"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hamzah dakwa dapat sokongan 18 daripada 25 Ahli Parlimen Bersatu

Minderjeet Kaur

KUALA LUMPUR: Bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin mendakwa beliau disokong 18 daripada 25 Ahli Parlimen parti itu, berikutan pemecatannya oleh lembaga tatatertib semalam.

Menggambarkan dirinya kini ‘bebas’, Hamzah berkata, beliau bersedia menerajui perjuangan baharu bagi ‘membantu membina negara’.

“18 Ahli Parlimen Bersatu umum sokong saya,” kata Ahli Parlimen Larut itu kepada pemberita selepas perhimpunan ‘Reset’ di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya hari ini.

Walaupun beliau tidak menamakan individu terbabit, kenyataan itu dibuat sehari selepas 16 Ahli Parlimen Bersatu menyokong seruan Naib Presiden Ronald Kiandee, yang juga wakil Beluran, supaya Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai presiden parti dan digantikan oleh Hamzah.

Enam belas Ahli Parlimen terbabit termasuk Zakri Hassan (Kangar); Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu); Roslan Hashim (Kulim-Bandar Baharu); Khlir Nor (Ketereh), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah); Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor); dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang).

Selain mereka, turut terlibat, Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Fathul Huzir Ayob (Gerik); Azahari Hasan (Padang Rengas); Nordin Ahmad Ismail (Lumut); Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota); Abdul Khalib Abdullah (Rompin); Kalam Salan (Sabak Bernam); Muslimin Yahaya (Sungai Besar); dan Islahuddin Abas (Mersing).

Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin, yang juga ketua Wanita Bersatu, turut hadir pada perhimpunan menyokong Hamzah hari ini.

Hamzah berkata, beliau tidak melihat dirinya sebagai ketua mana-mana gerakan baharu, sebaliknya sebagai nakhoda perjuangan untuk ‘membina negara ini bersama-sama’, ke arah konsensus nasional baharu demi kepentingan semua kaum.

“Mari sertai saya dalam perjuangan ikhlas untuk masa depan negara,” katanya menambah Ahli Parlimen yang menyokongnya tidak semestinya perlu keluar dari parti

“Saya bukan lagi dalam Bersatu. Jika ada Ahli Parlimen yang sokong saya, adakah mereka keluar parti? Tak semestinya.

“Yang penting mereka beri okongan secukupnya untuk kita laksanakan apa yang perlu dilakukan pada masa hadapan.”

Pilihan masih terbuka

Apabila ditanya hala tuju kumpulan yang menyokongnya, Hamzah berkata, semua pilihan kekal terbuka termasuk membentuk parti baharu.

“Boleh jadi parti baharu, atau parti lama dalam rumah baharu,” katanya.

Beliau menambah, keputusan sama ada terus dalam Perikatan Nasional (PN) atau mewujudkan gabungan baharu akan diputuskan bersama.

Mengenai spekulasi beliau menyertai Umno atau PAS, beliau hanya berkata: “Jika saya ada sokongan, saya akan pertimbangkan pilihannya.”

Beliau turut menafikan dakwaan mahu menyertai atau mengambil alih Berjasa, menyifatkannya sebagai khabar angin.

Berhubung peranannya sebagai ketua pembangkang, Hamzah berkata, beliau kekal sebagai Ahli Parlimen bebas, tetapi masih mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen PN.

Hamzah Zainuddin: Saya masih Ketua Pembangkang

MOHD. FAHMI ISMAIL

KUALA LUMPUR – Deklarasi yang dibuat bukan bertujuan untuk kepentingan peribadinya, sebaliknya ditujukan kepada mereka yang masih kekal bersama parti dan terus berjuang.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata, deklarasi tersebut adalah untuk individu yang belum dipecat serta masih setia meneruskan perjuangan demi kepentingan rakyat.Produk Tempatan Malaysia

“Deklarasi ini bukan untuk saya. Deklarasi ini untuk kamu yang belum lagi dipecat. Deklarasi ini untuk kamu semua yang masih lagi berjuang bersama dengan bakti besar.

“Saya bukan lagi ahli Bersatu. Saya sudah pun dipecat. Tetapi rakyat di bawah sana, saya akan pasti memperdoakan nasib mereka,” katanya selepas berucap taklimat berkaitan hala tuju dan reset politik di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), di sini hari ini.

Ahli Parlimen Larut itu berkata, meskipun tidak lagi bersama parti itu, beliau tetap akan meneruskan perjuangan bersama rakyat.

“Wahai Bersatu, dengar di sini. Saya masih lagi ketua pembangkang. Saya masih lagi ahli Parlimen. Walaupun saya bukan lagi seperti seorang ahli Bersatu, saya berjuang bersama dengan rakyat-rakyat saya yang berjuang bersama,” ujarnya.

Katanya, fokus perjuangannya kini tertumpu kepada kebajikan rakyat serta isu-isu yang dihadapi di peringkat akar umbi. – KOSMO! ONLINE

Noh lepas jawatan ahli MPT Bersatu, kecewa tindakan Lembaga Disiplin

FMT Reporters

PETALING JAYA: Noh Omar melepaskan jawatan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkuat kuasa serta-merta kerana kecewa terhadap Lembaga Disiplin yang didakwa tidak menghormati keputusan MPT.

Dalam mesyuarat MPT 12 Jan lalu, katanya, pimpinan tertinggi parti memutuskan semua tindakan disiplin terhadap ahlinya ditangguhkan.

Tetapi, beliau berkata, Lembaga Disiplin tetap meneruskan tindakan disiplin terhadap beberapa ahli dan pemimpin Bersatu.

“Persoalannya, adakah Lembaga Disiplin tidak menghormati keputusan MPT? Yang mana lebih berkuasa, Lembaga Disiplin atau MPT?

“Apa guna MPT sebagai badan tertinggi bermesyuarat jika keputusan tidak dihormati?” soalnya dalam satu video kepada FMT.

Noh dilantik menganggotai MPT Bersatu bersama Danni Rais, iaitu anak bekas menteri Rais Yatim, pada 18 Jan tahun lalu.

Peletakan jawatan Noh menyusul pemecatan Hamzah Zainudin, yang juga timbalan presiden dan ketua pembangkang di Parlimen, di tengah-tengah kemelut kepimpinan Bersatu.

Bersatu keluar surat pekeliling larang ahli jumpa Hamzah Zainuddin

KOSMO!
PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengeluarkan pekeliling rasmi memberi amaran tegas kepada semua ahlinya supaya tidak terlibat dengan sebarang perjumpaan atau perhimpunan yang dianjurkan oleh individu yang telah dipecat parti.Produk Tempatan Malaysia

Surat Pekeliling Setiausaha Agung Bilangan 1 Tahun 2026 bertarikh 13 Februari itu ditandatangani Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam surat tersebut, Lembaga Disiplin memutuskan bahawa Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan beberapa individu lain telah dipecat hak keahlian di bawah Fasal 22.5 berkuat kuasa serta-merta kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti.

Lebih tegas, pekeliling berkenaan mengingatkan bahawa mana-mana ahli parti yang bersekongkol atau menghadiri perjumpaan yang dianjurkan oleh individu dipecat boleh dikenakan tindakan disiplin.

Perkembangan itu berlaku hanya beberapa jam selepas Hamzah memuat naik gambar beliau berada di Rusila, Terengganu, menikmati minum petang bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Turut kelihatan dalam gambar tersebut ialah Datuk Seri Saifuddin Abdullah.-KOSMO! ONLINE

Isteri hamil maut dibunuh suami

Izz Laily Hussein

KOTA TINGGI: Seorang lelaki dipercayai mempunyai masalah mental disyaki membunuh isterinya selepas mendakwa wanita sedang hamil itu mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

Malah, suspek dikatakan mendakwa anak dalam kandungan mangsa bukan anaknya.

Dalam kejadian di rumah sewa mereka dekat Kampung Makam di sini, wanita berusia 34 tahun itu ditemui meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah oleh pemilik rumah kira-kira jam 7 pagi.

Pemilik rumah berkenaan, Atikah Sulaiman, 44, berkata suspek lelaki berusia 35 tahun itu datang ke rumahnya pada waktu subuh dalam keadaan tenang sambil memimpin tangan anak sulung mereka yang berusia empat tahun.

“Dia datang macam biasa saja, baju bersih, tak ada kesan darah. Siap minum air kotak lagi dengan anaknya.

“Dia beritahu suami nak buat laporan sebab isterinya ada lelaki lain dan dakwanya bayi dalam kandungan tujuh bulan isteri dia itu bukan anak dia.

“Suami tanya dia, mana isteri dia, dia cakap ‘isteri ada dalam bilik, saya sudah matikan dia’. Kami ingat dia bergurau, kemudian suami pergi ke rumah mereka dan mendapati isterinya sudah berlumuran darah dan tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Beliau berkata, pasangan itu sudah lima tahun menyewa di rumah berkenaan dan mempunyai seorang anak perempuan.

Atikah berkata, mangsa dan suspek baharu kira-kira dua bulan pulang ke rumah sewa itu selepas ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan susulan penyakit lelaki itu.

“Dulu suami mangsa kerja potong rambut, tetapi lepas balik sini dia tak bekerja. Mangsa ada beritahu suaminya itu ada masalah kesihatan mental sebab itu mereka pergi membuat rawatan di Kuala Lumpur.

“Sepanjang duduk di sini suaminya tidak pernah pula membuat hal, isteri juga baik, mereka tidak pernah tidak bayar sewa rumah.

“Jiran juga tidak mendengar sebarang bunyi mereka bergaduh ataupun bunyi bising ketika kejadian berlaku pagi tadi,” katanya.

Atikah berkata, suaminya terus melaporkan kejadian itu kepada pihak polis dan suspek pula menyerah diri ketika polis tiba.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa etnik Rohingya itu ditemui tidak bernyawa di dalam rumah sewanya dengan kesan hentakan di kepala.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 7 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.

“Siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala akibat dihentak dengan objek tumpul yang dipercayai lesung batu.

“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan seorang lelaki Rohingya berusia 35 tahun di sekitar lokasi kejadian kira-kira jam 7.30 pagi.

“Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti motif sebenar kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Remaja 18 tahun ditahan disyaki buang bayi di tandas awam

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun ditahan susulan penemuan mayat bayi dipercayai baru dilahirkan di sebuah tandas awam Taman Bandaraya Bukit Serindit, Melaka pada pagi tadi.

Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar berkata, remaja yang masih bujang itu ditahan di Hospital Melaka ketika sedang menerima rawatan selepas dipercayai mengalami pendarahan akibat melahirkan anak.

Dzulkhairi berkata, remaja berkenaan dipercayai melahirkan bayi perempuan itu sekitar 8.30 malam tadi di rumah keluarganya.

“Siasatan awal mendapati ahli keluarganya tidak menyedari remaja itu mengandung dan keterangan awal mendapati suspek mengaku melahirkan bayi berkenaan yang didakwa sudah tidak bernyawa di rumahnya.

“Remaja itu kemudian menaiki motosikal dan meninggalkan mayat bayi berkenaan di tandas awam yang terletak kira-kira 2km dari kediamannya,” katanya yang dipetik Sinar Harian.

Dzulkhairi berkata, remaja itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara sulit membuang mayat bayi.

Terdahulu media melaporkan, mayat bayi perempuan masih bertali pusat ditemui seorang tukang cuci ditinggalkan di dalam tandas awam berkenaan pada 9.40 pagi tadi.

Hamzah kongsi gambar minum petang dengan Hadi selepas dipecat dari parti Bersatu

Malaysiakini 
Ketika Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin melakukan gerakan untuk menyingkirkan para pengkritiknya, timbalannya yang dipecat, Hamzah Zainudin, kelihatan tidak terkesan.

Dalam satu hantaran di Facebook, Ahli Parlimen Larut itu berkongsi sekeping gambar yang dipercayai dirakam di kediaman Presiden PAS, Abdul Hadi Awang di Rusila, Terengganu, petang tadi.

“Alhamdulillah. Minum petang di Rusila. Allah SWT adalah sebaik-baik perancang,” kata Hamzah, yang baru pulang dari Sydney, Australia.

Hadi dilihat duduk di hujung meja, dengan Hamzah di sebelahnya, bersama Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, yang kedua-duanya sebelum ini dipecat daripada Bersatu.

Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee, yang secara terbuka menyokong Hamzah namun setakat ini tidak dikenakan tindakan disiplin, turut hadir.

Dari PAS pula, kelihatan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar; Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman dan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

Sebelum ini, Hadi dilaporkan tidak sehaluan dengan Muhyiddin berhubung pengganti bagi jawatan pengerusi PN.

Pada Selasa, Takiyuddin berkata dia secara peribadi serta PAS tidak akan campur tangan dalam kemelut dalaman Bersatu antara kem yang menyokong Muhyiddin dan Hamzah.

Badan disiplin Bersatu telah memecat 17 ahli berkuat kuasa hari ini.

Bagaimanapun, pergolakan dalam parti itu berterusan apabila laman Facebook rasminya, yang ditubuhkan ketika Wan Saiful memegang jawatan ketua penerangan, melancarkan serangan terbuka menerusi beberapa hantaran terhadap Muhyiddin dan kepimpinan yang masih ada.

4 Ahli Parlimen, 10 ketua bahagian dipecat Bersatu setakat ini

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seramai 17 pemimpin Bersatu dipecat parti itu setakat ini, terdiri daripada empat Ahli Parlimen, termasuk Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, dua Adun, dan 10 ketua bahagian.

Tiga lagi ahli Parlimen yang dipecat ialah Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob, Ahli Parlimen Padang Rengas Azahari Hasan dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang digantung keahlian parti sejak Oktober.

Dua lagi MPT yang dipecat ialah Zainol Fadzi Paharudin, yang juga Adun Sungai Manik selama empat penggal, dan Ketua Pembangkang Melaka, Dr Yadzil Yaakub.

Zainol berkata parti itu turut menamatkan keahlian beberapa ketua bahagian Bersatu.

Ketua bahagian itu adalah: Zulkifli Bujang (Johor Bahru), Yunus Nurdin (Libaran), Yunus Yusop (Tapah), Kamaruddin Majid (Teluk Intan), Hassuandi Hamzah (Larut), Ahmad Ishak (Gopeng), Abdul Aziz Ismail (Dungun), Ahmad Nasir Mid (Selayang), Shafiq Halim (Hulu Langat) dan Ramlan Meon (Tangga Batu).

Turut dipecat, Ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah, Nabila Norsahar.

Difahamkan semua pemimpin itu dipecat kerana melanggar satu peruntukan dalam perlembagaan Bersatu yang memperuntukkan ahli mesti mematuhi perlembagaan parti, kod etika dan tatakelakuan.

Bagaimanapun, mereka yang dipecat itu diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan.

Sejak beberapa bulan lalu, Bersatu dilanda kemelut dalaman di tengah-tengah krisis kepimpinan antara Muhyiddin dan Hamzah.

Dua lagi Ahli Parlimen, Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor) dan Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), dipecat daripada Bersatu pada Oktober dan Januari lalu.

Mahiaddin terdesak, Hamzah dipecat

Hamzah dipecat, Mahiaddin terdesak, perangai luar tabii
K PRAGALATH

Presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Yassin sangat terdesak hingga terpaksa memecat timbalannya Datuk Seri Hamzah Zainudin, kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Wan Saiful bagaimanapun yakin bahawa sebahagian bersar anggota Bersatu menyokong Hamzah.

“Pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin memang sudah diagak kerana Muhyiddin sekarang ini betul-betul terdesak.

“Apatah lagi bila Muhyiddin sendiri yang menghantar notis pemecatan, seolah-olah dia juga Pengerusi Lembaga Disiplin. Muhyiddin dah berperangai di luar tabii.

“Dalam parti, sokongan kepada Muhyiddin sudah minima. Hanya mereka yang dia lantik saja yang menyokong dia. Itupun kerana sayangkan jawatan lantikan.

“Betullah komen-komen saya sebelum ini bahawa Lembaga Disiplin diperkuda untuk memburu Hamzah.

“Akar umbi kekal bersama Hamzah. Dan kumpulan yang lebih besar adalah bersama Hamzah.

Wan Saiful berkata begitu dalam mengulas pemecatan Hamzah hari ini.

Pemecatan tersebut berkuatkuasa serta-merta.

Doktor palsu suntik alat sulit diberkas

KOSMO
Thanat diberkas di kediamannya di Chon Buri, Thailand pada Isnin lalu. - Khaosod
BANGKOK – Seorang lelaki di Thailand ditahan kerana melakukan prosedur membesarkan alat sulit lelaki tanpa lesen perubatan  sah di rumahnya dan menghubungi pelanggan melalui platform TikTok, lapor portal berita Thaiger. 

Suspek dikenali sebagai Thanat, 38, diberkas di kediamannya di Si Racha, wilayah Chon Buri semalam. 

Tangkapan dibuat selepas pihak berkuasa menerima aduan bahawa seorang individu tanpa lesen perubatan telah menyiarkan iklan prosedur kosmetik  termasuk pembesaran alat sulit di platform TikTok melalui akaun ‘Chang Be Modify’.

Prosedur tersebut melibatkan memasukkan objek asing ke dalam kemaluan lelaki. 

Apabila polis tiba di rumah suspek, mereka mendapati Thanat sedang dalam proses menyuntik seorang pelanggan untuk membesarkan alat sulitnya.

Bilik tidur suspek digunakan sebagai bilik pembedahan sementara dan tiada bukti menunjukkan peralatan perubatan yang digunakan telah disanitasi dengan betul.

Polis merampas 683 manik mutiara bulat pelbagai saiz, lima kotak berisi Neuramis Volume Lidocaine filler, larutan garam untuk membersihkan luka, 136 peralatan pembedahan, picagari, jarum dan peralatan lain yang berjumlah lebih 977 item.

Thanat mengaku  tidak memiliki lesen perubatan dan premis itu tidak didaftarkan sebagai klinik semasa disoal siasat. 

Dia mempelajari cara melakukan implan dan prosedur pembesaran daripada banduan semasa menjalani hukuman penjara atas sabitan jenayah sebelum ini. – AGENSI

Wanita maut dengan 89 kesan tikaman

MUHAMMAD NAJIEB AHMAD FUAD

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan wanita yang maut dalam kes bunuh di Sunway SPK Damansara, Kepong, kelmarin, mengalami sebanyak 89 kecederaan dipercayai akibat tikaman ketika cuba mempertahankan diri.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan semalam mendapati mangsa wanita mempunyai 89 kesan tikaman dan luka di seluruh badan, manakala suaminya pula mengalami 10 kecederaan.

Menurut beliau, punca kematian kedua-dua mangsa telah dikenal pasti berdasarkan laporan post-mortem yang dijalankan.

“Mayat kedua-dua mangsa telah dituntut oleh waris semalam dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Isnin depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026 Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Kosmo! melaporkan, sepasang suami isteri ditemui maut dalam keadaan berlumuran darah akibat kesan tikaman pada leher dan badan di dalam bilik sebuah kediaman di Sunway SPK Damansara, Kepong, kelmarin.

Dalam kejadian terbabit, dipercayai si suami berusia 54 tahun telah membunuh isteri berusia 52 tahun sebelum mengambil nyawa dirinya sendiri.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima penggilan kecemasan berhubung kejadian sekitar pukul 11.43 pagi. – KOSMO! ONLINE

Beberapa lagi YB Bersatu dipecat bersama Hamzah

Malaysiakini 

Lembaga Disiplin Bersatu hari ini memecat beberapa ahli parlimen parti itu berkuat kuasa hari ini.

Menurut notis berasingan yang dikeluarkan oleh pengerusi lembaga disiplin, Mohd Radzi Manan yang dilihat oleh Malaysiakini, mereka adalah Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan.

Sama seperti pemecatan timbalan presiden parti, Hamzah Zainudin hari ini, surat-surat berkenaan menyatakan bahawa mereka disingkirkan kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti.

Turut menerima surat yang sama adalah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang sebelum ini digantung keahliannya.

“Adalah dimaklumkan bahawa Pihak Lembaga Disiplin telah bersidang pada 12 Februari lalu dan telah memutuskan bahawa Yang Berhormat dipecat hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 berkuatkuasa mulai tarikh surat ini dikeluarkan keranatindakan YB melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.

“Sila ambil perhatian bahawa notis ini berkuat kuasa serta-merta. Walaubagaimanapun pihak YB boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini,” kata Mohd Radzi.

Hamzah dipecat: Lembaga Disiplin salah guna kuasa, dipengaruhi Muhyiddin, dakwa Kiandee

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee mendakwa keputusan Lembaga Disiplin Bersatu memecat Hamzah Zainudin adalah satu bentuk salah guna kuasa yang dipengaruhi oleh kepimpinan tertinggi parti.

Beliau berkata Lembaga Disiplin digunakan sebagai alat untuk menutup kelemahan Presiden Muhyiddin Yassin bagi memastikan kelangsungan pengaruh kepimpinan sedia ada.

“Salah guna kuasa oleh Lembaga Disiplin Lembaga Disiplin dipengaruhi oleh presiden. Itu yang saya kata presiden gunakan saki baki kuasa untuk kekal releven.

“Lembaga Disiplin diperalatkan untuk menutup kelemahan presiden,” katanya kepada FMT mengulas pemecatan Hamzah daripada parti itu.

Pemecatan ketua pembangkang itu daripada Bersatu itu berlaku ditengah-tengah kemelut kepimpinan antara Hamzah dan Muhyiddin.

Menurut surat yang dilihat FMT, Lembaga Disiplin Bersatu mendapati Hamzah melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti.

Bekas ahli majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu Wan Saiful Wan Jan pula berkata Muhyiddin kini hanya disokong oleh ahli yang dilantiknya ke barisan pimpinan.

“Dalam parti, sokongan kepada Muhyiddin sudah minima. Hanya mereka yang dia lantik saja yang menyokong dia. Itupun kerana sayangkan jawatan lantikan.

“Akar umbi kekal bersama Hamzah. Dan kumpulan yang lebih besar adalah bersama Hamzah,” kata Wan Saiful yang turut dipecat.

Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula berkata keputusan itu menunjukkan ketidaktentuan arah kepimpinan Muhyiddin yang didakwanya semakin hilang sokongan.

“Sebenarnya Muhyidin sedang menggali kubur sendiri dalam politiknya kerana beliau mendengar cakap orang-orang yang korup, tidak ada moral dalam berdepan dengan kesatuan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Wan Fayhsal sebelum ini digantung keahlian selama satu penggal.

Rafizi tak gentar kemungkinan diserbu SPRM

Elill Easwaran

AMPANG: Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli mendakwa beliau dimaklumkan kediamannya akan diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia berkait laporan mengaitkannya dengan perjanjian kerajaan bersama syarikat semikonduktor berpangkalan di United Kingdom, ARM Holdings.

Bagaimanapun, Rafizi berkata beliau tidak gentar dengan apa yang disifatkannya sebagai ‘taktik intimidasi’.

“Saya sudah biasa ditangkap dan dipenjarakan. Taktik seperti ini pernah digunakan oleh rejim terdahulu dan ia tidak pernah berjaya,” katanya pada sidang media.

Beliau turut berseloroh dengan berkata telah meminta isterinya mengemas rumah sebagai persediaan menghadapi serbuan yang dikatakan akan berlaku tidak lama lagi.

Malam tadi, Rafizi turut menepis laporan yang dibuat terhadapnya berkaitan perjanjian ARM Holdings, sambil menegaskan SPRM bebas menjalankan siasatan.

“Kononnya ARM menyogok saya. Mereka boleh siasat sejauh mana mereka mahu.

“Saya tidak pun dapat makan tengah hari atau cenderamata daripada ARM, apatah lagi sogokan. Saya masih miskin seperti dahulu. Saya tidak ada jutaan ringgit dalam bentuk saham,” tulisnya di platform X.

Semalam, tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan mendakwa seorang bekas menteri telah menyalahgunakan kuasa berkaitan penganugerahan kontrak kerajaan bernilai hampir RM1.1 bilion kepada sebuah syarikat asing.

Menurut mereka, laporan itu turut membabitkan seorang bekas pegawai yang pernah berkhidmat dengan syarikat berkenaan.

Malaysia telah memperuntukkan komitmen bernilai USD225 juta (RM930.52 juta) bagi menjalin kerjasama selama empat tahun dengan ARM, sebuah syarikat reka bentuk semikonduktor dan perisian, bagi mengurangkan halangan kepada syarikat tempatan untuk mengakses harta intelek serta teknologi miliknya.

Perjanjian itu turut merangkumi usaha membangunkan cip kecerdasan buatan (AI) berjenama “Buatan Malaysia” dengan memanfaatkan teknologi ARM.

Pada November 2022, SPRM menyerbu Invoke Solutions Sdn Bhd, syarikat data yang diasaskan Rafizi, susulan satu laporan NGO berkaitan pengisytiharan harta beliau.

Rafizi sebelum ini pernah dijatuhi hukuman penjara atas dua pertuduhan memiliki satu halaman laporan audit 1MDB serta mendedahkan kandungan laporan tersebut dalam satu sidang media di bangunan Parlimen.

16 Ahli Parlimen Bersatu sokong gesaan Muhyiddin letak jawatan presiden

FMT Reporters

PETALING JAYA: 16 Ahli Parlimen Bersatu menyokong gesaan Naib Presiden Ronald Kiandee supaya Muhyiddin Yassin segera meletak jawatan sebagai presiden parti.

Dalam satu kenyataan bersama, 16 wakil rakyat itu berkata walaupun tidak menafikan jasa dan sumbangan Muhyiddin sebelum ini, mereka berpendapat kepimpinan sedia ada tidak lagi mampu menyatukan parti serta memimpin ke arah kemenangan pada masa depan.

Menurut mereka, perubahan kepimpinan diperlukan bagi mengembalikan fokus perjuangan parti kepada agenda rakyat dan negara, selain memulihkan keyakinan akar umbi serta memperkukuh kesatuan dalaman.

16 Ahli Parlimen Bersatu itu turut menyatakan keyakinan terhadap Timbalan Presiden Hamzah Zainudin yang mampu menjalankan tanggungjawab sebagai pemangku presiden dengan baik.

“Ini dapat membantu menyatukan semula parti dan memperkemas strategi politik menjelang pilihan raya akan datang,” katanya.

Ahli Parlimen yang menandatangani kenyataan media itu adalah Zikri Hassan (Kangar), Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu), Roslan Hashim (Kulim-Bandar Baharu), Khlir Mohd Nor (Ketereh), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor).

Fathul Huzir Ayob (Gerik), Azahari Hassan (Padang Rengas), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Kalam Salan (Sabak Bernam), Muslimin Yahaya (Sungai Besar) dan Islahuddin Abas (Mersing).

Selasa lalu, Kiandee menjadi pemimpin kanan pertama yang secara terbuka meminta Ahli Parlimen Pagoh itu melepaskan jawatan tertinggi Bersatu.

Kiandee yang juga ketua Bersatu Sabah mendakwa, Muhyiddin gagal mengurus krisis dalaman parti dengan berkesan sehingga ia dibiarkan berlarutan ke tahap yang hampir mustahil untuk dipulihkan.

Bersatu dilanda kemelut dalaman selama berbulan-bulan susulan krisis kepimpinan antara Muhyiddin dan Hamzah yang juga ketua pembangkang.

Pergolakan itu membawa kepada gesaan daripada kedua-dua kem supaya beberapa pemimpin berundur daripada jawatan masing-masing, selain tindakan disiplin terhadap tiga Ahli Parlimen termasuk Wan Saiful Wan Jan dan Saifuddin Abdullah, yang dipecat.

Gesaan supaya Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai presiden Bersatu semakin kuat susulan pertikaian dengan PAS mengenai jawatan pengerusi PN, yang dilepaskannya pada 1 Jan lalu.

Jawatan itu kekal kosong walaupun PAS menuntutnya. Majlis Tertinggi PN masih belum bersidang untuk mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi dan melantik penggantinya.

Dakwaan bekas menteri seleweng RM1.1 bilion, SPRM teliti keseluruhan laporan

MOHD RIDZAUDDIN ROSLAN

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menerima laporan berkaitan dakwaan isu penyelewengan pelaburan berjumlah kira-kira RM1.11 bilion melibatkan bekas menteri kanan di sebuah kementerian, hari ini.Produk Tempatan Malaysia

Susulan itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahya berkata, pihaknya akan meneliti keseluruhan laporan bagi menentukan sama ada wujud sebarang elemen rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa di bawah Akta SPRM 2009.

“Tindakan susulan termasuk meneliti dokumen dan bukti yang dikemukakan sebelum siasatan lanjut dijalankan seiring dengan komitmen terhadap integriti dan ketelusan dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, tadi.

Terdahulu, SPRM menerima laporan berhubung isu penyelewengan terbabit daripada gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan kira-kira pukul 2 petang tadi.

Berdasarkan laporan tersebut, pengadu mengesyaki bekas menteri kanan dan pegawai kementerian ketika itu terlibat dalam perkara berkenaan.

Selain itu, terdapat keraguan mengenai proses rundingan dan kelulusan yang didakwa tidak melibatkan sepenuhnya kementerian serta agensi berkaitan seperti Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Pengadu juga melaporkan beberapa isu yang dikatakan boleh menimbulkan persepsi konflik kepentingan. – KOSMO! ONLINE

Ringgit melonjak 3.89 banding dolar, tertinggi sejak hampir 8 tahun

Siti Noor Afera Abu

Ringgit meneruskan momentum peningkatannya apabila melonjak ke paras tertinggi baharu 3.8995 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis yang menghampiri paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

Kali terakhir ringgit mencecah paras itu adalah pada 23 April, 2018, apabila mencecah 3.8965/8995 berbanding dolar AS.

Setakat 6 petang ini, ringgit mengukuh pada 3.8995/9060 berbanding dolar AS daripada 3.9110/9170, semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang negara pesat membangun, termasuk ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS walaupun data penting AS yang diumumkan semalam, termasuk Penggajian Bukan Perladangan mencatat angka lebih tinggi daripada jangkaan awal.

Beliau berkata data berkaitan ekonomi Malaysia seperti Indeks Pengeluaran Perindustrian, Indeks Perkhidmatan, kerja pembinaan yang telah siap, pengeluaran minyak sawit mentah dan kadar pengangguran menunjukkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2025 berkemungkinan mengatasi angka 5.2 peratus pada suku ketiga 2025.

“Anggaran awal menunjukkan KDNK suku keempat 2025 dianggarkan pada 5.7 peratus. Ada kemungkinan data sebenar menunjukkan angka lebih tinggi esok,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit mengakhiri urus niaga hari ini dengan meningkat berbanding mata wang utama lain.

Ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 2.5499/5543 daripada 2.5527/5566, mengukuh berbanding euro kepada 4.6346/6423 daripada 4.6611/6683 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3220/3309 daripada 5.3561/3643 semalam.

Prestasi ringgit bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Berbanding rupiah Indonesia, ringgit diniagakan mengukuh kepada 231.7//232.2 daripada 233.0/233.4 semalam dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0931/0985 daripada 3.0990/1040 sebelumnya.

Ringgit bagaimanapun rendah berbanding baht Thailand kepada 12.5998/6273 daripada 12.5808/6062 semalam dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.71/6.72.

- Bernama

Hantar mesej lucah, pengawal keselamatan didenda RM30,000

Kumaran Rajamoney
Syed Danian Syed Mustapha Basri didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menghantar mesej lucah kepada seorang wanita, dua tahun lalu.
Syed Danian Syed Mustapha Basri didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menghantar mesej lucah kepada seorang wanita, dua tahun lalu.
IPOH: Seorang bekas pengawal keselamatan didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menghantar mesej lucah kepada seorang wanita, dua tahun lalu.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh, Syed Danian Syed Mustapha Basri, 42, selain memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan bagi setiap kesalahan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh secara sedar telah memulakan penghantaran mesej teks yang bersifat lucah dengan niat untuk mengganggu mangsa melalui aplikasi Messages antara 13 dan 14 Disember 2024.

Perbuatan itu dilakukan di sekitar Kawasan Perindustrian Bemban dan Taman Bemban Permai, Batu Gajah, Perak.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda minimum atas alasan perlu menanggung tiga orang anak termasuk seorang anak berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab Wahab dan Nadzirah Idris memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran (deterrent) memandangkan kandungan mesej yang dihantar sangat keterlaluan sehingga menjejaskan maruah dan emosi mangsa.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah turut memerintahkan barang eksibit iaitu sebuah telefon bimbit milik tertuduh dilucuthak kepada MCMC untuk tujuan pelupusan.

Pas hilang prinsip di Perlis, dari tuduh pengkhianat kini mohon jawatan

Harapandaily
Pas yang sebelum ini menuduh kerajaan negeri Perlis pimpinan Bersatu sebagai ‘pengkhianat’ kini memohon jawatan penyelaras di tiga DUN yang terjejas akibat konflik dalaman parti itu sendiri.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan konsistensi pendirian Pas dalam krisis politik negeri itu yang disifatkan sebagai memasuki fasa yang lebih membimbangkan.

“Persoalan besar yang wajar direnung oleh ahli dan penyokong Pas ialah soal konsistensi prinsip.

“Jika kerajaan tersebut dianggap tidak bermoral dan tidak wajar disertai, mengapa kini jawatan pentadbiran pula dimohon daripada pihak yang sama?” tempelaknya menerusi satu kenyataan.

Krisis politik di Perlis memuncak pada hujung tahun lalu apabila Menteri Besar ketika itu dari Pas, Mohd Shukri Ramli meletakkan jawatan selepas kehilangan sokongan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Susulan itu, ADUN Kuala Perlis dari Bersatu, Datuk Seri Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai Menteri Besar baharu.

Perubahan kepimpinan itu menyaksikan jawatan Menteri Besar beralih daripada Pas kepada Bersatu, sekaligus mencetuskan kekosongan peranan pentadbiran di peringkat kawasan.

Mengulas lanjut, Mahfuz menegaskan bahawa isu berkenaan bukan sekadar soal kalah atau menang politik, sebaliknya menyentuh soal amanah dan kejujuran dalam perjuangan.

Katanya, rakyat di DUN Guar Sanji, Bintong dan Simpang Empat menjadi pihak paling terkesan akibat krisis dalaman parti sehingga kehilangan wakil rakyat.

Kini sekali lagi, tambahnya, berdepan ketidaktentuan apabila penyelesaian dicari melalui pelantikan politik, bukannya mandat baharu daripada rakyat.

Dalam masa sama, Mahfuz mengingatkan bahawa perjuangan berteraskan Islam menuntut kejujuran dan keteguhan prinsip, bukan keputusan yang berubah mengikut keadaan kuasa.

“Ketaatan tidak boleh diminta daripada ahli jika prinsip berubah-ubah mengikut situasi politik,” kata Mahfuz lagi.

Akibat penguatkuasa tidak berfungsi: Bukit Bintang ‘lubuk’ pengemis Arab

HARRITH HISHAM
Salah seorang pengemis Arab menerima wang daripada orang ramai ketika meminta sedekah di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
KUALA LUMPUR – Lokasi Bukit Bintang sebagai lokasi tumpuan pelancong tercemar apabila terdapat segelintir orang Arab dewasa yang mengaku sebagai rakyat Palestin meminta sedekah hingga merimaskan orang ramai dan mengganggu perniagaan di situ.

Tinjauan Kosmo! selama dua malam berturut-turut di kawasan itu mendapati, modus operandi mereka ialah bergerak secara berkumpulan atau berpasangan sambil membawa budak menggunakan kereta sorong di kawasan pusat beli-belah, laluan pejalan kaki dan restoran popular.

Bermula pukul 8 malam, individu-individu berjambang dan memakai pakaian Asia Barat ligat……

Mayat dikerat beberapa bahagian ditemui tempat pembuangan sampah

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu : Penduduk di Indah Permai, di sini, dikejutkan dengan penemuan mayat tidak sempurna, dipercayai dikerat kepada beberapa bahagian di tempat pembuangan sampah, kira-kira jam 7 pagi, hari ini.

Mayat dipercayai seorang wanita itu ditemui pekerja lori sampah yang mahu mengangkat sampah di kawasan berkenaan, sebelum perkara itu tular di media sosial dan dilaporkan kepada polis.

Pihak polis kini berada di lokasi bagi menyiasat penemuan itu.

Terengganu: Lindungi PATI, dua majikan didenda RM10,000

Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Dua lelaki tempatan masing-masing didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) berada di premis di bawah kawalan mereka dalam dua kes berasingan.

Hakim Nazlyza Mohd Nazri menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Fahrizal Mat Zin, 39, dan Leonardo Ling Choi Seng, 36, sejurus kedua-duanya membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Fahrizal yang juga pemilik syarikat pembinaan didakwa membenarkan dua PATI warga Indonesia berada di sebuah tapak pembinaan rumah dua tingkat di Kampung Kubang Jambu, di sini, pada 9 Disember lalu.

Siasatan mendapati tertuduh bertanggungjawab menguruskan kerja-kerja binaan di premis itu dan membenarkan kedua-dua warga asing terbabit tinggal di lokasi berkenaan tanpa pas sah.

Bagi pertuduhan kedua, Leonardo Ling yang merupakan pengurus syarikat didakwa membenarkan dua PATI warga Bangladesh berada di sebuah rumah kongsi di Kawasan Bio-Polimer Park (KBP), Kerteh, Kemaman, pada 28 Januari lalu.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM30,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap PATI.

Pendakwaan dikendalikan pegawai daripada Jabatan Imigresen Negeri Terengganu.

Mana penguatkuasa: Kumpulan Matmi Dasta 313 dikesan aktif sebar dakyah

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my
RAKAMAN video memaparkan sekumpulan lelaki melakukan ritual memukul dada di dalam premis tertutup. FOTO tular
RAKAMAN video memaparkan sekumpulan lelaki melakukan ritual memukul dada di dalam premis tertutup. FOTO tular
Kuala Lumpur: Kumpulan warga asing dikesan menjalankan ritual 'matamdari' atau meratap sambil memukul dada di sebuah premis di ibu negara yang dijadikan markas kumpulan berkenaan.

Kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Lashkar-e-Mehdi Group Malaysia unit Matmi Dasta 313 itu dikatakan menjadikan lokasi berkenaan sebagai markas baharu bagi menyebarkan dakyah mereka.

Menurut sumber, kewujudan kumpulan ini yang aktif sejak setahun lalu dan beroperasi secara 'halimunan' di tengah-tengah kesibukan kota.

"Hasil maklumat dan pemantauan mendapati kumpulan ini didominasi oleh warga Pakistan yang menetap di sini.

"Mereka menggunakan kod nama unit 'Matmi Dasta 313' yang merujuk kepada simbolik jumlah tentera Badar," katanya kepada Harian Metro.

Sumber itu mendedahkan, markas berkenaan dikenali sebagai Al-Haadi Centre.

Penubuhan markas baharu di Kuala Lumpur ini dikatakan berpunca daripada perbalahan dalaman dan perebutan pengaruh dalam kalangan pemimpin kumpulan itu sendiri.

"Orang ramai jangan terkeliru. Ini bukan markas Baab ul Hidayah yang terletak di Bandar Sunway.

"Al-Haadi Centre adalah markas berasingan yang kini dikuasai sepenuhnya oleh unit Lashkar-e-Mehdi," kata sumber itu.

Pendedahan itu turut disokong dengan bukti rakaman video yang memaparkan sekumpulan lelaki sedang asyik melakukan ritual memukul dada di dalam premis tertutup berkenaan, satu amalan yang jelas bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini.

Lebih membimbangkan, markas operasi mereka itu terletak di Cheras dan sering menjalankan ritual berkenaan.

Sumber turut mendedahkan terdapat beberapa aduan mengenai bunyi bising setiap program mereka terutama upacara Matam iaitu memukul badan pada bulan Muharram (Julai) lalu.

Setiausaha politik bekas Ketua Menteri Melaka, isteri direman lima hari

MOHD RIDZAUDDIN ROSLAN
Seorang bekas Setiausaha Politik kepada bekas Ketua Menteri Melaka bersama isteri dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA/KOSMO!
PUTRAJAYA- Bekas setiausaha politik kepada mantan Ketua Menteri Melaka dan isterinya yang disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3 juta direman selama lima hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman bermula hari ini sehingga 16 Februari terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat Suruhanya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Semalam, SPRM menahan kedua-dua suspek ekoran disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan membantu sebuah syarikat dilantik sebagai konsesi projek penambakan laut di sekitar Melaka.

Penahanan kedua-dua individu itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dengan menyifatkan kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009.

Menurut sumber, kedua-dua suspek suami isteri tersebut ditahan kira-kira pukul 2 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati suspek yang bergelar Datuk Wira itu dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara Februari hingga November 2021.

“Pasangan suami isteri ini disyaki menggunakan wang rasuah tersebut untuk membeli sebuah unit kondominium di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Putrajaya pada pukul 9.10 pagi tadi menaiki kenderaan SPRM bagi proses permohonan reman. -KOSMO! ONLINE

Pukul polis guna kayu golf, lelaki tempatan mengaku tidak bersalah

SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Tertuduh (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Butterworth, hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN / KOSMO!
SEBERANG PERAI – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth, di sini hari ini atas pertuduhan memukul dua lelaki termasuk seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal menggunakan kayu golf, 31 Januari lalu.

Tertuduh, Zul Mazuwan Zulhilman Suresh Kumar, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.

Mengikut pertuduhan, dia dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua lelaki berusia 38 dan 26 tahun menggunakan sebatang kayu golf.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Flat Taman Bagan, Butterworth, dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) kira-kira pukul 2 petang pada 31 Januari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Zhan Yi, manakala tertuduh diwakili peguam Y. Yogeswaran.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai. Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Mac depan.

Terdahulu, tertuduh dilihat dalam keadaan bersahaja dan sempat bersiul ketika wajahnya dirakam kumpulan media semasa tiba di mahkamah pagi tadi. – KOSMO! ONLINE

Video aib atas sofa tersebar, pelakon wanita diperangkap?

KOSMO!

PETALING JAYA – Sebuah video mirip seorang pelakon wanita dengan aksi terlampau tersebar di aplikasi media sosial baru-baru ini.

Satu sumber mendedahkan, video tersebut dikesan mula disebarkan baru-baru ini menerusi sebuah aplikasi dengan memaparkan aksi seorang wanita mirip pelakon drama tempatan tersebut dalam keadaan sangat mengaibkan.

Katanya, berdasarkan video tersebut kita percaya pelakon tersebut menjadi mangsa rakaman skrin atau diperangkap oleh seorang lelaki melalui panggilan video.

“Video aib tersebut dikesan disebarkan sejak beberapa minggu lalu melalui satu aplikasi media,” katanya.

Sumber tersebut turut memberi peringatan bahawa individu yang menyebarkan video atau kandungan lucah di Malaysia adalah kesalahan serius di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

“Selain itu, mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan, mereka yang memiliki, mengedar atau menayangkan bahan lucah boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tujuh pegawai PBT direman, rasuah lesen perniagaan RM15,000

MOHD YUNUS YAKKUB
Kesemua suspek yang dibawa untuk proses reman di Mahkamah Majistret Shah Alam.
SHAH ALAM – Komplot rasuah bulanan sehingga RM15,000 membabitkan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mempercepatkan urusan permohonan dan pembaharuan lesen perniagaan terbongkar apabila tujuh pegawai direman hari ini.

Perintah reman selama empat hari terhadap mereka termasuk seorang bekas pegawai penguat kuasa berusia 30 hingga 50-an dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis.

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia 30 hingga 50an telah ditahan dalam tempoh dua jam bermula pukul 10 pagi semalam di sekitar Lembah Klang.

Katanya, siasatan awal mendapati kesemua individu berkenaan disyaki menerima wang rasuah berjumlah antara RM500 hingga RM15,000 daripada pemilik syarikat perniagaan.

“Ini dilakukan melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi masing-masing daripada dua pemilik syarikat.

“Suapan itu sebagai balasan mempercepatkan urusan permohonan dan pembaharuan lesen perniagaan selain melindungi syarikat-syarikat tertentu daripada dikenakan tindakan undang-undang,” katanya hari ini.

Sumber turut menjelaskan ketujuh-tujuh suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2019 hingga 2023.

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Mohd. Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE

Warga Myanmar ditahan selepas rakan ditemui mati ditikam 29 kali

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki warga Myanmar selepas rakannya ditemui mati dengan 29 tikaman di leher di sebuah bilik rumah kedai berdekatan Jalan Besar Bukit Pelandok di Port Dickson, Ahad lalu.

Ketua Polis Port Dickson, Maslan Udin berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada 9.45 malam pada Isnin sebelum menahan suspek berusia 21 tahun di kawasan Bukit Pelandok pada hari yang sama.

Katanya, mangsa yang juga warga Myanmar berusia 26 tahun dijumpai dalam keadaan tertiarap dengan kesan tikaman pada bahagian leher di bilik berkenaan.

“Kejadian dipercayai berlaku semasa mangsa bersama suspek sedang minum minuman keras di dalam bilik.

“Suspek dipercayai melakukan perbuatan itu ketika dalam pengaruh alkohol, namun motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Maslan berkata suspek dan mangsa merupakan kenalan di tempat kerja dan bekerja sebagai tukang panggang babi.

Menurutnya, bedah siasat selama lebih lima jam terhadap mayat mangsa yang dijalankan pada Selasa mendapati, punca kematiannya disebabkan luka tikaman di leher sebanyak 29 tikaman.

“Suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Isu pencerobohan tanah bina kuil haram: Firdaus Wong tegur Annuar Musa isu rumah ibadat haram

SITI NUR ZAWANI
Aktivis sosial yang juga pendakwah, Firdaus Wong menegur Tan Sri Annuar Musa yang hanya bersuara mengenai pembinaan rumah ibadat di tapak haram selepas Perdana Menteri mengeluarkan pendirian kerajaan.

Dalam satu hantaran di Facebook Annuar, beliau menyatakan bahawa arahan Perdana Menteri mengenai kuil haram adalah sesuatu yang membimbangkan.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan “perobohan” rumah ibadat haram. 

Kenyataan asal Anwar adalah “memberi keizinan kepada Pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bertindak ke atas rumah ibadat yang dibina tanpa mengikut jalur hukum yang sah”.

Firdaus Wong meninggalkan komen di hantaran pemimpin Pas itu, mempersoal mengapa baru sekarang Annuar Musa mahu bersuara terhadap kenyataan PM sedangkan isu itu sudah berlarutan beberapa hari.

Aktivis itu juga mengulas perkara itu di Facebook, mengkritik tindakan Annuar Musa yang seolah-olah cuba mempertahankan rumah ibadat haram dan memberi gambaran pihak yang ingin mendaulatkan undang-undang adalah tidak harmoni.

“Apabila kita berusaha mendaulatkan undang-undang, mereka ini sunyi sepi. Tidak menyatakan sokongan mahupun menyatakan bantahan. Barangkali ‘wait & see’ & jaga undi?

“Apabila PMX, membuat kenyataan tegas disusuli titah Tuanku Sultan Selangor, barulah mereka bersuara.

“Tetapi dalam kes ini, Tan Sri Annuar Musa memilih perkataan yang sama dengan mereka yang mempertahankan kuil haram seolah-olah kita yang ingin mendaulatkan undang-undang tidak harmoni,” katanya.

Aktivis itu berkata, apa yang baik dan betul mereka akan sokong, begitu juga jikalau ianya salah, mereka akan membantah tanpa mengira kaum, agama mahupun parti. 

Terdahulu, Perdana Menteri menegaskan babawa kerajaan tidak akan membenarkan percambahan rumah ibadat yang dibina sewenang-wenangnya tanpa kelulusan, termasuk di kawasan awam.

Justeru beliau memberi keizinan kepada pihak PBT untuk bertindak membersihkan kawasan yang bukan hak kuil supaya polemik berhubung pembinaan rumah ibadat tidak mengikut peraturan diselesaikan dengan baik.

Budak 3 tahun maut kereta dipandu ibu bertembung kenderaan polis

Bernama

Kemalangan di Jalan Ipoh–Lumut itu turut menyebabkan tiga cedera termasuk dua anggota polis.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut selepas kereta dipandu ibunya bertembung dengan kereta peronda polis, semalam. (Gambar Facebook)
IPOH: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut apabila kereta dipandu ibunya bertembung dengan kereta peronda polis di kawasan Puncak Jelapang, laluan Jalan Ipoh–Lumut, petang semalam.

Ketua Polis Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata dalam kejadian pada 3.35 petang, mangsa Chong Zee Han meninggal dunia ketika menerima rawatan, manakala ibunya Wong Mee Gee, 34, mengalami kecederaan di bahagian muka.

Beliau berkata kemalangan itu turut melibatkan dua anggota polis masing-masing berusia 42 dan 48 tahun yang mengalami kecederaan pada bahagian kaki, patah di bahu kiri serta luka di kelopak mata.

“Siasatan awal mendapati, kereta peronda polis jenis Honda Civic dalam perjalanan dari Lumut ke Jelapang, manakala wanita yang memandu Perodua Kelisa di laluan bertentangan dipercayai hilang kawalan secara tiba-tiba dan memasuki laluan kenderaan polis,” katanya dalam kenyataan.

Akibat kejadian itu, keempat-empat mangsa dari kedua-dua kenderaan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut.

Bagaimanpun, Abang Zainal Abidin berkata kanak-kanak perempuan itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HRPB pada 4.32 petang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Zahid Hamidi: Umno terbuka terima semula Hamzah Zainudin

FMT Reporters

PETALING JAYA: Umno sentiasa bersikap terbuka untuk menerima semula mana-mana individu kembali menyertai parti itu termasuk Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin yang berdepan kemungkinan dipecat partinya.

Presiden Zahid Hamidi berkata, pintu Rumah Bangsa sentiasa terbuka untuk pemimpin atau individu yang ingin bersama Umno semula, selaras objektif penubuhan gagasan tersebut.

“Sebagaimana objektif penubuhan Rumah Bangsa, ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin kembali atau menyertai Umno, sama ada secara individu mahupun berkumpulan.

“Umno ialah tempat untuk ahli Umno atau sesiapa sahaja yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu,” katanya ketika diminta mengulas kedudukan Hamzah dalam Bersatu, menurut Utusan Malaysia.

Zahid berkata, Umno mengambil pendekatan inklusif dalam usaha menyatukan kembali orang Melayu bawah satu wadah politik yang stabil dan berpengalaman.

Hamzah sebelum ini menjadi antara enam Ahli Parlimen Umno yang keluar parti itu pada 14 Dis 2018 dengan alasan hilang keyakinan terhadap kepemimpinan Zahid ketika itu.

Bersatu yang berdepan krisis dalaman ketika ini dikatakan mengaitkan nama Hamzah sebagai antara pemimpin yang berdepan kemungkinan dikenakan tindakan disiplin termasuk pemecatan.

Hamzah dilaporkan dipanggil menghadap lembaga disiplin bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan perhimpunan agung tahunan dan serangan terhadap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Krisis makin terserlah: Srikandi Muda tampil sokong Muhyiddin

Malaysiakini 

Krisis dalaman Bersatu semakin tersingkap apabila pemimpin-pemimpinnya keluar menyatakan pendirian terbuka melalui media.

Terbaru, Srikandi Muda Bersatu Malaysia tampil menyatakan pendirian menyokong kepimpinan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dalam mengemudi parti mendepani cabaran landskap politik semasa.

Dukungan itu dinyatakan ketika bekas perdana menteri itu ditekan supaya berundur secara terbuka oleh naib presidennya Ronald Kiandee hari ini.

"Presiden Bersatu telah membuktikan keupayaan memimpin dalam keadaan sukar dengan pendekatan yang tenang, berprinsip dan berpengalaman, selari dengan semangat penubuhan Bersatu.

"Srikandi Muda percaya bahawa kekuatan parti terletak pada kesatuan dan disiplin dalaman, bukan pada perbezaan pandangan yang dizahirkan secara terbuka sehingga mengganggu keharmonian sesama ahli," kata Ketua Srikandi Muda Nurul Ezzati Azmi.

Terdahulu Kiandee tidak teragak-agak menyifatkan Muhyiddin gagal menguruskan krisis dalaman parti dengan berkesan.

Jelas Ronald, tindakan Lembaga Disiplin Bersatu menghadapkan timbalan presiden parti itu, Hamzah Zainudin, atas tuduhan lama dan baru adalah satu langkah yang jelas bersifat regresif.

Malah, katanya, tindakan badan tersebut bercanggah dengan usaha memperkukuhkan parti bagi menghadapi PRU akan datang.

Desakan agar Hamzah dipecat sebelum ini disuarakan beberapa anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, dengan lembaga disiplin sekali lagi memanggil bekas menteri dalam negeri tersebut.

Dalam kenyataan hari ini, Nurul Ezzati berkata kestabilan kepimpinan merupakan keutamaan ketika parti sedang berdepan dengan pelbagai tekanan dan ujian.

“Sebarang pandangan atau penilaian terhadap kepimpinan wajar dibincangkan melalui saluran parti yang berhemah dan tertutup, demi menjaga maruah serta masa depan Bersatu,” katanya.

Dia turut menekankan bahawa tindakan tegas dan adil perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang jelas melanggar perlembagaan atau menggugat kestabilan parti mengikut proses sedia ada.

"Sebagai sayap wanita muda, kami memilih untuk memperkukuh, bukan menggugat; menyokong, bukan menekan, kerana sebuah parti yang sedang diuji memerlukan ketenangan, bukan kebisingan," katanya lagi.

Lelaki londeh seluar semasa seminar ditahan

Zaza Atira

Ketua pegawai operasi APU menerangkan keadaan susulan dakwaan di media sosial. Katanya individu itu tiada kaitan dengan universiti tersebut.
Tangkap layar memaparkan lelaki memakai dan menzip seluar sebelum beredar dari dewan.
PETALING JAYA: Seorang lelaki yang melondehkan seluar semasa satu seminar membabitkan pelajar sekolah di Universiti Teknologi & Inovasi Asia Pasifik (APU) telah ditahan polis.

Sebelum ini terdapat dakwaan lelaki itu melakukan onani, namun Ketua Pegawai Operasi APU Gurpardeep Singh, menerangkan perkara itu.

“Pelajar itu tidak melakukan onani tetapi melondehkan seluar,” katanya kepada FMT.

Gurpardeep berkata, polis dihubungi apabila kejadian diketahui dan semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang kaitan dengan universiti tersebut.

Tambahnya, menurut polis, suspek dikatakan mempunyai masalah mental.

“Dia pastinya bukan pelajar APU mahupun kakitangan APU atau dalam apa jua cara sekalipun berkaitan APU,” katanya.

Gurpardeep berkata, seminar tersebut bukan dianjurkan oleh pihak universiti tetapi oleh beberapa buah sekolah.

Menurutnya, siasatan dalaman sedang dijalankan.

“Kami perlu tahu bila dan bagaimana individu ini masuk ke dalam dewan bersama para pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Cheras Mohd Rosdi Daud mengesahkan suspek berusia 20an itu ditahan di kawasan Sri Petaling dan direman tiga hari mulai hari ini.

“Motif kejadian masih di dalam siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.

Satu hantaran tular di media sosial mendakwa lelaki itu memasuki auditorium bersama pelajar-pelajar dua sekolah menengah yang menghadiri seminar tersebut. Salah sebuah sekolah tersebut dikatakan membenarkan pelajar hadir ke seminar dengan berpakaian biasa.

Warganet mendakwa lelaki itu mula melakukan onani selepas kira-kira 40 minit seminar berlangsung, menyebabkan seorang pelajar perempuan yang duduk di sebelahnya menangis. Guru kemudian campur tangan dan mengarahkan lelaki itu meninggalkan auditorium.

Video tular memaparkan lelaki itu memakai dan menzip seluar sebelum keluar dari dewan tersebut.

Guru tuisyen maut jatuh kondo di Bandar Tun Hussein Onn

HARRITH HISHAM

KAJANG – Seorang guru tuisyen wanita maut selepas disyaki terjatuh dari tingkat 17 sebuah sebuah kondominium di kawasan Bandar Tun Hussein Onn, di sini semalam.

Difahamkan, mangsa berusia 24 tahun tinggal bersama keluarga dan dipercayai mempunyai masalah peribadi sebelum ditemui dalam keadaan terbaring dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 3.05 petang berhubung kejadian.

“Bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian adalah kecederaan pelbagai akibat jatuh dari tempat tinggi.

“Siasatan lanjut mendapati tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd. Raqib Abu Bakar di talian 0178806636 bagi membantu siasatan.

Justeru, polis menasihatkan masyarakat yang mempunyai masalah peribadi dan memerlukan bantuan untuk menghubungi talian Kasih 15999 atau berjumpa kaunselor yang bertauliah. – KOSMO! ONLINE

Mahiaddin tunggang Lembaga Disiplin buru Hamzah

K PRAGALATH

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa bahawa presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Yassin dan pasukannya menunggang Lembaga Disiplin untuk memburu timbalannya merangkap ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Sudah terang lagi bersuluh bahawa Mahiaddin dan penjilatnya menunggang Lembaga Disiplin untuk memburu Hamzah.”

Wan Saiful yang telah dipecat keahliannya dari Bersatu berkata demikian sebagai respon kepada laporan media bahawa Lembaga Disiplin Bersatu mahu berjumpa Hamzah pada 12 Februari.

Sebelum ini Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal menuduh Bersatu sebagai bacul dan mahu memecat Hamzah dari parti tersebut.

Wan Saiful menjelaskan perjumpaan beliau sendiri dengan Lembaga Disiplin membuktikan bahawa Lembaga tersebut hanyalah keldai tunggangan untuk memburu Hamzah.

Beliau turut menuduh bahawa Datuk Seri Radzi Manan selaku pengerusi Lembaga Disiplin melakukan siasatan ecara terpilih.

“Radzi Manan selaku pengerusi Lembaga Disiplin pula jelas sekali secara memilih-milih dalam menjalankan siasatan. Kalau dia rasa sesuatu aduan melemahkan kelompok mereka, maka aduan itu tidak dihiraukan.

“Tapi kalau aduan itu memperkukuh Mahiaddin dan (setiausaha agung Bersatu Datuk Seri) Azmin (Ali), Radzi Manan berperangai macam monyet tertelan Viagra.

“Saya sendiri menghantar aduan berkaitan salah laku Azmin melalui surat bertarikh 29 September 2025. Cop Bersatu dengan jelas menyatakan penerimaan aduan saya pada 30 September 2025.”

Beliau turut mendakwa bahawa beliau dipecat susulan aduan yang dibuat terhadap Azmin.

“Untuk menutup kesalahan Azmin, saya sebagai pengadu dan saksi-saksi yang saya namakan dalam surat aduan itu pula yang mereka pecat dua minggu selepas mereka terima aduan saya.

“Itulah Lembaga Disiplin Bersatu di bawah Muhyiddin. Tidak bermaruah. Tidak beramanah.”

‘Hamzah belum kena buang’, kata pemimpin Bersatu

Nur Alif Hazmi

KUALA LUMPUR: Hamzah Zainudin masih timbalan presiden Bersatu buat masa ini, menurut seorang wakil rakyat yang menghadiri acara bersama Presiden Muhyiddin Yassin, malam tadi.

“Hamzah belum kena buang lagi,” kata Adun Kota Siputeh, Ashraf Mustaqim Badrul Munir, kepada FMT ketika ditemui di luar kediaman bekas perdana menteri itu di Bukit Damansara.

Lebih 30 wakil rakyat Bersatu dan pemimpin kanan parti berkumpul di rumah Muhyiddin di tengah-tengah pertelingkahan antara kepimpinan yang semakin meruncing.

Antara yang hadir Setiausaha Agung Azmin Ali serta Naib Presiden Ahmad Faizal Azumu dan Radzi Jidin.

Sumber Bersatu beritahu FMT bahawa hadirin termasuk lebih 20 Adun dari pelbagai negeri, empat Ahli Parlimen serta beberapa ahli majlis pimpinan tertinggi.

Bagaimanapun, mereka yang dikatakan memihak kepada Timbalan Presiden Hamzah Zainudin tidak hadir. Sumber Bersatu kata mereka yang dalam kumpulan Hamzah memboikot acara malam ini, manakala seorang Ahli Parlimen mengesahkan wakil rakyat yang memihak kepada Hamzah membuat keputusan untuk tidak menghadiri pertemuan ini.

“Mereka yang hadir adalah penyokong tegar Muhyiddin,” katanya.

Sementara itu, FMT dimaklumkan bahawa acara perjumpaan khas terpaksa ditukarkan kepada pertemuan ini kerana hanya 18 wakil rakyat mengesahkan kehadiran.

Difahamkan tindakan akan diambil terhadap mereka yang tidak hadir.

Pertemuan malam tadi berlatarkan laporan bahawa Hamzah dipanggil menghadap lembaga disiplin, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan perhimpunan agung tahunan, dan serangan terhadap Muhyiddin.

Parti Bersatu ke garisan Penamat?: Azmin, Faizal Azumu di kediaman Muhyiddin untuk perjumpaan khas

Nur Alif Hazmi

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali dan Naib Presiden Ahmad Faizal Azumu tiba di kediaman Presiden Muhyiddin Yassin untuk suatu perjumpaan khas, malam ini.

Pertemuan ini turut diadakan bagi menyambut Ramadan, menurut undangan yang dikeluarkan oleh setiausaha kerja Bersatu.

Azmin dan Faizal tiba berasingan sekitar jam 8 malam tadi.

Sebelum ini, Ketua Bersatu Pasir Salak, Zainol Fadzi Paharudin, beritahu FMT bahawa tokoh utama parti, para wakil rakyat dan senator diundang ke pertemuan ini.

Pertemuan ini menyusuli pertelingkahan antara kepimpinan Bersatu yang semakin meruncing, dengan desakan yang kian meningkat agar Muhyiddin meletak jawatan sebagai presiden, disusuli pula dengan desakan balas supaya Timbalan Presiden Hamzah Zainudin meletak jawatan.

Gadis maut ketika ujian memandu, keluarga tuntut siasatan telus

NUR HUDA MUSA
Alesya Qaisara maut akibat kemalangan ketika menjalani ujian JPJ di sebuah institut memandu di Sepang.
PETALING JAYA – Impian seorang gadis untuk mendapatkan lesen motosikal bertukar tragedi apabila mangsa maut ketika menjalani ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sebuah sekolah memandu di Salak Tinggi, Sepang baru-baru ini.

Menurut kakak mangsa, Amylia Ahmad Nazri berkata, berita hiba itu diterima menerusi panggilan video daripada anak saudaranya yang juga calon ujian memandu di pusat sama.

“Semasa (kejadian) itu, anak saudara saya sedang menunggu giliran untuk ujian memandu. Buat masa ini, yang kami tahu arwah adik (Alesya Qaisara) mengalami kecederaan di kepala,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mengulas mengenai kejadian itu, Amylia berkata, keluarganya berharap siasatan secara telus dan menyeluruh dapat dijalankan oleh pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian yang menimpa mangsa.

“Keluarga sedang menguruskan perkara ini melalui saluran rasmi dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

“Kami juga sedang mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan kerana kami lambat dimaklumkan mengenai kejadian itu daripada pihak mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Lelaki didakwa kejar gadis dengan pisau ditahan

Bernama

MELAKA: Polis menahan seorang lelaki berusia 50 tahun selepas didakwa mengejar seorang gadis dengan sebilah pisau di sebuah pasar raya, semalam.

Ketua Polis Melaka Tengah, Christopher Patit, berkata kejadian berlaku pada 9.30 malam semasa mangsa berusia 21 tahun dan adik perempuannya didatangi suspek di tempat letak kenderaan.

“Mangsa berasa curiga dan takut terus melarikan diri masuk ke dalam pasar raya selepas mendakwa dikejar suspek.

“Mangsa mendakwa tidak mengenali suspek yang dikatakan telah memarahi dan menjerit ke arah dia serta adiknya tanpa sebab,” katanya dalam kenyataan.

Polis merampas sebilah pisau di tempat kejadian serta mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi serta pintu masuk pasar raya bagi mengesan pergerakan dan perbuatan suspek.

Suspek yang positif methamphetamine direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Kanak-kanak 2 tahun mengejut buka pintu kereta, 6 kenderaan kemalangan

FMT Reporters

Polis berkata ciri kunci keselamatan kanak-kanak juga dipercayai tidak diaktifkan menyebabkan pintu kenderaan dapat dibuka dari dalam.
jatuh motor
Tangkap layar video tular yang memaparkan perspektif penunggang motosikal kedua dalam nahas di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, pada Jumaat.
PETALING JAYA: Enam kenderaan, termasuk empat kereta dan dua motosikal kemalangan di Jalan Tun Razak pada petang Jumaat selepas seorang kanak-kanak dua tahun secara tidak sengaja membuka pintu kereta dinaiki.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata nahas itu mengakibatkan seorang penunggang motosikal berusia 25 tahun patah tangan, manakala seorang lagi penunggang berusia 30 tahun cedera ringan.

Katanya, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu berada di tempat duduk penumpang belakang dengan dipangku saudaranya, telah membuka pintu belakang sebelah kiri secara mengejut.

“Ciri kunci keselamatan kanak-kanak juga dipercayai tidak diaktifkan menyebabkan pintu kenderaan dapat dibuka dari bahagian dalam.

“Tindakan itu mengakibatkan seorang penunggang motosikal jenis Suzuki V-Strom SX yang sedang bergerak di antara lorong tidak sempat mengelak lalu melanggar pintu kenderaan berkenaan sebelum hilang kawalan dan merempuh beberapa kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa cermat dan tidak bertimbang rasa.

Polis meminta orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat lanjut tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.