"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MP Kapar tolak desakan Kumpulan Semesta, sedia ke mahkamah

KUALA LUMPUR, 14 Mei: Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam menegaskan, beliau tidak akan memenuhi empat tuntutan Kumpulan Semesta Sdn Bhd termasuk memohon maaf dan menarik balik dakwaan amalan rasuah terhadap syarikat itu dalam tempoh 48 jam.

Sebaliknya, beliau mencabar syarikat pasir itu supaya membawa kes berkenaan ke mahkamah jika merasakan dakwaan bahawa tiga pegawai atasannya mengamalkan rasuah tidak benar.

“Jika anda mahu failkan kes, sila failkan... bawa ke mahkamah. Saya sedia jumpa di mahkamah,” kata Manikavasagam ketika dihubungi The Malaysian Insider malam tadi.

Kata Manikavasagam, beliau mempunyai dokumen-dokumen untuk membuktikan wujudnya salah laku amalan rasuah membabitkan pegawai-pegawai atasan di syarikat berkenaan.

“Saya tidak akan tarik balik (tuntutan). Saya tidak akan minta maaf, mengapa saya perlu minta maaf?” kata beliau sambil mempersoalkan mengapa baru hendak meminta supaya menarik balik kes ini sedangkan ia sudah pun dilaporkan media Sabtu lalu.

Kumpulan Semesta pula mengemukakan tuntutan balas ini sehari selepas Manikavasagam mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang turut memintanya membuat laporan polis.

Ekoran pertemuan kedua-dua mereka kelmarin Khalid berkata, kerajaan negeri bersetuju untuk merujuk kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

Sabtu lalu, Ahli Parlimen Kapar itu mendakwa wujudnya amalan rasuah membabitkan pegawai kanan dalam anak syarikat kerajaan negeri yang terlibat dalam perniagaan pasir tersebut.

Dalam kenyataannya petang semalam, Pengarah Eksekutif Kumpulan Semesta Ramli Abd Majed menafikan dakwaan itu dan mahu Manikavasagam menarik balik dakwaan tersebut dan memohon maaf dalam tempoh 48 jam.

Katanya syarikat itu akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Manikavasagam jika dia gagal berbuat demikian dalam tempoh masa yang diberikan.

“Tuduhan kerugian dan salah urus adalah tindakan bagi merosakkan nama baik syarikat,” kata Ramli dalam kenyataannya.

Ramli berkata, syarikat itu membuat keuntungan dan melaksanakan dasar-dasar dan garis panduan yang telus bagi mengekang amalan rasuah dan rela memberi kerjasama penuh kepada agensi yang menyiasat bagi membersihkan semua tuduhan tidak berasas itu.

Selain itu Ramli berpendapat Manikavasagam perlu meletakkan jawatan dan membayar pampasan kepada Kumpulan Semesta kerana mencemarkan nama baik jika syarikat itu didapati bebas daripada semua dakwaan tersebut.

Mengenai tuntutan supaya meletakkan jawatan, Manikavasagam mempersoalkan kelayakan Ramli membuat tuntutan itu.

“Saya dipilih oleh rakyat, saya membawa aduan rakyat. Saya bukan dilantik oleh sesiapa, jadi jangan minta saya meletakkan jawatan. Siapakah Ramli untuk meminta saya meletakkan jawatan (sebagai Ahli Parlimen),” katanya lagi.

Sehubungan itu Manikavasagam juga menegaksan, beliau menolak untuk menerima peranan Selcat dalam menyiasat kes ini.

Dalam ulasan terbaru ini, Manikavasagam berkata, beliau sudah hilang kepercayaan terhadap Khalid yang Menteri Besar boleh mengedalikan kes ini dengan adil dan telus menerusi Selcat.

“Saya sudah tidak yakin dengan beliau, saya sudah tidak percaya dengan beliau lagi.

“Saya sudah memberikan segala dokumen kepada beliau dan hari ini (semalam) Kumpulan Semesta mengugut saya. Macam mana ini?” kata beliau lagi.

Selasa lalu beliau meminta Menteri Besar menubuhkan sebuah badan bebas untuk menyiasat kesnya.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: