"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenapa PN harap semua sokong Belanjawan 2021?

 RAYUSA

Jumlah peruntukan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lalu merupakan yang terbesar dalam sejarah negara, iaitu RM322.54 bilion, hingga dipersoal dari mana sumbernya oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail!

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menegaskan kekurangan ketara dalam Belanjawan 2021 ialah tidak menyatakan pelan pemulihan ekonomi.

Apa yang jelas hanyalah pengumuman demi pengumuman pemberian bantuan, dan insentif hingga diragui adakah semuanya dapat dipenuhi ketika ekonomi negara meruncing.

Semasa mengambil peranan utama membahaskan Belanjawan 2021 sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat pada 9 November, Anwar menegaskan belanjawan tersebut tidak dapat diterima sebelum dibuat beberapa pindaan terhadapnya.

Dari awal hujahnya lagi, Anwar menganggap Belanjawan 2021 hanya belanjawan khayalan, mengaburi mata rakyat, dan ‘indah khabar dari rupa’. Memang peruntukan terbesar tetapi Anwar bertanya dari mana sumbernya.

Bantuan demi bantuan yang dihulurkan, tegas Anwar, hanya memberi kelegaan sementara kepada rakyat, sedangkan hakikatnya ialah negara bakal menghadapi kegawatan besar!

Anwar bertanya, jika mahu menjual aset negara seperti tanah dan saham, tanah dan saham mana yang boleh dijual. Siapa yang boleh membantu. Jika menjual saham kerajaan yang tenat sekarang, tegas Anwar, negara bakal jahanam!

Mengenai peruntukan sebanyak RM81 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang hangat dipertikai sekarang, Anwar bersimpati dengan Zafrul yang bukan orang politik, tetapi terpaksa mengikut telunjuk pemimpin PN. Pun begitu, beliau menasihatkan agar jabatan berbau politik itu tidak diberikan peruntukan.

Belanjawan 2021 juga dianggap sebagai belanjawan menangani Covid-19. Walau bagaimanapun, Anwar mendapati peruntukan bagi perkara tersebut kecil sahaja, padahal kesan buruk wabak maut tersebut sentiasa digembar-gemburkan.

Oleh itu, tegas Anwar, Pakatan Harapan (PH) tidak dapat menerima penjelasan meyakinkan mengenai segala kekhuatiran yang timbul.

Belanjawan 2021 amat dinanti-nantikan kerana ia yang pertama di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN), dan ketika wabak pandemik masih mengancam, serta diharapkan dapat disokong oleh semua pihak, termasuk MP pembangkang.

Lebih menarik, Ahli-ahli PH dijanjikan peruntukan oleh kerajaan PN jika menyokong Belanjawan 2021, meskipun dibantah oleh Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Kenapa PN mahukan sokongan semua pihak? Ada yang menganggap tidak lain kerana PN mahu terus menjadi kerajaan, dan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Perdana Menteri.

Disebabkan usaha memohon pelaksanaan darurat tidak berjaya, ikhtiar lain pula dicuba. Ekoran kenaikan menakutkan kes Covid-19, prosedur operasi standard (SOP) yang baharu untuk Sidang Dewan Rakyat dimaktubkan.

Satu daripadanya ialah menghadkan jumlah ahli Parlimen dalam sidang, iaitu hanya 80 sahaja – 41 dari PN, 31 PH, dan lapan lagi Bebas. SOP itu dikuatkuasakan mulai 9 November.

Sidang Dewan Rakyat sekarang bermula pada 2 November lalu. Jika benar-benar kerana mahu membendung penularan Covid-19, sepatutnya dari tarikh itu lagi SOP hanya 80 ahli Parlimen dilaksanakan. Semua sedia maklum kes harian wabak pandemik turun naik.

Mengapa tiba-tiba pada 6 November yang ada peristiwa penting negara, peraturan menghadkan jumlah ahli Parlimen itu bermula? ‘Jika tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah’.

Lantaran desakan yang dimulakan oleh Anwar agar Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun membenarkan semua ahli Parlimen memenuhi dewan, pembentangan Belanjawan 2021 bermula lewat setengah jam.

Desakan Anwar itu yang mengatakan tempoh pembentangan tidak terlalu lama, disokong oleh beberapa Ahli Parlimen PN, termasuk Tajuddin dan Datuk Sri Bung Moktar Radin (Kinabatangan) dengan alasan Yang Dipertua berkuasa memberi kebenaran ketika itu, dan pembentangan Belanjawan 2021 memang sangat penting – wajar diikuti semua ahli Parlimen.

Azhar menolak kerana pembatasan, katanya, telah dipersetuju secara konsensus oleh Ketua Whip semua parti beberapa hari sebelum pembentangan. Walau bagaimanapun, akhirnya beliau bersetuju membenarkan semua ahli Parlimen memasuki Dewan Rakyat mendengar pembentangan Belanjawan 2021.

Kelakar kerana dari 2 hingga 5 November seolah-olah tiada virus Corona apabila semua 222 ahli Parlimen dibenarkan masuk, sebaliknya, pada 6 November, hanya 80 sahaja, bagaikan pada hari itu baru Coronavirus ada!

Begitu terdesaknya Kerajaan PN hingga memanipulasikan Covid-19 dan SOP Dewan Rakyat sebagai bantuan penerus hidup!

Pentingnya penerimaan semua pihak terhadap Belanjawan 2021 bagi PN diakui secara tidak langsung oleh mantan Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Ghani.

Mantan Ahli Parlimen Titiwangsa itu juga menegaskan jika Belanjawan 2021 ditolak, kakitangan awam tidak akan mendapat gaji untuk Januari 2021.

Pertukaran kerajaan lagi, tambah Johari, juga menyebabkan perubahan polisi yang akan menyusahkan semua pihak. Beliau memberi contoh pendapatan negara banyak berkurangan apabila PH yang mengambil alih pentadbiran negara, menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan/GST dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan/SST.

Amat difahami, sebagai ahli Umno dan penyokong PN, tentulah Johari mahu kerajaan PN kekal berkuasa.

Kesusahan banyak pihak, terutama kakitangan awam dijadikan alasan ampuh untuk ‘merayu’ pengekalan pentadbiran kerajaan (pintu belakang/tebuk atap) sekarang.

Tiada ulasan: