"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perbicaraan kes liwat II ditangguh 31 Mei

Buat kali kedua, keterangan saksi utama Mohd Saiful Bukhari Azlan dalam perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan secara tertutup di Kuala Lumpur hari ini.

Prosiding tertutup yang berlangsung selama 30 minit petang tadi juga atas permintaan Karpal Singh yang mewakili Anwar sewaktu pemeriksaan balas.

Sebelum ini, Karpal Singh membuat permintaan yang sama ketika Saiful disoal oleh Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan pada pembukaan perbicaraan itu awal Februari tahun ini.

Seorang peguam lain Anwar, SN Nair, memberitahu wartawan bahawa prosiding secara tertutup hari ini mengambil masa 30 minit.

Selepas sesi itu, mahkamah kembali bersidang secara terbuka sebelum Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menangguhkan perbicaraan kepada 31 Mei selepas membenarkan Karpal Singh menfailkan permohonan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Karpal Singh berkata pihaknya akan memfailkan dua rayuan iaitu rayuan terhadap keputusan mahkamah yang menolak permohonan Anwar untuk dibekalkan dengan kenyataan saksi oleh Saiful dan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang menolak permohonan penangguhan prosiding perbicaraan itu.

Anwar, 63, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), didakwa atas tuduhan meliwat Saiful, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di Kuala Lumpur antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pertuduhan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Terdahulu, semasa prosiding bersambung secara terbuka, pemeriksaan balas diteruskan dengan Saiful, yang merupakan bekas pembantu Anwar, dipanggil semula untuk mengenal pasti bekas setiausaha politik Anwar, Mohamed Ezam Mohd Noor.

Semalam, Saiful dalam keterangannya berkata beliau berjumpa dengan Mohamed Ezam pada 27 Jun 2008 untuk mengadu penganiayaan yang berlaku kepadanya.

Ketika ditanya siapa yang menasihatinya untuk membuat laporan polis, Saiful menjawab: "Atas kehendak sendiri."

Kepada soalan sama ada beliau mendapat nasihat daripada bekas ratu trek negara, Datuk Mumtaz Jaafar, beliau berkata Mumtaz tidak bersetuju dengan beliau membuat laporan polis.

Ditanya sama ada beliau ada berjumpa dengan sesiapa pada pagi 28 Jun, 2008, sebelum membuat rawatan di hospital dan juga sebelum membuat laporan polis, Saiful berkata beliau ada berjumpa pakciknya "Tuah" pada pagi itu dan seorang guru agama.

Bagaimanapun, beliau tidak tahu nama penuh guru agama itu, tetapi memanggilnya "Atuk".

Saiful berkata beliau ada pergi ke rumah Anwar pada 27 Jun, 2008, jam 5 petang kerana ada perjumpaan dengan "blogger" dan "Anwar Club".

Karpal Singh kemudiannya merujuk kepada satu gambar di majlis itu di mana Saiful sedang membawa minuman di meja Anwar bersama tetamunya, dan Saiful mengesahkan gambar itu.

-Bernama-

Tiada ulasan: