
"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Sekolah pasang CCTV dalam tandas pelajar
KOSMO

Sekolah Sponne di bandar Towcester, Northamptonshire. - Shutterstock
LONDON – Sebuah sekolah menengah di England menerima kecaman ibu bapa kerana memasang kamera sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di dalam tandas pelajar, lapor akhbar Metro UK.
Kejadian berlaku di Sekolah Sponne yang terletak di bandar Towcester, daerah Northamptonshire.
Langkah itu bertujuan membanteras tingkah laku anti-sosial dan vandalisme di dalam tandas sekolah.
“Pemasangan CCTV akan menghalang tingkah laku seperti buli, vandalisme, menghisap vape dan salah laku lain.
“Ia juga boleh membantu guru-guru menangani situasi tidak diingini dengan segera,” demikian menurut memo yang dihantar kepada ibu bapa awal minggu ini.
Meskipun dipasang di dalam tandas, beberapa bahagian penting seperti tempat membuang air kecil akan ‘dikaburkan’.
“Anak saya dan rakan-rakannya tidak selesa untuk menggunakan tandas akibat pemasangan CCTV ini.
“Saya memahami keperluan untuk menangani tingkah laku anti-sosial dan buli tetapi tindakan ini adalah melampau,” kata ibu bapa seorang pelajar. – AGENSI
Sindiket mencuri dalam pesawat, lagi lelaki warga China ditahan
Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my
Bayan Lepas: Polis menahan lelaki warga China di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, hari ini kerana disyaki mencuri barangan milik penumpang pesawat komersial.
Suspek berusia 54 tahun itu juga disyaki ahli sindiket daripada penahanan tiga lelaki yang terbabit kes kecurian dalam pesawat, pada hujung tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam, penahanan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada wanita warga Australia berusia 44 tahun yang datang bercuti ke negeri ini.
Katanya, mangsa mendakwa kad kredit miliknya cuba dicuri ketika dalam pesawat dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.
"Susulan itu, suspek yang juga warga China ditahan ketika kejadian dan akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan perintah reman.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Sazalee berkata, polis percaya suspek terbabit ahli sindiket daripada tiga individu warga China yang ditahan berkaitan dengan kes kecurian dalam pesawat pada November dan Disember lalu di sini.
"Bagi kes berkenaan, kesemua tertuduh dari Hunan, China yang berusia 51 hingga 61 tahun itu ditahan ketika kejadian dan sudah didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau," katanya.
Kes lulus lesen: 2 kakitangan agensi ditahan
FMT Reporters
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua kakitangan sebuah agensi di bawah kementerian kerana dipercayai terbabit amalan rasuah, dalam mendapatkan surat tawaran kelulusan Lesen Kenderaan Perdagangan (LKP) tanpa memenuhi syarat.
Turut ditahan seorang bekas kakitangan agensi itu, menurut sumber.
Tangkapan ini susulan operasi Op Loader oleh perisikan SPRM pada Rabu lalu, yang mana lapan individu termasuk empat pengarah syarikat dan seorang pengarah agensi sebuah kementerian ditahan.
“Bagi mengeluarkan surat tawaran kelulusan LKP berkenaan, pegawai-pegawai agensi itu dipercayai bersekongkol dengan syarikat-syarikat yang bertindak menyediakan maklumat palsu seperti penyata bank selain mengurus proses permohonan termasuk Surat Tawaran Kelulusan dan Surat Kelulusan Lanjut Usia bagi membolehkan kenderaan perdagangan yang tidak layak menjalani Pemeriksaan Awalan Puspakom,” kata sumber.
Katanya, berdasarkan risikan, bayaran rasuah yang dikenakan adalah sebanyak RM3,000 hingga RM20,000 bergantung kepada jenis kenderaan dan usia kenderaan yang ingin memohon LKP terbabit.
Ketiga-tiga suspek ditahan petang semalam, ketika hadir di ibu pejabat SPRM bagi rakaman keterangan untuk membantu siasatan, katanya.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek, membabitkan dua wanita dan seorang lelaki, diperoleh hari ini.
Timbalan Ketua Pesuurhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta SPRM.
Nahas lori, 3 sekeluarga antara maut di Kota Tinggi
FMT Reporters
Pasangan suami isteri berusia 22 tahun dan anak lelaki tiga tahun, selain seorang penumpang meninggal di lokasi kejadian.

Bomba berusaha mengeluarkan mangsa tersepit dalam kereta sedan yang bertembung dengan lori lima tan, dalam kejadian di Jalan Batu 3, Kota Tinggi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Tiga sekeluarga antara empat maut dalam nahas sebuah kereta dengan lori di Jalan Batu 3, Kota Tinggi hari ini.
Komander Operasi Bomba Kota Tinggi, Shahrulnizam Johari, berkata semua mangsa dalam kereta jenis Toyota Vios itu meninggal dunia, manakala pemandu lori lima tan hanya mengalami cedera ringan, dalam kejadian 12.52 tengah hari itu,
Mangsa maut, Aieman Azriq Ahmad bersama isteri, Nurul Fazilah Noor Azmi masing-masing 22 tahun, bersama anak lelaki berusia tiga tahun, serta seorang lelaki berumur 20-an dipercayai rakan Aieman.
Shahrulnizam berkata, pihaknya menggerakkan sembilan anggota dari Balai Bomba Kota Tinggi dan Tenggara ke lokasi kejadian sejurus mendapat panggilan kecemasan berhubung kejadian.
“Terdapat empat mangsa iaitu dua lelaki dewasa, seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki di dalam kereta. Manakala, seorang pemandu lori, lelaki dewasa terlibat dalam kemalangan ini hanya cedera ringan,” katanya dalam kenyataan.
Bomba menggunakan mengeluarkan mangsa tersepit dengan menggunakan peralatan ‘Resque Tools’ sehingga selesai.
“Semua mangsa yang meninggal dunia disahkan oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian,” katanya.
Mangsa banjir Johor melonjak lagi, 5 daerah terjejas
Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my

Kereta yang tenggelam dan dihanyutkan arus di Taman Aman dan Taman Mawai, Kota Tinggi. FOTO Omar Ahmad
Kota Tinggi: Mangsa banjir negeri ini melonjak kepada 1,786 penduduk daripada 533 keluarga yang ditempatkan di 30 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah terjejas, setakat jam 6 petang ini.
Ia berbanding seramai 1,291 penduduk daripada 396 keluarga yang ditempatkan di 22 PPS di empat daerah terjejas, jam 2 petang tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata Johor Bahru adalah daerah terbaru yang terjejas susulan hujan lebat berterusan sejak semalam.
Kota Tinggi kekal daerah paling terjejas dengan mangsa banjir dengan seramai 1,085 mangsa daripada 345 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS.
Beliau berkata, mangsa banjir paling ramai ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana yang menempatkan 205 penduduk daripada 51 keluarga dari kawasan Taman Aman dan Taman Mawai.
"Kluang merekodkan lonjakan teramai mangsa banjir yang kini 328 penduduk daripada 83 keluarga yang ditempatkan di empat PPS, berbanding hanya 45 mangsa daripada 12 keluarga jam 2 petang tadi.
"Mangsa banjir di Kulai turut melonjak kepada 239 penduduk daripada 68 keluarga yang ditempatkan di empat PPS, berbanding hanya 84 mangsa daripada 19 keluarga, jam 2 petang tadi.
"Di Pontian, jumlah mangsa banjir turut meningkat kepada 134 penduduk daripada 37 keluarga yang ditempatkan di empat PPS, berbanding 74 mangsa daripada 19 keluarga, jam 2 petang tadi.
"Mangsa banjir di Johor Bahru masih dikemaskini namun setakat 6 petang tadi, lima PPS sudah dibuka" katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Azmi yang juga Setiausaha Negeri Johor memaklumkan lima sungai masih merekodkan paras bahaya di negeri ini.
Katanya, ia membabitkan Sungai Lenik, Batu Pahat; Sungai Kahang, Kluang; Sungai Sayong di Kampung Siam, Kulai; Sungai Pontian Besar, Kulai selain Sungai Skudai di Kampung Laut, Johor Bahru.
"Lima sungai di Johor merekodkan paras amaran membabitkan Sungai Sayong di Kampung Murni Jaya dan Sungai Skudai di Kampung Separa, Kulai; Sungai Skudai, Kampung Pasir dan Sungai Tiram, Johor Bahru selain Sungai Jemaluang, Mersing.
"Manakala empat sungai mencatatkan paras waspada membabitkan Sungai Segamat; Sungai Pulai, Pontian; Sungai Tebrau, Johor Bahru dan Sungai Sedili Kecil, Kota Tinggi," katanya.
OIC kecam peta Israel tuntut hak ke atas wilayah Arab
Bernama
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam penerbitan peta Israel yang mendakwa mempunyai "hak wilayah bersejarah" di Palestin dan sebahagian besar Jordan, Lubnan dan Syria.
Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan OIC dalam satu kenyataan turut mengecam tindakan provokatif Israel untuk mengilhak Tebing Barat yang diduduki dan seruan pegawai Israel untuk memperhebat serangan genosid ke atas Semenanjung Gaza, mengecam gesaan itu sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.
OIC menegaskan penolakannya terhadap tindakan provokatif Israel itu yang bertepatan dengan peningkatan keganasan terancang yang dilakukan oleh peneroka haram dan pasukan pendudukan Israel ke atas rakyat Palestin di semua wilayah yang diduduki.
Organisasi itu juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk memikul tanggungjawab mereka bagi menghentikan semua pelanggaran dan genosid oleh Israel terhadap rakyat Palestin selama 15 bulan.
Penerbitan peta itu dibuat ketika menteri dalam kerajaan Israel membicarakan prospek pengilhakan penuh Israel ke atas Tebing Barat yang diduduki dan pembinaan semula penempatan haram di Gaza - kedua-duanya adalah wilayah Palestin yang diduduki secara haram oleh Israel sejak 1967.
Pada Mac 2023, Menteri Kewangan Israel berhaluan kanan Bezalel Smotrich berucap pada satu acara di Paris sambil berdiri di sebelah peta 'Israel Raya' yang menggambarkan Jordan sebagai sebahagian daripada Israel.
- Bernama- Wafa
Kelantan: Tiga Pati warga Bangladesh cuba ceroboh masuk seorang berjaya ditahan
Lelaki warga Bangladesh ditahan oleh Tentera Darat
bhnews@bh.com.my
TANAH MERAH: Hasrat seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk masuk ke Kelantan menerusi Sungai Golok tidak berjaya apabila ditahan oleh Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Dua Divisyen) Tentera Darat Malaysia di tebing Sungai Golok di sini, semalam.
Lelaki berusia 27 tahun yang juga warganegara Bangladesh ditahan pada jam 10 malam.
Dua Divisyen dalam satu kenyataan berkata, pasukan operasi berjaya mengesan tiga lelaki yang mencurigakan berada di tebing Sungai Golok di sebelah Malaysia.
Katanya, apabila didekati dua daripada tiga lelaki itu melarikan diri ke arah Thailand dengan menyeberangi Sungai Golok.
"Selepas diperiksa, didapati lelaki itu adalah PATI warganegara Bangladesh yang mendakwa tiba di Bangkok, Thailand pada 8 Januari lalu melalui penerbangan dari Bangladesh.
"Lelaki itu kemudian dibawa ke sempadan Malaysia-Thailand oleh ejen atau tekong yang mengaturkan kemasukan ke Malaysia melalui laluan tidak sah dengan menyeberangi Sungai Golok," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Turut ditemui pasport, visa pelancong, telefon bimbit, beberapa keping mata wang Bangladesh dan Malaysia dengan nilai keseluruhan RM571.63.
Katanya, PATI berkenaan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya.
"TDM akan terus memperketatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya penyeludupan PATI," katanya.
Lagi nahas pesawat, 10 maut di Colombia
Bernama
Dua kru dan lapan penumpang berada di dalam pesawat semasa kejadian. - Gambar/ Colombian Air Force/ Agensi
BOGOTA: Sekurang-kurangnya 10 orang maut selepas sebuah pesawat kecil terhempas di barat laut Colombia, menurut pihak berkuasa pada Jumaat, lapor Xinhua.
Pesawat yang dikendalikan oleh Pacifica Travel itu dilaporkan hilang pada Rabu ketika dalam penerbangan dari Jurado ke Medellin dan terhempas di kawasan luar bandar Urrao, sebuah kawasan perbandaran di Antioquia, barat laut Colombia.
Dua kru dan lapan penumpang berada di dalam pesawat semasa kejadian.
"Malangnya, tiada mangsa terselamat. Kami mempunyai 37 anggota yang bertugas di lokasi dan sedang mempercepat fasa kedua, termasuk usaha membawa keluar mayat," kata Pengarah Jabatan Pengurusan Risiko Antioquia, Carlos Rios Puerta.
Beliau berkata keadaan cuaca buruk menyukarkan proses pemulihan.
Pacifica Travel dalam satu kenyataan menyatakan komitmennya untuk menyokong keluarga mangsa.
"Kami akan sentiasa bersama mereka, memberikan bantuan dan memenuhi setiap keperluan daripada peristiwa tragis ini."
Sementara itu, Kementerian Pengangkutan dan pihak berkuasa penerbangan awam turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang telah berkumpul di lapangan terbang Medellin. Pihak berkuasa penerbangan awam juga telah melancarkan siasatan bagi menentukan punca nahas berkenaan.
Los Angeles kini sudah seperti Gaza
Harapandaily

Bandar tersibuk di Amerika Syarikat, iaitu Los Angeles musnah teruk dalam kebakaran besar-besaran yang sangat dahsyat.
Kebakaran hutan di Los Angeles telah memusnahkan sebahagian daripada ibu kota dunia hiburan ini dan meragut 10 nyawa.
Kebakaran terburuk dalam sejarah itu telah memusnahkan lebih 13,750 hektar tanah.
Hampir 10,000 kediaman dan struktur bangunan lain musnah dalam kebakaran di sebelah barat dan timur wilayah.
Tragedi kebakaran menyebabkan kerugian dengan anggaran antara AS$135 hingga AS$150 juta.
Syerif bandar berkata kebakaran itu “kelihatan seperti bom atom yang dijatuhkan. Saya tidak menjangkakan berita baik, dan kami tidak mengharapkan pertambahan angka kematian”.
Klip rakaman memaparkan keadaan bandar itu selepas hangus terbakar tersebar di media sosial. Ia sama seperti bandar Gaza yang musnah teruk dibedil Israel.
Banyak pandangan dilontarkan, mengaitkan sikap mereka terhadap Palestine selama ini.
“Mudah bagi Allah untuk merubah Los Angeles menjadi seperti Gaza dan Allah adalah sebaik baik Pembuat Rencana,” kata @akuntwitter968.
“Los Angeles terbakar, seperti Gaza yang dihancurkan. Amerika, tangan yang menyalakan api, terus mendukung pembantaian di tanah Palestine. Genoside yang kau sokong, kehancuran yang kau biarkan,” kata individu lain.
Beberapa akaun antarabangsa pula menggesa agar AS berhenti memberi dana kepada Israel, sebaliknya segera menyelesaikan krisis di bumi mereka sendiri.
Pemimpin Bersatu kritik PN solidariti Najib keluar parti
Malaysiakini
Seorang pemimpin Bersatu yang mengkritik penglibatan Perikatan Nasional (PN) dalam perhimpunan menyokong bekas perdana menteri Najib Razak mengumumkan keluar parti dan gabungan itu.
Mahathir Mohd Rais meletak jawatan setiausaha Bersatu dan PN Wilayah Persekutuan berkuat kuasa serta-merta hari ini.
Dalam surat peletakan jawatan yang dihantar kepada Pengerusi Bersatu dan PN Wilayah Persekutuan, Mohd Radzi Md Jidin, Mahathir tidak menyebut sebab mengapa dia mengambil keputusan itu.
Pada 30 Disember, Mahathir meluahkan kekecewaannya terhadap penglibatan PAS, parti komponen gabungan itu, dalam perhimpunan menyokong Najib.
Dia menyifatkan pembabitan pembangkang dalam himpunan di Purajaya itu "mengecewakan" dan "berbau oportunisme politik."
Walaupun Umno kemudian menarik diri, PAS memutuskan untuk meneruskan perhimpunan solidariti membela bekas perdana menteri Najib Razak seperti yang dirancang, dengan menggerakkan ahli dan penyokongnya.
Pada hari perhimpunan tersebut, kepimpinan PAS hadir dalam jumlah besar dengan ramai daripada mereka menyatakan sokongan kuat terhadap Najib.
Perhimpunan itu berlangsung serentak dengan rayuan Najib di mahkamah untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman untuk memaksa menteri dalam negeri dan kerajaan melaksanakan titah addendum Yang di-Pertuan Agong yang membenarkan Najib menjalani hukuman penjara dalam tahanan rumah.
Pada Khamis (9 Januari), Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang turut hadir dalam perhimpunan itu berkata partinya tiada masalah dengan tindakan PAS mempertahankan Najib secara agresif.
Tegasnya, pemimpin PN hadir dalam perhimpunan itu kerana isu titah addendum yang diperjuangkan Najib itu melibatkan kepentingan awam.
Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz juga menekankan hubungan antara PAS dan Bersatu tidak terjejas, menjelaskan kedua-dua parti hadir perhimpunan itu untuk menghormati titah Yang di-Pertuan Agong.
AMANAH Johor: Pas banyak main wayang, tak munasabah desak PM letak jawatan
Harapandaily

AMANAH Johor menyifatkan desakan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan adalah perkara yang tidak munasabah.
Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, beliau mengikut rapat kes ini dan melihat tidak ada keperluan untuk Anwar meletakkan jawatan atas alasan isu adendum.
Jika disemak semula, kata beliau, perbicaraan Datuk Seri Najib Razak dan hukuman dijatuhkan dibuat sewaktu Pas menjadi sebahagian dari kerajaan PN.
“Persoalannya mengapa Pas membisu seribu bahasa tanpa memberikan sebarang cadangan Pengampunan Diraja terhadap Najib pada ketika itu?
“Mengapa ia dihebohkan selepas Pas jadi Pembangkang sekarang ini?,” soalnya dalam satu kenyataan.
Beliau menasihatkan agar Pas tidak sesekali cuba mengelirukan rakyat dengan membuat desakan seolah-olah Anwar yang bersalah dalam kes bekas Perdana Menteri itu.
Kata Ahli Parlimen Sri Gading itu,seharusnya Pas atau Perikatan Nasional (PN) mendesak Perdana Menteri ketika itu iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melepaskan jawatan kerana tidak mengambil berat serta tidak bersungguh dalam mendapatkan pengampunan untuk Najib.
Beliau menyifatkan perjuangan Pas hanya wayang dan sandiwara.
“Pas sengaja memainkan isu adendum untuk memburukkan Kerajaan Perpaduan selepas pelbagai usaha mereka untuk menjatuhkan kerajaan ini gagal dan ianya hanya demi mencapai cita-cita politik murahan mereka sahaja.
“AMANAH Johor akan terus menyokong kepimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim serta mahu beliau untuk terus memimpin negara ini dan menolak segala anasir atau suara-suara sumbang yang datangnya dari lawan beliau,” ujarnya.
Pegawai Azalina lapor polis terhadap KJ
Sinar Harian
Pegawai Azalina lapor polis terhadap KJ
Suraya menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Khairy.
SHAH ALAM: Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said membuat laporan polis terhadap Khairy Jamaluddin di Balai Polis Sentul pada Jumaat.
Datuk Suraya Yaacob tampil berbuat demikian selepas melihat satu artikel di sebuah portal yang melaporkan Khairy mendakwa Azalina berkomplot menyembunyikan Titah Adendum.
Laporan itu dibuat supaya polis segera menyiasat bekas Menteri Kesihatan itu.
Berdasarkan laporan polis yang tular di media sosial, Suraya memberitahu bahawa kenyataan yang dibuat oleh Khairy itu tidak benar dan memburukkan imej Azalina sebagai menteri Kabinet.
Menurutnya, perkara itu juga mengelirukan rakyat dan menimbulkan perasaan tidak senang serta menimbulkan suasana panik dalam kalangan masyarakat sehingga boleh menggugat keamanan negara.
Penggunaan perkataan 'komplot' katanya, adalah keterlaluan kerana ia membawa maksud terlibat atau dikaitkan dengan perbuatan menyalahi undang-undang atau tidak beretika.
"Perkataan berkenaan juga membayangkan bahawa Azalina secara sedar telah membantu, menyokong atau membenarkan perbuatan menyalahi undang-undang berlaku.
"Tambahan lagi, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dalam satu kenyataan pada Jumaat turut mengesahkan bahawa Azalina bukannya Ahli Lembaga Pengampunan mahu pun terlibat dalam apa-apa urusan pentadbiran berkaitan pengampunan mana-mana banduan.
"Titah Adendum hanyalah khabar angin kerana pembuat dokumen tidak membuat sebarang kenyataan sehinggalah Istana Pahang mengeluarkan surat pengesahan pada 4 Januari 2025 lalu," katanya berdasarkan laporan polis yang dibuat.
Berikutan itu, Suraya memohon polis menjalankan siasatan terperinci terhadap Khairy kerana mempunyai niat jahat mengikut Seksyen 499 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah jenayah dan mencemarkan reputasi menteri Kabinet.
Ujarnya, polis juga perlu menyiasat Khairy kerana menyebarkan maklumat palsu yang mengganggu ketenteraman awam dan mengikut Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menyalahgunakan laman sosial.
Terdahulu, Khairy menerusi siaran audio siar 'Keluar Sekejap' pada Jumaat mendakwa terdapat krisis kepercayaan terhadap bekas partinya UMNO susulan isu Titah Adendum yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Khairy, yang dipecat UMNO dua tahun lalu, juga menuduh Azalina bersubahat menyembunyikan dokumen tambahan yang membenarkan Najib menghabiskan hukuman pemenjaraannya dengan menjalani tahanan di rumah.
Hos bersama program itu, Shahril Hamdan berkata, Azalina memberitahu Dewan Rakyat bahawa Peguam Negara tidak melaporkan perkara tersebut kepadanya. - Sinar Harian
Insiden lubang benam masih hantui pengunjung Masjid India
Azureen Zainal
Bimbang faktor keselamatan menjadi punca utama penurunan kedatangan pengunjung kawasan Jalan Masjid India.
KUALA LUMPUR: Kebimbangan isu keselamatan di sekitar kawasan insiden lubang benam di Jalan Masjid India menjadi antara faktor kekurangan pengunjung ke lokasi itu walaupun kerja pemulihan siap dijalankan.
Pengunjung, Vinod Kumar, 33, mengakui beliau kini lebih berhati-hati apabila melalui kawasan tersebut dan mengelak membawa keluarganya bersama.
“Kalau kita lihat kawasan pejalan kaki di sini tidak sekata, ada yang terangkat dan ada yang tenggelam. Kalau tanya saya, perlu diperiksa sekali lagi.
“Saya juga kasihan dengan peniaga di sini sebab orang sudah berkurangan tidak seperti dulu kerana ramai masih takut,” katanya ketika ditemui FMT.
Bagi Nor Asmawati, 45, pengusaha kedai makan yang bertapak hampir 20 tahun di situ, kejadian lubang benam lalu memberi kesan hebat terhadap sumber pendapatannya.
“Setelah kejadian lubang benam itu, orang sudah tidak ramai dan sekarang pun biasa-biasa sahaja. Sewaktu penutupan jalan lepas, jualan sangat teruk dan saya hanya dapat meraih suku daripada pendapatan biasa,” katanya.
Dalam kejadian 23 Ogos tahun lalu, wanita warga India Vijaya Lakshmi, 48, yang berada di negara ini untuk melancong dilaporkan terjatuh ke dalam lubang benam itu dan gagal ditemui hingga hari ini.
Berikutan itu, kawasan dari pintu gerbang hingga ke Pasaraya Mydin dengan jarak 100m tidak boleh dilalui pengunjung bagi kerja pemulihan dan pembinaan semula.
Pada 31 Dis lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan laluan yang sebelum ini ditutup kini dibuka kepada orang ramai.
Kerja pembaikan itu siap lebih awal berbanding Februari yang disasarkan.
Sementara itu, Nor Afendi Ali, 38, yang setiap hari melalui kawasan tersebut ke tempat kerja berkata beliau yakin pemulihan dijalankan menjadikan lokasi berkenaan lebih selamat.
“Pengunjung mungkin masih risau dan bimbang tentang keselamatan tempat ini. Namun, setelah dibaik pulih, saya percaya keadaan kembali selamat dan orang ramai tidak perlu takut untuk datang.
“Pemantauan berkala oleh pihak berkuasa juga patut dilakukan dan kita ambil pengajaran daripada insiden berlaku bagi mengelakkan ia berulang,” katanya.
Mahathir Rais keluar Bersatu
FMT Reporters
PETALING JAYA: Mahathir Rais melepaskan jawatan setiausaha Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan berkuat kuasa serta-merta.
Dalam surat dihantar kepada Ketua Bersatu dan Pengerusi PN Wilayah Persekutuan Radzi Jidin, beliau juga umum keluar parti namun tidak menyatakan alasan berbuat demikian.
Bagaimanapun, dalam mesej ringkas kepada FMT Mahathir berkata ‘perjuangan sudah tidak selari’ adalah sebab tindakannya itu.
Pelajar tahfiz maut sambil peluk al-Quran
AGENSI

Allahyarham Muhammad Zahwa, 14. - Foto AGENSI
JAKARTA: Seorang pelajar tahfiz maut dalam kejadian kebakaran di Asrama Putra Pondok Pesantren DDI Mambaul Ulum Addariah Kabupaten Pinrang, Sulawesi Selatan pada Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Zahwa, 14, ditemui meninggal dunia dalam keadaan memeluk senaskhah al-Quran.
Menurut juruteknik, Patobong Aris, kebanyakan pelajar berada di masjid ketika kebakaran berlaku di sebuah bangunan asrama lelaki.
"Mangsa dipercayai cuba memasuki bangunan asrama untuk menyelamatkan barangan peribadinya, namun dia terperangkap apabila api marak dengan cepat," katanya.
Beliau berkata, sebaik kebakaran berjaya dipadamkan, anggota pasukan bomba menemui mangsa dalam keadaan rentung sambil memeluk al-Quran.
"Mayatnya ditemui dalam keadaan memeluk kitab suci itu," katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Pinrang, Iptu Andi Reza Pahlawan, berkata kebakaran berpunca daripada litar pintas.
"Api berjaya dipadamkan sekitar jam 3.30 petang waktu tempatan," katanya.
-hmetro
Tikam rakan sebab perlawanan kriket, lelaki Nepal ditahan
FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang warga Nepal ditahan kerana menikam rakan senegaranya sehingga parah akibat perselisihan faham berhubung perlawanan kriket.
Pemangku Ketua Polis Melaka, Md Nazri Zawawi, berkata pihaknya menerima laporan pada 5.10 pagi kelmarin memaklumkan pergaduhan berlaku di asrama kilang di Kampung Pondok Kempas, Jasin.
Beliau berkata, penghuni asrama lain berjaya meleraikan pergelutan antara suspek dan mangsa disebabkan tidak berpuas hati dengan perlawanan pasukan kriket Nepal.
Tetapi, menurutnya, suspek 23 tahun yang masih tidak berpuas hati kemudian menikam mangsa 28 tahun dengan pisau ketika sedang tidur.
“Mangsa yang parah di kepala, tangan dan dada kini dirawat di unit rawatan rapi Hospital Jasin,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, suspek ditahan di belakang asrama pekerja itu semalam untuk disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Katanya, suspek yang cedera di badan, muka, mulut, tangan dan kaki adalah pemandu lori, manakala mangsa merupakan operator pengredan telur.
Anggota polis ditemui mati tergantung
ASLIZA MUSA
IPOH – Seorang anggota polis ditemui meninggal dunia dalam keadaan leher tergantung di sebuah premis di kawasan Pekan Bharu, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mayat penjawat awam berpangkat konstabel berusia 26 tahun itu dijumpai orang awam sebelum melaporkan kepada polis pada pukul 2.15 petang.
Katanya, pemeriksaan awal ke atas tubuh lelaki terbabit di lokasi kejadian tidak menemui sebarang kesan kecederaan lain.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat pada pukul 6 petang bagi mengetahui punca kematiannya.
“Hasil bedah siasat kemudian mendapati punca kematian lelaki itu adalah disebabkan oleh ‘neck compression due to hanging’,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping itu dipercayai mengalami masalah kemurungan.
Katanya, siasatan di bawah laporan mati mengejut sedang dijalankan dan setakat ini, tiada sebarang unsur perlakuan jenayah atau foul play dalam kes berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta tampil memberi keterangan kepada Ketua Polis Balai Pekan Bharu, Inspektor Azrene Shazwani Abd. Manap di talian 019-2702236 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Didakwa jual sandwich tak halal, UM tutup 2 kedai serbaneka
FMT Reporters
PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM) mengarahkan penutupan dua premis kedai serbaneka 24 jam dalam kampusnya susulan dakwaan penemuan produk pek sandwich diragui status halal.
Dalam kenyataan, UM berkata label itu berkait produk “sandwich ham & cheese”.
Katanya, arahan penutupan tersebut dikeluarkan bagi memberi ruang agar siasatan dilaksanakan untuk mengesahkan dakwaan tersebut tidak terganggu.
“Premis berkenaan akan ditutup sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.”
UM sentiasa memastikan bahawa produk terjual dalam kampus adalah daripada pembekal mematuhi undang-undang, piawaian, peraturan, dan prosedur dikenakan.
Polis buat pengesahan sijil nikah anak menteri didakwa rogol
Umavathi Ramayah
KUALA LUMPUR: Polis sedang membuat pengesahan salinan asal sijil perkahwinan yang dikaitkan dengan dakwaan kes rogol melibatkan anak seorang menteri, seperti yang tular baru-baru ini.
Sumber memaklumkan bahawa pengesahan tersebut perlu dilakukan bagi memperkukuh siasatan berhubung dakwaan bahawa anak menteri terbabit telah menikahi wanita yang dilaporkan hamil pada September lalu.
"Buat masa ini, kita sedang menunggu pengesahan sijil perkahwinan mereka bagi memperkukuhkan siasatan yang dibuat,' katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini, pada Jumaat.
Selain itu, kata sumber, polis juga sedang menunggu laporan kesihatan pemeriksaan kandungan wanita yang dikatakan diugut anak menteri terbabit.
Terdahulu tular dalam laman sosial aplikasi Telegram kes membabitkan anak seorang menteri, yang dilaporkan mengugut seorang wanita yang memintanya bertanggungjawab atas kandungannya.
Kejadian ugutan itu dilaporkan berlaku ketika anak menteri terbabit sedang berbincang bersama wanita itu dan beberapa saksi lain di sebuah rumah di Telok Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang, pada 24 Disember tahun lalu.
Pada masa ini siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Berjalan 500 km untuk pulang ke kampung selepas dihalau isteri, anak tiri
Agensi

WARGA emas dikenali sebagai Phon dihalau oleh isteri dan anak tiri. FOTO Ihsan Agensi.
Buriram, Thailand: Warga emas bukan sahaja diusir keluar dari rumahnya di daerah Satuek oleh isteri dan anak tirinya.
Lebih menyedihkan, dia terpaksa berjalan sejauh 500 kilometer (km) berkaki ayam dan sehelai sepinggang untuk kembali ke kampung halamannya di Phon Phisai, lapor portal Thaiger..
Lelaki itu yang dikenali sebagai Phon berkata, dia sudah tinggal bersama isterinya di Satuek selama lebih 13 tahun.
Menurut Phon, dia yang bekerja sebagai buruh am dan tukang kimpal, serta turut memberikan kesemua pendapatan diperoleh kepada isterinya.
Bagaimanapun, pada pertengahan Disember tahun lalu anak lelaki isterinya berpindah ke rumah mereka dari Bangkok.
Apabila anak lelakinya tiba, dia berasa tidak dihargai dan dipaksa keluar daripada rumah.
Phon meninggalkan rumah pada 28 Disember tanpa membawa apa-apa barang atau wang, selain bergantung kepada balai polis sebagai tempat berteduh manakala kuil untuk mendapatkan makanan.
Perjalanannya ke kampung halaman juga menjadi lebih sukar kerana kecederaan kaki akibat kemalangan kereta sewaktu zaman mudanya.
Tanpa pakaian atau wang, dia merayau selama 13 hari berjalan terhincut-hincut sambil menangis di sepanjang perjalanan.
Seorang penduduk tempatan yang memandu lori tebu kemudian menawarkan untuk memberi tumpangan ke daerah Chaiwan, yang mana dia kemudiannya dibawa ke hospital oleh pihak polis.
KhaoSod melaporkan, Phon berniat untuk bertemu semula dengan cucunya dan berazam untuk menjadi seorang sami setelah sampai ke destinasinya.
-hmetro
Pendatang jadi 'majikan' di Jalan Petaling kena tahan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

ANGGOTA JIM Kuala Lumpur menyerbu kedai di Jalan Petaling yang dikendali pendatang asing. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil.
Kuala Lumpur: Pendatang asing tanpa izin (Pati) jadi 'majikan' dikesan semakin berleluasa di kawasan 'syurga' barang tiruan, Jalan Petaling, di sini dan dipercayai berniaga atas lesen 'ali baba'.
Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff ketika operasi penguatkuasaan oleh pasukan KL Strike Force yang berlangsung hari ini.
Menurutnya, seramai 77 warga asing diperiksa dan 33 individu disyaki Pati ditahan, manakala empat warga tempatan dikenakan saman.
"Warga asing ini sering bersilih ganti, ada yang kerja sepenuh masa... ada juga secara sambilan dan ada juga yang memiliki perniagaan atas lesen 'ali baba'.
"Kami (JIM) akan salurkan maklumat pemilik gerai yang memegang lesen kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk tindakan selanjutnya.

SEBAHAGIAN daripada 33 Pati yang ditahan di Jalan Petaling. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil.
"Ini kerana di bawah peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT), warga asing tidak dibenarkan menjaja," katanya pada pemberita ketika ditemui di lokasi operasi yang bermula 6 petang tadi.
Wan Mohammed Saupee berkata, kehadiran warga asing yang berniaga secara haram di kawasan itu menjejaskan pendapatan peniaga tempatan yang memegang lesen sah.
Katanya, berdasarkan maklum balas daripada peniaga tempatan, rata-rata memuji dan menyokong penuh operasi penguatkuasaan berkala oleh JIM di kawasan itu.
"Sepanjang operasi, saya menemubual beberapa peniaga tempatan dan mereka menyokong penuh JIM KL kerana berlaku persaingan yang tidak sihat melibatkan warga asing yang berniaga di sini.
"Warga asing ini kononnya bekerja, namun berdasarkan risikan mendapati mereka sudah menguasai beberapa gerai di sini," katanya.
Menurutnya lagi, antara yang ditahan adalah 26 warga Bangladesh, empat warga Myanmar, Pakistan (2), Nepal (1), dan Mauritius (1), malah mereka didapati memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah, tetapi tidak bekerja di lokasi atau bersama majikan yang didaftarkan.
"Kebanyakannya ada pas bekerja dalam sektor pembinaan, pembersihan dan sektor lain. Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Lelaki ditahan, lempar tukul besi di balai polis
BERNAMA
Melaka: Seorang lelaki dipercayai kurang siuman ditahan hari ini kerana melempar sebatang tukul besi ke arah cermin hadapan Balai Polis Tanjung Keling dalam kejadian pada Selasa.
Pemangku Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Zawawi berkata, lelaki berusia 25 tahun yang melakukan perbuatan khianat berkenaan ditahan di sebuah rumah di Tangga Batu di sini pada 12.40 tengah malam tadi.
"Ketika kejadian kira-kira 10.10 malam, suspek yang menaiki motosikal Yamaha Lagenda milik adik perempuannya bertindak memberhentikan kenderaan itu di luar pekarangan balai polis sebelum beredar dari lokasi dan menuju ke Pantai Puteri. Ketika kejadian dua anggota bertugas di kaunter aduan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku melakukan perbuatan itu kerana berasa marah dan mendakwa terdapat gangguan bisikan di telinga yang mendorongnya bertindak sedemikian.
Siasatan mendapati tiada unsur sabotaj atau elemen subversif terhadap mana-mana pihak dan ujian air kencing suspek didapati negatif.
Md Nazri berkata, suspek direman empat hari hingga 13 Jan dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 427 KK dan Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.
PMX: Belia usah sibuk pertahankan pemimpin rasuah
Haspaizi Zain
Anwar Ibrahim menasihatkan agar golongan belia tidak disibukkan dengan isu remeh seperti mempertahankan tokoh-tokoh besar yang terbabit penyelewengan dan mencuri duit rakyat.
Menurut perdana menteri, ketika dia dan kerajaan berusaha menangani isu rasuah dan salah guna kuasa, pihak lawan mengecam dengan menggunakan alasan Melayu dan Islam.
Malah, katanya, ada pihak yang mendakwa dia sebenarnya sekadar ingin membalas dendam terhadap tokoh-tokoh tertentu.
"Jangan sibuk dengan soal remeh pertahankan penyelewengan ini, heboh kita pertahankan.
"Saya singgung orang besar-besar, bilionair atas soal rasuah, (tapi) banyak suara atas nama Melayu, atas nama Islam pertahankan tokoh besar yang rasuah.
"Marah, (kata) saya dendam kesumat.. Dendam apa? Kamu curi berbilion, bagi balik pada rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia (MBM) ke-73 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata tokoh-tokoh yang dimaksudkannya itu mempunyai kekayaan luar biasa termasuk di luar negara.
Sementara itu, ketika ditemui media selepas perasmian itu, Anwar enggan mengulas lanjut mengenai isu titah tambahan (adendum) mengenai tahanan rumah untuk Najib Razak.
Ketika diajukan soalan sama ada kerajaan bersedia mendedahkan butiran mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung pengampunan Najib. Anwar hanya tunduk.
"Tak dengar ucapan ke?" katanya ringkas merujuk kepada majlis perasmian yang berlangsung sebelum itu sebelum berlalu.
Sebelum ini, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Md Akin mencadangkan agar minit mesyuarat lembaga pengampunan didedahkan kepada umum bagi merungkai isu adendum.
Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa bagaimanapun berkata minit mesyuarat berkenaan sulit dan tidak boleh didedahkan.
Pegawai kanan stesen televisyen antara 7 ditahan kes ubah wang haram
Wartawan BH
bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan sebuah stesen televisyen antara tujuh individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dengan kes pengubahan wang haram, hari ini.
Difahamkan, tangkapan dijalankan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman dalam serbuan berasingan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Sarawak.
Sumber memaklumkan, tujuh individu yang ditahan berusia lingkungan 20-an hingga 60-an.
"Selain kes pengubahan wang haram, mereka juga ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes penipuan, pecah amanah dan salah guna kuasa," kata sumber.
Jiran terkejut tragedi suami tembak mati isterri
Menurut sumber, pihak AMLA turut merampas pelbagai dokumen dalam serbuan di pejabat sebuah stesen televisyen di Sarawak.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan penahanan suspek yang disyaki terbabit pengubahan wang haram.
Wanita maut dimakan babi
KOSMO
COLUMBUS, OHIO – Seorang wanita ditemui mati selepas dimakan oleh beberapa ekor babi yang kelaparan di hadapan rumahnya di negeri Ohio, lapor akhbar Daily Star semalam.
Kejadian berlaku di bandar Pataskala selepas mangsa bernama Rebecca Westergaard Rigney, tidak pulang meraikan perayaan Krismas bersama keluarganya.
Timbalan Koroner Licking, Jeff Lee berkata, Rigney ditemui tidak bernyawa di tangga apartmennnya dengan kecederaan pada bahagian kaki.
“Anggota-anggota polis yang tiba di tempat kejadian menemui seekor babi gergasi dan beberapa ekor babi lain.
“Babi-babi tersebut dikuarantin oleh pihak berkuasa untuk siasatan lanjut,” kata Lee.
Kematian Rigney dianggap sebagai tidak disengajakan selepas haiwan ternakan itu membaham mangsa.
“Bedah siasat mendapati punca kematian Rigney disebabkan pengambilan ubat pencair darah untuk masalah jantung.
“Mangsa diserang di kaki menyebabkan pendarahan tanpa henti,” katanya.
Ketua Polis Pataskala, Bruce Brooks menyifatkan kes itu sebagai keadaan yang mengerikan dan mengelirukan.
“Pihak berkuasa tidak pasti apa yang perlu dilakukan kerana babi yang terlibat bukan haiwan seperti anjing yang biasanya agresif dan menyerang orang ramai,” tambah Brooks. – AGENSI
Misteri bau busuk bawa penemuan mayat seorang lelaki
Adie Sufian Zulkefli
ALOR SETAR: Misteri bau busuk yang menimbulkan kegusaran penduduk akhirnya terjawab dengan penemuan mayat seorang lelaki yang ditemui mati di kediamannya di Taman Serindit, Jalan Langgar, di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati Saad, berkata Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar menerima makluman berkenaan kejadian jam 4.03 petang.
“Panggilan diterima daripada seorang individu yang juga jiran kepada lelaki tersebut.
“Sebelum kejadian, jirannya berasa curiga setelah mendapati lelaki tersebut tidak keluar rumah sejak beberapa hari yang lalu dan terhidu bau busuk dari rumah lelaki itu. Khuatir sesuatu berlaku, jirannya kemudian bertindak menghubungi pihak Polis dan Bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siti Nor Salawati berkata, mayat lelaki berusia 68 tahun ditemui mati dalam keadaan berbaring di atas katil di dalam bilik rumahnya.
Katanya, hasil siasatan lelaki tersebut dipercayai telah mati sejak beberapa hari yang lalu berdasarkan keadaan mayat yang telah mereput.
“Berdasarkan temu bual ke atas jirannya, mangsa bujang dan tinggal berseorangan di rumah tersebut kebiasaannya akan keluar setiap pagi untuk membeli sarapan.
“Mangsa yang juga dikatakan gemar menyendiri dan kurang bergaul dengan kejiranan difahamkan sering menerima rawatan di hospital berdekatan berkenaan penyakit darah tinggi dan kencing manis yang dihidapi,” katanya.
Jelas beliau, siasatan lanjut pihak polis di tempat kejadian tidak mengesan sebarang unsur jenayah.
Mayat kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Bekas guru besar mengaku tak salah peluk, cium guru pelatih
FMT Reporters
PETALING JAYA: Bekas guru besar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Alor Gajah atas pertuduhan memeluk dan mencium seorang bekas guru pelatih wanita, tahun lalu.
Tertuduh, Mohammed Mohd Som, 58, membuat pengakuan itu sejurus tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang guru pelatih wanita berusia 21 tahun ketika kejadian dengan cara memeluk dan mencium pipi mangsa dalam tandas kelas prasekolah sebuah sekolah di Lubok China, pada 16 Ogos tahun lalu.
Tertuduh turut berdepan dua pertuduhan serupa iaitu memeluk dan mencium dahi mangsa sama dalam sebuah kereta di hadapan sebuah premis di Taman Wira Indah dan Taman Ilir Jaya dalam daerah Alor Gajah kira-kira 11 malam, pada 18 Jan dan 30 Julai 2024.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri dan tertuduh diwakili Peguam Hanif Hassan, lapor Kosmo.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM7,500 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Mac depan untuk sebutan semula kes.
Anak Pak Lah beritahu anak saya, kini giliran kami mencuri kata Dr Mahathir
Malaysiakini
Dr Mahathir Mohamad mendedahkan perbualan yang didakwanya pernah berlaku antara anaknya dan anak Abdullah Ahmad Badawi, yang menyebut anak perdana menteri kelima negara itu dikatakan menyatakan niat untuk menggunakan kedudukan bapanya bagi mengaut kekayaan.
Tanpa menyebut sebarang nama secara khusus, bekas perdana menteri itu mengaku dia terkejut dengan pendedahan tersebut.
“Mereka (pengganti saya) percaya bahawa semasa saya menjadi perdana menteri, saya menyalahgunakan kuasa dan korup. Anak Abdullah beritahu anak saya, ‘Giliran awak sebelum ini, sekarang giliran kami.’ Giliran untuk apa? Untuk mencuri wang. Saya terkejut,” katanya.
Mahathir meluahkan rasa kesal bahawa pemimpin-pemimpin tersebut lebih memandang kedudukan perdana menteri sebagai peluang untuk mengaut kekayaan, bukannya untuk memimpin dan membangunkan negara.
“Ketika itu, saya kesal kerana meletakkan jawatan sebagai perdana menteri (pada 2003),” tambahnya.
Mahathir, yang pernah menjadi perdana menteri sebanyak dua kali, berkongsi pendedahan ini dalam sebuah podcast yang dihoskan oleh bekas menteri Idris Jala dan anaknya, Leon. Dia hadir bagi membincang topik tentang pemilihan pengganti.
Kekecewaan terhadap Najib
Ahli politik veteran yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-100 tahun itu berkata, dia pada mulanya gembira apabila Najib Razak menggantikan Abdullah pada 2009.
Mahathir, yang berperanan penting dalam kempen menumbangkan Abdullah selepas prestasi buruk BN dalam Pilihan Raya Umum 2008, berkata, “Ketika Najib mengambil alih, saya sangat gembira. Dia adalah anak kepada bekas perdana menteri yang cemerlang (Abdul Razak Hussein). Saya fikir dia akan melakukan yang terbaik. Tetapi kamu pun tahu apa yang terjadi,” katanya merujuk kepada skandal 1MDB dan peranannya dalam menjatuhkan Najib.
Dengan nada penyesalan, Mahathir berkata bahawa mungkin dirinya tidak sepatut meletakkan jawatan selepas 22 tahun di tampuk pemerintahan.
“Tetapi jika saya teruskan, saya tidak akan tahu kesilapan yang berlaku. Saya tidak akan tahu jenis watak yang menggantikan saya. Ia adalah keputusan sukar buat saya. Namun, secara umumnya, seorang pemimpin mesti bersedia untuk berundur walaupun ketika di puncak,” katanya.
Kritik terhadap Najib dan slogan “Bossku”
Menjawab soalan lain, Mahathir turut mengkritik sikap Najib terhadap akauntabiliti, terutamanya melalui slogan “Nak malu apa Bossku”.
“Rasa malu di kalangan orang Jepun sangat kuat, dan itu amat penting. Kamu patut rasa malu jika gagal atau melakukan kesalahan.
“Tetapi Najib kata, ‘Nak malu apa Bossku’. Bagi saya, itu sangat buruk,” katanya.
NEP dan masa depan Bumiputera
Ketika membincangkan soal keistimewaan dan tindakan afirmatif untuk bumiputera, Idris mencadangkan bahawa sudah tiba masanya dasar-dasar seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dihentikan.
Mahathir membalas dengan analogi “tongkat” yang terkenal, menjelaskan bahawa perubahan mesti dilakukan secara beransur-ansur – daripada tongkat kepada tongkat kecil sehingga mampu berdiri sendiri. Dia memberi amaran bahawa jika tongkat itu dirampas secara tiba-tiba, ia akan menyebabkan kejatuhan.
“Saya akui DEB tidak sepatutnya kekal selama-lamanya. Ia perlu dihentikan secara beransur-ansur. Tetapi kamu perlu memahami pencapaian DEB.
“Dalam pendidikan, kita sudah mencapai banyak perkara. Dalam perniagaan, masalahnya adalah perbezaan budaya dan sistem nilai. Mengubah sistem nilai memerlukan masa,” jelasnya.
Mahathir turut menegaskan bahawa walaupun kini terdapat ramai usahawan bumiputera yang berjaya, jumlah itu masih belum mencukupi untuk menyaingi masyarakat Cina yang mempunyai sejarah 4,000 tahun dalam perniagaan.
“Saya rasa malu untuk mempertahankan bahawa orang Melayu dan bumiputera bergantung kepada apa yang dipanggil keistimewaan.
“Ia bukan keistimewaan; ia adalah tindakan afirmatif untuk membantu mereka mengejar,” tambahnya.
Perbandingan dengan Lee Kuan Yew
Menjawab soalan tentang perbandingan antara dirinya dengan mendiang Lee Kuan Yew, Mahathir memuji perdana menteri Singapura itu sebagai seorang “peguam yang cemerlang dan pemikir hebat” tetapi juga menggambarkannya sebagai seorang “kiasu” (takut untuk kalah).
Takut dimarahi suami, 2 wanita dakwa disamun selepas gadai telefon beli alat mekap
Juwan Riduan
bhnews@bh.com.my
SANDAKAN: Bimbang dimarahi suami masing-masing kerana menggadaikan telefon bimbit untuk membeli alat mekap, dua wanita nekad membuat laporan palsu kononnya disamun.
Kedua-dua wanita yang juga suri rumah berusia 20 dan 34 tahun kononnya disamun tiga lelaki bersenjatakan pisau di kawasan bandar, kira-kira jam 7 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek, berkata pihaknya menerima laporan jam 12 tengah malam tadi, selepas kedua-dua suspek yang juga rakan mengatakan menjadi mangsa samun.
Katanya, dalam laporan itu kedua-dua wanita mengatakan dua unit telefon bimbit mereka dan wang berjumlah RM136 dilarikan tiga suspek bersenjatakan pisau.
"Bertindak atas maklumat dan siasatan yang dijalankan oleh polis mendapati keterangan yang diberikan kedua-dua wanita itu adalah tidak konsisten dan diragui.
"Siasatan lanjut mendapati kejadian samun yang didakwa tidak berlaku namun sebaliknya mereka menggadaikan telefon bimbit mereka di kedai pajak," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Abdul Fuad berkata, kedua-dua suspek bertindak sedemikian kerana terdesak memerlukan duit untuk membeli barang kosmetik namun bimbang dimarahi suami mereka.
"Kedua-dua wanita itu ditahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu.
"Orang awam dinasihatkan tidak bertindak sedemikian kerana jika sabit kesalahan mengikut Seksyen berkenaan, boleh dihukum penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.
KJ: Menteri Umno sorok titah adendum Najib
Malaysiakini
Khairy Jamaluddin mendakwa terdapat krisis kepercayaan terhadap bekas partinya Umno susulan isu titah adendum yang melibatkan Najib Razak.
Khairy yang dipecat Umno dua tahun lalu menuduh Menteri Undang-undang Azalina Othman Said bersubahat menyembunyikan dokumen tambahan yang membenarkan Najib menghabiskan hukuman pemenjaraannya dengan menjalani tahanan di rumah.
“Saya percaya peguam negara mungkin...mesti memaklumkan kepada menteri bertanggungjawab (menteri Wilayah Persekutuan) di dalam Lembaga (pengampunan). Oh by the way kita dapat ini juga.
"Berbalik kepada Umno, ini menteri kena jawab kenapa menteri Umno bersubahat menyorok adendum ini, ini menteri undang-undang, apa nama dia, Azalina Othman Said,” katanya dalam episod terbaru podcast Keluar Sekejap.
"Surat kepada peguam negara (AG), tak mungkin AG tak maklum kepada… menteri undang-undang," tambah Khairy lagi.
Hos bersama program itu, Shahril Hamdan berkata Azalina memberitahu Dewan Rakyat peguam negara tidak melaporkan perkara tersebut kepadanya.
Pun begitu, Khairy membalas dengan sinis, “saya rasa rakyat Malaysia tidak dilahirkan semalam.”
"Kamu, sebagai menteri undang-undang, ada hubungan dengan AG (peguam negara). Mungkin secara teknikal, boleh mengatakan AG hanya melaporkan kepada atau terus memaklumkan perdana menteri.
"Tetapi seperti mana yang saya tahu sebagai seorang bekas seorang menteri of course the AG has a relationship ataupun profesional relationship," kata bekas ketua Pemuda Umno itu lagi.
Khairy juga mendakwa mustahil kabinet tidak mengetahui perkara ini, mendesak Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa (gambar atas) memberi penjelasan.
“Saya percaya kedua-dua menteri ini bertanggungjawab, tetapi mereka berdiam diri.
“Saya salut Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution.
“…walaupun dia pernah berkata ia khabar angin - mungkin dia diarahkan oleh perdana menteri dalam usaha untuk melemparkan Saifuddin ke bawah bas - untuk mengatakan bahawa Jabatan Penjara tidak menerima tambahan itu.
"Sekurang-kurangnya Saifuddin ada keberanian untuk memberi kenyataan," tambahnya.
Semalam, Zaliha berkata mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung Najib akan kekal sulit.
Pada 6 Januari, Mahkamah Rayuan membenarkan Najib memohon semakan kehakiman untuk menguatkuasakan titah bekas Yang di-Pertuan Agong, memerintahkannya menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Khairy menegaskan isu titah adendum ini boleh menghakis keyakinan penyokong Najib terhadap Umno, sambil mempertikaikan kelewatan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam menyokong afidavit titah adendum.
"Sudah tentu sekarang ini kem presiden (Zahid) mengembar-gemburkan bahawa presidenlah orang pertama yang buat afidavit titah adendum ini.
"Itu baru beberapa bulan selepas cerita adendum ini," katanya.
"Penyokong Najib melihat tiada ada kesungguhan daripada Umno Putrajaya, Umno tingkat 38, untuk membawa isu ini kepada conclusion lah,” katanya lagi.
Khairy turut menuduh Zahid cuba meletakkan dirinya sebagai penyelamat sama ada kepada Anwar Ibrahim atau Najib.
“Sama ada saviour kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim atau Bossku (Najib), dia (Zahid) tetap saviour,” tegasnya.
Titah adendum itu mengurangkan hukuman penjara 12 tahun ke enam tahun dan pengurangan denda RM210 juta menjadi RM50 juta terhadap Najib.
Bekas perdana menteri itu disabitkan atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah (CBT), dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC International.
Pemuda Bersatu dijangka terus ‘bergolak’ jika isu dalaman tak selesai
Anne Muhammad
PETALING JAYA: Tidak puas hati keputusan pemilihan parti mungkin menjadi punca ‘kecelaruan’ dalam organisasi Pemuda Bersatu sehingga seorang daripada exco meletak jawatan portfolio diberi Ketua Muhammad Hilman Idham, kata penganalisis.
Semalam, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsudin mengakui meletak jawatan ketua biro profesional dan sukarelawan Pemuda Bersatu kerana mempunyai perbezaan dengan Hilman namun kekal sebagai exco, kedudukan dimenangi pada pemilihan, Oktober lalu.
Felo Majlis Profesor Negara (MPN), Azmi Hassan, berkata perkembangan itu menunjukkan pergolakan masih belum reda walaupun Presiden Muhyiddin Yassin sebelum ini mendakwa setiap sayap dalam Bersatu ‘bertaut semula’ selepas pemilihan berakhir.
Menurutnya, bukan rahsia pemilihan itu menyaksikan perpecahan Bersatu kepada beberapa kem membabitkan pemimpin tertentu bagi menguasai jawatan.
“Seharusnya bila dikatakan kedua-dua kem ini mempunyai wakil masing-masing, keadaan sepatutnya lebih reda (tiada pertikaian berkait keputusan pemilihan).
“Saya berpendapat situasi menang-menang itu tidak sepatutnya bawa masalah tetapi sekarang kita lihat ada exco Pemuda Bersatu letak jawatan (portfolio lantikan ketua),” katanya kepada FMT.
Azmi juga tidak menolak kemungkinan Pemuda Bersatu yang pemilihannya disifatkan paling panas akan terus bergolak jika isu dalaman membabitkan Hilman dan Wan Meor tidak diselesaikan segera.
“Kalau pemimpin atasan tak tunjuk kepimpinan, lagi banyak pergolakan boleh jadi.
“Sudah pasti lemahkan Bersatu dan secara tidak langsung Perikatan Nasional (PN) menjelang PRU kerana tiada kesatuan,” katanya.
Kedua-duanya dilihat bertikam lidah dengan Hilman meminta Wan Meor ‘berhenti mengajar’ cara menguruskan organisasi itu selepas ditegur exco terbabit.
Adun Gombak Setia itu turut menggesa Wan Meor menyerahkan segala dokumen pentadbiran ketika menjadi setiausaha kerja Pemuda Bersatu di era pentadbiran Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengepalai sayap terbabit.
Pada 2 Nov lalu, Wan Meor meminta Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) memberi penjelasan lanjut dan telus mengenai asas bantahan mendorong ‘perubahan’ keputusan pemilihan sayap itu terutama kemenangan Hilman ke atas pencabarnya Akmal Zahin Zainal Zahir dengan kelebihan 170 undi.
Sementara itu, Lau Zhe dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) pula melihat pergolakan perkara biasa kerana apa yang berlaku di pusat akan turut menjejaskan sayap.
“Persoalannya adakah ia akan sampai menggugat kestabilan Pemuda Bersatu?
“Setakat ini ia berlaku secara dalaman, belum merebak satu tahap menjejaskan impak terhadap undi PRU16,” katanya.
Masalah penyokong Pas di Kelantan ‘selesai’ bila banner janji kemudahan jalur lebar hilang
Harapandaily

Masalah capaian internet di Kelantan rupanya ‘selesai’ apabila kain rentang (banner) yang menjanjikan kemudahan jalur lebar semasa kempen plihan raya lalu hilang.
Tular dakwaan seorang penduduk di Parlimen Machang berkenaan manifesto wakil rakyat di kawasan itu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkenaan isu internet.
Meskipun kain rentang manifesto itu sudah pun lusuh tetapi janji pemimpin Perikatan Nasional (PN) berkenaan masih belum ditunaikan.
“Ado banner manifesto dio nok tingkatkan coverage internet di kawasan Tok Bok (di Machang) tempat kawe duduk.
“Kawe up ko Twitter dio… selang seminggu… hilang banner tu… sekali dengan line internet hilang… hahaha,” menurut dakwaan itu.
Individu tersebut turut berkongsikan aduannya kepada Wan Fayhsal sebelum itu di platform X berkenaan masalah liputan internet itu.
“YB @wanfayhsal yang saya kasihi… kampung tempat banner ni, liputan mobile internet memang haprak, talian fiber entah bila akan masuk.
“Banner dah nak hancur… apa usaha YB untuk penuhi manifesto ni? Ada jumpa @fahmi_fadzil atau @MCMC_RASMI?” katanya.
‘Tunggang’ isu Najib, Mujahid dakwa PAS tak layak jadi ‘role model’ pejuang Islam
FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang pemimpin Amanah berkata PAS tidak layak menjadi ‘role model’ parti yang memperjuangkan Islam dan Melayu kerana didakwa menunggang isu adendum tambahan tahanan rumah untuk bekas perdana menteri Najib Razak.
Timbalan Presidennya Mujahid Yusof Rawa berkata PAS menyertai perhimpunan untuk Najib di Istana Kehakiman, Putrajaya, Isnin lalu hanya untuk memburukkan serta memfitnah kerajaan perpaduan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Laungan dan retorik Islam PAS hanyalah ibarat tin kosong kerana hakikatnya perhimpunan tersebut semata-mata bertujuan untuk meraih sokongan melalui pendekatan politik murahan.
“Sebagai parti Islam, PAS mengamalkan politik Machiavelli, iaitu matlamat menghalalkan cara yang kononnya ditentang selama ini,” katanya dalam kenyataan.
Dakwanya, PAS cuba menutup kelemahannya dengan menyertai himpunan itu walaupun mereka antara yang paling kuat membidas Najib ketika isu 1MDB meletus.
“Sungguhpun ketua polis negara telah mengarahkan perhimpunan itu dibatalkan, PAS tetap meneruskannya demi mencapai matlamat dan kepentingan politik sempit dan bersifat peribadi,” katanya.
“Oleh itu, PAS tidak layak menjadi ‘role model’ parti memperjuangkan Islam, jauh sekali perjuangan Melayu,” katanya.
Isnin lalu, pemimpin dan ahli PAS antara 3,000 orang menyertai himpunan di Putrajaya untuk mengikuti prosiding Mahkamah Rayuan berkait semakan kehakiman bagi membuktikan kewujudan titah adendum yang membenarkan Najib menjalani baki tempoh penjara bawah tahanan rumah.
Sebelum itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam surat dalaman kepada parti membuat seruan kehadiran ahlinya bagi menunjukkan solidariti bersama bekas perdana menteri dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung titah adendum Yang di-Pertuan Agong.
Nak solidariti Najib apa lagi?
A Kadir Jasin
Adakah boleh memberikan seorang banduan kebenaran menjalani pemenjaraan di rumah kalau tahanan di rumah tidak ada dalam Perlembagaan?
Saya bertanya kerana daripada berbagai-bagai laporan media yang merujuk kepada bermacam-macam sumber, gambaran yang tercetus adalah tidak ada peruntukan undang-undang khusus bagi membolehkan banduan dipenjara di rumah.
Ketiadaan peruntukan ini terbukti apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam ucapan belanjawan tahun 2025 Oktober lalu berkata kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif (kepada penjara) untuk kesalahan tertentu.
Dalam bahasa paling mudah, buat masa ini tidak ada peruntukan undang-undang untuk memerintahkan agar banduan dipenjarakan di rumah.
Dalam bahasa undang-undang, dikatakan "Malaysian law currently lacks specific provisions for house arrest as an independent punishment."
Iaitu, undang-undang Malaysia buat masa ini tidak ada peruntukan khusus bagi tahanan di rumah sebagai hukuman yang berasingan atau tersendiri.
Cuma, Seksyen 3 Akta Penjara 1995 memberikan kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk menetapkan (designate) mana-mana tempat seperti rumah, bangunan dan kompaun sebagai penjara untuk tujuan menahan banduan.
Pemenjaraan di rumah lazimnya melibatkan pemakaian alat pengesan (monitoring device), pergerakan yang terhad, larangan minum arak dan berdekatan dengan orang lain. Maksudnya bukanlah macam orang biasa duduk di rumah.
Apabila sesuatu tempat diisytiharkan sebagai penjara, ia tentulah akan dikawal oleh pengawal penjara. Bukan oleh isteri yang garang atau pengawal keselamatan dari Nepal.
Saya yakin akan dipasang juga papan tanda yang mengatakan ini adalah penjara yang dikawal oleh warden bersenjata. Ini ada relevan kepada keselamatan orang ramai yang lalu lalang.
Banduan Abdullah Ang bebas keluar masuk penjara
Dalam ucapannya, Anwar antara lain berkata "ia adalah dengan syarat ditetapkan dan dipantau oleh pegawai penjara."
Kalau kita masih ingat, ada seorang banduan ahli perniagaan bernama Abdullah Ang yang mendapat layanan istimewa sampai boleh keluar penjara untuk berkebun. Dia pun penjenayah kolar putih juga.
Itu yang kita tahu sebab didedahkan oleh surat khabar The Malay Mail pada tahun 1989.
Yang kita tidak tahu, wallahualam. Masa itu saya pengarang Kumpulan New Straits Times yang termasuk The Malay Mail.
Saya sengaja menyebut pemenjaraan di rumah bukan tahanan di rumah kerana orang yang hendak ditahan di rumah itu adalah banduan. Banduan tidak ditahan. Banduan dipenjarakan.
Kepentingan bangsawan, elit
Saya juga tidak mahu dituduh menghina orang edan (orang tidak siuman) yang banyak ditahan di rumah.
Di kampung saya pada tahun 1950-an dan 60-an, banyak orang macam itu dikurung di rumah. Kalau teruk sangat barulah dihantar ke "Rumah Orang Gila" di Tanjung Rambutan.
Natijahnya, negara akan kacau-bilau dan rakyat jelata boleh jadi edan kalau orang berkuasa melakukan sesuka hati untuk kepentingan sesama bangsawan dan golongan elit.
Kita wajib hormati batu asas kenegaraan kita. Kita adalah negara demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Kerajaan mentadbir dengan kehendak parlimen. Kuasa Raja dihadkan oleh Perlembagaan dan konvensyen.
Aspek perlembagaan dan konvensyen inilah yang dibahaskan dalam semua tindakan yang melibatkan Mohd Najib Abdul Razak dalam kedudukannya sebagai banduan.
Kalau di Eswatini, Raja bukan saja boleh bagi pengampunan kepada orang macam Mohd Najib malah boleh lantik jadi perdana menteri semula.
Ini adalah kerana Raja Eswatini, Mswati III adalah raja berkuasa mutlak. Tetapi di negara kita tidak boleh sebab Raja tertakluk kepada perlembagaan dan konvensyen.
Cukuplah memanjakan dan memberi keistimewaan kepada Mohd Najib. Cuba baca kupasan peguam Shamsuddin Nawawi ini:
"Najib Razak sudah didapati bersalah atas tujuh kesalahan. Kena penjara 12 tahun untuk salah guna kuasa. Sepuluh tahun tiap-tiap satu untuk tiga kesalahan CBT. Sepuluh tahun tiap-tiap satu untuk tiga kesalahan money laundering. Denda RM210 juta, gagal bayar lima tahun penjara. Itu ertinya tempoh penjaranya ialah 72 tahun. Tetapi mahkamah perintahkan untuk jalankan serentak bersamaan 12 tahun sahaja."
Ertinya, di mahkamah pun dia sudah dibagi layanan timbang rasa yang cukup istimewa. Lepas itu dibagi pula pengampunan awal.
Penjara 12 tahun jadi enam tahun dan denda RM210 juta jadi RM50 juta. Nak bersolidariti apa lagi?
Sokongan terhadap Najib dedah kekeliruan PN
Nicholas Chung
PETALING JAYA: Himpunan solidariti Najib Razak di Putrajaya pada Isnin lalu mendedahkan situasi Perikatan Nasional (PN) yang berada dalam keadaan ‘keliru’, kata dua penganalisis, dengan pemimpin Bersatu kelihatan tidak sehaluan dalam isu itu.
Himpunan diumumkan PAS bulan lalu itu diadakan sempena permohonan semakan kehakiman oleh bekas perdana menteri itu terhadap titah diraja yang membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Niat PAS dalam menganjurkan acara itu segera dipersoalkan oleh pelbagai pihak, meskipun Ahli Majlis Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, mendakwa ia mencerminkan populariti Najib yang masih kukuh.
Selepas pengumuman itu, beberapa pemimpin Bersatu menyatakan akan menghadiri acara tersebut, tetapi Setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan Mahathir Rais, menolak idea itu dengan mengatakan ia berbau oportunisme politik.
Apabila keputusan rayuan memihak kepada Najib, pemimpin PAS dan Bersatu segera mengkritik kerajaan.
Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim melakukan penderhakaan kerana didakwa menyembunyikan adendum tersebut, manakala Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, menggesa beliau meletak jawatan.
Sementara itu, pemimpin Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menyuarakan sokongan terhadap Najib tetapi menegaskan pendirian PN terhadap isu 1MDB tidak berubah.
Mahathir yang juga Setiausaha PN Wilayah Persekutuan, mendakwa ketiadaan pengerusi gabungan itu, Muhyiddin Yassin, dan timbalannya, Abdul Hadi Awang, di perhimpunan tersebut membuktikan mereka menentang rasuah.
Katanya, kehadiran pemimpin Bersatu dalam himpunan itu adalah atas kapasiti individu.
Muhyiddin, yang menjadi timbalan perdana menteri di bawah pentadbiran Najib pada April 2009 hingga Julai 2015, disingkirkan kerana mengkritik perdana menteri ketika itu dalam isu 1MDB.
Beliau kemudiannya menjadi pengasas bersama Bersatu selepas disingkirkan dari Umno.
PN Tiada Haluan
Penganalisis politik dari Akademi Nusantara, Azmi Hassan berkata kurangnya kepimpinan dalam PN menyebabkan gabungan itu gagal menunjukkan pendirian yang konsisten.
Katanya, Muhyiddin bergelut dengan masalah dalaman Bersatu, yang terbukti melalui pandangan bercanggah dalam kalangan pemimpin parti terhadap isu tahanan rumah Najib.
“Beliau berada dalam dilema kerana beberapa ahli Bersatu menyokong Najib dengan menghadiri himpunan itu. Sekutu mereka, PAS, juga lantang bersuara dan menjadi faktor utama dalam menyokong Najib di PN,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, Azmi berkata, Muhyiddin mungkin terpaksa berdiam diri bagi mengelakkan konflik dalam PN sama ada beliau menyokong Najib atau sebaliknya.
“Ini terutama melibatkan PAS dan pemimpin Bersatu yang bersetuju dengan PAS mengenai himpunan tersebut,” katanya.
Hamzah, Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee dan Wan Fayhsal semua hadir ke himpunan pada 6 Jan lalu itu.
Asrul Hadi Abdullah Sani dari firma penasihat strategik ADA Southeast Asia pula berpendapat Muhyiddin terikat dengan sejarah panjangnya bersama Najib dalam Umno.
“Namun, segala-galanya mungkin dalam politik Malaysia. Jika memulihkan hubungan dengan Najib boleh membawa Muhyiddin kembali berkuasa, beliau akan melakukannya.”
Asrul berkata PN kelihatan tidak mempunyai strategi jelas terhadap Najib, dan matlamat utamanya adalah menggugat kestabilan kerajaan untuk mengambil alih tanpa melalui pilihan raya.
Keikhlasan akar umbi
Azmi mendakwa semua parti politik, termasuk Umno, mengambil kesempatan terhadap isu adendum demi untuk meraih manfaat politik, tetapi mengakui bahawa ada kumpulan tertentu, khususnya di peringkat akar umbi, yang ikhlas.
Ini kerana Najib masih mempunyai pengaruh besar dalam Umno dan dalam kalangan pengundi Melayu, katanya.
Azmi berkata pemimpin Umno mahu menunjukkan kepada akar umbi bahawa mereka masih berusaha mencari keadilan untuk bekas presiden itu.
“PAS dan Bersatu pula cuba menunjukkan bahawa mereka lebih mengambil berat terhadap Najib (berbanding Umno). Ini bagi mendapatkan manfaat politik dalam kalangan penyokong Umno.
“Tidak dinafikan ada kumpulan yang ikhlas berjuang untuk Najib, tetapi kebanyakannya berjuang untuk mendapatkan manfaat politik,” katanya.
Asrul juga menjangkakan Presiden Umno Zahid Hamidi berasa ‘kurang selesa’ dengan kemungkinan Najib dibebaskan awal, yang boleh menggugat kedudukannya.
Katanya, himpunan itu, yang menarik 3,000 peserta walaupun Umno menarik diri pada saat akhir, turut membimbangkan Anwar dan Zahid.
“Bayang Najib masih menghantui mereka walaupun selepas dua tahun memegang jawatan. Sementara itu, PN cuba mencungkil kelemahan dalam gabungan kerajaan persekutuan dengan menggunakan Najib sebagai alat.
“Masih menjadi persoalan sama ada PN dan Barisan Nasional akan mempertimbangkan untuk membentuk kerajaan persekutuan, namun Zahid pasti akan berdepan tekanan sekiranya Najib dibenarkan menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah,” katanya.
Pengadil penyebab kekalahan dakwa Liverpool
MEJA SUKAN KOSMO!

VAN DIJK (kanan) tidak berpuas hati dengan keputusan Attwell (kiri) tidak melayangkan kad merah kepada Bergvall awal pagi semalam.
LONDON – Kem Liverpool meluahkan kritikan terhadap pengadil perlawanan, Stuart Attwell yang disifatkan gagal melakukan keputusan tepat.
Di sebalik kekalahan 0-1 kepada Tottenham Hotspur pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris (EFL) awal pagi semalam, The Reds beranggapan penjaring gol tunggal perlawanan, Lucas Bergvall sepatutnya dilayangkan kad merah.
Selepas terlebih dahulu dilayangkan kad kuning kerana mengasari Luis Diaz, pengurus Liverpool, Arne Slot merasakan Bergvall sepatutnya diberikan kad kuning kedua selepas dikesan melakukan kekasaran terhadap Kostas Tsimikas.
Sebaliknya, Attwell tidak memberikan hukuman kedua kepada Bergvall dan bantahan dibuat oleh kem Liverpool menyaksikan pembantu Slot, Sipke Hulshoff pula dilayangkan kad kuning.
“Apabila pengadil tidak memberikan kad kuning kedua, tiada siapa sangka ia akan beri impak besar. Saya fikir pengadil juga mungkin berfikir tentang perkara sama.
“Namun, ia adalah jaringan yang bagus, Bergvall begitu tenang untuk melakukan sentuhan penyudah,” kata Slot yang kecewa dengan keputusan Attwell.
Kapten Liverpool, Virgil van Dijk turut berang dengan keputusan Attwell, menyaksikannya meluahkan rasa tidak puas hati kepada pengadil berkenaan sejurus tamat perlawanan.
Tonggak pertahanan tengah dari Belanda itu mendakwa Attwell sudah melakukan kesilapan dan percaya Bergvall sememangnya berhak dikenakan kad kuning kedua.
“Saya fikir ia jelas adalah kad kuning kedua dan semua orang di tepi padang juga merasakan perkara sama. Faktanya dia (Bergvall) patut dilayangkan kad merah.
“Namun, itulah keputusan pengadil dan dia mungkin anggap tidak melakukan kesilapan. Semua ini bukan kerana kami kalah tetapi situasi yang berlaku itu adalah menjadi detik penting kepada perlawanan ini,” kata Van Dijk. – AGENSI
Lelaki didakwa cederakan teman wanita dengan menyimbah minyak panas
Omar Ahmad
bhnews@bh.com.my

Kumarasan menunjukkan gambar suspek yang ditahan kerana menyimbah minyak panas dan memukul teman wanita bersama dadah yang ditemui ketika tangkapan. - Foto OMAR AHMAD
ISKANDAR PUTERI: Bekas pekerja kilang ditahan kerana mencederakan teman wanitanya dengan menyimbah minyak panas dan memukul menggunakan wayar pengecas telefon.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan dibuat mangsa berusia 29 tahun berhubung kejadian pada 27 Disember lalu.
Katanya, mangsa mendakwa dikasari teman lelaki yang dikenali sejak setahun lalu pada 3.30 petang, 21 Disember lalu ketika berada di rumah di Bandar Selesa Jaya, Skudai di sini.
"Bertindak atas maklumat, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri menahan lelaki tempatan berumur 24 tahun dan semakan mendapati dia mempunyai dua rekod jenayah terdahulu.
"Ujian saringan air kencingnya turut mendapati dia positif dadah, malah suspek dipercayai pengedar dadah secara kecilan," katanya pada sidang media di IPD Iskandar Puteri hari ini.
Kumarasan berkata, polis turut merampas beberapa barangan, termasuk telefon bimbit, seutas wayar pengecas warna putih dan beg galas warna hitam, selain menemukan dua peket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki jenis heroin seberat 65.7 gram dan sepeket ganja seberat 15.9 gram.
Beliau berkata, suspek didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 3 Januari lalu terhadap tiga pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 akta sama.
"Sebutan semula kes telah ditetapkan 4 Mac depan," katanya.
Kelalaian mengundang jenayah: Penunggang motosikal curi beg tangan peniaga
MOHD YUNUS YAKKUB

Tangkap layar kejadian tersebut.
SHAH ALAM – Perbuatan seorang penunggang motosikal mencuri beg tangan seorang peniaga berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) dalam kejadian di medan selera di pusat akuatik Seksyen 13 di sini, baru-baru ini.
Kejadian kira-kira pukul 5. 19 petang pada 2 Januari lalu menyebabkan peniaga tersebut kerugian RM200.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisoner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa sedang membuat persediaan membuka gerai di lokasi tersebut.
Katanya, suspek dipercayai seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal telah mengambil beg mangsa yang diletakkan di atas kerusi pelangggan di hadapan gerainya.
“Mangsa hanya menyedari apabila mahu mengambil begnya semula dan kerugian dianggarkan RM200 melibatkan telefon bimbit dan wang tunai.
“Justeru, polis sedang berusaha dan menangkap suspek terlibat dengan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan ini.
Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Hanafi di talian 010-3728932.
Terdahulu, tular dua buah video CCTV berdurasi empat dan 12 saat memaparkan aksi seorang lelaki mencuri beg tangan tersebut. – KOSMO! ONLINE
Kanak-kanak nyaris dipijak gajah terkejut
KOSMO!

Rakaman video menunjukkan pengendali gajah dan kanak-kanak tersebut berada di bawah perut haiwan itu. - Facebook
BANGKOK – Seorang kanak-kanak nyaris dipijak oleh seekor gajah apabila dia dibawa masuk ke bawah perut haiwan itu, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Kejadian berlaku kelmarin di hadapan sebuah kedai telefon bimbit di Khao Chakan, wilayah Sa Kaeo.
Dalam video tersebut, seorang pengendali gajah dilihat mendukung kanak-kanak berusia lingkungan dua tahun itu, yang sebelumnya melihat haiwan berkenaan bersama ibunya.
Pengendali gajah itu kemudian membawanya masuk ke bawah perut haiwan itu sambil mendukungnya.
Tindakan itu mengejutkan gajah tersebut, menyebabkan ia mengalihkan kedudukannya dengan pantas.
Ia membuatkan pengendali gajah bersama kanak-kanak tersebut terjatuh ke atas jalan, dan nyaris dipijak haiwan itu.
Kedua-dua mereka kemudian berjaya bangun dan berada dalam keadaan selamat.
Tidak dinyatakan tujuan pengendali gajah tersebut bertindak demikian. – AGENSI
Langgan:
Catatan (Atom)