"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bakal pengantin perempuan didenda RM400, mengaku tumbuk hidung jiran kerana tegur main mercun

Alias Abd Rani
bhnews@bh.com.my
Nadira (kanan) keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas didenda RM400 kerana menumbuk hidung jirannya. - Foto NSTP/ Alias Abd Rani
Nadira (kanan) keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas didenda RM400 kerana menumbuk hidung jirannya. - Foto NSTP/ Alias Abd Rani
BATU PAHAT: Seorang bakal pengantin perempuan yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, didenda RM400 selepas mengaku bersalah mencederakan jiran dengan menumbuk hidungnya apabila berang ditegur bermain mercun, April lalu.

Tertuduh, Nadira Mohd Yusoff, 24, yang juga operator kilang membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin selepas pertuduhan dibaca jurubahasa terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Nadira yang dijadualkan melangsungkan perkahwinan Disember ini didakwa melakukan kekerasan jenayah ke atas mangsa berusia 25 tahun di sebuah rumah di Rengit, di sini, pada jam 9 malam, 10 April lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 358 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sebulan atau denda RM400 atau kedua-duanya.

Mangsa kemudian keluar dan menegur perbuatan itu, namun abang ipar tertuduh memarahi mangsa hingga tercetus perang mulut antara mereka.

Keluarga mangsa kemudian ke rumah tertuduh untuk menyelesaikan masalah terbabit, sebaliknya wanita itu bertindak menumbuk hidung mangsa.

Akibatnya kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan dan menerima rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Rengit, pada malam kejadian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala Nadira diwakili peguam Mohd Razak Shariff.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM400 dan turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima hari jika gagal membayarnya.

Tiada ulasan: