"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Utusan putar belit anugerah kepada Datuk Dr Hasan Ali

Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 8 Dis: Penganugerahan darjah kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada Datuk Dr Hasan Ali tidak sewajarnya diputarbelitkan oleh akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) berkata, realiti itu juga berlaku ke atas penganugerahan yang diberikan oleh Sultan Selangor atas dasar Hasan adalah Exco kanan kerajaan negeri.

"Utusan Malaysia seperti yang diketahui umum sememangnya mempunyai agenda untuk memecahbelahkan perpaduan dalam PAS dan dalam Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Semalam, akhbar Utusan Malaysia menerusi tulisan kolumnis tetapnya membuat andaian, anugerah tersebut perlu dilihat sebagai satu usaha untuk mengahwinkan PAS dan Umno demi perpaduan umat Islam.

Penulis kolum tersebut, Zaini Hassan, menegaskan dalam tulisannya itu bahawa Hasan perlu memainkan peranan “melakukan perkahwinan” antara PAS-Umno.

Nama Hassan sering dikaitkan oleh Utusan sebagai orang “penting” dalam mewujudkan kerajaan perpaduan antara Umno dan PAS selepas pilihan raya umum 2008.

Dalam kolumnya itu, Zaini berhujah bahawa di Selangor, faktor Dr Hasan masih lagi penting kerana pengikutnya di dalam PAS sangat besar dan pengaruhnya di kalangan penjawat awam Melayu dalam kerajaan Selangor juga amat besar.

Perkembangan itu, menurut Zaini, memberikan kelebihan kepada Dr Hasan bertindak sebagai pemangkin kepada perkahwinan PAS dan Umno.

Menurut Salahuddin, namun putarbelit Utusan Malaysia itu sememangnya sudah diketahui oleh pelbagai pihak dan pasti gagal mempengaruhi orang ramai

"Utusan Malaysia pasti akan berusaha menjayakan agendanya yang juga agenda para pemimpin Umno BN untuk memecahbelahkan para pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat.

"Apa yang dinyatakan berhubung pengenugerahan yang diterima oleh Dr Hassan ini juga sememangnya salah satu dari agenda mereka, tetapi dakwaan mereka itu hanya akan menjadi bahan ketawa sahaja dalam masyarakat," tegasnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, pada sidang medianya hari ini turut sependapat dengan beliau.

Tiada ulasan: