"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lagi pengkhianatan: Atur kemasukan di kaunter khas LTAPP, 2 penguat kuasa direman 3 hari

FMT Reporters

Menurut sumber, dua pegawai itu ditahan susulan penahanan seorang lelaki Bangladesh di sebuah hotel di George Town pada 9 malam Khamis lalu.

PETALING JAYA: Dua pegawai agensi penguat kuasa direman tiga hari bagi membantu siasatan kes mengatur kemasukan warga asing menerusi laluan kaunter khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Perintah reman hingga 21 Okt itu dikeluarkan Majistret Muhamad Qayyum Noordin di Mahkamah Majistret George Town.

Dua pegawai dalam lingkungan 40-an itu ditahan antara 12.30 hingga 1.30 tengah hari semalam ketika hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang untuk memberi keterangan.

Menurut sumber, dua pegawai itu ditahan susulan penahanan seorang lelaki Bangladesh di sebuah hotel di George Town pada 9 malam Khamis lalu.

Kedua-dua pegawai agensi penguat kuasa itu dipercayai bersekongkol dengan warga Bangladesh berkenaan yang bertindak sebagai ejen bagi mengatur laluan masuk seorang warga Indonesia tanpa melalui pemeriksaan sepatutnya, katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, siasatan awal menunjukkan warga Bangladesh itu bersama pegawai agensi penguat kuasa lelaki terbabit didakwa meminta RM4,500 daripada seorang lelaki Indonesia yang tiba di LTAPP pada 22 Sept lalu sebagai balasan membantunya masuk ke nagara ini.

“Lelaki Indonesia terbabit kemudian meminta tempoh untuk menyediakan wang berkenaan sebelum diarahkan ke sebuah kaunter khas dijaga seorang pegawai wanita bagi urusan masuk ke negara ini tanpa melalui pemeriksaan sepatutnya.

Susulan itu, SPRM Pulau Pinang menahan lelaki Bangladesh terbabit yang dipercayai menerima kira-kira RM2,000 daripada seorang wanita Indonesia.

Sumber berkata, lelaki Bangladesh itu direman tujuh hari hingga 24 Okt ini atas permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Georgetown pagi semalam.

Pengarah SPRM Pulau Pinang, Mohd Fuad Bee Basrah mengesahkan tangkapan tiga suspek itu.

Katanya, dua pegawai agensi penguat kuasa itu disiasat bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, manakala warga Bangladesh itu disiasat mengikut Seksyen 16(b)(B) akta sama.

Tiada ulasan: