"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penjawat awam terima habuan hingga RM15,000 bagi setiap sijil kelahiran

Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang penjawat awam yang ditahan dalam Ops Outlander dipercayai menerima bayaran RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap sijil kelahiran yang dikeluarkan melalui sindiket pendaftaran lewat kelahiran.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata penjawat awam berkenaan berperanan membantu proses permohonan pendaftaran lewat kelahiran melebihi tempoh 60 hari selepas tarikh kelahiran.

Beliau berkata setakat ini SPRM telah membekukan 11 akaun bank bernilai RM100,000 dan menyita sejumlah 30 dokumen berkaitan siasatan terhadap sindiket berkenaan.

Katanya, seorang doktor yang ditahan dalam operasi berkenaan dipercayai berperanan menguruskan dokumen penyambut kelahiran.

"Siasatan masih berjalan dan setakat ini tiada tangkapan baharu dilakukan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Pada 11 Mac lepas, SPRM menahan 16 individu termasuk seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri kerana disyaki terlibat kes rasuah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata kesemua suspek berusia 20 hingga 70-an ditahan dalam serbuan di beberapa premis termasuk klinik dan firma guaman di sekitar Lembah Klang dan Johor.

Serbuan berkenaan dijalankan selepas risikan selama kira-kira setahun melalui kerjasama dan perkongsian maklumat antara SPRM dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

-- BERNAMA

Dua lelaki maut ditetak dalam pergaduhan di Taman Sentosa, Kelang

Sinar Harian

Tangkap layar dipercayai rakaman CCTV di lokasi kejadian memaparkan kejadian yang mengakibatkan dua lelaki maut ditetak dalam pergaduhan di sebuah premis perniagaan di Taman Sentosa pada Sabtu. -Sinar Harian

KLANG: Dua lelaki maut ditetak dalam pergaduhan di sebuah premis perniagaan di Taman Sentosa di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10.50 malam.

"Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10.20 malam di sebuah premis perniagaan di lokasi kejadian.

"Suspek dipercayai telah menetak kedua-dua mangsa di lokasi terbabit," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, salah seorang mangsa cuba melarikan diri tetapi disahkan meninggal dunia di sebuah premis kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

"Seorang lagi mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sentosa dan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

"Semakan mendapati kedua-dua mangsa yang berusia lingkungan 36 dan 38 tahun merupakan warga tempatan itu mempunyai satu rekod jenayah lampau," katanya.

Menurutnya, mayat kedua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-3376 2222 bagi membantu siasatan," katanya. -Sinar Harian

Polis serbu makmal haram sindiket proses dadah dalam ladang

Bernama

BAGAN DATUK: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket memproses pelbagai jenis dadah dengan penangkapan tiga lelaki tempatan dalam tiga serbuan berasingan di Perak dan Lembah Klang pada Rabu lepas.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, berkata pihaknya menahan suspek pertama berusia 47 tahun di sebuah rumah papan dalam kawasan ladang kelapa sawit di Ulu Bernam, Bagan Datuk, kira-kira 10.20 malam.

“Semasa serbuan, suspek sedang memproses dadah jenis ketamin di dalam rumah yang disewa dan dijadikan makmal haram sejak tiga bulan lalu.

“Hasil pemeriksaan dalam rumah tersebut berjaya menemui dadah jenis ketamin dan syabu dengan anggaran berat masing-masing 27.05kg dan 1.8kg serta cecair dadah jenis ketamin seberat 40 liter,” katanya pada sidang media di perkarangan IPD Bagan Datuk.

Pihaknya turut menahan dua suspek kira-kira 11.30 malam pada hari yang sama di dua rumah berasingan di Sentul, Kuala Lumpur, dan Batu Caves, Selangor. Suspek masing-masing berusia 44 dan 42 tahun.

Polis turut merampas peralatan memproses dadah, pelbagai jenis bahan kimia serta dua kenderaan dalam serbuan berkenaan.

“Nilai keseluruhan rampasan, termasuk dadah dan kenderaan, dianggarkan berjumlah RM1.7 juta.

“Dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 232,500 penagih dan dipercayai untuk pasaran di sekitar Perak dan Lembah Klang,” katanya, sambil menambah bahawa hasil ujian saringan mendapati kesemua suspek negatif dadah.

Sindiket ini dipercayai aktif sejak pertengahan tahun lalu dan semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Mereka direman selama seminggu sehingga 19 Mac bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

“JSJN akan meneruskan siasatan bagi mengesan saki-baki ahli sindiket yang masih bebas agar mereka dapat diheret ke muka pengadilan,” katanya.

Warga emas maut tertusuk bilah forklift

FMT Reporters

Kejadian berlaku di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Pending, Kuching, petang semalam.
Keadaan di tempat kejadian selepas warga emas yang juga pemandu forklift maut tertusuk bilah jentera itu. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA: Seorang warga emas maut selepas dadanya tertusuk bilah forklift dalam kejadian di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Pending, Kuching, petang semalam.

Ketua Polis Kuching, Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata kejadian itu dilaporkan oleh pihak kilang berkenaan pada 4 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Polis Bintawa dihantar ke tempat kejadian sejurus menerima laporan berkenaan.

“Setibanya di lokasi, didapati lelaki tempatan berusia 70 tahun yang juga pemandu forklift itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Dia tersepit antara timbunan palet dan bilah pengangkat barang forklift yang terkena dada kirinya.

“Anggota paramedik yang turut dipanggil mengesahkan lelaki itu meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya, menurut Harian Metro.

Beliau menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kejadian ngeri itu bagi menghormati sensitiviti keluarga mangsa.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ketua Polis Balai Bintawa Sarjan Mejar Siti Mariam Hamid di talian 0164661345, Balai Polis Bintawa di talian 082-335930 atau hubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Influensa maut ditikam ketika 'live' berjalan kaki di Tokyo

Sinar Harian

Airi (gambar kecil) ditikam oleh Kenichi berhampiran Stesen Takadonababa di Shinjuku Ward sekitar jam 9.50 pagi. - Foto Kyodo News

TOKYO: Seorang pempengaruh media sosial maut ditikam oleh seorang lelaki ketika sedang bersiaran langsung sambil berjalan kaki di Jepun pada Selasa lalu.

Menurut Kyodo News, suspek, Kenichi Takano, 42, mendakwa mangsa, Airi Sato, 22, berhutang sebanyak 2 juta yen (RM59,828) dan tidak dapat menerima hakikat bahawa Airi memperoleh wang yang banyak tanpa membayarnya kembali.

Airi atau lebih dikenali sebagai Ai Mogami, ditikam berhampiran Stesen Takadanobaba di Shinjuku Ward sekitar jam 9.50 pagi.

Rakaman siaran langsung selepas serangan itu tersebar di aplikasi X, dengan bunyi siren polis jelas kedengaran sebelum siaran itu terhenti secara tiba-tiba.

Beberapa saksi di tempat kejadian berkata mereka mendengar Airi menjerit meminta pertolongan dan turut menyaksikan serangan yang menyebabkan tubuh mangsa berlumuran darah.

Memetik The Japan Times, pihak polis telah menahan suspek di tempat kejadian dan Kenichi mengakui menjejaki lokasi Airi menerusi siaran langsungnya.

“Malam sebelum kejadian, saya melihat pengumuman bahawa Airi akan melakukan siaran langsung sambil berjalan di sekitar Tokyo pada Selasa, jadi saya memutuskan untuk ke Tokyo pada keesokan paginya,” kata suspek.

Pihak polis tempatan pula berkata, pasukan kecemasan menemui mangsa dengan beberapa kesan tikaman di bahagian kepala, leher dan perut.

Mangsa dibawa ke hospital berdekatan tetapi disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan suspek menikam mangsa dengan sebilah pisau berulang kali.

“Kenichi bertindak demikian selepas Airi gagal membayar hutang lebih 2 juta yen,” ujarnya. - Sinar Harian

Sembilan terbunuh, Houthi ikrar balas tindakan AS

Astro Awani

SANAA: Sekurang-kurangnya sembilan orang awam terbunuh dan sembilan lagi cedera dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS) ke atas ibu negara Yaman, Sanaa.

Kumpulan houthi mengutuk serangan itu sebagai "jenayah perang" dan berikrar untuk membalas tindakan AS.

Penduduk di Sanaa melaporkan bahawa serangan tersebut menyasarkan sebuah bangunan di kawasan yang dikuasai Houthi.

Sejak November 2023, kumpulan Houthi telah melancarkan lebih 100 serangan ke atas kapal dagang, mendakwa tindakan mereka sebagai solidariti terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Serangan Houthi itu menyebabkan gangguan besar kepada laluan perkapalan global, dengan beberapa syarikat perkapalan terpaksa mengubah laluan ke sekitar Afrika Selatan, sekali gus meningkatkan kos penghantaran.

Pentadbiran sebelum ini di bawah Presiden Joe Biden telah berusaha untuk melemahkan keupayaan Houthi dalam menyerang kapal di perairannya, namun langkah yang diambil adalah terhad.

Bagaimanapun, menurut pegawai AS, Trump kini meluluskan pendekatan lebih agresif terhadap kumpulan itu.

Kekang rasuah daftar kelahiran warga asing, pakar cadang guna DNA

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Sudah sampai masanya kerajaan menggunakan petunjuk padanan Asid Deoksiribonukleik (DNA) bagi mengekang jenayah rasuah membabitkan pendaftaran kelahiran, menurut seorang pakar kriminologi bebas.

Shahul Hamid Abd Rahim berkata penggunaan DNA mampu mengesan dan mengesahkan taraf kelahiran ibu bapa sekali gus mampu memastikan seseorang kanak-kanak itu adalah warganegara.

“Jika tidak ramai lagi warga asing yang akan jadi warganegara, yang tak ada ibu bapa jadi warganegara.

“Jadi pengesahan DNA penting memastikan bahawa yang daftar itu kedua-duanya adalah ibubapa mereka yang sah.

“Bila ada DNA, ia dah tak boleh dipertikai kerana 99.9% boleh mengesan siapa orang itu sebenarnya. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga perlu melakukan pemantauan terutama kes lewat daftar kelahiran, kelahiran tidak sah taraf,” katanya kepada FMT.

Tambahnya lagi, kerajaan boleh mengenakan pelbagai peruntukan termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) sekiranya ia membabitkan keselamatan negara.

Selasa lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan telah menahan beberapa individu termasuk seorang doktor bergelar ‘Datuk Seri’ kerana disyaki terlibat rasuah membabitkan pendaftaran kelahiran.

Mereka ditahan dalam Op Outlander dan Op Birth membabitkan serbuan ke atas beberapa premis termasuk klinik dan firma guaman sekitar Lembah Klang dan Johor.

Penahanan itu termasuk suspek utama yang juga seorang penjawat awam disyaki melakukan perbuatan tersebut dengan membantu permohonan lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.

Turut ditahan, enam orang awam disyaki menggunakan khidmat ejen berkenaan, selain seorang pengamal undang-undang dipercayai orang tengah di antara ejen dan pemohon.

Sementara itu, Ahli Institut Integriti Malaysia Lee Lam Thye mencadangkan hukuman lebih berat dikenakan kepada pesalah terlibat.

Beliau juga mengingatkan semua pihak khususnya penjawat awam agar ‘menjadikan integriti dan amalan anti rasuah ini sebagai nilai hidup’

“Berkaitan nilai murni, saya rasa, itu harus kita lakukan untuk mendidik generasi muda menerusi program pendidikan, memupuk nilai jangan ambil rasuah. Kita harus lebih banyak usaha memupuk integriti.

“Saya sedih, orang berjawatan tinggi, diberikan bermacam gelaran (seperti Datuk Seri) ditangkap oleh SPRM dan itu adalah sesuatu yang serius,” katanya.

Rompak cari duit raya?

Harian Metro

Shah Alam: Serang hub pengumpulan dan operasi syarikat kurier di Meru, Klang, bersenjatakan parang panjang sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM46,000.

Itu tindakan ganas tiga perompak bertopeng yang nekad melakukan samun berkumpulan di premis sekitar jam 12.26 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, mangsa seorang wanita berusia 21 tahun iaitu kerani syarikat berkenaan membuat laporan polis sejurus kejadian berlaku.

Menurutnya, rompakan berlaku semasa proses pengiraan wang tunai dilakukan di hub berkenaan.

"Tiga individu bersenjatakan parang serta bertopeng muncul di lokasi itu dengan menaiki kereta Perodua Bezza berwarna biru.

"Suspek kemudian melarikan wang tunai sejumlah RM46,000," katanya tadi.

Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Katanya, usaha mengesan suspek giat dilaksanakan ketika ini.

Jurulatih bola keranjang wanita ditemukan tergantung pada kipas siling

mStar

SEORANG jurulatih bola keranjang wanita berusia 26 tahun ditemukan dalam keadaan tergantung pada kipas siling di biliknya, pada Rabu.

Menurut polis, mayat mangsa ditemui oleh salah seorang ahli keluarganya yang mahu memasuki bilik.

Mangsa yang menetap bersama ibu bapa dan seorang adik perempuannya di kawasan perumahan di Adugodi, Bangalore, India, pernah mewakili pasukan bola keranjang wanita negara sekitar lapan tahun lalu.

Mangsa ketika ini menjadi jurulatih pasukan bola keranjang untuk pelajar sekolah.

Polis menambah, motif di sebalik tindakan mangsa masih belum jelas dan sedang disiasat.

"Kami tidak menemui sebarang nota di tempat kejadian. Kami telah menghantar telefon bimbitnya ke makmal sains forensik untuk mendapatkan data.

"Siasatan akan diteruskan selepas kami memperoleh keputusan forensik data telefon bimbitnya," kata seorang pegawai penyiasat. -Agensi

Senang nak faham, selama ni polis bantuan di TBS tak buat kerja la

Tiada lagi warga asing melepak

Muhamad Lokman Khairi
lokman.khairi@hmetro.com.my
KAWASAN lapang berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ketika tinjauan, hari ini. FOTO Muhamad Lokman Khairi
KAWASAN lapang berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ketika tinjauan, hari ini. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Kuala Lumpur: Kawasan lapang berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini, kini sudah 'bebas' daripada menjadi 'port' warga asing melepak.

Tinjauan Harian Metro hari ini mendapati warga asing tidak lagi berbaring atau duduk melepak berdekatan tempat menunggu teksi dan pagar pemisah tren KLIA Ekspres sebagaimana tular pada Februari lalu.

Pemandu teksi, Muhamad Asmawi Junid, 53, berkata, sudah menjadi tabiat puluhan warga asing melepak di kawasan terbabit sejak 15 tahun lalu.

Menurutnya, hal itu sering terjadi ketika cuti panjang sempena perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.

"Mereka nak pergi ke negeri lain berjumpa kawan senegara.

"Ada yang sampai baring tidur atas rumput dan tangga daripada waktu petang hingga pagi kerana menunggu bas yang tiket perjalanannya esok.

"Pada pendapat saya, perbuatan ini tak elok kerana mereka seakan tiada adab dan tidak hormat hingga pelancong luar berasa tidak selesa dan beri tanggapan negatif terhadap negara kita," katanya ketika ditemui, hari ini.

Muhamad Asmawi berkata, meskipun warga asing terbabit tidak mengganggu pelanggan teksi, namun tidak dinafikan mereka akan membuang sisa dan bekas makanan merata-rata.

"Sejak kegiatan mereka lepak menjadi tular, polis bantuan dan pihak pengurusan TBS kerap buat rondaan di kawasan lapang ini.

"Ada perubahan posotif sekarang mereka sudah tidak berani lagi melepak.

"Kami harap cuti Aidilfitri ini tidak lagi berlaku perkara sama," katanya.

Seorang lagi pemandu teksi, Azman Nasir, 57, berkata, dia berasa kurang selamat melihat warga asing berterusan menjadikan kawasan sekitar TBS seakan rumah tumpangan untuk tidur pada waktu malam.

"Saya bekerja bawa teksi pada malam hingga pagi. Kebiasaanya, saya lihat pada waktu malam memang ramai warga asing melepak dan tidur di bawah tangga TBS ke laluan KLIA Ekspres.

"Dahulu mereka siap bawa selimut dan tidur dalam TBS.

"Namun, sekarang kawasan ini sudah 'bersih' selepas polis bantuan tegas," katanya.

Pembantu pengurusan murid disiasat, didakwa kasari kanak-kanak autistik

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang pembantu pengurusan murid disiasat polis selepas dipercayai mengasari seorang murid autistik berusia tujuh tahun di sebuah sekolah rendah di Kelana Jaya, Selangor.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, siasatan dijalankan selepas rakaman kejadian itu tular di aplikasi TikTok yang memaparkan kejadian berkenaan pada 3 petang, hari ini.

"Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 berhubung kejadian berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, ibu kepada kanak-kanak berkenaan juga sudah hadir memberi keterangan kepada polis hari ini.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu dimohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222," katanya.

Kelantan: Malang dapat pemimpin tak berguna tidak memikirkan kesusahan rakyat

Pembukaan tanah dipercayai punca sungai cetek

Paya Linda Yahya
Penduduk kampung menunjukkan keadaan Sungai Jalgek yang cetek akibat mendapan daripada pembukaan tanah di hulu. - Foto NSTP/Paya Linda Yahya
Penduduk kampung menunjukkan keadaan Sungai Jalgek yang cetek akibat mendapan daripada pembukaan tanah di hulu. - Foto NSTP/Paya Linda Yahya
GUA MUSANG: Lebih 400 penduduk di Kampung Mendrod, Pos Brooke mendakwa aktiviti pembukaan tanah untuk pertanian menyebabkan Sungai Jalgek cetek akibat mendapan.

Penduduk mendakwa mereka kerap terputus hubungan apabila hujan lebat kerana jambatan yang merentasi Sungai Jalgek tenggelam.

Penghulu Kampung Mendrod, Alang Busu berkata mendapan tanah menyebabkan sungai cetek. Apabila hujan jambatan yang menjadi jalan perhubungan mereka dengan dunia luar, tenggelam.

"Kami juga bimbang arus sungai kuat menyebabkan struktur jambatan tidak kukuh, malah ada risiko runtuh," katanya ditemui di Kampung Mendrod, Pos Brooke.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata penduduk kampung sebelum ini sudah menyuarakan kebimbangan pembukaan tanah akan jejaskan kehidupan mereka.

Katanya, kebimbangan mereka kini sudah menjadi nyata. Justeru, beliau berharap pihak terbabit bertanggungjawab dengan membersihkan aliran sungai.