"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Tan Sri, Datuk Seri antara 5 ditahan terbabit pengubahan wang haram RM3.5 bilion
Essa Abu Yamin
KUALA LUMPUR: Tiga dusun durian seluas 363.02 hektar, hotel, syarikat pemaju dan kilang pemprosesan kelapa sawit dianggarkan bernilai RM3.5 bilion antara aset baru dibeku dan disita kerana disyaki terbabit jenayah pengubahan wang haram berkait skim pelaburan ponzi di sebuah negara jiran dinamakan pelaburan MBI International Group (MBI).
Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga turut menahan lima lelaki termasuk usahawan bergelar Tan Sri dan Datuk Seri yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengasas skim pelaburan MBI itu.
Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali, berkata tangkapan itu dilakukan menerusi Operasi Northern Star (Op Northern Star) yang dilaksanakan pada 18 hingga 21 lalu di sekitar Lembah Klang dan utara tanah air.
Beliau berkata, siasatan mendapati Tan Sri dan Datuk Seri terbabit adalah proksi dan rakan kongsi kepada sindiket ini.
Katanya, dusun durian itu mempunyai geran sah, namun menggunakan wang haram untuk pelaburan dan siasatan masih diteruskan dengan beberapa siri operasi lain akan diadakan, selain tidak menolak ada tangkapan baharu selepas ini.
"Semua lelaki yang ditahan berusia 35 hingga 67 tahun itu kini direman lima hingga enam hari bagi membantu siasatan.
"Tindakan pembekuan dan penyitaan sudah dilaksanakan terhadap harta dan aset membabitkan dusun durian dianggarkan bernilai RM223,624,167.75 di tiga lokasi iaitu di Raub, Pahang berkeluasan 344 hektar; di Jawi, Pulau Pinang berkeluasan 5.26 hektar dan di Tasek, Kedah berkeluasan 13.76 hektar," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Muhammed Hasbullah berkata, sebanyak 299 akaun bank bernilai RM123,614,594.35, 12 kenderaan mewah, seutas jam tangan mewah, wang tunai Ringgit Malaysia, lima unit telefon bimbit, satu unit komputer dan pelbagai dokumen penting dipercayai hasil perolehan haram berkaitan penipuan pelaburan turut dibeku dan disita.
"Jumlah keseluruhan pembekuan dan penyitaan dianggarkan sebanyak RM3,513,304,957.84 dan turut melaksanakan tindakan penyitaan ke atas tiga perniagaan mengikut Seksyen 52 (Akta 613).
"Perniagaan yang disita termasuk sebuah kilang memproses kelapa sawit di Selama, Kedah, sebuah hotel dan sebuah syarikat pemaju masing-masing di Pulau Pinang," katanya.
Muhammed Hasbullah berkata, siasatan dan maklumat diperoleh daripada notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) mendapati seramai 11 juta mangsa dari negara jiran terbabit dalam skim pelaburan ini sejak lapan tahun lalu, tetapi hanya enam laporan polis diterima di negara ini.
Beliau berkata, skim pelaburan ini tidak mempunyai unsur gengsterisme sebaliknya memfokus kepada perniagaan.
"Polis akan meneruskan siasatan dan tangkapan ke atas mana-mana individu dan entiti dipercayai membabitkan diri secara langsung atau tidak langsung daripada perolehan haram kegiatan aktiviti penipuan pelaburan terbabit.
"Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan aset dan hasil perolehan haram atas kes penipuan pelaburan MBI disaran memberi maklumat kerjasama kepada polis.
"Orang ramai juga diingatkan sentiasa berwaspada dan menjauhkan diri daripada sebarang aktiviti mencurigakan dan pada masa sama, dapat memberi kerjasama menyalurkan maklumat mengenai jenayah pengubahan wang haram," katanya.
Penjara 6 tahun bekas jurulatih cabul atlet Sukma bermul
FMT Reporters
PETALING JAYA: Bekas penolong jurulatih boling diarahkan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menjalani hukuman penjara enam tahun selepas rayuannya tarhadap sabitan amang seksual fizikal terhadap seorang atlet Sukma ditolak.
Hakim Hassan Abdul Ghani mengeluarkan arahan itu selepas mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 16 Mei tahun lalu yang mendapati Mat Salleh Jalani, 62, bersalah, lapor Bernama.
“Mahkamah menolak rayuan perayu dan mengekalkan hukuman yang disabitkan Mahkamah Sesyen sebelum ini,” katanya, dan mengarahkan Mat Salleh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.
Mahkamah Sesyen pada 16 Mei lalu memutuskan lelaki itu bersalah melakukan amang seksual ke atas seorang remaja lelaki yang ketika itu berumur 14 tahun satu bulan di sebuah taman perumahan di Marang pada Mac 2018.
Mat Salleh didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga sebatan.
Dia dihukum penjara enam tahun.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim, manakala Mat Salleh diwakili peguam Wan Suhaili Wan Ismail.
Wan Suhaili memaklumkan bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.
Kepimpinan Bersatu Perak bergolak?
Konflik kepimpinan Bersatu Perak yang meruncing

K PRAGALATH
Konflik kepimpinan Bersatu di Perak begitu teruk sehinggakan timbalan presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin ditugaskan untuk meredakan ketegangan dalaman Bersatu Perak, lapor FMT.
Ia ekoran permintaan pertukaran kerusi di Dewan Undangan Negeri.
Tindakan Ketua Bersatu Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menghantar surat kepada DUN untuk meminta Adun Sungai Manik Zainol Fadzi Paharuddin menukar kerusi dengan Adun Changkat, Jong Nadziruddin Bandi.
Faizal yang juga dikenali Peja berkata, permintaan menukar kerusi itu disebabkan Nadziruddin baru-baru ini dinaikkan pangkat sebagai setiausaha Bersatu Perak, jawatan yang dilepaskan Zainol.
Tetapi, beberapa bahagian Bersatu melihat langkah itu membenarkan Nadziruddin mengambil alih peranan Zainol sebagai pemangku ketua pembangkang selepas Razman Zakaria dari PAS digantung selama enam bulan.
Zainol duduk bersebelahan Razman dalam DUN Perak.
Ketua Bersatu Ipoh Timur Fadhli Ismail berkata beliau dan pimpinan bahagian lain berpendapat surat yang dihantar Faizal adalah secara sepihak.
Nadziruddin pula ialah Adun penggal pertama yang baru dilantik sebagai setiausaha Bersatu Perak.
Adun Kuala Sepetang, Ahmad Man, berkata Bersatu Perak mahupun Perikatan Nasional belum mengadakan mesyuarat membincangkan langkah pertukaran kerusi itu.
“Ini soal DUN, bukan isu parti semata-mata,” katanya sambil menambah Adun PAS pada awalnya tidak tahu mengenai cadangan pertukaran kerusi itu.
Kes pemuda longlai dibelasah yang Tular dalam video: 8 ditahan termasuk seorang wanita
Omar Ahmad

Tangkap layar video tular kes belasah seorang lelaki hingga longlai.
PASIR GUDANG: Lapan termasuk seorang wanita ditahan dipercayai terbabit kes pukul pemuda sehingga longlai yang mana video kejadian itu turut tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam Jumaat lalu di kawasan pangsapuri di Plentong Baru Masai, di sini, dengan polis menerima laporan daripada mangsa, 21, jam 11.30 malam kelmarin.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Seri Alam menahan lapan suspek berusia antara 19 hingga 26 tahun termasuk wanita jam 2.30 pagi semalam di lokasi kejadian.
"Semua suspek direman enam hari sehingga Sabtu ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).
"Lima daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau kesalahan berkaitan jenayah dan dadah. Ujian saringan air kencing juga mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine," katanya melalui kenyataan.
Mohd Sohaimi berkata siasatan mendapati mangsa pergi ke pangsapuri terbabit atas jemputan seorang wanita yang dikenali menerusi aplikasi media sosial.
Sebaik tiba, mangsa dikurung dan dipukul beberapa lelaki sehingga luka pada bibir, telinga dan bengkak pada bahagian badan.
Kes disiasat dibawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Terdahulu tular di media sosial beberapa klip video memaparkan seorang pemuda longlai dipukul beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki dalam sebuah rumah dipercayai berlaku di Pasir Gudang di sini.
Salah satu video turut memaparkan seorang daripada mereka menumbuk dan menendang alat sulit mangsa.
Tangguh haji, tangguh umrah pergi undi – setuju?
Mohsin Abdullah
Apabila Hadi Awang seru umat Islam mengutamakan ‘kemenangan Islam’ dalam landskap politik negara, beliau sebenarnya bercakap mengenai kemenangan PAS.
Sekilas pandang pada tajuk anda sudah tentu tahu what this article is all about. Ia mengenai seruan Presiden PAS Hadi Awang kepada umat Islam supaya mengutamakan pilihan raya daripada mengerjakan haji dan umrah.
Sebenarnya beliau sudah beberapa kali membuat seruan sedemikian khususnya menjelang pilihan raya dan juga selepas pilihan raya. Kira-kira lima minggu selepas PRU15 Hadi merungut “malangnya orang Islam yang keluar mengundi hanya sekitar 60% — menunjukkan orang Islam yang tidak menunaikan kewajipan mengundi walaupun alasannya kerana ibadat haji dan umrah”. Ini saya petik daripada surat terbuka beliau kepada ‘jemaah haji dan umrah yang tidak mengundi’ yang disiarkan dalam ruangan Minda Presiden oleh media rasmi PAS. Hakikatnya ramai umat Islam beri keutamaan kepada haji dan umrah. Untuk rekod Perikatan Nasional yang dianggotai PAS tidak menang PRU15.
Menjelang pilihan raya enam negeri yang dijalankan serentak pada 2023, Hadi mengingatkan umat Islam termasuk jemaah umrah dan bakal haji tentang ‘dosa besar’ tak mengundi.
Baru-baru ini semasa berkempen menjelang PRK Ayer Kuning di Perak, sekali lagi Hadi bercakap perkara sama. Beliau mahu umat Islam tunda dulu naik haji kerana kemenangan politik lebih utama.
Penerbangan pertama ke tanah suci untuk musim haji tahun ini dilapor dijadualkan pada 29 April — tiga hari selepas PRK Ayer Kuning. Ertinya jika bakal haji mahu mengundi memang sempat. Namun biasanya beberapa hari sebelum berangkat jemaah haji sudah beri fokus pada ibadah yang akan didirikan di tanah suci. Perkara dan urusan lain selain ibadah are far from their mind.
Mengapa Hadi kata apa yang beliau kata? “Nabi (Muhammad) nak tunaikan haji pun … nabi mendahulukan kemenangan politik daripada haj dan umrah. Ia boleh ditangguhkan, kemenangan politik tidak boleh ditangguh,” kata beliau pada majlis ceramah kempen calon PN di Tanjung Keramat, Perak beberapa hari lalu.
Untuk memperkukuhkan hujah, Hadi sering mengutarakan peristiwa Rasulullah dihalang melaksanakan umrah sehingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah. Ada agamawan pula berkata Rasulullah terhalang secara fizikal bukan kerana strategi politik.
Saya kerdil dalam soal agama. Bukan level saya mengulas pandangan Hadi dan para agamawan dalam soal Islam. Cuma bagi saya Hadi membawa peristiwa zaman Rasulullah ke dalam konteks politik tanah air masa kini seolah-olah mahu disamakan pilihan raya Malaysia dengan medan perang Nabi Muhammad menentang musuh Islam.
Pada hemat saya apabila Hadi menyeru umat Islam mengutamakan ‘kemenangan Islam’ dalam lanskap politik negara, beliau sebenarnya bercakap mengenai kemenangan PAS. Bukan sesuatu yang baharu, aneh atau memeranjatkan kerana untuk sekian lama PAS melabel diri sebagai parti Islam yang perjuangkan Islam, sehingga ada dalam kalangan penyokong percaya PAS itu Islam dan Islam itu PAS.
Bagi saya umat Islam yang memilih untuk mendirikan ibadah haji atau mengerjakan umrah, politik zaman ini tidak boleh disamakan dengan situasi zaman nabi. Politik sekarang tidak suci seperti politik zaman Rasulullah jika istilah politik boleh digunakan.
Berdasarkan itu sudah tentu umat Islam yang berpeluang ke tanah suci akan memilih mengerjakan ibadah, bukannya menyertai ‘perang politik’ menerusi peti undi. Saya yakin mereka termasuk ahli dan penyokong PAS sendiri, melainkan golongan yang benar-benar wala’ pada parti dan pemimpin.
Kesimpulannya. Saya percaya ramai umat Islam tahu dosa jika tidak berjuang untuk Islam cuma mereka tidak setuju perjuangan politik masa kini dikaitkan, apa lagi disamakan, dengan perjuangan Islam seperti yang dilaksanakan oleh Rasulullah dan para sahabat.
Seperkara lagi. Diulangi kata Hadi tangguhkan haji dan umrah dan beri keutamaan pada pilihan raya. Kita tahulah apa yang Hadi mahu pengundi lakukan. Bagaimana jika yang tangguhkan haji atau umrah dan beri keutamaan kepada pilihan raya itu tidak undi PAS? Apa agaknya kata Hadi?
Wanita ditahan pukul anak di kedai dobi
FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang wanita ditahan semalam kerana disyaki memukul anak berusia sembilan tahun di sebuah kedai dobi di Chukai, Terengganu.
Ketua Polis Kemaman, Mohd Razi Rosli, berkata pihaknya menerima laporan kelmarin dan hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada 3 petang 16 April lalu.
“Kita menerima laporan satu video kejadian pukul yang tular di media sosial memaparkan seorang wanita memarahi dan memukul anak perempuannya.
“Wanita berusia 45 tahun memarahi dan memukul anaknya kerana bimbangkan keselamatan anaknya yang berlari-lari di depan kedai dobi terbabit yang boleh menyebabkan kecederaan sekiranya dilanggar kenderaan,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, wanita itu direman hingga hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Menurutnya, mangsa kemudian dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kemaman dan kini dijaga bapanya.
Beliau meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.
Puak Israel dikhuatiri berbunuhan sesama sendiri akibat krisis Shin Bet
BHarianonline

Anggota pasukan keselamatan mengusung seorang penunjuk perasaan ketika protes menghalang pintu masuk ke Knesset, Parlimen Israel, bagi membantah tindakan kerajaan Israel memecat Peguam Negara, Gali Baharav Miara, serta ketua agensi keselamatan tertinggi Shin Bet, Ronen Bar. - Foto REUTERS
TEL AVIV: Pemimpin pembangkang Israel, Yair Lapid, bimbang mungkin akan tercetus keganasan politik susulan kempen kebencian terhadap ketua keselamatan dalam negeri Israel, yang kini berdepan pemecatan oleh kerajaan.
"Garis merah sudah dilanggar. Jika kita tidak hentikan kemelut ini, maka akan berlaku pembunuhan politik di sini, mungkin lebih daripada satu. Orang Yahudi akan membunuh orang Yahudi.
"Ancaman paling serius ditujukan kepada ketua Shin Bet, Ronen Bar," katanya dalam sidang media.
Pemecatan Bar sebagai ketua agensi keselamatan dalam negeri itu dicabar di mahkamah oleh pembangkang, yang menyifatkannya sebagai bukti kecenderungan anti-demokratik oleh kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Terdahulu, Bar mendakwa pemecatannya mempunyai kaitan dengan siasatan berhubung serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 dan perkara-perkara serius lain termasuk tuduhan rasuah dihadapi Netanyahu.
Sementara itu, Peguam Negara, Gali Baharav-Miara, pula memberi amaran mengenai konflik kepentingan peribadi oleh perdana menteri disebabkan siasatan jenayah yang membabitkan sekutunya.
Mahkamah Agung membekukan percubaan awal kerajaan Israel untuk memecat Bar dan baru-baru ini ia memberi tempoh kepada Kabinet dan Pejabat Peguam Negara sehingga tamat cuti perayaan Passover untuk mencapai kata sepakat.
Menurut laporan media, Bar mungkin akan meletak jawatan dalam masa terdekat, sekali gus menamatkan kemelut berkenaan.
Lapid, yang mengetuai parti pusat-kanan Yesh Atid, berpendapat Bar sepatutnya meletak jawatan atas kegagalan agensinya mencegah serangan 7 Oktober dan mengakui kerajaan mempunyai kuasa sah untuk memecat beliau, asalkan dilakukan mengikut proses yang betul dan diperakukan oleh mahkamah.
Namun, beliau turut menuding jari kepada Netanyahu atas kempen ugutan terhadap Bar.
Lapid turut menunjukkan tangkap layar kiriman media sosial yang mengandungi ugutan bunuh terhadap ketua keselamatan itu, sambil memberi amaran kepada Netanyahu supaya menghentikannya.
"Daripada menyokong hasutan kebencian, sokonglah Shin Bet, pasukan keselamatan dan sistem yang mempertahankan kelangsungan negara ini," katanya.
Pada 1995, pembunuhan bekas Perdana Menteri Israel, Yitzhak Rabin oleh seorang pelampau Yahudi selepas kempen retorik ganas terhadapnya mengejutkan seluruh Israel.
Ada yang menuduh Netanyahu, yang ketika itu pemimpin pembangkang, tidak berbuat secukupnya untuk menghalang hasutan bertukar kepada keganasan. – AFP
2 lelaki ditahan, tipu guna resit palsu selepas makan di restoran
Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my
Shah Alam: Tipu guna resit palsu, itu taktik licik dua lelaki termasuk seorang juruaudit yang akhirnya mengundang padah apabila dicekup polis selepas didakwa memperdaya peniaga restoran di Seksyen 13, di sini, minggu lalu.
Kedua-dua lelaki tempatan berusia 34 dan 35 tahun itu ditahan jam 2.50 pagi, hari ini di sekitar bandar raya ini, selepas polis menerima laporan daripada peniaga wanita memaklumkan ditipu individu terbabit.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada 14 April sekitar 10.18 malam apabila suspek menunjukkan resit pembayaran atas talian berjumlah RM304.50 ketika membuat pembayaran selepas menjamu selera di restoran terbabit.
"Bagaimanapun, selepas semakan dibuat oleh mangsa, didapati tiada sebarang kemasukan wang ke akaun perniagaannya dan hanya sedar ditipu, semalam.
"Mangsa turut memaklumkan ia kali kedua individu yang sama menggunakan taktik terbabit dengan jumlah kerugian yang dialami mangsa adalah RM348.10," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semakan mendapati kedua-dua suspek berkenaan mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan jenayah.
Katanya, kedua-dua lelaki berkenaan kini direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Polis turut mengingatkan peniaga supaya berwaspada terhadap resit pembayaran digital khususnya yang ditunjukkan pelanggan secara manual atau tangkap layar.
"Sebarang transaksi hendaklah disemak terus melalui sistem perbankan rasmi sebelum menyerahkan barangan atau perkhidmatan," katanya.
Tangguh haji: Hadi guna kiasan berbahaya
Malaysiakini
Wawancara | Seorang ahli akademik menasihatkan agar Tan Sri Abdul Hadi Awang berpolitik atas dasar dan polisi, bukan perkara keagamaan yang melampaui batas.
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin mengulas demikian susulan kenyataan Presiden PAS itu semalam yang mencadangkan ibadah haji dan umrah boleh ditangguhkan demi mengutamakan kemenangan politik Islam pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.
Abu Hafiz berkata, Abdul Hadi menggunakan kiasan yang berbahaya kerana boleh menimbulkan salah faham, sekali gus mendatangkan impak negatif kepada masyarakat Islam di sini.
“Orang Melayu Islam berantakan nanti kerana mereka akan fikir calon PRK Ayer Kuning adalah wakil orang kafir yang memusuhi Islam.
“Saya fikir, hal ini sangat berbahaya. Ia susulan Abdul Hadi menggunakan ibrah peristiwa Rasulullah SAW yang dihalang melaksanakan umrah hingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah.
“Perjanjian Hudaibiyah berlaku bukan di antara dua umat Islam, tetapi antara Nabi Muhammad SAW dengan pihak kafir harbi, ini tidak sama dalam situasi pertembungan PRK Ayer Kuning, adakah calon BN yang bertanding adalah kafir?” katanya.
Dr Abu Hafiz berkata, Abdul Hadi menggunakan kiasan berbahaya dan boleh menimbulkan salah faham
Abu Hafiz menjelaskan, meskipun Abdul Hadi tidak menujukan mana-mana pihak adalah kafir secara langsung, namun kenyataan beliau itu berbaur kekafiran.
“Ia seolah-olah pihak berseberangan (berbeza parti) itu tidak cukup Islam, Ini membawa isu kafir-mengkafir secara tidak langsung dan itu adalah lebih berbahaya.
“Sedangkan dalam negara yang majoritinya adalah umat Islam, menang atau kalah orang Islam tetap menjadi wakil dalam negara ini,” katanya.
Menurut Abu Hafiz, ini bukan kali pertama Abdul Hadi melontarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti umat Islam.
Katanya, ia adalah ucapan bersiri untuk kempen politik Abdul Hadi terutama menjelang sesuatu pilihan raya.
“Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak menyebutnya secara langsung tetapi ia sama ada berdekatan atau pada tarikh sama pembuangan undi.
“Kadang-kadang mungkin beliau berasa ia ringan, tetapi hal seperti ini memberi impak di luar,” katanya.
Beliau bahkan menegaskan umat Islam tidak boleh dengan sengaja meninggalkan ibadah haji sekiranya berkemampuan dan cukup syarat.
Katanya, satu rukun Islam tidak boleh digagalkan hanya kerana fatwa politik yang berubah-ubah.
“Ini boleh membawa impak kepada puluhan, ratusan ribu malahan jutaan orang. Politik ini bukan perkara fardhu ain dan bukan perkara akidah.
“Kalau yang pergi haji itu bukan golongan T20, perlu tunggu giliran takkan dia perlu batalkan kerana politik kepartian?” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir; calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 26 April, manakala pengundian awal pada 22 April.
Pilihan raya itu akan diadakan berikutan kematian penyandang, Ishsam Shahruddin pada 23 Februari lalu akibat sakit jantung.
Kedah: 3 hari hilang, warga emas ditemui maut di kebun getah
Zuliaty Zulkiffli

Mayat lelaki warga emas yang ditemui dalam kawasan kebun getah di Kampung Charuk Kelian, Ulu Pulai, hari ini. - Foto ihsan pembaca
BALING: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu, ditemui maut dalam kebun getah di Kampung Charuk Kelian, Ulu Pulai di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar, berkata petugas Balai Polis Kupang menerima maklumat awam pada jam 11 pagi tadi mengenai penemuan mayat mangsa di kawasan berkenaan.
Susulan itu, beliau berkata, polis bersama pegawai Pusat Kesihatan Daerah bergegas ke lokasi.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sejak dua hari lalu.
"Identiti si mati dikenal pasti oleh anaknya yang mengesahkan mangsa adalah bapa dikenali sebagai Eng Lee Mee, 71," katanya ketika dihubungi.
Berdasarkan soal siasat, Azmi berkata, anak warga emas itu memaklumkan sudah membuat laporan di Balai Polis Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Jumaat lalu, berhubung kehilangan bapanya.
Sebelum itu, beliau berkata, warga emas terbabit dikatakan keluar seorang diri dengan memandu sebuah kereta jenis Perodua Axia.
"Anak mangsa memaklumkan bahawa bapanya menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan pelupa (nyanyuk).
"Setakat ini, hasil siasatan polis di lokasi kejadian mendapati kematian mangsa tiada sebarang unsur jenayah.
"Barangan berharga milik mangsa juga masih ada bersama mayat ketika ditemui," katanya.
Azmi berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.
Terdahulu, keluarga mangsa telah menghebahkan kehilangan warga emas itu sejak Jumaat lalu melalui Facebook, kerana bimbang akan keselamatannya.
Kanak-Kanak perempuan 12 tahun maut terjatuh dari tingkat enam PPR
BERNAMA
Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak perempuan 12 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat enam kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Sentul, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung insiden berkenaan pada pukul 2.24 petang.
"Siasatan sedang dijalankan dan kes buat masa ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya ketika dihubungi.
Difahamkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala dan tiada saksi yang melihat kejadian itu selain tiada sebarang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Pelajar dipercayai sawan lepas hisap vape
FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang pelajar Tingkatan 3 sebuah sekolah menengah di Kangar, Perlis, dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah selepas diserang sawan dipercayai kerana menghisap vape.
Kejadian berlaku sekitar 9.35 pagi apabila pelajar itu bersama dua lagi rakan keluar kelas tanpa kebenaran guru ketika menjawab kertas ujian bahasa Inggeris di sekolah.
Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Arifin, berkata ketika seorang guru lain mengambil tugasan mengawas di kelas itu, dia mendapati mangsa dipapah masuk ke kelas oleh dua rakannya dalam keadaan tidak sedarkan diri serta mulut berbuih.
Katanya, guru bertugas segera melaporkan perkara itu kepada pentadbir sekolah sebelum menghubungi ambulans dan waris pelajar untuk dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
“Siasatan awal kita mendapati, mangsa dipercayai menghisap vape bersama rakan di tandas sekolah lebih kurang 9.30 pagi.
“Namun, jenis vape belum dapat dikenal pasti oleh pegawai perubatan pada masa ini dan kita membantu pihak sekolah menyediakan laporan awal,” katanya menurut Harian Metro.
Rose Aza berkata, pihaknya sudah mengarahkan guru disiplin dan kaunselor sekolah hadir ke HTF bagi untuk lanjut.
“Pihak sekolah turut menghantar laporan awal kepada Unit Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis,” katanya.
Guru ditahan disyaki lakukan gangguan seksual terhadap pelajar
Bernama
ALOR SETAR: Seorang guru lelaki di Sekolah Menengah Keat Hwa (Persendirian) di sini ditahan polis berikutan dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap beberapa pelajar perempuan di sekolah berkenaan.
Setiausaha Lembaga Pengelola sekolah itu Ng Kok Weng berkata pihaknya menerima panggilan daripada pihak polis kira-kira pukul 5 petang Sabtu lalu yang memaklumkan mengenai penahanan guru berkenaan pada hari sama.
"Guru berusia 34 tahun itu ditahan selepas polis menerima dua aduan, masing-masing daripada seorang pelajar dan seorang bekas pelajar berhubung gangguan seksual yang berlaku.
"Berdasarkan maklumat yang diterima daripada polis, pihak sekolah telah mengadakan mesyuarat semalam dan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani perkara ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata antara keputusan yang dicapai ialah menghentikan tugas guru itu serta-merta dan melarang beliau memasuki kawasan sekolah bagi mengelakkan gangguan terhadap pelajar terlibat sehingga siasatan selesai sepenuhnya.
Ng berkata pihak sekolah turut memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dan telah menyerahkan beberapa dokumen serta maklumat berkaitan bagi membantu siasatan.
Guru terbabit dilaporkan telah berkhidmat di sekolah berkenaan sejak 2016.
Beliau berkata pihaknya juga telah melaporkan perkara itu kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dan segala tindakan yang diambil adalah bertujuan menjaga kebajikan serta kesihatan mental, fizikal dan privasi pelajar yang terlibat.
"Sesi kaunseling turut disediakan kepada pelajar terlibat. Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, taklimat menyeluruh telah diberikan kepada semua pelajar dan guru mengenai insiden ini, selain penyediaan saluran aduan bagi memudahkan sebarang salah laku dilaporkan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati Saad, telah dihubungi bagi mengulas mengenai perkara itu, namun tiada sebarang kenyataan dikeluarkan setakat ini.
Wajah dijadikan badut, Razman desak exco Perak minta maaf
FMT Reporters
PETALING JAYA: Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria menuntut Exco Woo Kah Leong memohon maaf secara terbuka kerana memuat naik gambarnya berpakaian seperti badut di Facebook.
Beliau berkata, tindakan itu disifatkan sebagai provokasi dan kesalahan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Jika tiada sebarang permohonan maaf, saya tidak teragak-agak membuat aduan dan membuat tindakan perundangan kepada exco daripada DAP ini supaya memohon maaf dan menurunkan kandungan tersebut dalam tempoh 24 jam,” katanya kenyataan.
Mengulas lanjut, Adun Gunung Semanggol itu turut memetik Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang melarang penyebaran kandungan jelik, mengancam atau bersifat menyinggung perasaan dengan niat untuk menjengkelkan atau mengganggu pihak lain.
Katanya, tindakan menggunakan wajah beliau tanpa kebenaran dalam bentuk menghina merupakan satu kesalahan bawah undang-undang dan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Ketua pembangkang DUN Perak yang digantung enam bulan mulai minggu lalu itu juga meminta kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat serta mengambil tindakan terhadap Woo.
Beliau turut menyelar Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming, yang sebelum ini lantang mengkritik pihak lain sebagai tidak matang, namun membiarkan tindakan tidak beretika oleh ketua Pemuda partinya sendiri.
Razman merujuk kritikan Nga terhadap tindakan penyokong Perikatan Nasional menggunakan karikatur seolah-olah menyindir Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook pada penamaan calon PRK Ayer Kuning.
Wanita Malaysia dijadikan bank untuk buat pelbagai pinjaman lepas kahwin dengan warga asing
KIM SYAZIE
Seorang wanita mengalami tekanan melampau sehingga berniat mahu membunuh diri selepas berkahwin dengan lelaki warga asing.
Menurut cerita yang didedahkan ADUN Skudai, Marina Ibrahim, wanita itu dipergunakan suaminya yang juga warga asing untuk membuat pinjaman dan menjadi ‘bank’.
Namun tekanan wanita itu bertambah selepas dia yang juga seorang penjawat awam telah kehilangan pekerjaan. Suaminya pula sebelum ini bekerja mengedar risalah.
“(Semalam) jumpa dia. Penjawat awam, hilang kerja, tekanan sampai nak bunuh diri. Berkahwin dengan lelaki warga asing yang 17 tahun lebih muda.
“Lelaki ni edar ‘flyers’ (risalah) sahaja dulu, dah perhatikan akak ini lama. Jadi dia kahwin dan gunakan akak ni sebagai ‘bank’ untuk buat pinjaman dan sebagainya,” katanya.
Kata Marina, beliau mendapati modus operandi lelaki tersebut adalah berkahwin dengan wanita Malaysia untuk dijadikan bank.
“Akak inj berkali-kali nak bunuh diri, tertekan. Dia cakap dengar suara suruh gantung diri, terjun. Nangis-nangis dia cerita tadi, tapi dia cakap dia lega sebab ada kawan bercakap hari ini,” ujarnya.
Selain masalah penipuan dan hutang, Marina berkata, lelaki warga asing itu turut dipercayai sering melanggan wanita sehingga terkena penyakit kelamin
“Baru sebulan kahwin, sudah terkena penyakit kelamin. Akak ini cuba bertahan selama 12 tahun reda. Dia pun pesan dengan wanita dekat luar sana jangan mudah terperdaya,” jelasnya.
Sebelum ini, pihak berkuasa pernah mendedahkan mengenai modus operandi lelaki warga asing yang mengahwini wanita tempatan semata-mata untuk memudahkan mereka mendapatkan lesen perniagaan.
Isu Jalur Gemilang: Di mana suara pemimpin Cina?
Haslina AR Kamaludin
KUALA LUMPUR – Muktahir ini isu kesilapan pada Jalur Gemilang bagaikan berjangkit-jangkit.
Ia dilihat sangat mudah dengan hanya permohonan maaf berserta menjalankan siasatan dalaman.
Apakah sementara menunggu pihak kerajaan dengan keputusan terhadap apa yang berlaku pada syarikat akhbar berbahasa Cina iaitu Sin Chew Daily, perkara sebegini akan terus berlarutan?
Dalam pada itu, sejak isu ini timbul, tidak dilihat mana-mana pemimpin Cina di negara ini baik dari pihak kerajaan mahu pun pembangkang yang bersuara.
Perkara itu dibangkitkan oleh Pakar Bahasa dan Perpaduan, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong.
Beliau berkata, pemimpin Cina di negara ini lebih menumpukan kepada perkara berkaitan kemakmuran ekonomi berbanding sosial.
“Saya ambil contoh mengenai pencerobohan tanah durian yang mana mahkamah telah memutuskan ia adalah tanah haram tetapi pemimpin Cina bersuara sedangkan ia tahu salah.
“Apabila melibatkan kemakmuran ekonomi mereka bersuara tetapi kemakmuran sosial, tidak pula begitu. Jadi ini adalah antara satu aspek rakyat kita yang sikapnya begitu acuh tak acuh, tak mahu peduli sangat tentang negara ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berkata demikian menerusi program SKOP MG yang membawakan tajuk Salah Jalur Gemilang: Tiada Maaf Bagimu bersama seorang lagi panel jemputan iaitu Zee How Tai yang merupakan sorang peguam.
Kok Seong yang juga merupakan Felo Majlis Profesor Negara berkata, sesuatu harus dilakukan agar perkara itu tidak berlarutan.
“Pemimpin Cina ini saya lihat hanya bersandar kepada perjuangan pemimipin mereka sahaja. Sehingga ke hari ini, tidak ada yang bercakap mengenai perkara ini.
“Seharusnya mereka tampil untuk bercakap soal ini, sekurang-kurangnya meredakan ketegangan yang berlaku, kerana ini adalah isu negara dan soal jati diri,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, sejak dulu lagi inilah sikap yang kurang menyenangkan yang ditunjukkan oleh pemimpin Cina.
“Perlu ada perubahan paradigma terhadap perkara ini. Mereka harus mengimbangi kemakmuran ekonomi dan sosial. Tak ada gunanya kalau negara kita maju tetapi masih ada rakyat yang tidak relevan kepada negara ini dari segi sosial.
“Ada antara rakyat kita yang masih tidak boleh berbahasa negara ini dengan baik serta tidak ada jati diri kebangsaan,” ujarnya.
Selepas dua akhbar ‘tersilap’ pada Jalur Gemilang dengan satunya ketiadaan bulan sabit dan satu lagi hanya 13 bucu kini muncul satu lagi yang turut memembuat kesilapan sama iaitu ketiadaan bulan sabit.
TCE Baby Expo membuat permohonan maaf susulan insiden paparan Jalur Gemilang tanpa bulat sabit di belakang pentas melibatkan salah satu pempamernya.
Penganjur expo jualan barangan bayi itu berkata, pihaknya mengakui ia merupakan isu sensitif yang menyinggung rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette
Seorang maut, 11 cedera selepas lelaki sengaja bakar pangsapuri 21 tingkat
BERNAMA-YONHAP
Seoul: Seorang maut dan 11 lagi cedera dalam kebakaran yang berlaku di sebuah bangunan pangsapuri 21 tingkat di Seoul, dengan polis mengesyaki seorang lelaki sengaja memulakan pembakaran, lapor Agensi Berita Yonhap.
Kebakaran berlaku di bangunan pangsapuri di Bongcheon-dong pada 8.17 pagi, menurut pegawai polis.
Daripada 11 yang cedera, dua orang dibawa ke hospital selepas terjun dari bangunan pangsapuri itu. Baki sembilan lagi cedera ringan, termasuk akibat terhidu asap dan kesukaran bernafas.
Polis mengesyaki lelaki itu sengaja menyalakan api dan sedang mengesan suspek.
2 beradik maut dilanggar MPV di lampu isyarat
FMT Reporters
PETALING JAYA: Dua beradik maut selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kejadian di lampu isyarat Simpang Empat Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru, malam tadi.
Dalam kejadian 9.50 malam itu, mangsa dikenali sebagai Nuraisyah Amalin Zaibur, 20, dan adiknya, Ammar Saifullah, 15, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami cedera parah di kepala,
Ketua Polis Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian berlaku ketika Ammar Saifullah menaiki motosikal dibonceng kakaknya dalam perjalanan dari arah Jalan Ledang menghala ke Felda Ulu Tebrau.
Katanya, penunggang motosikal dipercayai membelok ke kanan dan mengabaikan lampu isyarat merah.
“Dalam masa yang sama, sebuah MPV Toyota Estima dipandu lelaki tempatan berumur 40 tahun datang dari arah bertentangan dan sedang bergerak terus kerana lampu isyarat hijau.
“Pemandu tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian kanan motosikal berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Harian Metro.
Tambahnya, pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Ahli PKR sudah 'hukum' elit politik dalam PKR, dakwa Hassan
Malaysiakini
Ahli Parlimen Pasir Gudang hari ini mendakwa beberapa keputusan megejutkan dalam pemilihan PKR sekarang menunjukkan berlakunya “revolusi demokrasi” dalam parti berkenaan.
Menurut Hassan Abdul Karim pada pemilihan parti itu tiga tahun lalu, ramai pemimpin PRK yang bergerak dengan slogan Ayuh Malaysia memenangi jawatan di peringkat cabang.
Dakwa Hassan mereka itu merupakan pemimpin yang cuba menyisihkan Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, kata Hassan, keputusan pemilihan terkini pula menunjukkan mereka – yang terdiri daripada “tokoh-tokoh besar” – gagal mempertahankan jawatan berkenaan kerana kalah kepada calon yang terdiri daripada ahli tidak ternama atau akar umbi.
“Jadi pilihan raya (pemilihan) PKR sekarang adalah satu revolusi demokrasi (melalui) peti undi secara digital tercanggih.
“(Mereka) melakukan pembersihan di dalam kepimpinan di peringkat 222 cabang di seluruh negara berjaya membuang politik kartel dan politik elit yang telah merosakkan PKR dalam beberapa tahun terakhir ini […],” katanya dalam kenyataan media hari ini.
PKR mengadakan pemilihan pemimpin di peringkat pertengahan (cabang) sejak hujung minggu lalu dan berakhir semalam. Keputusan menunjukkan ada tokoh tertentu kalah kepada pencabar. Misalnya Ahli Parlimen Johor Bahru merangkap Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasir.
Bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Malaysia itu kalah kepada bekas Ketua AMK Johor Bahru, Taufiq Ismail.
Semalam, Naib Presiden PKR yang juga penyandang Ketua Cabang Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, tewas kepada pelakon, pengarah dan pelawak, Afdlin Shauki.
Pun begitu, pemilihan di peringkat pusat akan berlangsung pada 24 Mei ini.
Untuk rekod kumpulan Ayuh Malaysia dikenali sebagai tempat pemimpin politik yang menyokong Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang kini berkhidmat sebagai Menteri Ekonomi.
Antara pemimpin lain PKR yang dekat dengan Rafizi tetapi kalah dalam pemilihan kali ini ialah Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Lee Chean Chung (Petaling Jaya) dan, Fahmi Zainol (Adun Pantai Jerejak).
Pada masa sama ada juga sekutu Rafizi yang berjaya mempertahankan kedudukan masing-masing termasuk Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang, yang menang tanpa bertanding di Tanjong Malim, serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.
Rafizi sendiri menang tanpa bertanding di Pandan.
Menurut Hassan sejak menjadi kerajaan sesetengah pemimpin PKR berubah sikap sehingga menjadi golongan elit dan tidak lagi mengendahkan ahli lain, termasuk yang pernah membantu mereka.
Golongan elit terbabit, kata Hassan, sudah “tidak kenal” lagi penyokong masing-masing sehingga gagal membalas atau menjawab mesej yang dihantar kepada mereka.
Hassan – yang tidak bertanding dalam pemilihan kali ini serta mengumum untuk tidak mempertahankan kerusi Pasir Gudang – mendakwa ada antara pemimpin berkenaan keluar dari kumpulan WhatsApp ahli-ahli biasa PKR yang mendukung mereka selama ini.
“Tokoh-tokoh besar ini akhirnya tahu tinggi rendahnya langit apabila dihukum dalam pemilihan secara demokratis melalui pilihan raya PKR,” katanya.
Menjelang PRU 16: Hubungan BN-PH Kedah boleh ‘putus’ jika isu jawatan MTPN tak selesai
Faiz Zainudin
PETALING JAYA: Hubungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kedah tidak akan berkekalan jika isu jawatan timbalan pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN) tidak diselesaikan secara baik sebelum PRU16, kata Ketua Penerangan Umno negeri, Shaiful Hazizy Zainol Abidin.
“Buat masa ini, hubungan PH-BN masih baik dan wujud gerak kerja bersama. Namun, sekiranya perkara ini tidak diuruskan dengan baik tanpa penyelesaian menang-menang, saya yakin dan percaya hubungan baik ini tidak akan berkekalan.
“Akar umbi dan kepimpinan akan melihat kegagalan pihak PH melunaskan persefahaman ini sebagai satu tindakan tidak menghormati rakan politik sendiri,” katanya kepada FMT.
Sabtu lalu, Pengerusi Amanah Kedah, Asmirul Anuar Aris yang juga timbalan pengerusi PH negeri, menolak kemungkinan kerjasama dengan BN berisiko retak kerana isu jawatan timbalan pengerusi MTPN boleh diselesaikan secara baik.
Terdahulu, pemimpin Umno Kedah, termasuk Shaiful menuntut jawatan itu diberikan kepada mereka seperti dijanjikan dan menggesa kejujuran pemimpin dalam kerajaan perpaduan.
Difahamkan, persefahaman itu dicapai dalam mesyuarat sekretariat kerajaan perpaduan dipengerusikan Anwar Ibrahim dua tahun lalu, yang bersetuju jawatan timbalan pengerusi MTPN di negeri pimpinan pembangkang diwakili pemimpin Umno.
MTPN Kedah kini diketuai Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail yang juga pengerusi PH Kedah.
Shaiful berkata, walaupun hubungan BN-PH di Kedah tiada masalah ketika ini, tetapi ia tidak begitu kukuh dan perlu diperkuatkan menjelang PRU16.
“Kerjasama baru setahun jagung dan sarat dengan sejarah duka politik, berisiko tinggi untuk terlerai sekiranya ada pihak yang memandang rendah rakan politik ataupun mereka mempunyai agenda tersembunyi.
“Umno Kedah sedia menimbangkan sebarang kemungkinan gerakan politik bagi memastikan parti sentiasa kuat dan relevan di mata rakyat Kedah.”
Lelaki dipukul beramai-ramai dituduh ganggu isteri orang
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
Subang Jaya: Seorang lelaki cedera selepas dipukul beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki di Medan Selera Puchong Permai, di sini, Khamis lalu, kononnya kerana mengganggu isteri orang.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika mangsa menyapa seorang kenalannya sebelum tiba-tiba ditolak individu tidak dikenali.
"Secara tiba-tiba, datang beberapa lelaki menolak mangsa dan salah seorang daripada mereka dalam keadaan marah menuduh lelaki itu cuba mengganggu isterinya.
"Kemudian, mangsa dipukul oleh lebih kurang 10 lelaki menggunakan tangan menyebabkan mangsa bengkak di bahagian muka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Subang Jaya berjaya menahan empat individu berusia lingkungan 18 hingga 35 tahun pada jam 1 pagi hari ini.
Katanya, hasil soal siasat, suspek terbabit mengaku terbabit dalam kejadian itu dan permohonan reman dipohon hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
"Bagaimanapun, permohonan reman ke atas kesemua suspek yang diwakili peguam ditolak berikutan mangsa sudah menarik semula laporan yang dibuat.
"Namun, kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan seterusnya," katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh disalurkan di talian 03-7862 7222 atau Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Khairulazizi Ismail di talian 019-281 7820.
Mujahid bidas presiden PAS
FMT Reporters
Timbalan presiden Amanah berkata, kenyataan presiden PAS itu tiada asas dalam Islam, hanya demi kepentingan politik.
Mujahid Yusof Rawa berkata, kenyataan Hadi Awang pada kempen PRK Ayer Kuning ‘tidak berasaskan apa-apa asas ilmu (Islam)’.
PETALING JAYA: Timbalan Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa membidas kenyataan Presiden PAS Hadi Awang bahawa ‘kemenangan politik’ bagi Islam patut diutamakan, berbanding menunaikan haji atau umrah.
Bekas menteri agama itu berkata, kenyataan Hadi ketika kempen PRK Ayer Kuning itu tidak mempunyai asas dalam Islam dan dibuat semata-mata demi kepentingan politik.
Katanya, ibadah umrah dan haji tidak boleh dibandingkan dengan mengundi, kerana umat Islam perlu menyimpan wang dan menunggu kuota untuk pergi ke Mekah, kadangkala sehingga beberapa tahun, sedangkan PRK boleh diadakan pada bila-bila masa.
“Kenyataan bahawa mengundi itu lebih penting daripada haji dan umrah (seperti) yang disebut Hadi tak berasaskan apa-apa asas ilmu, melainkan ia hanya hawa nafsu untuk mengerakkan orang mengundi dengan menunggang isu haji dan umrah.
“Umrah bukan hari ini daftar, esok pergi. Kena kumpul duit, nak kena daftar. Himpun duit bertahun-tahun, tiba-tiba berlaku PRK, mana nak tahu. Ini (kenyataan Hadi) tak logik, tak masuk akal,” kata Mujahid menerusi akaun Tiktoknya.
Dalam pada itu, Mujahid menggesa PAS agar ‘berhenti termakan fatwa sesat’, sebaliknya kembali kepada ilmu dan tanggungjawab sebagai orang Islam.
“Jangan sesekali tunggang isu haji dan umrah untuk kepentingan politik,” katanya.
“Pandangan Hadi ini sukar diterima, sama ada dari segi syarak ataupun maslahah.”
Semalam, Berita Harian melaporkan Hadi berkata, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan kerana ‘Islam mesti berkuasa dan memerintah sekali gus memimpin’.
Menurut Hadi, umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan itu, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik.
Akmal, seorang lagi orang kuat Rafizi tumbang dalam pemilihan cabang PKR
Malaysiakini
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Nasir gagal mempertahankan jawatan sebagai ketua cabang PKR Johor Bahru.
Akmal merupakan pemimpin terbaru dalam kem Rafizi Ramli yang tewas dalam pemilihan cabang PKR setakat ini.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu memperoleh 587 undi, tewas kepada bekas Ketua AMK Johor Bahru, Taufiq Ismail yang meraih 709 undi.
Semalam, Naib Presiden PKR yang juga penyandang Ketua Cabang Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad tewas dalam pemilihan di peringkat cabang.
Nik Nazmi juga dikenali merupakan orang kuat Rafizi.
Antara pemimpin lain dari kem Rafizi yang pernah bertanding jawatan pusat pada pemilihan PKR 2022 tetapi tewas dalam pemilihan cabang kali ini ialah Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan ADUN Pantai Jerejak, Fahmi Zainol.
Sekutu Rafizi yang setakat ini berjaya mempertahankan kedudukan ialah Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang yang menang tanpa bertanding di Tanjong Malim, serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.
Rafizi sendiri menang tanpa bertanding di Pandan.
Bagaimanapun keputusan pemilihan cabang PKR terus dipertikai, dengan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu dijadualkan bermesyuarat pada hari Rabu ini bagi membincangkan dakwaan tiada ketelusan dalam proses tersebut.
Sementara itu di Johor, Maszlee Malik kekal sebagai Ketua Cabang Simpang Renggam walaupun hanya memperoleh sekitar 40 peratus undi dalam pertandingan tiga penjuru.
Di Tebrau pula, calon ‘underdog’ M Prakash mengejutkan dua penyandang – Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran dan Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah – dalam persaingan sengit dengan hanya 37.5 peratus undi.
Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh pula menang tanpa bertanding di cabang PKR kawasan itu.
'Drama YB cekik pramugari masuk episod baharu'
Sinar Harian
Video memaparkan YB berkenaan dilihat mencekik pramugari. - Foto/ Agensi
KES melibatkan Ahli Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Sumatera Utara, Megawati Zebua, yang didakwa mencetuskan kekecohan kerana mencekik seorang pramugari syarikat penerbangan Wings Air, kini memasuki fasa baharu apabila pihak syarikat penerbangan terbabit secara rasmi membuat laporan polis di Markas Polis Resor (Polres) Nias.
Wings Air turut menafikan sebarang bentuk perdamaian antara kedua-dua pihak dalam insiden yang berlaku pada penerbangan IW-1267 laluan Gunungsitoli ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Medan pada 13 April 2025.
"Berdasarkan laporan dan catatan sebenar di lapangan, tiada permintaan damai daripada pihak pelanggan kepada pramugari yang bertugas," kata Jurucakap Komunikasi Strategik Korporat Wings Air, Danang Mandala Prihantoro pada Khamis.
Danang menjelaskan bahawa syarikat telah membuat keputusan untuk meneruskan kes ini melalui saluran perundangan, dan laporan rasmi telah pun dibuat kepada pihak berkuasa.
"Wings Air tetap komited dalam melindungi keselamatan serta profesionalisme kru kabin, di samping memastikan ketenteraman dan keselesaan semua penumpang sepanjang penerbangan.
"Sehubungan itu, kami akan meneruskan proses undang-undang mengikut peraturan yang berkuat kuasa, dan perkara ini akan ditangani oleh pihak berkuasa di Markas Polis Resor Nias, Sumatera Utara," katantya.
Sebelum ini, Megawati Zebua ketika dihubungi oleh pihak detikSumut mendakwa bahawa beliau dan pramugari terbabit telah saling memaafkan selepas kejadian berlaku.
"Sudah ada komunikasi dan saling memaafkan. Biarlah ini menjadi pengajaran kepada kita semua – baik penumpang mahupun pramugari.
"Saya tidak tahu menahu mengenai tindakan undang-undang, baru sahaja mendengarnya. Tiada komunikasi lagi dengan pihak pramugari, sebab saya anggap perkara ini sudah selesai dan saling memaafkan," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Parlimen Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Sumatera Utara.
Megawati juga menjelaskan bahawa perdamaian itu berlaku ketika beliau masih berada di Lapangan Terbang Binaka, selepas diturunkan daripada pesawat.
"Semasa masih di lapangan terbang, kami sempat saling meminta maaf. Saya hendak pulang sebab sudah ketinggalan pesawat.
"Ketika itu, saya hubungi Pengarah Lapangan Terbang, Encik Zulkifli, saya terangkan perkara tersebut dan beliau minta saya bersabar. Saya pun cakap saya sudah sabar, dan anggap perkara ini sebagai pengajaran," ujarnya.
Bagaimanapun, pihak Wings Air menegaskan tiada perdamaian rasmi berlaku, dan tindakan undang-undang kini sedang diteruskan oleh pihak berkuasa. - Sinar Harian memetik agensi
Inspektor polis positif dadah ditahan di pusat hiburan
FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang inspektor polis ditahan selepas berhibur dan mengambil jus disyaki mengandungi dadah di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur, Jumaat lepas.
Menurut sumber, pegawai kanan polis berusia 43 tahun itu ditahan ketika pemeriksaan mengejut oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada 5.05 petang, susulan menerima aduan dan maklumat.
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku mengambil dadah jenis minuman jus di pusat hiburan itu dan bekalan dadah itu diperoleh seorang lelaki tempatan di tempat berkenaan.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif empat jenis dadah iaitu amfetamina, metamfetamina, ketamin dan benzo,” katanya, lapor Bernama.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan yang mengesahkan penahanan pegawai polis itu berkata, lelaki itu direman dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan
Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mayat wanita berlumuran darah dibalut selimut dalam bilik sewa
Sinar Harian
Polis menyiasat kes ini sebagai kemungkinan pembunuhan - Foto Sinar Harian/Agensi
CIAMIS: Misteri bau busuk menyengat akhirnya terungkai susulan penemuan mayat wanita berlumuran darah hampir kering di sebuah bilik sewa.
Pihak berkuasa memaklumkan tubuh mangsa yang telah membusuk itu turut dibalut dengan pita pelekat kemudiannya lapisan selimut dan plastik ketika pemeriksaan dilakukan di sebuah bilik sewa di Lingkungan Pabuaran, Kecamatan Ciamis, Kabupaten Ciamis di Indonesia pada Khamis lalu.
"Kami menerima aduan daripada penduduk yang mencium bau kurang menyenangkan. Kawasan sekitar bilik itu turut dipenuhi tompokan darah.
"Mayatnya sudah dihantar ke Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Kota Banjar untuk proses autopsi dan mengenal pasti identitinya," kata jurucakap polis, AKP Carsono.
Menurutnya, pihak berkuasa masih mengumpulkan keterangan saksi dan penghuni bilik sewa lain.
"Kami masih belum dapat mengesahkan punca kematiannya, namun tidak menolak kemungkinan ia adalah kes pembunuhan. Kami akan menjejaki pelakunya," ujarnya lagi.
Sementara itu, salah seorang penghuni bilik sewa tersebut, Een Kurnia berkata, kamar itu dihuni oleh seorang duda kepada dua anak yang bekerja sebagai ojek online.
"Dia sering singgah di warung saya. Tetapi, saya tidak kenal dengan mangsa," jelasnya.
Tribunjabar.id menerusi laporan mereka menyatakan keberadaan lelaki itu masih tidak diketahui. - Sinar Harian memetik agensi
Kelantan: Remaja didakwa rogol kanak-kanak 10 tahun dalam tandas
FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang remaja dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan merogol kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dalam tandas, dalam kejadian November tahun lalu.
Tertuduh yang ketika kejadian itu berusia 17 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah, lapor Berita Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa merogol kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun 10 bulan ketika kejadian di sebuah tandas pada 1.30 tengah hari, 21 November tahun lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun sehingga 30 tahun serta sebat.
Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Khairul Azwan Azhan.
Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes berkenaan serius dan mangsa baru berusia 10 tahun.
Muhammad Khairul Azwan bagaimanapun memohon jaminan ditawarkan memandangkan tahanan reman tidak sesuai untuk anak guamnya yang masih remaja.
Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan RM8,000 dan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa.
Mahkamah turut menetapkan 21 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sekurang-kurangnya 4 maut dalam cubaan lolos dari penjara
Bernama
Insiden berlaku sekitar 9 malam waktu tempatan pada Jumaat di Penjara Mongo yang terletak di tengah Chad. - Foto X/RFI Afrique
YAOUNDE: Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh selepas para banduan cuba melarikan diri dari sebuah penjara di Chad, lapor Xinhua memetik sumber tempatan dan laporan media pada Sabtu.
Insiden berlaku sekitar 9 malam waktu tempatan pada Jumaat di Penjara Mongo yang terletak di tengah Chad.
Sumber mendakwa bahawa senjata telah diseludup masuk ketika satu tunjuk perasaan diadakan bagi membantah keadaan penjara yang daif.
Para banduan kemudiannya mengambil kesempatan untuk meloloskan diri.
Seramai empat banduan maut, manakala beberapa pengawal penjara cedera, menurut sumber keselamatan seperti dilaporkan media tempatan.
Lebih 130 banduan berjaya melarikan diri.
Lawak PRK peluang uji kaji
Hishamuddin Aun
Alasan Tuan Ibrahim bahawa pengundi Ayer Kuning perlu merasa diwakili PAS menggelikan hati.
Pernahkah Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat ketawa ketika berhujah di pentas ceramah? Harus tidak pernah dan kalau ada pun, mungkin terlalu jarang kerana tidak seperti Menteri Besar Kedah Sanusi Nor yang ketawa dahulu sebelum lawak disampaikannya, orang nombor dua PAS itu mengekalkan riak wajah seriusnya.
Namun, kelebihan beliau ialah boleh berlawak dengan muka bersahaja hingga kerap bahan jenakanya lambat sedikit untuk sampai ke khalayak untuk mereka hanya ketawa lama kemudian.
Siapa boleh lupa ‘lawak’ ciptaannya ketika memperkenalkan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail bagi PRK Sungai Bakap pada 6 Julai sebagai memiliki piawaian ISO 14001 — satu standard dalam teknologi perkilangan — tetapi tiada yang ketawa serta-merta dan hanya disedari apabila Barisan Nasional (BN) memainkannya.
Begitu juga jenakanya mengenai seorang pakcik yang menolak motosikal kerana kehabisan minyak. “Dulu buh (minyak) RM5 sampai rumah, sekarang buh RM5 tak sampai rumah. Inilah akibat dia (keputusan kerajaan menaikkan harga bahan bakar itu selepas penyasaran semula subsidi diesel bermula 10 Jun 2024 di sebalik motosikal tidak gunakan diesel).”
Tuan Ibrahim juga diingati memberi ‘bola tanggung’ apabila mempersoalkan kegagalan kerajaan Madani mengatasi masalah bekalan air di Sungai Bakap yang menimbulkan pelbagai kesulitan kepada penduduk termasuk penjaja makanan yang rata-ratanya adalah Melayu.
“Kamu tahu bahawa Pulau Pinang tak cukup sumber air, kamu tahu Perak utara tak cukup sumber air, kamu ada kuasa, apa kamu buat semasa jadi menteri air,” soal Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli sebagai menempelak beliau ketika Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara selama 33 bulan. Tuan Ibrahim adalah menteri alam sekitar dan air dari 10 Mac 2020 hingga 10 Oktober 2022.
Terbaharu dalam kempen PRK Ayer Kuning, timbalan presiden PAS itu yang tentunya tidak dapat menjanjikan bulan dan bintang untuk memikat hati pemilih, hanya mampu menawarkan simbol bulan dengan harapan mereka akan teruja untuk berubah pendirian.
“Sekarang pengundi Ayer Kuning diberi peluang memperbetulkan kesilapan mengundi dahulu. Peringkat Parlimen dah pilih BN, peringkat negeri kena pilihlah PN.
“Anda semua tak pernah rasa macam mana berwakil rakyatkan calon PAS sebagaimana negeri lain rasa. Dahulu Pahang pun sama macam anda juga, PAS nak menang di Pahang cukup payah tetapi apabila mula menang, ternyata wakil rakyat PAS individu yang bersama rakyat,” kata beliau selaku Adun Cheka dan juga ketua pembangkang di DUN Pahang.
Lawak apakah pula ini daripada Tuan Ibrahim, tanya sebilangan pengguna media sosial, dengan sesetengahnya menyoal balik apakah hakikat bahawa pengundi DUN Ayer Kuning tidak pernah merasa diwakili seorang wakil rakyat PAS satu kerugian atau kemujuran.
Sejak DUN Ayer Kuning diwujudkan pada PRU 1986, ia tidak pernah terlepas daripada penguasaan wakil rakyat BN bermula dengan Azman Mahalan (1986-2004), Samsudin Abu Hassan (2004-2022), dan Ishsam Shahruddin sehingga beliau meninggal dunia pada usia 58 tahun 22 Feb lalu.
“Dia (Tuan Ibrahim) nak cerita pasal ekonomi di Perak tak boleh pasal ekonomi, pelaburan di Perak bagus. Pengurusan menteri besar (Saarani Mohamad) di bawah kerajaan perpaduan di Perak juga bagus. Tak ada apa dia nak cerita, akhir sekali dia kata Ayer Kuning selama ni Umno perintah lama dah, tak pernah merasa PAS jadi wakil rakyat.
“Jadi dia kata (dalam ceramahnya) apalah salah kali ini saudara-saudara berpeluang untuk merasa wakil rakyat PAS, nak memperbodoh-bodohkan pengundi di Ayer Kuning. Macam tu dia berkempen, kita pun boleh cakap macam tu kat Kelantan. Kelantan Umno perintah dah pernah rasa, PAS pun dah lama perintah, yang tak pernah rasa PKR perintah lagi, maka, rakyat Kelantan ayuh undi PKR,” sindir pengamat politik WFauzdin NS di TikTok.
Barangkali benar PN — jika tidak tertumpu kepada naratif memburuk-burukkan kerajaan dan berkisar kepada isu 3R (kaum, agama, raja) — memang ketandusan modal kerana tiada apa-apa dapat ditawarkan atas kedudukan mereka bukan kerajaan di peringkat negeri mahupun persekutuan.
Seperti ditonjolkan WFauzdin, pembangkang juga tidak boleh mencipta isu dengan mendakwa Ishsam gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik kerana beliau dikenali sebagai seorang yang rajin bekerja dan merendah diri hingga disukai ramai.
“Kalau pilih calon PAS (Muhaimin Malek) di Ayer Kuning, apa kelebihan wakil rakyat tu? Kecualilah dia boleh beri contoh negeri yang PAS tadbir dengan baik, contohnya Kelantan tu negeri yang maju, Terengganu tu negeri yang maju macam Selangor, Pulau Pinang, KDNK (keluaran dalan negara kasar) dia bagus, pelaburan banyak, nampak pembangunan di bandar-bandar, boleh la dia buat modal kat Ayer Kuning ni. Masalahnya sekarang ni kau nak ambil modal mana?” soalnya.
WFauzdin juga mempertikaikan hujah Tuan Ibrahim mengenai dakwaan kejayaan wakil rakyat PAS di DUN Pahang yang ditepisnya sebagai cerita rekaan.
“Dia suruh tengok prestasi wakil rakyat PAS di Pahang (PAS ada 15 Adun). Dia kata dulu rakyat Pahang pilih Umno saja, sekarang orang Pahang dah pilih PAS. Prestasi apa? Apa yang dia buat? Apa yang dinikmati pengundi di kawasan yang diwakili PAS? Segala program Umno/BN yang tolong buat walaupun tempat pembangkang. Kau cerita kau hanya ada wakil rakyat sahaja, dok main isu sentimen saja.
“Konon bertuahnya rakyat Pahang kerana mereka telah memilih wakil rakyat PAS. Kau nak tipu siapa? Kalau betul la wakil rakyat PAS ni paling pandai mentadbir dan mengurus, pandai menjaga kebajikan rakyat, tak adalah yang miskin di Kelantan tu, tak adalah teruk Terengganu tu. Kamu nak jaja isu ni kat negeri Perak yang berjaya ditadbir kerajaan perpaduan hari ini dengan begitu baik sekali?” soalnya.
Memasuki minggu terakhir kempen PRK Ayer Kuning, dilaporkan bahawa Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Hadi Awang akan turun membantu kempen dan menghangatkan sambutan di pentas ceramah.
Akan hingar-bingarlah derai ketawa hadirin nanti dengan lawak lain yang akan dibawa kedua-duanya.
Siapa menang, siapa tumbang di KL, P Pinang dan Pahang dalam pemilihan PKR
Malaysiakini
Pemilihan ketua cabang PKR menyaksikan Nurul Izzah Anwar membuat kemunculan semula dalam politik apabila menang tanpa bertanding di kubu kuat bapanya, Anwar Ibrahim, di Permatang Pauh.
Sebelum ini, dia tewas di kerusi parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kepada muka baru PAS, Muhammad Fawwaz Mat Jan.
Di Pahang, salah seorang setiausaha politik kepada Anwar, Ahmad Farhan Fauzi (gambar bawah) turut menang tanpa bertanding bagi jawatan ketua cabang Indera Mahkota.

Bagaimanapun, di Kuala Lumpur, Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan tewas dalam perebutan jawatan ketua cabang kepada penyandang, Lai Chen Heng.
Zahir memperoleh 495 undi manakala Lai mencatat 587 undi.
PKR kini memasuki fasa kedua pemilihan cabang yang diadakan dari 18 hingga 20 April.
Pemilihan bagi Terengganu dan Kelantan berlangsung pada 18 April manakala keputusan bagi Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Pahang diumumkan semalam.
Beberapa penyandang tewas
Pemilihan di Sabah dan Johor dijadual berlangsung esok.
Pemilihan dalaman PKR kali ini turut menyaksikan beberapa penyandang tewas kepada pencabar masing-masing.
Semalam, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad tewas kepada pengarah dan pelakon Afdlin Shauki dalam perebutan jawatan ketua cabang Setiawangsa.
Di Bukit Bintang, Timbalan Menteri Perpaduan, K Saraswathy turut kecundang dalam usahanya merebut jawatan ketua cabang daripada Anwar Pawan Chik.
Sementara itu, dalam pemilihan cabang Batu, Ahli Parlimen kawasan itu, P Prabakaran ditewaskan oleh peguam Asheeq Ali Sethi Alivi dengan majoriti 153 undi.
Di Selayang, Adun Rawang, Chua Wei Kiat gagal dalam usahanya mengambil alih jawatan ketua cabang daripada Ahli Parlimen Selayang, William Leong yang tidak mempertahankan jawatan itu.
Di Petaling Jaya pula, Ahli Parlimennya Lee Chean Chung tewas kepada penyandang Hee Loy Sian, bekas Ahli Parlimen PJ Selatan, yang berjaya mempertahankan jawatan tersebut.
Chua dan Lee masing-masing telah mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Pemilihan PKR agar keputusan yang memihak kepada pencabar mereka disemak semula atas dakwaan terdapat 'keanehan' dalam proses pemilihan.
Kemalangan maut dalam kampus: Penuntut UUM maut dihimpit bas
Zuliaty Zulkiffli

Manarina Hasya maut akibat kemalangan bas ketika berjalan untuk menaiki kenderaan itu dalam kampus UUM di Sintok, hari ini. - Foto ihsan polis dan Facebook UUM
SINTOK: Seorang penuntut perempuan Universiti Utara Malaysia (UUM) maut akibat kemalangan bas ketika berjalan untuk menaiki kenderaan itu dalam kampus universiti terbabit, di sini, hari ini.
Dalam insiden sekitar jam 8.45 pagi, Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, dari FELDA Chemplak, Labis di Johor, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital akibat kecederaan parah pada badan.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abd Rahim, berkata kemalangan berlaku di perhentian bas di Jalan Persiaran Perdana kampus itu membabitkan dua bas.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika sebuah bas dipandu lelaki berusia 37 tahun sedang berhenti di perhentian bas untuk mengambil penumpang.
Namun, beliau berkata, bas itu tiba-tiba dilanggar sebuah bas lain dari arah belakang yang dipandu lelaki berusia 32 tahun.
"Impak perlanggaran berkenaan menyebabkan bas yang berhenti itu menggelongsor ke hadapan lalu melanggar besi penghadang dan seterusnya menghimpit penuntut perempuan terbabit yang sedang berjalan menunggu giliran untuk menaiki bas yang melanggar itu.
"Kemalangan itu menyebabkan mangsa cedera dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk rawatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Bagaimanapun, Mohd Radzi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.30 petang ketika menerima rawatan di hospital itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, UUM dalam satu kenyataan pula memaklumkan pihak universiti sedang menunggu laporan lengkap berhubung kemalangan berkenaan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, berkata pihak universiti sudah mengarahkan Jabatan Keselamatan UUM menghubungi polis bagi menyiasat insiden itu.
Beliau berkata, pihak polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kemalangan berkenaan.
"UUM akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan penuh yang diterima nanti," katanya.
Lelaki mengamuk 'tersungkur' ditembak pengawal keselamatan
Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my

Seorang lelaki yang bertindak agresif cedera selepas kakinya ditembak pengawal keselamatan di sebuah restoran berhampiran Hospital Banting, hari ini. FOTO Tular
Kuala Langat: Seorang lelaki yang mengamuk dengan menggunakan senjata tajam cedera selepas kakinya ditembak seorang pengawal keselamatan.
Difahamkan, kejadian berlaku di sebuah restoran berhampiran Hospital Banting, di sini hari ini.
Menerusi video berdurasi 57 saat yang tular di laman sosial, beberapa individu dilihat menggunakan kerusi bagi mempertahankan diri dari diserang lelaki terbabit.
Bagaimanapun, lelaki itu kemudian dipercayai cuba melarikan diri sebelum pengawal keselamatan melepaskan satu das tembakan pada kakinya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Beliau berkata, satu kenyataan media akan dikeluarkan.
Menjelang PRU16: PN boleh kehilangan 32 daripada 74 kerusi parlimen sekiranya…
Harapandaily
Mohd Yusri Ibrahim
Pas parti politik lama dan berpengalaman luas, mereka bijak membaca dan mencatur gerak politik mereka sendiri.
Sebab itu apabila berdepan beberapa isu berbangkit dalam PN, mereka kembali membuka pintu kepada Umno.
Isu-isu berbangkit tersebut bukan sekadar tentang hubungan dengan Bersatu seperti yang saya sentuh dalam catatan lepas, tetapi juga tentang peluang mereka dalam PRU16 nanti.
Jika situasi politik sekarang tiada perubahan dan UMNO/BN kekal bekerjasama dengan PH menuju PRU16, PN berpotensi hilang sekurang-kurangnya 32 kerusi parlimen yang mereka sandang sekarang, berdasarkan undi yang mereka perolehi berbanding campuran undi sedia ada PH-BN.
Hilang 32 daripada keseluruhan 74 kerusi yang dimenangi dalam PRU15 2022 lalu bukanlah sesuatu yang diingini oleh PN, bahkan akan jadi mimpi ngeri jika benar-benar berlaku nanti.
Sebab itu saya percaya para strategis Pas tidak akan biarkan perkara ini berlaku, mereka adalah parti tunggal yang memenangi kerusi parlimen paling banyak dalam PRU lepas, mereka akan cuba pertahan karisma yang ada.
Saya kurang sentuh tentang Bersatu kerana kekuatan sebenar akar umbi PN adalah Pas, setiap kali pilihan raya, Bersatu hanya bergantung kepada kekuatan jentera PAS.
Jika Pas memilih untuk tinggalkan kerjasama dengan Bersatu dan mereka gagal menumpang mana-mana parti dalam PRU akan datang, Bersatu berisiko hilang dalam radar politik tanah air, seperti yang sedang dialami Pejuang sekarang.
Secara umumnya 32 kerusi yang saya maksudkan itu paling banyak adalah dari Perak iaitu negeri tempat sedang berlangsung PRK Ayer Kuning sekarang.
Jika PH-BN kekal bekerjasama dan senario politik tidak banyak berubah, PN berisiko hilang lapan kerusi di Perak iaitu Gerik, Parit Buntar, Bukita Gantang, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Parit, Pasir Salak dan Lumut.
Pahang pula negeri kedua paling banyak PN berisiko terlepas dengan tujuh kerusi iaitu di Jerantut, Indera Mahkota, Kuantan, Maran, Kuala Krau, Temerloh dan Rompin.
Seterusnya Selangor dengan enam kerusi iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Tanjong Karang, Kapar dan Kuala Langat.
Melaka dan Pulau Pinang pula masing-masing tiga kerusi iaitu di Masjid Tanah, Tangga Batu, Jasin, Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Permatang Pauh.
Johor pula berisiko hilang dua kerusi iaitu di Mersing dan paling menarik kerusi yang sedang disandang oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Pengerusi PN di Pagoh juga termasuk dalam senarai.
Selain itu Kedah dan Perlis masing-masing satu kerusi parlimen Kulim Bandar Baharu dan Kangar.
Sebelum kempen Ayer Kuning bermula, pimpinan-pimpinan utama Pas telah membuat kenyataan terbuka menyatakan hasrat untuk kembali menaut kasih dengan UMNO.
Sepanjang kempen PRK ini Pas juga tidak banyak menyerang UMNO, mereka tidak berhasrat untuk membakar sisa-sisa runtuhan piagam muafakat yang ditandatangani sebelum ini.
Dengan harapan besar agar puing-puing tersebut boleh dikutip, disusun dan dipaku semula untuk membina mahligai baru, walaupun mungkin tidak seindah dan sekukuh Taj Mahal, tapi sekurang-kurangnya bolehlah dulu untuk bermadu cinta buat sementara.
Sebab itu Ayer Kuning akan terus dijadikan medan untuk meyakinkan UMNO/BN bahawa kerjasama bersama PH dalam Kerajaan Perpaduan tidak wajar diteruskan.
Berbanding menyerang UMNO/BN, PN lebih banyak menyerang PMX dan Kerajaan Madani secara umum di Ayer Kuning.
Secara tidak langsung ini juga memberi keuntungan kepada UMNO/BN, mereka boleh fokus kepada strategi kempen tanpa banyak gangguan, seterusnya berusaha untuk capai kemenangan dengan majoriti besar yang mereka sasarkan.
Mohd Yusri Ibrahim ialah pensyarah kanan di Universiti Malaysia Terengganu
Nelayan warga Kemboja maut terkena libasan tali pukat tunda
Bernama
IPOH: Seorang awak-awak warga Kemboja ditemukan maut selepas dipercayai terkena libasan tali papan besi pukat tunda dalam kejadian kira-kira 23 batu nautika di perairan barat Kuala Kurau semalam.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau dalam kenyataan memaklumkan kejadian itu dilaporkan oleh majikan mangsa pada 4.15 petang.
Menurut kenyataan itu, sebuah aset Maritim Malaysia segera diatur gerak ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan.
"Pada masa sama, Pusat Operasi Zon menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan perubatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
"Namun, setelah pasukan bantuan tiba di lokasi, mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh petugas KKM yang membuat pemeriksaan," menurut kenyataan itu.
Kenyataan berkenaan turut memaklumkan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.
Dalam pada itu, Maritim Malaysia menyeru komuniti maritim agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di laut dan segera melaporkan sebarang kecemasan yang berlaku.
"Sebarang kejadian boleh dilaporkan terus kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-727 9919 atau melalui talian kecemasan 999 bagi tindakan segera," katanya.
Pemilihan PKR: Nik Nazmi tewas pada Afdlin
Malaysiakini

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad gagal mempertahankan jawatan ketua cabang PKR Setiawangsa selepas tewas kepada kepada pengarah dan pelakon Afdlin Shauki.
Afdlin menang dengan 631 undi berbanding Nik Nazmi 563 undi.
Mengikut borang keputusan PKR, hanya 1,207 undi dikeluarkan walaupun 1,640 orang layak mengundi.
Nik Nazmi ialah Ahli Parlimen Setiawangsa.
Afdlin sebelum ini menyifatkan Nik Nazmi "terlalu sibuk" dengan tugas lain, justeru dia ingin menawarkan alternatif kepada ahli akar umbi.
Ini merupakan kali kedua Afdlin mencabar Nik Nazmi bagi jawatan ketua cabang. Dia sebelum ini juga berkata pasukannya terlibat dengan ahli parti yang mendakwa "tidak pernah bertemu" Nik Nazmi selama memegang jawatan ketua cabang.
Pemilihan PKR peringkat cabang bermula dari 11 April dan akan berakhir esok.
Sementara itu, dalam pemilihan parti Bukit Bintang, Timbalan Menteri Perpaduan Senator K Saraswathy kehilangan jawatan ketua cabang kepada Anwar Pawan Chik.
Anwar menang dengan 807 undi berbanding Saraswathy 683, yang diikuti rapat oleh Sivamalar Genapathy (664).
Saraswathy sebelum ini mengumumkan keputusannya untuk bertanding di bahagian Bukit Bintang, memetik pengalamannya selama 26 tahun berkhidmat kepada masyarakat di sana.
Bagi cabang Batu, ahli parlimen kawasan itu, Prabakaran Parameswaran tewas pada peguam Asheeq Ali Sethi Alivi dengan kelebihan 153 undi.
Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menang tanpa bertanding di Lembah Pantai.
Fahmi juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.
Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!
Langgan:
Catatan (Atom)