pada Khamis di Brussels kerana didakwa merancang serangan 'pengganas' terhadap sebuah masjid, kata pihak berkuasa.

Suspek, yang dikatakan anggota gerakan kanan kumpulan pelampau, merancang untuk melancarkan serangan ke atas sebuah masjid pada Jumaat," menurut kenyataan pendakwa raya Belgium.

Pendakwa raya berkata, selepas menerima maklumat, mereka merampas senjata dan menahan suspek dalam serbuan pada waktu subuh di rumah remaja tersebut.

Remaja itu, yang dijangka ditempatkan di sebuah pusat tahanan remaja, disyaki 'merancang serangan pengganas', tambah kenyataan itu.

Pendakwa raya tidak memberikan butiran lanjut, tetapi Menteri Kehakiman Belgium, Paul Van Tigchelt, sebelum ini memberitahu ahli Parlimen bahawa suspek berusia 14 tahun.

Menteri itu sedang disoal oleh ahli Parlimen mengenai kadar tinggi pembabitan golongan bawah umur dalam kalangan ratusan individu yang dipantau oleh perkhidmatan perisikan Belgium atas dakwaan radikalisasi.

Perkhidmatan perisikan kebangsaan Belgium dalam laporan tahunannya yang dikeluarkan bulan ini menyatakan bahawa dalam tempoh dua tahun lalu, 'hampir satu pertiga' daripada individu yang dipercayai merancang serangan adalah bawah umur 18 tahun.

"Proses radikalisasi golongan muda ini berkembang jauh lebih cepat berbanding masa lalu," kata Van Tigchelt kepada ahli Parlimen.

Beliau menekankan bahaya 'mempengaruhi minda' golongan bawah umur melalui media sosial.

Ketika ini, sekitar 600 individu yang disenaraikan sebagai pelampau berada di bawah pemantauan khas pihak berkuasa Belgium.

Sebilangan besar individu yang dipantau adalah suspek pergerakan jihad, tetapi kira-kira 60 individu disenaraikan atas kepercayaan kumpulan pelampau kanan pada 2022. - AFP

1 maut, 3 cedera tembakan di Pantai Morib

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis masih menyiasat kejadian tembakan di kawasan Pantai Morib, Kuala Langat, awal pagi tadi yang menyebabkan seorang lelaki maut dan empat lagi cedera.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata kejadian melibatkan lima lelaki di mana seorang daripada mereka maut di lokasi kejadian dan tiga lagi mengalami kecederaan, lapor Berita Harian.

Katanya, mangsa cedera dipercayai warga Indonesia manakala identiti lelaki yang maut belum dikenal pasti.

“Seorang yang cedera dihantar ke Hospital Klang untuk rawatan lanjut manakala tiga lagi sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Idris Shah di Serdang,” katanya.

Hussein berkata, buat masa ini kes masih dalam siasatan lanjut polis Kuala Langat dan Sepang.

Rakyat Amerika Syarikat tiada telur

KOSMO

WASHINGTON – Rakyat Amerika Syarikat (AS) berdepan masalah kekurangan bekalan telur ayam serius berikutan wabak  berterusan selesema burung H5N1, lapor saluran berita Fox News semalam. 

Hos Fox News, Jesse Watters berkata, bekalan telur ayam makin berkurangan di pasaran dan sukar diperoleh.

“Rakyat AS sukar mendapatkan telur ayam terutamanya telur organik, baik dan berkualiti.

“Saya hanya boleh membeli telur gred rendah yang tidak kuning dan gebu. 

“Jadi, Trump (Presiden AS), sebelum anda menyelesaikan isu dron, kami perlukan telur pada kadar segera,” kata Watters. 

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Telur Amerika, Emily Metz berkata, keadaan itu disebabkan wabak H5N1 memusnahkan ternakan ayam telur. 

“Pada tahun lalu sahaja, AS merekodkan kehilangan lebih 40 juta ayam akibat selesema burung. 

“Walaupun seluruh negara mengalami kekurangan bekalan telur, situasi lebih buruk di beberapa negeri yang menguatkuasakan undang-undang mewajibkan kedai runcit menjual telur ternakan ayam bebas sangkar,” kata Metz. 

Negeri yang terlibat adalah Arizona, California, Colorado, Massachusetts, Michigan, Nevada, Oregon dan Washington. 

“Gangguan bekalan mungkin lebih ketara dalam kalangan peruncit dan negeri-negeri yang menjual telur ayam bebas sangkar berikutan jangkitan selesema burung,” tambahnya. – AGENSI

10 warga Bangladesh menyamar doktor ditahan dalam serbuan klinik haram

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my
Jabatan Imigresen Malaysia menyerbu 10 lokasi klinik doktor warga asing di sekitar Kuala Lumpur dan menahan 10 warga Bangladesh yang menawarkan perkhidmatan kepada rakyat warga Bangladesh. FOTO ihsan JIM
Jabatan Imigresen Malaysia menyerbu 10 lokasi klinik doktor warga asing di sekitar Kuala Lumpur dan menahan 10 warga Bangladesh yang menawarkan perkhidmatan kepada rakyat warga Bangladesh. FOTO ihsan JIM
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu 10 premis di ibu kota yang disyaki beroperasi sebagai klinik secara haram sejak setahun lalu dan berhasil menahan 10 lelaki warga Bangladesh menyamar sebagai doktor di setiap tempat terbabit.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban, berkata JIM bersama Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan operasi khas terhadap 10 lokasi membabitkan enam premis di Jalan Tun Tan Siew Sin, dua di Leboh Pudu dan satu di Jalan Silang semalam.

Beliau berkata, operasi yang bermula jam 11.45 pagi itu membabitkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasa (Farmasi) KKM Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Operasi dibantu pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak dan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perlis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata, operasi ini turut disertai Timbalan Ketua Pengarah Operasi Imigresen, Jafri Embok Taha; Pengarah Bahagian Perisikan Dan Operasi Khas, Mohamad Anas Mohamad Dzarib; Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM, Mohd Zawawi Abdullah dan Timbalan Pengarah, Cawangan Perisikan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM, Mohd Azaruddin Jais.

"Berdasarkan aduan awam dan maklumat risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi diatur gerak ke lokasi premis perniagaan dan berjaya menahan 10 orang lelaki warga Bangladesh berusia di antara 31 hingga 50 tahun.

"Semakan awal, mendapati seorang yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) Sektor Perkhidmatan, enam orang memiliki PLKS Sektor Pembinaan, dua orang tinggal lebih masa, manakala seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini," katanya.

Beliau berkata, pasukan operasi merampas peralatan doktor palsu, ubat-ubatan dan wang tunai RM800 dipercayai adalah hasil rawatan dan jualan ubat.

"KKM juga merampas sebanyak 502 jenis ubat tidak berdaftar dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM265,192.00.

"Warga asing ini disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952, Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Racun (Bahan bahan Psikotropik) 1989, dan Peraturam 7(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya.

Zakaria berkata, modus operandi digunakan adalah menawarkan perkhidmatan rawatan pesakit melalui doktor warga Bangladesh yang tidak bertauliah dengan menyasar warga negara terbabit sahaja.

"Ubat-ubatan yang dijual mereka tidak berdaftar dan tiada kelulusan KKM yang dibawa masuk oleh warga Bangladesh yang datang sebagai pelancong dengan bayaran sebanyak RM200 hingga RM500 setiap seorang.

"Kegiatan ini berselindung di sebalik kedai makan atau kedai runcit bagi mengaburi pihak berkuasa. Bayaran rawatan dan penjualan ubat-ubatan yang dikenakan adalah sebanyak RM50 hingga RM200 bagi setiap pelanggan warga Bangladesh dan dipercayai telah beroperasi selama satu tahun.

"Kesemua warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, dua lelaki warga Bangladesh dan enam wanita tempatan diberi notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

Budak 12 tahun maut, 5 ahli keluarga lain termasuk bayi parah MPV rempuh lori

Amir Hamzah Nordin
am@hmetro.com.my
Kanak-kanak lelaki maut, manakala lima ahli keluarga termasuk seorang bayi cedera dalam kemalangan di KM 164.7, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), arah timur, hari ini.
Kanak-kanak lelaki maut, manakala lima ahli keluarga termasuk seorang bayi cedera dalam kemalangan di KM 164.7, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), arah timur, hari ini.
Maran: Kanak-kanak lelaki maut, manakala lima ahli keluarga termasuk seorang bayi cedera dalam kemalangan di KM 164.7, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), arah timur, hari ini.

Dalam kemalangan jam 1.56 pagi itu, mangsa Muhammad Al Amin Mohd Adil, 12, yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Meranti, Puchong, Selangor maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, kemalangan membabitkan Toyota Alphard dan lori jenis Volvo.

Katanya, kemalangan berlaku ketika enam sekeluarga itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kuala Terengganu.

"Kenderaan dipandu bapa mangsa berusia 41 tahun terlanggar bahagian belakang sebuah lori sedang berhenti di lorong kecemasan sebelah kiri kerana mengalami kerosakan pada bahagian tayar belakang sebelah kiri.

"Akibat kemalangan, mangsa yang juga penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Bapa dan ibu mangsa berusia 42 tahun, serta tiga adik mangsa masing-masing berusia 10, 8 tahun dan setahun sembilan bulan cedera parah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Wong berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh untuk rawatan lanjut.

Katanya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987," katanya.

Tampar kakitangan Puspakom, warga emas didenda RM1,600

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my
KOH Soon Hua didenda RM1,600 oleh Mahkamah Majistret atas tuduhan mencederakan kakitangan Puspakom, minggu lalu. FOTO Izz Laily Hussein
KOH Soon Hua didenda RM1,600 oleh Mahkamah Majistret atas tuduhan mencederakan kakitangan Puspakom, minggu lalu. FOTO Izz Laily Hussein
Johor Bahru: Warga emas didenda RM1,600 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan mencederakan kakitangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), minggu lalu.

Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Koh Soon Hua, 60, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.

Tertuduh turut diperintahkan menjalani hukuman penjara dua bulan, jika gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Suzaini Mohd Taib di Puspakom Jalan Bertam 23 di sini, jam 5.40 petang, 18 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana tidak lagi bekerja dan hidup ditanggung sepenuhnya oleh anak lelakinya, selain turut mempunyai masalah kesihatan iaitu darah tinggi.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif.

Pada 16 Januari lalu, media melaporkan, hanya kerana lorinya gagal dalam pemeriksaan Puspakom, seorang lelaki bertindak menampar seorang kakitangan Puspakom Johor Bahru, November lalu.

Kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis Puspakom di Taman Daya di sini, sebelum tular di media sosial.

Penyeludup stres larikan sampan kastam ke Thailand

SYED AZLAN SAYED HIZAR
LOKASI sampan kastam yang disembunyikan di bawah rimbunan pokok di sebatang sungai di wilayah Satun, Thailand baru-baru ini.
KUALA PERLIS – Sindiket penyeludupan dilaporkan semakin tertekan apabila melarikan aset milik kastam di Jeti Kastam Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis, di sini baru-baru ini.

Perbuatan itu dipercayai bermotifkan dendam sindiket terhadap Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) susulan beberapa siri rampasan melibatkan dadah dan ketum.

Pengarah JKDM Perlis, Ismail Hashim berkata, dalam kejadian pukul 4 pagi, 13 Januari lalu itu, sampan jabatan itu dikesan tiada di tambatan jeti kastam sebelum membuat laporan polis.

“Siasatan dan operasi mencari dilakukan dengan kerjasama polis dan pihak berkuasa Thailand terdiri daripada Pusat Koordinasi Penguatkuasan Maritim, polis, kastam negara itu serta Pejabat Koordinasi Sempadan Malaysia-Thailand.

“Pada 16 Januari lepas, sampan itu dijumpai di Khlong Senten, mukim Tammalang di perairan Satun, Thailand dalam keadaan baik. Pihak berkuasa Thailand dalam proses memulangkan aset itu kepada JKDM,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Difahamkan sampan fiber dan enjin bernilai RM150,000 itu digunakan untuk rondaan, manakala jarak lokasi kejadian dan lokasi penemuan adalah kira-kira 30 kilometer.

Menurut Ismail, sampan itu disembunyikan di bawah rimbunan pokok di sungai tersebut dan menunggu masa sesuai untuk diubah suai. – KOSMO! ONLINE

Bilik kabin jadi sarang PATI di Kampung Baru

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
Imigresen tahan 38 warga asing di Kampung Baru.
Imigresen tahan 38 warga asing di Kampung Baru.
KUALA LUMPUR: Segelintir pendatang asing tanpa izin (PATI) nekad memanjat bumbung dan terjun dari tingkat dua dalam cubaan mengelak daripada ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Raja Muda Musa dekat Kampung Baru di sini, awal pagi tadi.

Wartawan Harian Metro yang mengikuti serbuan awal pagi itu, mendapati kawasan tanah persendirian berkenaan dijadikan tapak rumah sewa yang dibina menggunakan beberapa buah kontena.

Berdasarkan pengakuan beberapa warga asing yang ditemui mendakwa, mereka menyewa daripada pemilik tanah warga tempatan dengan harga lingkungan RM250 hingga RM900 mengikut saiz bilik.

Tinjauan di lokasi mendapati, terdapat sekurang-kurangnya 10 buah kediaman berbeza saiz yang dibina menggunakan kontena dan pelbagai struktur tambahan lain.

Kawasan itu yang terletak di tengah-tengah ibu negara menjadi tumpuan penyewa warga asing walaupun terpaksa hidup dalam ruangan yang kecil.

Seorang penyewa warga tempatan yang tinggal di kawasan itu mendakwa kawasan tanah berkenaan dimiliki beberapa penama justeru tingkat atas dan bawah dimiliki oleh pemilik berbeza.

"Saya tinggal sini dah agak lama, berbelas tahun. Ramai dekat sini orang Indonesia ada yang kosong, ada yang ada permit.

"Rumah saya ini sewa dalam RM450, saya tinggal seorang sahaja kalau rumah depan itu RM250 kecil sedikit, kalau rumah di atas itu lebih mahal sebab pemilik lain-lain," katanya kepada Harian Metro.

Rata-rata PATI yang ditemui mengaku bekerja di sekitar ibu negara, termasuk kedai makan yang terletak berhampiran kawasan itu.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, berkata seramai 38 PATI ditahan dalam operasi bermula 2.30 pagi itu.

"Keseluruhannya, 59 individu diperiksa terdiri daripada empat warga Myanmar, Indonesia (38 orang), Thailand (5 orang), pemastautin tetap (2 orang).

"Daripada jumlah itu, 38 individu disyaki PATI ditahan terdiri daripada 22 lelaki dan 14 wanita Indonesia serta dua lelaki warga Thailand," katanya.

Beliau berkata, tangkapan dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Terkejut ada cerita skandal baja padi RM1.8 bilion semasa Nafas di bawah PN yang PAS turut serta didalamnya

Cerita skandal baja padi RM1.8 bilion semasa Nafas di bawah PN

SITI NUR ZAWANI

Seorang bekas ahli jemaah pengarah Nafas mengimbas kembali bagaimana pasukan mereka melakukan pembaharuan habis-habisan enam tahun lalu di bawah menteri waktu itu, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, dalam tempoh satu tahun sahaja mereka berjaya mengutip hutang sebanyak RM3.1 bilion dan tunai lebih RM800 juta.

Namun katanya ketika pemerintahan Perikatan Nasional (PN) selama 33 bulan, duit menjadi negatif RM400 juta sehingga berlaku skandal baja padi terbesar berjumlah RM1.8 bilion.

“6 tahun lepas kami reform habis-habisan Nafas. Hutang kami kutip RM3.1 bilion dalam masa setahun, tunai dalam RM800 juta lebih.

“1 tahun sahaja kami buat kerja. Semua penyelewengan kami berjaya kesan dan lebih RM50 juta Nafas rugi sebab penyelewengan.

“Naik era PN 33 bulan, duit negatif RM400 juta, dan skandal baja padi RM1.8 bilion. Semalam (kelmarin) SPRM umum bekas pengurus besar Nafas akan didakwa.

“Terima kasih buat arwah Abang Din Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian masa itu bagi kami peluang baiki habis-habisan dulu,” katanya di Facebook.

Terdahulu pada 21 Januari, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mengesahkan bekas pengurus besar Nafas bakal dituduh hujung bulan ini berhubung kes rasuah membabitkan pembekalan baja padi bernilai RM1.8 bilion.

SPRM sebelum ini telah membongkar kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di dalam Nafas.

Beberapa siri pembongkaran dilakukan SPRM di sekitar Kuala Lumpur termasuk di ibu pejabat pertubuhan, kementerian dan sembilan syarikat yang mendapat projek berkaitan.

Projek di bawah kementerian itu yang berjumlah RM1.8 bilion dianugerahkan kepada pertubuhan terbabit bagi tempoh 30 bulan bermula 2021 hingga 2023.

Himpunan SRBR: Amaran kepada Pemuda Pas, Bersatu

Sinar Harian

SHAH ALAM: Sekretariat Rakyat Benci Rasuah (SRBR) memberi amaran kepada pemuda Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agar tidak membawa sebarang imej parti semasa menyertai Himpunan Rakyat Benci Rasuah di ibu negara, Sabtu ini.

SRBR berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak menghalau mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan 'menunggang' perhimpunan berkenaan untuk kepentingan politik.

"Pesanan kami kepada Pemuda Pas dan Armada Bersatu: Kami menjemput anda turut serta dalam perhimpunan ini kerana semua warga Malaysia tanpa mengira latar belakang parti dan ideologi politik.

"Tapi kami memberi amaran kepada mereka supaya jangan membawa logo, slogan, nama dan imej parti semasa menyertai perhimpunan Sabtu ini.

"Himpunan ini, sepenuhnya milik rakyat dan bukan kepunyaan parti politik untuk ditunggang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Himpunan Rakyat Benci Rasuah anjuran SRBR akan berhimpun di hadapan Sogo jam 2.30 petang sebelum berarak ke Dataran Merdeka.

Setiausaha SRBR, Zaim Zulkifli dipetik sebagai berkata, himpunan berkenaan tidak dibiayai oleh mana-mana parti politik baik daripada kerajaan mahupun pembangkang.

Menurutnya, sekretariat berkenaan banyak bergerak sendiri tanpa bantuan parti politik kerana objektifnya berjuang dari rakyat untuk rakyat.

Sehubungan itu, SRBR meminta Pas supaya tidak bersikap hipokrit dengan cuba menumpang populariti Himpunan Rakyat Benci Rasuah di ibu negara pada Sabtu ini, demi kepentingan politik parti terbabit.

"Kenapa kami katakan mereka hipokrit terhadap isu antirasuah? Di sini kami senaraikan: Pertama, pada 6 Januari lalu, pemimpin utama Pas seperti Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Setiausaha Agung), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Naib Presiden) dan Dr Siti Mastura Muhammad (Ahli Parlimen Kepala Batas) telah berhimpun untuk menyatakan solidariti kepada Datuk Seri Najib Razak ketika perbicaraan kes Titah Adendum.

"Solidariti itu bertujuan untuk menzahirkan rasa simpati dan menyokong bekas Perdana Menteri berkenaan yang telah terpalit isu rasuah membabitkan berbilion wang rakyat kerana kononnya beliau adalah mangsa kezaliman," katanya

Tambah SRBR, faktor kedua menunjukkan Pas hipokrit susulan bekas wakil rakyatnya, Che Alias Hamid, didapati bersalah oleh mahkamah kerana memberi sogokan untuk membeli undi dalam bentuk bantuan seperti i-Belia dan i-Siswa semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Dakwanya, kes berkenaan jelas menunjukkan ada dalam kalangan pemimpin Pas sendiri yang mengamalkan rasuah demi kepentingan diri sendiri.

"Pas sendiri menolak untuk membuat pengisytiharan harta ketika usul terbabit dibentangkan pada 2019 dengan alasan tidak masuk akal iaitu 'Islam melarang pengisytiharan harta'.

"Rentetan itu, Pas selaku pembangkang tidak pernah mencadangkan solusi antirasuah dan reformasi kepada institusi kepada Kerajaan Madani. Mereka juga tidak kompeten untuk membersihkan Malaysia daripada rasuah," ujarnya. - Sinar Harian

Komander Hamas muncul kembali di Gaza walaupun didakwa telah dibunuh oleh Israel

Astro Awani 

SEMENANJUNG GAZA: Seorang komander pasukan pejuang Hamas dilaporkan muncul kembali di utara Semenanjung Gaza walaupun Israel mendakwa telah membunuhnya tahun lalu.

Dua hari lalu, aktivis berkongsi rakaman video Hussein Fayyadh, seorang komander sayap bersenjata Hamas, Brigade Qassam, dalam satu perhimpunan di utara Gaza.

“Gaza telah muncul dengan kekuatan yang tak tergoyah, kemenangan dan martabat yang tinggi,” kata Fayyadh kepada para peserta perhimpunan tersebut, menurut rakaman itu.

Pada 23 Mei tahun lalu, tentera Israel mendakwa telah membunuh Fayyadh di dalam sebuah kompleks bawah tanah di bandar utara Jabalia.
Israel menyalahkan komander Hamas itu atas serangan roket semasa perang genosid Israel ke atas Gaza dan serangan terhadap penempatan Israel dekat sempadan.

Pada Rabu, tentera Israel mengakui maklumat risikan mereka mengenai kematian Fayyadh tidak tepat.

Fasa pertama perjanjian gencatan senjata di Gaza yang berlangsung selama enam minggu telah berkuat kuasa pada 19 Januari, menangguhkan perang genosida Israel yang telah membunuh hampir 47,200 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih daripada 111,160 orang sejak 7 Oktober 2023.

Perjanjian gencatan senjata tiga fasa itu merangkumi pertukaran tahanan dan usaha untuk mengekalkan keamanan, dengan matlamat mencapai gencatan senjata kekal dan penarikan tentera Israel dari Gaza.

Serangan Israel telah menyebabkan lebih 11,000 orang hilang, disertai kemusnahan besar dan krisis kemanusiaan yang telah meragut nyawa ramai warga emas dan kanak-kanak dalam salah satu bencana kemanusiaan paling buruk di dunia.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap pada November tahun lalu terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas perang yang dilancarkan ke atas wilayah tersebut. - Agensi

Muhyiddin lunas saman fitnah RM1.4 juta kepada Guan Eng

V Anbalagan

KUALA LUMPUR: Muhyiddin Yassin telah melunaskan sepenuhnya jumlah penghakiman RM1.4 juta, termasuk kos, kepada Lim Guan Eng berhubung saman fitnah berkait isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.

Peguam Lim Guok Ngek Seong, berkata Ahli Parlimen Pagoh itu membayar baki RM1 juta ke dalam akaun pelanggan firmanya semalam, sebelum tarikh akhir 27 Jan.

Beliau berkata pemindahan pertama sebanyak RM400,000 telah dibuat pada Disember lalu.

Polis Perancis menembak mati lelaki berbogel di gereja

AFP
Lelaki berusia 40-an itu mengganggu beberapa orang yang lalu lalang sambil berbogel, kata pendakwa raya. - Foto AFP
Lelaki berusia 40-an itu mengganggu beberapa orang yang lalu lalang sambil berbogel, kata pendakwa raya. - Foto AFP
BORDEAUX: Polis Perancis semalam menembak mati seorang lelaki berbogel yang memasuki sebuah gereja di bandar Brive sambil mengacukan pisau 'seolah-olah mahu mencederakan dirinya sendiri'.

Selepas meninggalkan kenderaan yang dicurinya dan mengganggu beberapa pejalan kaki, lelaki berusia 40-an itu memasuki Collegiate Church of Saint Martin di bandar barat daya itu, kata pendakwa raya Brive, Florence Leroux-Ghristi kepada media.

Apabila polis tiba di lokasi kejadian, lelaki itu dalam keadaan 'meracau dan seolah-olah mencederakan dirinya dan mengelar tubuhnya dengan pisau', kata pendakwa raya.

Menurut Leroux-Ghristi, sekumpulan anggota polis itu sebelum itu beberapa kali cuba 'menenangkannya dengan menggunakan senjata kejutan elektrik'.

Namun selepas suspek mengacukan pisaunya ke arah mereka, anggota itu kemudiannya menembaknya.

Kata pendakwa raya lagi, suspek kemudiannya meninggal dunia akibat kecederaan. Identitinya 'belum disahkan' dan dia tidak membuat sebarang kenyataan bermotif keagamaan, kata Leroux-Ghristi.

Katanya, bedah siasat akan dijalankan esok untuk menentukan 'secara tepat keadaan kematiannya'.

"Kertas siasatan telah dibuka ke atas kedua-dua pertuduhan jenayah iaitu curi kenderaan dan cubaan membunuh dan sama ada dua hingga empat pegawai polis terbabit melakukan pembunuhan secara sengaja," katanya.
-Bharianonline 

Kelantan: Polis selamatkan lapan warga Bangladesh dijadikan buruh paksa di Lojing

Bernama

KUALA LUMPUR: Polis menyelamatkan lapan lelaki Bangladesh yang disyaki diperdaya dan dijadikan buruh paksa dalam serbuan di sebuah ladang sayur di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang, Kelantan pada Selasa.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman SAC Soffian Santong berkata mereka yang diselamatkan berusia lingkungan 27 hingga 47 tahun dan merupakan pekerja ladang yang tidak dibayar gaji walaupun terdapat antara mereka telah bekerja selama tujuh bulan.

Beliau berkata serbuan berkenaan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada 12.30 tengah hari 21 Jan.

"Polis turut menahan tiga individu tempatan berusia lingkungan 32 hingga 35 tahun yang merupakan pemilik ladang sayur berkenaan dan pembantunya mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menahan 21 pendatang asing melibatkan warganegara Bangladesh, Myanmar, Sri Lanka dan Indonesia.

"Semua pekerja ladang berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1959/63," katanya.

'Boy' cipta kejutan sambar emas di acara keirin

Bernama

NILAI: Selepas gagal melayakkan diri ke final acara keirin pada Siri Satu dan Dua Piala Presiden, atlet berbasikal trek negara Muhammad Ridwan Sahrom mencipta kejutan dengan menyambar pingat emas pada Siri Tiga Piala Presiden hari ini.

Lebih menarik, pada aksi di Velodrom Nasional di sini hari ini menyaksikan pelumba berusia 24 tahun itu berada di kelas tersendiri, apabila berjaya menewaskan seniornya Muhammad Fadhil Mohd Zonis untuk merangkul emas pada kejohanan berprestij itu.

Muhammad Ridwan yang lebih mesra disapa 'Boy' itu menampilkan kayuhan bertenaga untuk menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan masa 10.144 saat (s) sekali gus menyambar emas meninggalkan Muhammad Fadhil di kedudukan kedua, manakala pelumba Korea Selatan Kang Seoujun meraih gangsa.

"Hari ini hari terakhir acara saya sebelum ACC bermula, penutup race hari ini berakhir dengan baik, dua Siri lepas final pun saya tidak dapat layakkan diri, jadi saya memang gembira, buktikan saya dapat emas untuk keirin ini.

"Emas semalam juga memberi motivasi saya untuk dapatkan emas dalam acara keirin ini. Jurulatih juga sudah memberi banyak nasihat," katanya kepada pemberita selepas perlumbaan di sini hari ini.

Muhammad Ridwan turut meraih pingat emas bagi acara pecut elit lelaki pada Siri Dua dan Tiga Piala Presiden.

Juara Olimpik pertama Thailand dipenjara kerana cubaan merogol

AFP
KAMSING dihukum penjara lebih tiga tahun. FOTO NATION THAILAND
KAMSING dihukum penjara lebih tiga tahun. FOTO NATION THAILAND
Bangkok: Sebuah mahkamah Thailand hari ini menjatuhkan hukuman penjara lebih tiga tahun kepada pemenang pingat emas Olimpik pertama negara itu atas kesalahan menculik dan cubaan merogol seorang remaja.

Somluck Kamsing, kini berusia 52 tahun, menjadi wira Thailand selepas beliau memenangi pingat emas acara tinju kelas featherweight di Sukan Olimpik 1996 dekat Atlanta.

Mahkamah wilayah Khon Kaen mendapati Somluck bersalah kerana menculik kanak-kanak untuk gangguan seksual dan cubaan merogol, sebelum membenarkannya mengemukakan rayuan dan jaminan.

"Untuk cubaan merogol dengan kekerasan dan mengambil seseorang yang berumur lebih 15 tahun tetapi tidak lebih 18 tahun bagi tujuan lucah, tindakan defendan pertama adalah satu kesalahan yang melanggar pelbagai undang-undang," kata Mahkamah dalam satu kenyataan.

Somluck memfailkan permohonan jaminan, yang diluluskan oleh mahkamah pada nilai AS$9,000 (RM39,900) dalam usahanya meneruskan proses rayuannya.

Mahkamah memerintahkannya membayar ganti rugi sebanyak AS$5,000 (RM22,200).

Seorang gadis berusia 17 tahun membuat aduan pada Disember 2023 terhadap Somluck yang mendakwa beliau menyerangnya di sebuah hotel di Khon Kaen, sebuah bandar di timur laut negara itu.

Somluck, yang juga memenangi emas di Sukan Asia 1994 dan 1998 masing-masing di Hiroshima dan Bangkok, menafikan dakwaan itu.

Polis mengesahkan laporan media tempatan pada masa itu bahawa Somluck bertemu remaja itu di sebuah bar, di mana mereka berada di situ sehingga jam 3 pagi, sebelum kejadian itu berlaku.

Gambar bogel: NGO kecam polis siasat mahasiswa UM

Malaysiakini 

Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) mengecam tindakan polis yang menyiasat tiga mahasiswa dan seorang ahli akademik kerana bercakap pada sidang media berhubung dakwaan seorang ahli akademik yang didakwa berkongsi gambar bogel dirinya dengan pelajar perempuan.

"Kami percaya langkah ini untuk menakut-nakutkan mereka yang tidak bersalah.

"Mengapa pihak berkuasa hari ini semakin menjadi-jadi dan sengaja sasar pihak yang salah, menakut-nakutkan dan menghukum rakyat baik yang sering menjadi mangsa, tetapi melepaskan pesalah sebenar dengan mudah?” kata Gerak dalam satu kenyataan hari ini.

Empat individu itu dipanggil polis untuk soal siasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA).

Salah seorang daripada mereka telah memberikan kenyataan minggu lalu manakala tiga lagi, termasuk Presiden Kelab Feminisme Universiti Malaya (UMFC ) Chin Jes Weng dijadualkan untuk disoal siasat pada pagi Sabtu.

Tiga individu lain yang disiasat ialah jurucakap lulusan sarjana kajian jantina UM, S Indramalar, Wong Xiao You dari Universiti Tunku Abdul Rahman dan ahli exco Persatuan Staf Akademik UM Aznijar Yazid.

Pada 16 Dis, UMFC menggesa pengurusan Universiti Malaya (UM) memperketat polisi gangguan seksual setelah seorang profesor didakwa berkongsi gambar bogel diri sendiri dengan pelajar.

"Menurut sumber pelajar tanpa nama, profesor itu mempunyai sejarah dakwaan gangguan seksual dan telah dilaporkan oleh pelajar sebelum ini, tetapi pihak universiti masih belum bertindak," kata kumpulan itu.

Pada 23 Dis, UM mengenakan tindakan tahan kerja terhadap pensyarah institusi pengajian awam itu yang didakwa menghantar mesej gambar bogelnya kepada pelajar.

Namun, pada 31 Dis seorang pelajar menyatakan kebimbangannya apabila pensyarah yang didakwa melakukan gangguan seksual di institusi pengajian tinggi (IPT) itu masih hadir di kampus di sebalik penggantungan oleh pihak pentadbiran.

Dalam perkembangan terbaru, polis kini menyiasat empat individu selepas didakwa melanggar Akta Perhimpunan Aman.

'Aznijar lelaki baik'

Menyatakan tindakan polis itu sebagai mengecewakan, Gerak berkata ahli akademik mempunyai tanggungjawab untuk mendidik dan membebaskan minda muda.

NGO itu menegaskan bahawa sebarang tindakan oleh ahli akademik untuk mengeksploitasi dan mengganggu pelajar mereka secara seksual adalah tidak boleh diterima.

"Membiarkan pesalah sebegitu terlepas begitu sahaja, seperti yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa UM bukan sahaja dikesali tetapi juga tindakan yang hina," kata Gerak.

Dalam mempertahankan Aznijar, Gerak berkata rakan jawatankuasa eksekutif Gerak itu adalah ahli akademik yang berprinsip tinggi yang aktif dalam persatuan kakitangan akademik UM – di mana beliau berkhidmat sebagai timbalan presidennya.

"Kami menyokong tindakan Aznijar - menyampaikan kenyataan secara aman - sebagai sesuatu yang sesuai, mencerminkan kebimbangan ramai pada masa kami didesak oleh 'pemimpin' yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri untuk menganggap 'yang salah sebagai betul'.

"Dan seperti yang ditunjukkan oleh Aznijar, kami tidak akan tunduk kepada tekanan ini," katanya.

Polis tahan lelaki tendang arnab

AFP

Tokyo: Polis Jepun menahan seorang lelaki kerana menendang arnab ketika pihak berkuasa menyiasat kematian lebih 70 ekor arnab di sebuah pulau yang terkenal dengan populasi arnab yang banyak.

Insiden itu berlaku di pulau Okunoshima di wilayah Hiroshima, di mana lebih 1,000 arnab bermain-main dengan bebas dan diberi makan oleh pelancong, menurut laman webnya.

Riku Hotta, dari timur Kyoto, "ditahan kerana disyaki menendang arnab" pada Selasa, seorang jurucakap polis memberitahu AFP. Haiwan itu kemudian dilaporkan mati.

Laporan media berkata, polis sedang menyiasat sama ada lelaki berusia 25 tahun itu turut dikaitkan dengan penemuan 77 bangkai arnab di pulau itu sejak akhir November lalu.

"Punca kematian boleh menjadi penyakit berjangkit, cuaca sejuk, atau faktor berkaitan manusia, tetapi ia tidak jelas pada ketika ini," kata kementerian alam sekitar pada Isnin.

"Kami sedang menyiasat punca itu dengan doktor haiwan dan organisasi berkaitan, sambil memperkukuh pemantauan keadaan itu," kata kementerian itu.

Pulau Okunoshima adalah tapak kilang gas beracun semasa Perang Dunia II dan kini menempatkan sebuah muzium.

Terima kasih kepada kadar pembiakan arnab yang terkenal, pulau itu kini menjadi "tempat untuk mencari nasib baik untuk kesuburan keluarga anda sendiri," menurut laman webnya.

Kelantan: Dua sekawan mengaku pecah rumah, bawa lari peti besi RM1.1 juta

ROSALWANI CHE SOH
Anggota polis mengiringi Muhamad Rais (dua dari kiri) dan Muhammad Hazim (kanan) di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. - Foto oleh ROSALWANI CHE SOH / KOSMO!
KOTA BHARU – Dua sekawan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memecah masuk rumah pesara kerajaan untuk mencuri peti besi berisi barangan bernilai RM1.1 juta minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Hazim Maula, 30, dan Muhamad Rais Afnan Mohd., 29, yang bekerja sebagai buruh membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mereka didakwa melakukan jenayah itu di sebuah rumah di Jalan Bayam di sini pada pukul 12.20 tengah malam, 16 Januari lalu.

Selain itu, Muhamad Rais turut mengaku bersalah kerana memiliki buku lima tanpa kebenaran pada pukul 6.45 petang di Jalan Pengkalan Chepa di sini hari sama.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan dua lelaki yang melarikan peti besi berisi wang, barang emas, perak dan jam tangan berjenama bernilai RM1.1 juta selepas memecah masuk sebuah rumah di Kampung Paya Rambai akhirnya diberkas polis.

Kejadian disedari mangsa sewaktu pulang ke rumah bersama ahli keluarganya dari Sarawak pada hari kejadian. – KOSMO! ONLINE

Pengasas produk kecantikan suka tayang emas ditahan

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan Mira ditahan di balai polis Makassar, Indonesia kelmarin. - Tribunnews
JAKARTA – Seorang pengusaha produk kecantikan dari Indonesia yang gemar memakai barang kemas di seluruh tubuh ditahan, selepas produknya didapati mengandungi merkuri, lapor portal berita Tribunnews semalam.

Wanita itu dikenali sebagai Mira Hayari dan berasal dari Makassar, wilayah Sulawesi Selatan. 

Imej yang tular di media sosial memaparkan Mira memakai baju lokap dengan tudung berwarna perang. 

Selain terkenal dengan gaya hidup mewah, dia juga dikenali kerana gemar menayangkan perhiasan emas bernilai 553 juta rupiah (RM151,254) dari kepala hingga ke kaki. 

Mira ditahan selepas produk kecantikannya didapati mengandungi merkuri yang boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan. – AGENSI