"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu: 'Buat kacau, conteng baju habis SPM'

Sinar Harian

Pada Jumaat, tular di media sosial video memaparkan sekumpulan pelajar termasuk calon SPM yang dikesan menconteng pakaian seragam sekolah. - Tangkap layar video tular

MARANG: Gara-gara mengganggu ketenteraman awam dengan membuat bising di jalanan, sekumpulan pelajar lepasan Sijil Pelajaran (SPM) termasuk yang dikesan menconteng pakaian seragam ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd Sofian Redzuan berkata, pihaknya bertindak selepas menerima aduan daripada orang awam mengenai bunyi bising sehingga menimbulkan gangguan di sekitar daerah ini pada Khamis lalu.

Menurutnya, seramai 58 pelajar berusia 17 tahun dan seorang berusia 15 tahun telah diperiksa dalam Operasi Samseng Jalanan dijalankan selama tiga jam bermula 12 tengah hari di sekitar daerah ini.

"Kesemua motosikal itu ditunggang calon SPM yang telah selesai menduduki kertas akhir peperiksaan bagi subjek diambil mereka pada hari berkenaan.

"Dalam operasi itu kita menyita 45 buah motosikal dan mengeluarkan 120 saman atas pelbagai kesalahan. Tindakan sita ke atas motosikal itu dijalankan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, pada Sabtu.

Pelajar ditahan menunaikan solat Asar berjemaah di surau IPD Marang. - Foto Ihsan Polis

Dalam pada itu, katanya, hasil pemeriksaan lanjut turut mengesan dua buah motosikal ditunggang pelajar berusia 17 tahun menggunakan nombor pendaftaran palsu iaitu nombor pendaftaran kenderaan lain.

Katanya, kesalahan itu di bawah Seksyen 108 APJ 1987.

Jelas Mohd Sofian, kebanyakan pelajar ditahan adalah pelajar di salah sebuah sekolah di daerah Marang dan Hulu Terengganu.

"Pelajar berkenaan turut diberi nasihat berkaitan keselamatan dan peraturan jalan raya ketika proses dokumentasi dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT).

"Di samping itu, mereka yang terlibat juga diarah beratur dan berjalan ke Surau Ibu Pejabat Polis Daerah Marang (IPD) Marang untuk menunaikan solat Asar secara berjemaah," ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, semua pengguna jalan raya terutama golongan remaja dinasihati mematuhi peraturan ditetapkan demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.

"Ibu bapa juga dinasihatkan agar memantau anak-anak bagi mengelak mereka terlibat dalam kegiatan tidak sihat," katanya.

Ops Samseng Jalanan itu dijalankan seramai enam anggota BSPT Daerah Marang diketuai Asisten Superintenden Lizal Bujang Ahmad.

Pada Jumaat, tular di media sosial video berdurasi 29 saat memaparkan sekumpulan pelajar termasuk calon SPM yang dikesan menconteng pakaian seragam sekolah berbaris beramai-ramai di IPD Marang.

Sebelum itu, pelajar dengan pakaian sekolah berconteng itu dirakam menunggang motosikal bagi meraikan tamatnya sesi persekolahan mereka tahun ini. -- Sinar Harian

Mesin layan diri jual durian Musang King

KOSMO!
GAMBAR fail orang ramai beratur di mesin layan diri durian. - Foto Kaki Kaki
SINGAPURA – Mesin layan diri menjual durian  Musang King akan disediakan di sebuah stesen kereta api di Singapura mulai 20 Januari ini, lapor portal berita VNExpress kelmarin. 

Mesin layan diri itu milik syarikat Kaki Kaki Durian. Ia akan ditempatkan di Stesen Transit Laju Massa (MRT) Tampines.

Mesin itu menjual isi durian seberat 400 gram pada harga SGD38 (RM125), manakala diskaun 50 peratus ditawarkan hingga pertengahan bulan depan, demikian menurut akhbar The Straits Times.

Durian itu adalah daripada varieti Musang King yang diperoleh terus daripada petani Malaysia.

Pada tahun lalu, mesin layan diri itu ditempatkan di tiga bangunan pangsapuri. 

“Mesin layan diri membolehkan kami menyelaraskan operasi sambil memastikan setiap durian dikendalikan dengan berhati-hati, tepat dan konsisten, kata pengasas bersama Kaki Kaki Durian, C.Y. Wong. – AGENSI

Tak habis fikir macam mana perkara ini boleh berlaku diatas jalanraya Malaysia

‘Tengok pun dah seram, tak selamat’
 
NUR HIDAYAH MOHD. BOZID
Tangkap layar rakaman memaparkan sebuah lori sampah membawa muatan sampah yang ditindan terlalu tinggi ketika melalui lebuh raya.
PETALING JAYA – Sebuah lori sampah mencetuskan kebimbangan apabila membawa muatan sampah yang ditindan terlalu tinggi sehingga kelihatan seperti ‘gunung bergerak’ di lebuh raya.

Menerusi hantaran @Myviewcaptured, lori tanpa nombor plat itu dirakam meluncur di lebuh raya dengan muatan plastik hitam bertingkat yang melebihi ketinggian badan kenderaan berat tersebut.

Situasi itu mencetuskan perbincangan dalam kalangan pengguna media sosial yang bimbang risiko keselamatan terhadap pengguna jalan raya lain sekiranya muatan berlebihan tersebut jatuh di atas jalan sehingga menyebabkan kemalangan.

“Pernah tengok situasi macam ini di kat Shah Alam. Mereka asingkan mana yang boleh jual atau tidak sebelum memasukkan sampah di dalam plastik hitam, lambung atas tong. Kalau dah macam ini, boleh bahaya kepada penunggang motosikal dan pemandu kereta,” ujar @Erwanjoe.

“Hari-hari lori penuh muatan macam ini lalu kawasan Puchong LDP. Kadang-kadang aku bawa motosikal, duduk jauh sebab tinggi gila mereka tindan macam nak buat KL Tower,” kata @Chef_fisdio.

“Tengok pun dah seram dan tak selamat,” komen @Bckupacc99. – KOSMO! ONLINE

Bollywood: Penyerang Saif tidak sentuh barang berharga, apa motifnya?

Agensi

Mumbai : Bintang Bollywood, Kareena Kapoor Khan berkongsi insiden ngeri yang dialami suaminya, Saif Ali Khan yang cedera ditikam enam kali berikutan pergelutan dengan penceroboh yang memasuki kediaman mereka di Bandra, di sini, kelmarin.

Menerusi kenyataan yang diberikan kepada pihak polis, Kareena memaklumkan penceroboh bertindak agresif dan bergelut dengan Saif sehingga pelakon itu ditikam berkali-kali.

Kareena turut buntu mengenai motif serangan itu kerana penceroboh tidak menyentuh barangan kemas berharga yang berada dalam pandangan jelasnya.

Ketika kejadian, keluarga Saif sempat berpindah ke tingkat 12 kediaman dupleks mereka untuk menyelamatkan diri.

Pengalaman trauma itu membuatkan Kareena sangat terkesan sehingga ditenangkan oleh kakaknya yang juga pelakon, Karisma Kapoor apabila segera tiba dan membawa ke kediamannya di Khar.

Susulan kenyataan yang diberikan Kareena, polis meningkatkan kawalan keselamatan di bangunan Satguru Sharan di Bandra, tempat kediaman Saif, serta di kediaman Karisma di Khar.

Siasatan kini giat dijalankan untuk menjejaki penyerang itu kerana penceroboh tidak mencuri apa-apa menimbulkan persoalan mengenai motif serangan itu.

Polis juga percaya penyerang adalah seorang 'penjenayah tegar' selepas mendapati dia menukar pakaian untuk mengelak dikenali.

Rakaman awal dari bangunan Saif menunjukkan suspek memakai kemeja-T lengan panjang berwarna gelap, tetapi kamera litap tertutup (CCTV) berhampiran Lucky Junction kemudian merakamnya memakai kemeja biru muda lengan pendek, menunjukkan rancangan yang disengajakan untuk mengelak dikesan.

Ketika siasatan kes serangan ke atas pelakon Bollywood itu semakin mendapat liputan meluas, difahamkan polis sudah menahan dua individu semalam. Namun, selepas beberapa jam disoal siasat, didapati kedua-dua suspek tidak mempunyai kaitan dengan kes tikaman itu.

Serangan ke atas Saif mengejutkan industri filem India serta peminatnya di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat mengenai jenayah di Mumbai.

Meninggal dunia selepas 9 jam bertarung nyawa

IVAN AMIRUL
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
KOTA KINABALU – Seorang lelaki yang terlibat kemalangan akhirnya meninggal dunia selepas sembilan jam bertarung nyawa di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini malam tadi.

Mangsa yang menunggang motosikal Honda RSX 150 terlibat kemalangan dengan Toyota Hilux dan Perodua Axia di lampu isyarat, berhampiran pusingan U OUM, Jalan Lintas semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, nahas kira-kira pukul 1 tengah hari itu berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa berusia 30-an dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) menuju ke arah Jalan Lintas.

“Penunggang motosikal dipercayai mengubah haluan dari sebelah kanan ke kiri jalan sehingga mengakibatkan pelanggaran dengan Perodua Axia dipandu seorang wanita berusia 30-an, sebelum tercampak di atas jalan raya dan termasuk di bawah Perodua Axia berkenaan,

“Kereta terbabit kemudiannya melanggar sebuah lagi kenderaan Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 60-an yang sedang berhenti disebabkan lampu isyarat warna merah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, penunggang motosikal yang parah dihantar ke HQE untuk rawatan lanjut, namun meninggal dunia kira-kira jam 9 malam tadi. – KOSMO! ONLINE

Polis tembak mati tiga suspek kes curi di Rawang

Hariz Mohd

Polis petang ini menembak mati tiga lelaki di Rawang, Selangor, yang disyaki merupakan sebahagian daripada sindiket yang aktif mencuri kenderaan pacuan empat roda.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, insiden pada jam 12 tengah hari itu berlaku apabila pasukan polis yang menjejaki suspek cuba menahan mereka untuk siasatan.

Dia berkata polis telah mengarahkan lelaki-lelaki tersebut, yang berada dalam sebuah kereta sewa jenis sedan, untuk memberhentikan kenderaan mereka, namun mereka melepaskan tembakan ke arah polis dan cuba melarikan diri.

"Satu kejar-mengejar berkelajuan tinggi berlaku, dengan polis turut membalas tembakan dan menembak mati suspek.

"Jarak dari kawasan perumahan tempat polis mula-mula cuba menghentikan suspek sehingga ke jejambat ini, tempat kejar-mengejar berakhir, kira-kira 750 meter," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di Taman Kota Emerald.

Jejambat tempat kejadian tersebut berlaku terletak di atas Lebuhraya Utara-Selatan.

Shuhaily berkata polis menemui sepucuk revolver dan pistol separa automatik dalam kenderaan suspek, selain dua bilah parang dan beberapa peranti elektronik yang dipercayai digunakan untuk mencuri kereta.

Polis telah mengenal pasti dua daripada mangsa yang maut sebagai lelaki tempatan berusia 40 dan 43 tahun, masing-masing mempunyai rekod jenayah sebanyak 20 dan 44 kes sebelum ini. Katanya lagi pemeriksaan mendapati kedua-duanya juga dikehendaki bagi beberapa kes lain.

Suspek ketiga, kata Shuhaily belum dikenal pasti kerana polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mayatnya.

Shuhaily berkata polis telah memburu sindiket tersebut sejak tahun lalu namun tidak menolak kemungkinan aktiviti mereka bermula lebih awal.

Penyiasat mengesyaki kumpulan itu bertanggungjawab atas sekurang-kurangnya 17 kes kecurian kenderaan antara 1 Januari hingga hari ini, melibatkan beberapa negeri termasuk Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Kata Shuhaily polis kini sedang berusaha mengenal pasti anggota sindiket lain yang terlibat.

Warga Indonesia bertindak agresif dalam cubaan bolos, ditahan Imigresen

Baharom
Lelaki warga Indonesia (kiri) berjaya diberkas selepas bergelut dengan pegawai penguat kuasa JIM negeri. Foto NSTP/BAHAROM BAKAR.
KUALA TERENGGANU: Cubaan seorang warga Indonesia meloloskan diri daripada ditahan Jabatan Imigresen (Imigresen) gagal apabila diberkas selepas bergelut dengan pegawai penguat kuasa jabatan itu dalam satu operasi di sini, semalam.

Lelaki Indonesia berusia dalam lingkungan 20-an itu cuba melarikan diri selepas mendapati rumah kongsi didiami digempur dalam operasi Sapu dan Selera diketuai Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri, Mohd Yusri Mohd Nor.

Operasi itu bermula jam 8 malam semalam hingga jam 6 pagi, tadi.

Siasatan awal mendapati lelaki warga Indonesia itu tinggal melebihi masa.

Mohd Yusri berkata, lelaki itu bertindak agresif dan berlaku pergelutan sebelum berjaya diberkas.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan berlaku termasuk keatas pegawai penguat kuasa dan warga Indonesia ketika pergelutan berlaku.

Katanya, lelaki Indonesia itu ditahan mengikut Seksyen 15 (1) (c), Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

"Jika didapati bersalah, dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Operasi itu turut diadakan di rumah kongsi di tapak pembinaan kawasan industri di Kertih, Kemaman.

Mohd Yusri berkata, seramai 124 warga asing berusia antara 21 tahun dan 50 tahun yang ditahan melalui proses saringan.

Selepas saringan dilakukan, katanya, seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 11 warga Bangladesh dan seorang daripada Indonesia ditahan atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan tinggal melebihi masa dibenarkan.

"Semua PATI yang ditahan dihantar ke depot tahanan Imigresen Ajil, untuk disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15 (1) (c), Akta Imigresen 1959/63.

"Imigresen negeri akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terjamin," katanya.

Ditikam jiran kerana bunyi bising motosikal lewat malam

Agensi

Jakarta: Akibat bunyi bising motosikal, seorang lelaki cedera ditikam jirannya dalam kejadian di Jalan Kerendang Tengah, Tambora, Jakarta Barat, semalam.

CNN Indonesia melaporkan, kejadian berlaku ketika lelaki berusia 39 tahun itu memanaskan motosikalnya sekitar 11.50 malam waktu tempatan.

Difahamkan, lelaki itu merancang menjual motosikal melalui transaksi COD (Cash on Delivery atau bayaran ketika penerimaan) dengan pembeli.

Ketika kejadian, seorang jiran berang dengan tindakan lelaki itu sebelum bertelingkah dan bertindak menikamnya.

Dalam kes ini, polis sudah menahan dua individu yang dikenali sebagai MAR dan MAN, masing-masing berusia 34 tahun dan 21 tahun.

Ketua Polis Tambora Komisioner Polis Donny Agung Harvida, dalam kenyataannya pada hari ini berkata, tindakan mangsa memanaskan motosikalnya mendapat bantahan keras daripada jirannya, suspek dikenali sebagai MAR.

"Suspek MAR menjerit kepada mangsa sambil berkata, 'Hoi, jangan ganggu, ini bising!'" katanya.

Pada masa itu, mangsa cuba menjelaskan kepada MAR bahawa sebelum ini tiada penduduk lain yang pernah 'menegur' perbuatannya itu, namun MAR tetap meneruskan protesnya.

Keadaan menjadi serius apabila insiden itu menyebabkan mangsa ditikam dan dirujuk ke Hospital Tarakan.

Selepas kejadian, keluarga mangsa membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Selepas penyiasatan dijalankan, polis berjaya menahan kedua-dua suspek di dua lokasi berasingan.

"MAN sempat melarikan diri ke kawasan Banten sebelum kembali ke Jakarta dengan niat untuk meminta maaf kepada mangsa.

"Namun, sebelum niat itu terlaksana, suspek ditangkap oleh polis," jelas Donny.

Kedua-dua suspek didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan Indonesia berkaitan kekerasan secara bersama-sama, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun.
-hmetro 

4 lagi pegawai bank ditahan

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat lagi pegawai bank semalam bagi membantu siasatan selepas RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam membabitkan kegiatan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram.

Ia susulan SPRM menumpaskan sindiket kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan dan institusi kewangan susulan penahanan 12 individu di sekitar Lembah Klang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, empat pegawai bank terbabit individu terbaru ditahan semalam dan permohonan reman akan dibuat hari ini.

Menurutnya, sebelum ini 12 orang direman lima hari di mana tujuh daripada mereka akan dilepas reman hari ini.

"Manakala lima lagi orang akan dimohon untuk disambung reman hari ini bagi membantu siasatan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan 4,000 dokumen dirampas bagi membantu siasatan selepas RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam membabitkan kegiatan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram dalam kalangan pegawai bank dan organisasi perunding kewangan.

Azam Baki dilaporkan berkata, dijangka 16 individu membabitkan pegawai bank dan syarikat perundingan akan dipanggil dan berkemungkinan ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, setakat ini 4,000 dokumen sudah dirampas dan dalam proses siasatan.

SPRM mendapati sejumlah RM700 juta pinjaman sudah diluluskan kepada 4,000 penjawat awam di mana, pinjaman yang diluluskan itu daripada pelbagai bank sejak syarikat berkenaan beroperasi tahun 2020.

Terdahulu SPRM menumpaskan sindiket kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan dan institusi kewangan susulan penahanan 12 individu di sekitar Lembah Klang.

Kesemua suspek termasuk dua wanita berusia antara 20 hingga 40-an itu ditahan dalam serbuan Op Sky di 24 lokasi termasuk rumah dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada 13 Januari lalu.

Mereka yang ditahan termasuk dua pengarah syarikat perunding kewangan, masing-masing seorang pengarah yayasan, pengurus dan bekas pengurus jualan institusi perbankan.

Saif Ali Khan dalam keadaan baik selepas pembedahan

Bernama

NEW DELHI: Bintang Bollywood Saif Ali Khan yang cedera akibat diserang dengan pisau semasa cubaan rompakan di rumahnya di Bandra, Mumbai telah dipindahkan dari unit rawatan rapi (ICU) selepas keadaannya menunjukkan perkembangan positif.

"Beliau sihat. Parameter kesihatannya telah bertambah baik. Beliu dipindahkan dari ICU ke bilik khas. Kami akan mengehadkan kehadiran pelawat kerana mahu beliau berehat," kata Ketua Pegawai Operasi Hospital Lilavati, Niraj Uttamani, kepada media tempatan.

Doktor di hospital itu turut memaklumkan bahawa Saif telah diberikan makanan seperti biasa.

Pelakon berusia 54 tahun yang telah membintangi kira-kira 70 filem Bollywood, mengalami enam kecederaan dalam insiden sekitar 2.30 pagi Khamis.

"Kami berjaya mengeluarkan serpihan pisau sepanjang 6.3 sentimeter (cm) dari tulang belakang beliau," kata Uttamani.

Saif mendapat pujian di media sosial atas keberaniannya melawan penyerang bersenjatakan pisau itu.

"Beliau berlumuran darah tetapi berjalan masuk umpama singa sambil membawa anak kecilnya. Beliau adalah wira sebenar," kata Uttamani.

Suspek yang didakwa menyerang Saif dilihat pada rakaman CCTV melarikan diri melalui tangga.

Kejadian ini menimbulkan persoalan tentang bagaimana suspek berjaya menembusi kawalan keselamatan bangunan di kawasan elit yang dihuni ramai bintang filem dan golongan berada.

Saif tinggal di kediamannya bersama isterinya, pelakon Kareena Kapoor, dan dua anak mereka yang masih kecil, Taimur dan Jeh Ali Khan.

Beliau pernah berkahwin dengan pelakon Amrita Singh dan mempunyai dua anak -- Sara Ali Khan, 29, dan Ibrahim Ali Khan, 23 -- hasil perkahwinan itu.

Polis dilaporkan telah menahan seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam serangan ke atas Saif.

"Keluarga kami melalui hari yang sangat mencabar dan kami masih berusaha untuk memahami kejadian yang berlaku. Dalam menghadapi masa yang sukar ini, saya dengan penuh hormat dan rendah diri meminta agar media dan paparazi menghentikan spekulasi dan liputan berlebihan," kata Kareena dalam satu kenyataan.

Serangan ke atas Saif mengejutkan industri filem India serta peminatnya di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat mengenai jenayah di Mumbai.

Pada Oktober, Ziauddin Siddique, bekas menteri negeri Maharashtra yang dikenali sebagai Baba Siddique, ditembak mati di kawasan Bandra.

Tahun lepas, tembakan dilepaskan di luar kediaman bintang terkenal Salman Khan di Bandra.

PN masih dengan calon perdana menterinya

Mohsin Abdullah

Senarai kini turut babit Presiden PAS Hadi Awang seperti dicadangkan Mokhtar Senik.

Setuju atau tidak dengan cadangannya, Ahli Dewan Ulama PAS Mokhtar Senik pada pendapat saya wajar ditabik. Sekurang-kurangnya beliau tidak berselindung, tidak cakap berlapik dan tidak beri ‘bunga bunga’.

Mokhtar berterus terang mencadangkan Presidennya Abdul Hadi Awang sebagai calon perdana menteri dari kem pembangkang untuk ditawarkan kepada pengundi.

Sememangnya PAS sejak sekian lama mahu Hadi jadi perdana menteri jika ia atau gabungan politik yang disertainya memerintah Malaysia. Ini bukan rahsia. Cuma tidak ramai seperti Mokhtar berani menyuarakan Hasrat berkenaan.

Malah Mursyidul Am PAS Hashim Jasin ‘sekadar’ menegaskan partinya lebih layak memimpin Perikatan Nasional (PN). Benar kenyataan Hashim boleh dilihat menolak Muhyiddin Yassin menjadi calon perdana menteri PN. Namun beliau tidak menamakan Hadi secara terbuka sebagai calon perdana menteri PN pilihan PAS.

Umum tahu Bersatu sekutu PAS dalam PN mahu Muhyiddin yang juga presiden mereka menjadi perdana menteri. Imbau kenyataan Naib Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu lewat tahun lalu mengesyorkan Muhyiddin sebagai calon tunggal jawatan perdana menteri mewakili PN pada PRU akan datang.

Kenyataan Faizal mencetus reaksi keras Pemuda PAS yang menyifatkannya langkah gelojoh kerana isu calon PM belum dibincangkan PN. Seperti dikatakan tadi itu tahun lalu.

Namun soal calon perdana menteri PN tidak reda sehingga menyaksikan Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail tampil menyatakan belum masanya PN memutuskan siapa calon perdana menteri mereka.

Dan kata beliau lagi perkara itu tidak akan dibincangkan secara terbuka. Tindakan beliau diibaratkan usaha ‘menyejukkan’ keadaan dengan cara menarik rambut dalam tepung.

Beliau berkata demikian kepada Malaysiakini sehari selepas Hashim sekali lagi menegaskan bahawa partinya seharusnya memimpin gabungan pembangkang merujuk kekuatannya berbanding Bersatu.

Walaupun kenyataan Tun Faisal dibuat ketika pemimpin PAS masih memperkatakan soal calon perdana menteri PN, rakan beliau sendiri dalam Bersatu pada masa sama bercakap mengenai isu ini.

Pada hari yang sama Tun Faisal keluar dengan kenyataannya yakni 15 Januari lalu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menamakan secara terbuka empat pemimpin PN yang pada pandangannya layak jadi calon PM.

Dari sudut pandangan beliau yang layak ialah Muhyiddin (bukanlah memeranjatkan beliau memilih presiden parti sendiri), Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin yang juga timbalan presiden Bersatu.

Dua nama lain adalah Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu.

Menarik pada hemat saya beliau tidak menamakan Azmin Ali, setiausaha agung Bersatu yang baru dilantik. Dan paling ketaranya Hadi tidak dimasukkan dalam senarai calon pilihan beliau.

Malaysiakini memetik Wan Ahmad Fayhsal berkata seorang pemimpin yang ingin dicalonkan sebagai perdana menteri mestilah mempunyai hubungan yang baik dengan pihak Istana.

Adakah Muhyiddin dan Hamzah mempunyai hubungan baik dengan istana? Sama ada istana negara mahupun istana negeri-negeri.

Imbas kembali titah Yang di Pertuan Agong ke 16 berhubung pembentukan kerajaan perpaduan bagi menyelesaikan kemelut politik negara selepas PRU 15. Siapa agaknya yang menolak cadangan baginda?

Bagaimanapun bagi Wan Fayhsal “Sebagai negarawan senior Tan Sri Muhyiddin ada hubungan baik dengan pihak istana”. Seperti dikata tadi Wan Fayhsal tidak menamakan Hadi. Bagaimana hubungan Hadi dengan istana?

Kata Mokhtar, beliau mengutarakan nama Hadi kerana presiden PAS itu mampu membawa ‘wajah baru politik negara’. Cadangan beliau mendapat pelbagai reaksi termasuk yang negatif yakni mempertikaikan pendapat beliau Hadi ‘paling layak’.

Beliau tampil memberi penjelasan lanjut seperti dilapor Malaysiakini semalam. Menurut Mokhtar beliau berkata Hadi “paling layak” ialah “jika ( orang ramai ) mahukan sebuah kerajaan Islam dan negara Islam”.

Seterusnya beliau berkata “Tapi kalau mahukan sebuah negara sekular, liberal yang macam ada sekarang memangkah Tuan Guru Haji Hadi tak layak”. Adakah Wan Fayhsal sependapat dengan Mokhtar semasa mengemukakan senarai calon pilihannya yang tidak ada nama Hadi?

Adakah Mokhtar bermaksud selain Hadi tidak ada pemimpin lain daripada PAS dan Bersatu yang boleh ‘tegakkan negara Islam’ di Malaysia?

Sehingga artikel ini ditulis belum ada reaksi Hadi terhadap cadangan Mokhtar dan juga senarai Wan Fayhsal.

Apa pun amalan menamakan calon perdana menteri ialah perkara biasa yang dibuat parti politik bertujuan memberitahu rakyat siapa akan menjadi pemimpin ditakdirkan ia menang.

Namun menurut Malaysiakini pada 22 Disember 2017 Hadi menegur tindakan pihak yang menamakan calon perdana menteri lebih awal atas alasan: “Ia bercanggah dengan amalan Rasulullah SAW. Panjang lagi hujah beliau yang tidak perlu saya ulangi disini.

Yang menjadi persoalan ialah mengapa PN bercakap mengenai calon perdana menteri mereka sekarang. Adakah kerana ini persediaan awal bagi menghadapi PRU16? Perlu dinyatakan mandat kerajaan perpaduan sah sehingga 2027.

Atau adakah ini ada kena mengena dengan amaran PN yang membayangkan ia amat ‘berminat’ mengambil jalan pintas mendapatkan kuasa dengan mengenepikan proses peti undi?

7 pekerja syarikat kurier ditahan curi barang dalam bungkusan lebih RM21,000

Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Tujuh pekerja syarikat kurier termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki mencuri barang dalam bungkusan yang dikirim pelanggan membabitkan kerugian RM21,818.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata kejadian dipercayai berlaku di gudang syarikat kurier terbabit yang terletak di Taman Indah Cheras, di sini.

Katanya, kejadian disedari pengurus keselamatan syarikat kurier pada jam 9 pagi 13 Januari lalu selepas menerima aduan seorang pelanggan yang menerima bungkusan kosong dihantar menggunakan khidmat syarikat kurier terbabit.

"Pengadu membuat siasatan dalaman dan mendapati terdapat beberapa pekerja membawa keluar bungkusan dari gudang tanpa membuat urusan daftar keluar barang.

"Pengadu mengesyaki pekerja syarikat telah mencuri bungkusan asal milik pelanggan dengan nilai kerugian dianggarkan RM 21,818," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan itu katanya sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Polis Daerah Ampang Jaya membuat beberapa siri serbuan dan tangkapan di sekitar Lembah Klang dan Nilai, Negeri Sembilan, bermula 13 Januari hingga semalam,

"Tangkapan membabitkan enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 21 hingga 51 tahun dan pihak polis turut merampas beberapa barangan yang disyaki ada kaitan dengan kes yang sedang disiasat.

"Tangkapan pertama dan kedua terdiri daripada seorang lelaki dan wanita tempatan telah dibawa ke Mahkamah Ampang untuk dituduh dibawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana didapati mencuri barang dari syarikat tempat bekerja," katanya.

Untuk lima lagi tangkapan susulan, Mohd Azam berkata permohonan reman telah dibenarkan selama empat hari bermula semalam hingga 20 Januari ini ke atas semua suspek

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan iaitu curi oleh orang gajidan Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu curi dalam bangunan.

Terengganu: 3 lelaki tular pukul OKU langgar gerai ditahan

FMT Reporters
Tangkap layar menunjukkan kejadian pukul lelaki orang kurang upaya (OKU) di tapak jualan pasar tani di Chukai, Kemaman semalam.
PETALING JAYA: Tiga lelaki ditahan polis susulan kejadian memukul seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) di tapak jualan pasar tani di Chukai, Kemaman yang tular malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Kemaman, Wan Muhammad Wan Jaafar, berkata suspek ditahan ketika hadir untuk siasatan di IPD Kemaman, kira-kira 8 malam semalam.

Katanya, ketiga-tiga suspek yang ditahan berusia antara 18 hingga 60 tahun.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya, menurut Berita Harian.

Semalam, tular satu video yang menunjukkan mangsa OKU itu telah dipukul oleh beberapa individu.

Kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal dikatakan melanggar sebuah gerai jualan di situ kira-kira 9.30 pagi.

Pelanggaran menyebabkan barangan jualan seorang peniaga tumpah dan terjatuh sebelum mangsa dibelasah hingga cedera.

Mangsa yang juga OKU ketidakupayaan mental dibawa ke hospital Kemaman dan dirawat sebagai pesakit luar.

Pemuda ‘order’ serbuk ekstasi RM4.03 juta, adun dan dibungkus dalam kondo

KHAIRUL MOHD. ALI
KUMAR (dua kanan) menunjukkan antara bungkusan dadah yang dirampas daripada sindiket didalangi dua pemuda tempatan dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.-Foto KHAIRUL MOHD ALI
JOHOR BAHRU – Dua pemuda disyaki dalang sindiket pengedaran serbuk ekstasi bernilai lebih RM4.03 juta diberkas bersama dua wanita dalam serbuan di dua buah kondominium mewah di bandar raya ini baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, dalam operasi itu, pihaknya menahan dua lelaki tempatan dan dua wanita Vietnam berusia 20 hingga 30 tahun.

Polis turut merampas sebanyak 28.82 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 296 gram (g) ketamin dan 13.2g pil eramin 5 bernilai RM4.03 juta.

“Sdindiket menggunakan kondominium sebagai pusat pembungkusan dan stor simpanan dadah sebelum barangan tersebut diedar ke pasaran.

“Bekalan dadah yang diambil dari utara tanah air diadun dan dibungkus dalam peket kecil jenama minuman tempatan dan corak 3D bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Dadah itu dijual RM200 sebungkus dan dibancuh menggunakan air untuk diminum. Ini bermakna penagih memerlukan duit yang banyak untuk membeli dadah tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Dadah itu boleh digunakan oleh lebih 80,000 penagih sekiranya terlepas ke pasaran.

Polis merampas peralatan membungkus dadah, kereta, barang kemas dan wang tunai dengan nilai keseluruhan sebanyak RM38,275.90. Salah seorang suspek lelaki mempunyai rekod kes dadah.

“Kesemua suspek direman sampai hari ini, namun polis akan memohon lanjutan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Seorang wanita tanggung malu apabila subang hidung yang dipakainya tersangkut pada kerusi sehingga terpaksa diselamatkan oleh anggota bomba

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan wanita itu dibantu oleh rakan-rakannya dan beberapa anggota bomba. - X
JAKARTA – Seorang wanita di Indonesia tanpa diduga tular di laman sosial selepas subang hidung yang dipakainya tersangkut pada kerusi sehingga terpaksa diselamatkan oleh anggota bomba, lapor portal berita Abatanews. 

Rakaman kejadian dimuat naik di laman X oleh akaun @Pai_C1 memaparkan mangsa datang ke balai bomba bersama kerusi yang tersangkut pada hidungnya. 

Kejadian berlaku apabila wanita itu meletakkan subang yang dipakai pada hidungnya di celah lubang kerusi sebagai gurauan.

Situasi gembira bertukar cemas apabila subang itu tersangkut pada kerusi yang digunakan, baru-baru ini. 

Anggota-anggota bomba bagaimanapun berjaya membebaskan subangnya dalam masa singkat. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 4.1 juta tontonan bersama 1,900 komen. 

“Kalau saya jadi bomba, saya gelak dulu,” kata seorang pengguna media sosial. 

“Apapun masalahmu, ‘abang’ bomba ada jalan penyelesaiannya,” kata netizen lain. – AGENSI

Pemandu ‘ditelan’ lubang benam penuh air

KOSMO
Sebuah kenderaan SUV ‘ditelan’ ke dalam lubang benam di bandar Wayne semalam. - News12
TRENTON, NEW JERSEY – Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terjatuh ke dalam lubang benam di sebatang jalan di negeri New Jersey, lapor stesen penyiaran News12 semalam. 

Imej yang dikongsikan menunjukkan SUV itu ‘ditelan’ lubang benam yang dipenuhi air. 

Menurut polis tempatan, seorang pemandu berjaya diselamatkan dalam kejadian itu, manakala SUV miliknya ditinggalkan di tempat kejadian. 

“Lubang benam itu muncul secara tiba-tiba selepas saluran paip air bawah tanah pecah. 

“Air mencurah-curah keluar sehingga menenggelami kawasan sekitar.

“Tidak jelas sama ada pemandu itu cedera, namun dia diselamatkan ketika air suhu mencecah 20 darjah Celcius,” kata seorang jurucakap polis. – AGENSI

Terkejut dengar ucapan menghasut, ramai harap Hannah saman ‘ustaz aktivis’ ini

Harapandaily

Orang ramai berharap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengenakan tindakan undang-undang terhadap seorang aktivis bergelar ustaz yang disifatkan menghasut rakyat.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Mohd Sophian Mohd Zain menerusi sedutan ucapannya yang tersebar di media sosial mengaitkan buku “Becoming Hannah: A Personal Journey.”
“Hannah Yeoh… menggunakan jawatan Menteri… jawatan sebagai ahli parlimen.. pusat khidmat ahli parlimen, digunakan untuk apa?
“Untuk menyampaikan dakyah…,” dakwa Sophian yang pernah menjadi antara panel dalam program anjuran Pas Pulau Pinang.
Dia juga baru-baru ini menerusi hantaran di Facebook mengecam kerajaan Madani yang disindirnya “cukup-cukup cerdik menggunakan semua atas jenama Agong” serta menuntut Datuk Seri Najib Razak diberi penahanan rumah.
Rata-rata menyifatkan kenyataan individu yang pernah tular kerana tidak puas hati terhadap pihak berkuasa berhubung isu warga asing berniaga di sekitar Pasar Selayang, Selangor itu sebagai keterlaluan.

Antaranya, TikTokers Taufiq Iskandar yang mengingatkan bahawa buku Hannah Yeoh itu telah diterbitkan pada 2014 ketika Pas bersama DAP dalam kerajaan negeri Selangor.

“Tiada masalah pun (ketika itu)? Kenapa sekarang ada masalah pula?

“Sejak tahun 2014 sampai sekarang, berapa ramai orang Islam yang dah terikut dengan Hannah Yeoh masuk Kristian?” bidasnya yang meraih hampir 1,000 komentar yang majoritinya bersetuju dengan pendapat beliau.

Isu buku Hannah yang merupakan kisah dan perjalanan peribadi Ahli Parlimen Segambut berkenaan dilihat konsisten menjadi tunggangan pihak pembangkang.

Malah, terdapat pensyarah di sebuah universiti awam antara lain mendakwa pemimpin DAP tersebut berniat untuk mengubah Malaysia menjadi negara Kristian.

Mengulas lanjut, Taufiq mempersoal sama ada keimanan individu yang membantah buku Hannah itu tergugat.

“Kenapa kalau dia berdakwah dekat kamu, kamu tergugat ke? Saya nak tanya kamu ni. Kamu ada iman ke tidak?

“Itu tuhan dia. Itu cara dia. Kita ada tuhan kita. Kita ada iman. Kita ada otak dan akal.

“Ke kamu saja politikkan isu ni dan tambah minyak?

“Saya haraplah polis ambil tindakan pada Sophian ni kerana menghasut,” desaknya lagi.

Terengganu: Polis cari individu terlibat kejadian pukul OKU

Bernama

CHUKAI: Polis sedang mengesan beberapa individu dipercayai terlibat dalam kejadian pukul seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental di Pasar Tani, Padang Astaka Chukai.

Pemangku Ketua Polis Kemaman, Wan Muhammad Wan Ja’afar, berkata polis menerima aduan melalui talian MERS 999 pada 9.30 pagi mengenai seorang lelaki dipukul di hadapan orang ramai di lokasi tersebut.

Siasatan mendapati kejadian berpunca apabila mangsa berusia 47 tahun yang menunggang motosikal memasuki tapak jualan pasar tani lalu terlanggar sebuah gerai jualan.

“Pelanggaran itu menyebabkan barang jualan di gerai tersebut tumpah dan jatuh. Beberapa individu yang ada di situ telah bertindak memukul mangsa.

“Mangsa yang mengalami cedera ringan telah dihantar ke Hospital Kemaman dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya dalam kenyataan.

Wan Muhamad berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi IPD Kemaman untuk membantu siasatan.

“Kita dapati terdapat rakaman video mengenai insiden tersebut berdurasi 1 minit 52 saat yang tular di laman sosial sejak pagi tadi,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merusuh.

Kelantan: Ceramah perkara jijik dan kotor, pendukung Pas bantai Adun Kelantan


Harapandaily

Seorang pendukung Pas ‘membantai’ sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) partinya di Kelantan yang menjadikan perkara jijik dan kotor sebagai modal kempen dan ceramah.

Dikenali sebagai Tanaka Mustafa, dia menegaskan bahawa sebagai pemimpin, penceramah dan pempengaruh tidak perlu melakukan kerja setaraf dengan tentera siber yang tidak berpelajaran.

“Duk main isu liwat dengan konotasi nak memburukkan orang. Bukan target yang nampak buruk, tapi entum dengan parti entum yang nampak buruk.

“Benda jijik macam tu orang tak buat modal kempen dan ceramah. Kalau dah start, dia akan naik syeikh dan kompom terlajak.

“Setan akan kipas bagi terus naik syeikh,” katanya di Facebook mengakui sudah meluat untuk mengulas isu tersebut.

Walaupun tidak menyatakan siapa pemimpin Pas yang dimaksudkan namun dia berkongsikan tajuk satu laporan portal berita berkaitan Adun Melor, Wan Rohimi Wan Daud.

Terdahulu, tular sedutan video ceramah Wan Rohimi yang dipercayai dituju kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Wakil rakyat Pas berkenaan mendakwa tidak pernah ada dalam sejarah di negara ini, bekas banduan diangkat sebagai pemimpin.

Wan Rohimi yang juga peguam berkata, kes melibatkan Anwar itu “bukan lekeh-lekeh” kerana dipenjarakan atas kesalahan apa yang disebutnya sebagai “main punggung”.

Mengulas lanjut, Tanaka menempelak penyokong benak yang bersorak akan menambahkan lagi galakan untuk menggemburkan cerita jijik.

“Banyak lagi isu lain yang boleh dibelasah berbanding isu tak senonoh begitu. Duk main isu dalam kain orang saja akan menampakkan entum tak reti pikir isu lain dah.

“Orang akan kata nak sembang ekonomi tak reti, nak sembang cara majukan negeri tak reti, nak sembang hal geopolitik dunia tak reti… nak bagi nampak pandai ceramah, koreak cherita burok tak senonoh saja. Itu bukan style politik yang baik,” tulisnya.

Tanaka menambah kenyataan pemimpin itu memalukan dan dibimbangi jadi fasik jika ucapan itu terkait hukum qazaf.

“Bukan fasiq biasa-biasa, fasiq yang Tuhan suruh tolak kesaksian selamanya.

“Entum boleh laa nak nafi ka nak twist konon bukan qazaf. Niat entum dan keghairahan entum semasa berceramah tu, Tuhan Maha Mengetahui.

“Apabila Tuhan murka, tak mustahil 32-0 boleh jadi 0-32 kelak. 43-2 jadi 2-43,” katanya merujuk kepada penguasaan kerusi DUN Pas masing-masing di Terengganu dan Kelantan.

Dalam masa sama, Tanaka juga berpendapat pemimpin Pas harus licik dalam berdepan musuh politik selain mempersoal di mana

“Jika musuh kita licik dan ada agenda halus tersembunyi, kenapa kita tak boleh rencanakan juga satu modus operandi licik, halus dan tersembunyi untuk melawan taktikal licik musuh itu?

“Think tank mana? Jangan kata think tank pun ajak rempuh guna cara karut begitu pulak… memang jem,” kata Tanaka lagi.

Penternak ikan pukul, tendang pekerja ditahan

Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my
PENTERNAK ikan ditahan selepas dipercayai memukul pekerjanya. FOTO Ihsan Pembaca.
PENTERNAK ikan ditahan selepas dipercayai memukul pekerjanya. FOTO Ihsan Pembaca.
Shah Alam: Polis menahan seorang penternak ikan yang dipercayai memukul serta menendang pekerjanya di pelantar ikan di kawasan Bagan Teochew, Pulau Ketam, Klang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek warga tempatan berusia 41 tahun itu ditahan di Pulau Ketam kira-kira jam 5 petang.

Beliau berkata, terdahulu polis mengesan satu pautan video berdurasi 54 saat di media sosial yang memaparkan seorang lelaki memukul serta seorang lagi individu di atas pelantar ikan.

"Hasil siasatan, kejadian berlaku kira-kira 3 petang, 11 Januari lalu yang mana mangsa yang juga lelaki warga asing adalah pekerja suspek.

"Punca kejadian dipercayai ekoran mangsa tidak hadir bekerja selama dua hari dan pada hari kejadian, ketika mangsa tiba di pelantar ikan, suspek bertindak menumbuk, menendang dan mengugut mangsa.

"Bagaimanapun, ketika ini, polis masih mengesan mangsa untuk mendapatkan keterangan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Cha berkata, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Katanya, susulan kejadin itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, mohon hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03- 33762222 bagi membantu siasatan," katanya.

Kes tikam Saif Ali Khan didalangi ‘orang dalam’, 3 individu ditahan

HANISAH SELAMAT
POLIS kini menahan tiga lelaki bagi siasatan kes pelakon Saif Ali Khan ditikam dalam satu kejadian rompakan di kediamannya kelmarin.
PIHAK berkuasa mengesyaki cubaan pecah masuk rumah Saif Ali Khan di Mumbai yang mengakibatkan aktor itu cedera parah ditikam sebanyak enam kali didalangi ‘orang dalam’.

Setakat ini polis sudah menahan tiga individu yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan insiden sekitar pukul 2.30 pagi tersebut.

Menerusi semakan awal dari rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di bangunan 12 tingkat itu, tidak kelihatan individu asing masuk atau keluar dari premis berkenaan.

Begitupun, selepas penelitian polis mendapati seorang lelaki mencurigakan yang memakai seluar denim dan berbaju kelabu menyorok di tangga kondominium terbabit.

Siasatan mendapati perompak lebih dulu mengugut pembantu rumah yang ketika itu bersama dua anaknya, Taimur Ali, 8, Khan dan Jeh Ali Khan, 4.

Mendengar jeritan wanita terbabit aktor berusia 54 tahun itu bergegas ke bilik tidur anak lelakinya dan berlaku pergelutan hingga Saif dirodok pisau bertubi-tubi.

Difahamkan demi melindungi diri sendiri pelakon filem Jewel Thief itu sanggup menyabung nyawa melawan penceroboh yang bersenjata.

Perompak terbabit juga dikatakan menuntut sejumlah wang agar dua kanak-kanak terbabit tidak dicederakan.

Namun ketika ada media melaporkan isterinya, Kareena Kapoor tiada di rumah kerana keluar bersama kakaknya, Karisma dan aktres Sonam Kapoor, laporan lain menyebut wanita terbabit berada di tempat kejadian.

Polis Bandra yang menubuhkan tujuh kumpulan bagi menyiasat cubaan rompakan tidak menjadi ini turut meminta media dan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi.

Terdahulu, Saif yang dikejarkan anak lelakinya, Ibrahim keHospital Lilavati, India pada pukul 3.30 pagi selamat menjalani pembedahan namun masih dalam pemantauan doktor.

Menurut satu laporan, Pegawai eksekutif hospital, Niraj Uttamani berkata, terdapat objek asing iaitu bahagian pisau yang patah sepanjang 2.5 inci ditemui berhampiran tulang belakang pelakon bintang Dil Chahta Hai itu.

Menurut doktor, pembedahan tersebut membabitkan usaha mengeluarkan pisau dan memperbaiki cairan tulang belakang yang bocor.

Terdapat juga dua luka lagi di leher kiri dan kanan yang dijalankan pakar pembedahan plastik bahkan keadaan Saif stabil dan sudah ditempatkan di wad pemulihan. – KOSMO! ONLINE

Kareena Kapoor akhirnya buka mulut

Sinar Harian

Kareena Kapoor akhirnya 'membuka mulut' selepas suaminya, Saif Ali Khan mengalami kecederaan parah setelah diserang perompak di kediaman mereka di Mumbai, India pada awal pagi Khamis. - Foto Sinar Harian

AKTRES Kareena Kapoor akhirnya 'membuka mulut' selepas suaminya, Saif Ali Khan mengalami kecederaan parah setelah diserang perompak di kediaman mereka di Mumbai, India pada awal pagi Khamis.

Menyifatkan insiden itu sebagai hari yang mencabar buat mereka sekeluarga, bintang berusia 44 tahun itu meminta semua pihak memberikan mereka ruang dan menghormati sempadan.

"Ia merupakan hari yang sangat mencabar bagi keluarga kami dan kami masih cuba memproses peristiwa yang telah berlaku.

"Dalam pada kami mengharungi masa yang sukar ini, saya dengan hormat dan rendah hati meminta agar media dan paparazi mengelak daripada membuat sebarang spekulasi dan liputan tanpa henti," tulis Kareena menerusi hantaran di Instagram miliknya.

Tambah ibu kepada dua orang cahaya mata itu, dia menghargai segala keprihatinan, sokongan, penelitian dan perhatian berterusan.

Bagaimanapun Kareena berpendapat, ia juga akan menimbulkan risiko kepada keselamatan mereka sekeluarga.

"Saya dengan hormat meminta anda menghormati sempadan kami dan memberi kami ruang yang kami perlukan untuk sembuh dan pulih sebagai sebuah keluarga.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih terlebih dahulu atas pemahaman dan kerjasama anda semasa tempoh sensitif ini," ujar Kareena lagi.

Dalam kejadian pada jam 2.30 pagi, awal pagi Khamis, Saif berulang kali ditikam dengan pisau oleh penceroboh di dalam pangsapuri 12 tingkat di Mumbai.

Akibat tikaman itu, Saif mengalami enam kecederaan termasuk dua luka dalam dan selepas menjalani pembedahan mengeluarkan serpihan pisau berdekatan tulang belakangnya, aktor berusia 54 tahun itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Difahamkan ketika kejadian, Saif cuba menyelamatkan dua anaknya, Taimur dan Jeh Ali Khan yang menjadi tebusan bersama pembantu rumah mereka.

Bagaimanapun beberapa pihak mendakwa Kareena tidak berada di rumah ketika kejadian berlaku kerana keluar bersama kakaknya, Karisma Kapoor. Namun setakat ini, ia hanya spekulasi liar sahaja.

Wanita ditahan kerana memandu secara bahaya, cuba langgar polis

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis menahan pemandu wanita selepas bertindak memandu secara bahaya serta cuba melanggar anggota polis di persimpangan Jalan Imbi-Jalan Sultan Ismail, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, semakan lanjut pihaknya mendapati video berkaitan kejadian didapati tular di media sosial.

Beliau berkata, laporan berkaitan kejadian diterima kira-kira jam 7.56 petang.

"Siasatan mendapati dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, suspek berumur 38 tahun terbabit bertindak memandu secara berbahaya dan memotong barisan laluan sehingga menyebabkan kemalangan.

"Anggota trafik bertugas kemudiannya mengarahkan mangsa berhenti namun suspek enggan sebelum cuba melarikan diri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, tindakan suspek itu mengakibatkan kenderaan dipandunya hampir melanggar anggota trafik bertugas.

"Suspek kemudiannya ditangkap dan direman dua hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, suspek kemudiannya dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan seorang wanita dilihat enggan mematuhi arahan diberikan anggota polis trafik di satu persimpangan di kawasan ibu kota.

Warga emas didenda RM7,000 cabul kanak-kanak lelaki

Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencabul kehormatan seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun.

Hakim Mohd Kafli Che Ali yang menjatuhkan hukuman itu turut memerintahkan Ng Boo Cheng, 63, menjalani hukuman penjara tujuh bulan jika gagal membayar denda.

Lelaki itu didakwa mencabul kehormatan kanak-kanak terbabit di sebuah kedai makan di Setapak di sini, pada 5 petang, 17 April 2024, mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, semasa kanak-kanak lelaki itu dalam perjalanan pulang ke rumah, tertuduh telah memanggil mangsa masuk ke dalam kedai makan miliknya serta bertanya khabar dan memeluk mangsa.

Mangsa mengenali tertuduh kerana pernah membeli makanan di kedai terbabit dan semasa kejadian itu berlaku, kedai berkenaan tutup.

Mangsa kemudian memberitahu bapanya mengenai kejadian itu dan laporan polis telah dibuat pada hari sama (17 April).

Peguam S. Narasimhan merayu hukuman denda rendah atas alasan anak guamnya tidak bekerja kerana menghidap penyakit darah tinggi, diabetes serta sakit jantung yang memerlukan rawatan susulan di Hospital Serdang.

"Tertuduh kesal dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan itu lagi. Saya mohon hukuman penjara terhadap anak guam dikecualikan dan hanya diberikan hukuman denda. Tertuduh juga tidak akan mengganggu mangsa dan keluarganya," kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias memohon hukuman penjara dan sebatan yang setimpal dengan kesalahan itu bagi memberi pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat.

"Perbuatan ini jijik dan tidak bermoral... mangsa merupakan kanak-kanak berusia 12 tahun 10 bulan yang sepatutnya dilindungi bukan mengambil kesempatan terhadapnya. Kejadian ini memberi impak kepada keluarga dan kehidupan mangsa," katanya.

Mahkamah kekal hukuman penjara 58 tahun, denda RM1.05 juta ke atas bekas majistret

BERNAMA
Bekas majistret, Mohamad Amin Shahul Hamid keluar dari Mahkamah Tinggi selepas mendengar keputusan rayuan kes. FOTO MUHAMMAD DELIMA ATAN
Bekas majistret, Mohamad Amin Shahul Hamid keluar dari Mahkamah Tinggi selepas mendengar keputusan rayuan kes. FOTO MUHAMMAD DELIMA ATAN
Kuantan: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, mengekalkan hukuman denda dan penjara ke atas seorang bekas majistret yang didapati bersalah atas enam pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada seorang peniaga, kira-kira lima tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Radzi Harun menolak rayuan Mohamad Amin Shahul Hamid, 44, dan mengekalkan hukuman penjara 58 tahun dan denda RM1.05 juta atau 72 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Bagaimanapun, Hakim Mohd Radzi membenarkan Mohamad Amin menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara yang ditetapkan bermula hari ini dan denda kerana ingin merayu ke Mahkamah Rayuan.

Bagi tujuan itu, mahkamah menaikkan jaminan asal daripada RM50,000 kepada RM100,000 dengan dua orang penjamin.

Dalam penghakimannya, Mohd Radzi berkata, selepas meneliti, beliau mendapati semua hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen adalah adil, saksama dan tidak keterlaluan selain sejajar dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mohamad Amin didakwa meminta suapan berjumlah RM100,000 dan menerima suapan bernilai RM110,000 daripada peniaga Hassan Basri Ahmad Sutan Modo di sekitar Lipis dan Raub antara 5 Julai hingga 22 Oktober 2019, yang didakwa sebagai dorongan untuk hanya mengenakan hukuman denda dan bukan penjara terhadap lelaki itu yang didakwa memiliki rokok seludup.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ezuain Farhana Ahmad manakala perayu diwakili peguam R Arvend serta S Arvind.

Terdahulu, Wan Shaharuddin memohon jaminan dikenakan terhadap Mohamad Amin dinaikkan kepada RM100,000 dengan dua penjamin.

Bagaimanapun, R Arvend memohon jumlah berkenaan dikurangkan kerana anak guamnya hanya membantu keluarga menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

Pada 2022, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 58 tahun dan denda RM1.05 juta terhadap Mohamad Amin dengan membenarkan semua hukuman penjara berjalan serentak, yang mana dia hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.

Pemuda lemas kereta terbabas dalam parit

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
ORANG ramai membantu mengeluarkan mangsa selepas kereta terbabas dan terbalik dalam parit di Parit Jawa. FOTO tular.
ORANG ramai membantu mengeluarkan mangsa selepas kereta terbabas dan terbalik dalam parit di Parit Jawa. FOTO tular.
Muar: Pemuda maut selepas kereta dipandu terbabas dan terbalik ke dalam parit di Jalan Parit Limbong Darat, Parit Jawa, di sini, semalam.

Kemalangan jam 2 petang itu menyebabkan mangsa, Mohd Hafis Mohamad Ali, 32, meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Sri Tanjong menuju ke Parit Jawa.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, kereta dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik ke dalam parit.

"Orang awam menyaksikan kejadian segera menghulurkan bantuan namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan akibat lemas.

"Mayat kemudian dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan.

Lelaki bunuh anak tiri dipenjara 30 tahun, 12 sebatan

Bernama

Mahkamah Rayuan benar rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pinda pertuduhan daripada bunuh kepada sebabkan kematian.

Mahkamah Rayuan berkata Mahkamah Tinggi telah terkhilaf kerana meminda pertuduhan terhadap Mohamad Sofiyuddin Abu Bakar.
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini memerintahkan seorang lelaki dipenjara 30 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan membunuh anak lelaki tirinya yang berusia dua tahun pada 2019.

Panel tiga hakim diketuai Zaidi Ibrahim memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang meminda pertuduhan terhadap Mohammad Sofiyuddin Abu Bakar, 34, daripada membunuh kepada menyebabkan kematian tanpa niat dan menjatuhi hukuman penjara 16 tahun enam bulan ke atas tertuduh.

Ketika menyampaikan keputusan yang dibuat secara sebulat suara semalam, Zaidi berkata Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf kerana meminda pertuduhan terhadap Sofiyuddin.

Turut bersidang Hakim Azizul Azmi Adnan dan Kamal Md Shahid.

Panel itu memerintahkan Sofiyuddin menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 26 Mei 2019.

Sofiyuddin pada asalnya didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Muhammad Aqil Hairi Mohd Azrul Epindi di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Yan-Guar Chempendak, Guar Chempedak, Kedah, antara 7.30 hingga 8 malam pada 25 Mei 2019.

Berdasarkan fakta kes, ibu kanak-kanak itu telah meninggalkan anaknya di bawah jagaan Sofiyuddin ketika dia pergi bekerja pada hari berkenaan.

Sofiyuddin yang diwakili peguam Ai Cha Ran dan Surachetth Jotsuwan, mendakwa kanak-kanak itu terjatuh dari meja ke lantai dan dumbel, namun hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan trauma tumpul pada abdomen dan kecederaan dialami kanak-kanak itu tidak konsisten dengan kejadian jatuh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang.

Doktor didakwa kerana bunuh, kerat kekasih hamil

Agensi

Hanoi: Seorang doktor di wilayah selatan Vietnam, Dong Nai menghadapi tuduhan merompak dan memiliki senjata tentera secara haram, serta membunuh dan mengerat kekasihnya yang hamil bagi menyembunyikan hubungan sulit mereka.

Pendakwa Raya Dong Nai mengeluarkan dakwaan terhadap Danh Son, 36 tahun, pakar pembedahan am di Hospital Besar Dong Nai, atas tiga pertuduhan itu, pada 14 Januari lalu.

Mengikut pertuduhan, wanita berusia 35 tahun bernama TTBN dari Bien Hoa City membawa saudara-mara ke Hospital Besar Dong Nai untuk mendapatkan rawatan, di mana dia berjumpa doktor yang merawat pesakit secara langsung pada penghujung 2022.

Walaupun kedua-duanya sudah berkahwin, mereka didakwa menjalinkan hubungan cinta.

Menjelang Mac 2024, wanita itu didakwa memaklumkan Son bahawa dia hamil dan menuntut doktor itu bertanggungjawab.

Wanita itu juga mengancam untuk mendedahkan hubungan sulit mereka kepada keluarga dan tempat kerjanya.

Akibat bimbangkan hubungan dengan keluarga dan kerjaya terjejas, Son memutuskan untuk membunuh kekasihnya serta mengerat badannya untuk menghapuskan bukti.

Dia didakwa membeli pisau pemotong daging, pisau pembedahan, tukul dan pil tidur yang disembunyikan di kawasan rehat peribadinya di Hospital Besar Dong Nai.

Pada 13 April 2024, dia menghubungi kekasihnya, meminta dia datang ke biliknya untuk berbincang.

Kira-kira 1 tengah hari pada hari sama, wanita itu tiba di bilik, di mana pihak berkuasa percaya dia meyakinkan mangsa untuk menjalani rawatan intravena (IV).

Dia didakwa secara rahsia meletak pil tidur ke dalam larutan IV.

Kira-kira sejam kemudian, apabila wanita itu tidak sedarkan diri, dia didakwa membunuhnya sebelum mengerat badan mangsa kepada beberapa bahagian, meletakkannya ke dalam beg plastik dan membuangnya di pelbagai lokasi di Bandar Bien Hoa dan daerah Vinh Cuu.

Dia kemudian membuang pakaian dan selimut berlumuran darah ke tong sampah hospital untuk menutup jenayah itu.

Pada 26 April 2024, Jabatan Polis Siasatan Jenayah Wilayah Dong Nai menahannya untuk siasatan.

Pemeriksaan di kediamannya di wad Tan Hiep di Bien Hoa turut menemui sepucuk revolver dan lima butir peluru.

Bunuh ibu saudara uzur kerana tak mahu jaga

Erika George
am@hmetro.com.my
Lokasi mangsa dibunuh pada malam Rabu lalu. FOTO ERIKA GEORGE
Lokasi mangsa dibunuh pada malam Rabu lalu. FOTO ERIKA GEORGE
Bintulu: Gara-gara tidak mahu menjaga ibu saudara yang sudah tua dan uzur, seorang lelaki tempatan dengan rakan warga asing nekad membunuh warga emas itu di kediamannya di Daerah Kecil Tubau pada malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian pada jam 8 malam sebelum berjaya menahan kedua-dua suspek utama pada jam 9 malam.

"Hasil maklumat serta risikan, polis berjaya menahan kedua-dua suspek dalam tempoh kurang daripada empat jam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu katanya, mangsa yang juga warga tempatan berusia 80 tahun dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ekoran kejadian itu, Nixon berkata, polis bertindak memulakan siasatan serta memburu kedua-dua suspek sebelum berjaya menahan mereka di kawasan berhampiran.

"Kedua-dua suspek akan dikenakan tahanan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

Nixon berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang melakukan perbuatan jenayah.

Justeru itu katanya, polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah agar tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304.

2 lagi exco Pemuda Bersatu letak jawatan lantikan

FMT Reporters

Abdul Asis Rishad Khan dari Kinabatangan dan Afrizan Jamil dari Semporna melepaskan jawatan sebagai ahli jawatankuasa Jabatan Pengurusan Pemuda, namun kekal sebagai exco tanpa portfolio.
Abdul Asis Rishad Khan (kiri) dan Afrizan Jamil berkata peranan tanpa portfolio akan memberi ruang dan peluang kepada mereka berkhidmat lebih berkesan serta memfokuskan pengukuhan Bersatu.
PETALING JAYA: Dua lagi Exco Pemuda Bersatu mengumumkan peletakan jawatan lantikan dalam kepimpinan sayap namun mengekalkan jawatan sebagai exco tanpa portfolio.

Mereka ialah Abdul Asis Rishad Khan dari Kinabatangan dan Afrizan Jamil dari Semporna. Kedua-duanya dilantik sebagai ahli jawatankuasa Jabatan Pengurusan Pemuda Bersatu oleh Ketua Muhammad Hilman Idham pada 29 Nov lalu.

Sebelum ini, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsudin mengumumkan peletakan jawatan ketua biro profesional dan sukarelawan Bersatu pada 5 Jan lalu namun mengekalkan jawatan sebagai exco Pemuda tanpa portfolio, berikutan perbezaan pendiriannya dengan Hilman.

Dalam kenyataan berasingan, Asis dan Afrizan berkata sebagai antara tiga exco Pemuda dari Sabah yang telah dipilih oleh perwakilan, peranan yang diberikan tidak signifikan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada Pemuda Bersatu.

Malah, kata mereka, meletakkan kesemua tiga exco Pemuda dari Sabah dalam satu Jabatan Pengurusan tanpa peranan khas adalah dilihat tidak wajar.

“Peranan tanpa portfolio akan memberi ruang dan peluang untuk kami berkhidmat dengan lebih berkesan serta memfokuskan pengukuhan Bersatu di Sabah bagi menghadapi PRU16 dan PRN tidak lama lagi,” kata mereka.

GISBH: 107 kanak-kanak masih belum dituntut ibu bapa kerana bimbang ditangkap

SITI NUR ZAWANI

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menasihatkan agar ibu bapa kepada kanak-kanak Global Ikhwan Services Bussiness and Holdings Sdn Bhd (GISBH) segera hadir mengambil anak masing-masing.

Beliau berkata, seramai 107 kanak-kanak yang dikaitkan dengan kumpulan itu masih berlindung di lapan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga kini.

Nancy berkata pihaknya mengenalpasti ada keluarga kanak-kanak yang sudah berhubung, namun enggan menuntut anak mereka atas alasan bimbang ditangkap pihak berkuasa.

“Saya menasihatkan agar ibu bapa kepada kanak-kanak itu hadir mengambil anak masing-masing. Kita difahamkan mula-mula ada yang ingin menuntut tapi mungkin ada yang nasihat mereka supaya jangan dituntut dulu sebab ada kaitan dengan tindakan kerajaan.

“Saya rasa itu tak adil sebab kita tak serahkan sebelum ini kerana menunggu laporan polis dan proses perundangan. Jadi saya sarankan kepada ibu bapa terbabit, datanglah kepada kita.

“Kita pun tak mahu jaga anak orang dan tiada agenda tersembunyi sebaliknya ingin membantu. Nak ambil anak orang bukan mudah, lagipun ramai lagi anak di institusi kita yang perlu dijaga,” katanya dalam sidang media, hari ini, menurut BH Online.

Media sebelum ini melaporkan seramai 660 kanak-kanak diselamatkan dalam Op Global dengan 559 daripada mereka mendapat perintah mahkamah untuk penjagaan dan perlindungan di bawah JKM bermula Oktober hingga Disember tahun lalu.

Katanya, ibu bapa tidak perlu risau untuk datang mengambil anak mereka kerana mereka boleh berunding selain perlu hadir ke mahkamah untuk proses penyerahan.

“Datanglah berunding dengan kita. Apa yang jadi masalah sebenarnya, jangan menyalahkan kita (JKM) kerana kita bukan nak menangkap tapi melindungi keadaan mereka,” katanya.

Selepas habis 'dikikis', wanita dipukul bekas kekasih

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
JIHAN menunjukkan kesan luka akibat dipukul bekas teman lelakinya. FOTO Zuliaty Zulkiffli
JIHAN menunjukkan kesan luka akibat dipukul bekas teman lelakinya. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Sungai Petani: Akibat terpedaya dengan janji manis lelaki 'pisau cukur', seorang wanita mendakwa menjadi mangsa pukul bekas kekasihnya.

Wanita hanya mahu dikenali sebagai Jihan , 39, itu juga mendakwa dia diugut lelaki berkenaan, jika tidak memberi wang.

Dia yang juga anak seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' itu mendakwa turut kerugian lebih RM300,000 akibat diperdaya lelaki terbabit.

Menceritakan kisahnya, Jihan yang juga ibu tunggal seorang anak itu mendakwa mengenali lelaki terbabit yang bekerja sebagai penjawat awam di sebuah agensi penguat kuasa di Langkawi, melalui media sosial, sejak 2020.

Katanya, pada mulanya, lelaki itu menunjukkan sifat penyayang dan berjanji untuk berkahwin dengannya, di samping memberitahu dalam proses untuk berpisah dengan isteri walaupun sudah mempunyai seorang anak.

"Disebabkan dia berjanji untuk berkahwin dengan saya, apa saja yang dia mahu saya tunaikan sehinggalah saya sanggup membelikan sebuah kereta BMW, sebuah motosikal, jam tangan berjenama bernilai RM6,000, cermin mata bernilai RM2,000, serta memasukkan wang ke dalam akaun bank miliknya setiap bulan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Jihan, dia juga sering bertemu dengan bekas kekasihnya itu di Langkawi, malah turut membelikan jet ski untuk lelaki itu menjalankan perniagaan di sana.

Katanya, lelaki itu mula menunjukkan sikap panas baran apabila dia tidak memberikan wang kepadanya sejak tahun lalu menyebabkan individu itu marah.

Wanita itu mendakwa, dia pernah dimaki hamun selain cedera selepas dicekik, ditumbuk dan dihantuk kepala serta diugut oleh lelaki berkenaan.

Katanya, keadaan itu menjadikan dia trauma dan terpaksa menyekat nombor telefon lelaki terbabit bagi mengelakkan dia terus menerima ugutan.

"Namun, disebabkan tidak tahan selain risaukan keselamatan diri, saya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi pada Rabu lalu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan wanita terbabit.