"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bolehkah kemelut di Selangor diselesaikan jika Azmin dilantik jadi MB Selangor?

Shahbudin Husin
Krisis berlarutan di Selangor berhubung kedudukan Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS, membuatkan orangramai mula mempertikaikan kepimpinan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor. Daripada soal sekecil kedudukan Azmin dalam PKNS, Khalid terlihat begitu kalut untuk menyelesailan isu tersebut sehingga diheretnya sekali Pengurus Besar, Othman Omar dan Setiausaha Kerja PKNS, Norita Mohd Sidek.

Daripada awal, jawapan beliau nampak berbelit-belit sehingga lebih mudah menujukan kesalahan berhubung pengguguran Azmin ke bahu Pengurus Besar sedangkan beliau adalah Menteri Besar dan Pengerusi PKNS. Sesiapa pun yang tahu pengurusan korporat memahami bahawa kedudukan Ahli Lembaga Pengarah adalah dibawah Menteri Besar dan Pengerusi PKNS. Agak malang akhirnya, Orhman dan Norita dihukum dengan dipindahkan ke pejabat SUK.

Pertelingkahan antara Khalid dan Azmin ini bukan saja menampakkan adanya kecacatan apabila parti dipegang oleh tangan lain manakala pentadbiran kerajaan dipegang oleh pihak lain. Walaupun tujuan asalnya adalah baik iaitu untuk mewujudkan "check and balance" tetapi apabila melibatkan kuasa, jarang ada pihak yang sanggup menjadi terbuka untuk kuasanya diperiksa dan diseimbangkan. Kuasa selalunya sentiasa ingin diperkukuhkan.

Meskipun berolehnya PKR pada kuasa Menteri Besar adalah atas ehsan Pas dan DAP berikutan kedua-dua parti itu mempunyai 15 kerusi DUN manakala PKR hanya 14 sahaja, sudah sampai masanya PKR kembali menjadikan kedudukan parti menguasai kerajaan.

Oleh kerana Azmin yang menjadi Pengerusi PKR Selangor, beliau seharusnya segera dijadikan Menteri Besar untuk mengatasi kemelut yang sudah lama berlarutan ini. Tidak dapat dipastikan bagaimanakah penyelesaiannya kes kedudukan Azmin ini dalam PKNS tetapi selagi adanya dua nakhoda dalam PKR Selangor, satu pihak menguasai parti dan satu pihak lagi menguasai kerajaan negeri, selagi itulah masalah akan timbul.

Dalam hal ini PKR haruslah tidak lupa kepada sejarah Kedah di mana krisis yang berlarutan antara Allahyarham Azizan Razak dengan Pahrolrazi Zawawi selama bertahun-tahun akhirnya telah menyebabkan kerajaan PAS dapat ditumbangkan oleh BN dalam pilihanraya umum lalu.

Meskipun mungkin ada banyak sebab lain yang menyebabkan tumbangkan kerajaan Pas di Kedah tetapi harus diakui salah satu sebab besarnya ialah krisis yang tidak sudah-sudah antara kedua pemimpin tersebut.

Krisis yang berlarutan terlalu lama dah tiada jalan penyelesaian akan menyebabkan rakyat menjadi muak dan menyampah. Walaupun Khalid mempunuai rekod baik dalam mentadbir negeri dan dapat menambah kantung perbendaharaan negeri dengan jumlah yang banyak tetapi rekod itu boleh dilupakan jika tidak bijak menyelesaikan krisis dan menyebabkan pentadbirannnya kelihatan tidak aman.

Walaupun dalam keadaan sekarang Anwar dan Wan Azizah seperti ingin menjaga dan mengekalkan kedua-dua pihak itu iaitu Khalid dan Azmin terapi sebenarnya sudah sampai masanya pilihan yang tegas dibuat. Azmin harus dijadikan Menteri Besar Selangor, sesuai dengan kedudukannya sebagai Pengerusi PKR negeri. Jika mahu juga mengekalkan Khalid, berilah beliau tugas dan tanggungjawab sebagai Pengerusi PKR Selangor manakala Azmin yang juga menjawat jawatan Timbalan Presiden PKR, hendaklah diberi pengkhususan untuk memantapkan parti di peringkat nasional.

Ketegasan Anwar sebagai Ketua Umum dan Wan Azizah sebagai Presiden parti tidak harus ditangguhkan untuk menyelesaikan kemelut yang sudah lama berlarutan ini. Jika tidak bersedialah untuk menerima rasa muak dan menyampah yang akan terus meningkat serta berisiko kehilangan Selangor dalam pilihanraya akan datang.

Tiada ulasan: