"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penumpang lari bertempiaran dalam MRT

KOSMO!
RAMAI penumpang melarikan diri di dalam tren. - Foto @hcw0928/Threads/Reddit
TAIPEI – Penumpang  di dalam sebuah tren Transit Laju Massa (MRT) di Taipei,  lari bertempiaran dalam keadaan panik apabila seorang lelaki tiba-tiba menggunakan payungnya untuk cuba memecahkan tingkap kereta api, lapor portal berita MSNews hari ini.

Menurut portal berita Formosa News, kejadian itu berlaku di stesen metro Beimen kelmarin.

“Ada orang terjatuh. Semua orang panik dan kami terus berlari tanpa henti,” kata seorang saksi.

Beberapa suara turut kedengaran cuba menenangkan orang ramai supaya tidak mencederakan satu sama lain.

Gambar selepas kejadian menunjukkan beg yang ditinggalkan, minuman tertumpah dan kasut yang tercicir.

Laporan media tempatan menyatakan insiden itu berpunca daripada seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an yang dipercayai mengalami serangan panik.

Walaupun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, seorang wanita berusia 70-an cedera selepas terjatuh ketika cuba melarikan diri.

Dia dibawa ke Hospital Universiti Nasional Taiwan untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, lelaki yang menghayunkan payung ke arah tingkap telah dibawa pulang oleh ahli keluarganya. – AGENSI

JPN tahan lelaki guna MyKad orang lain tebus BUDI95

FMT Reporters

Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias berkata lelaki itu ditahan selepas pemilik MyKad menyedari berlaku penebusan BUDI95 atas namanya.
isi minyak pakai ic orang lain
Lelaki yang ditahan kerana disyaki menggunakan MyKad milik orang lain untuk menebus BUDI95 di sebuah stesen minyak di Gemencheh, Negeri Sembilan. (Gambar JPN)
PETALING JAYA: Seorang lelaki di Gemencheh, Negeri Sembilan ditahan semalam kerana disyaki menebus subsidi petrol BUDI95 menggunakan MyKad milik individu lain yang ditemuinya.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Badrul Hisham Alias berkata pihaknya menerima aduan daripada pemilik sebenar MyKad itu yang menyedari berlaku penebusan BUDI95 atas namanya walaupun tidak pernah berbuat demikian.

Badrul berkata siasatan dan risikan dijalankan membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun yang dipercayai mengambil kesempatan ke atas kehilangan MyKad milik mangsa.

“Hasil siasatan mendapati MyKad milik pengadu digunakan untuk menebus BUDI95 di sebuah stesen minyak di Gemencheh tanpa pengetahuan dan kebenaran pemilik sebenar.

“Suspek ditahan pada jam 12 tengah hari di sebuah rumah di Kampung Baru, Sungai Lerek, Negeri Sembilan,” katanya yang dipetik Berita Harian sebagai berkata.

Kata Badrul, kes disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) dan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana memiliki serta menggunakan kad pengenalan bukan miliknya bagi tujuan tidak sah.

Menurutnya, proses pendakwaan dijangka dilaksanakan selepas siasatan dilengkapkan.

Jemaah terjun dari tingkat atas Masjidil Haram

KOSMO!
KOMBINASI gambar menunjukkan seorang jemaah terjun dari tingkat atas Masjidil Haram kelmarin. – AGENSI
RIYADH – Seorang lelaki cedera selepas terjun dari tingkat atas Masjidil Haram di kota suci Mekah kemarin dalam kejadian yang mendorong tindak balas segera daripada anggota  keselamatan, kata pihak berkuasa Arab Saudi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pasukan Keselamatan Khas Masjidil Haram, anggota-anggota keselamatan  bertindak selepas individu tersebut bergerak ke arah birai tingkat atas Masjid al-Haram.

Semasa campur tangan itu, seorang anggota keselamatan cedera ketika cuba menghalang lelaki itu daripada terhempas ke lantai semasa  jatuh.

Pihak berkuasa mengesahkan kedua-dua lelaki dan anggota pasukan keselamatan terbabit cedera dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan perubatan yang diperlukan.

Pihak berkuasa Arab Saudi mengesahkan kejadian itu.

Menurut akhbar Khaleej Times, Imam Besar Masjidil Haram,  Abdur Rahman As Sudais kemudian bercakap tentang kejadian tersebut.

Beliau meminta para jemaah supaya menghormati kesucian Masjidil Haram, mematuhi peraturan yang ditetapkan dan memberi tumpuan kepada mengerjakan ibadah.

Menurutnya, melindungi nyawa adalah teras ajaran Islam.

“Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan,” katanya yang memetik ayat kitab suci al-Quran. – AGENSI 

Lelaki Palestin didakwa rempuh, tikam 2 warga Israel

Buletin TV3 

BAITULMAQDIS: Seorang lelaki Palestin didakwa menyebabkan kematian dua individu dalam insiden tikaman dan rempuhan kenderaan di utara Israel pada Jumaat.

Kejadian itu mencetuskan tindakan ketenteraan terhadap kampung asal suspek di Qabatiya, Tebing Barat yang diduduki, termasuk persediaan merobohkan rumah keluarganya, ketika wilayah berkenaan terus menyaksikan peningkatan keganasan sejak perang di Gaza bermula.

Siasatan awal polis Israel mendapati serangan berperingkat itu bermula di Beit Shean apabila seorang pejalan kaki dirempuh, diikuti kejadian tikaman terhadap seorang wanita muda sebelum suspek ditembak berhampiran Persimpangan Maonot di Afula hasil campur tangan orang awam.

Polis memaklumkan mangsa berusia 68 tahun, manakala perkhidmatan kecemasan Magen David Adom mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat kecederaan, dan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun cedera ringan selepas dilanggar kenderaan.

Tentera Israel memaklumkan suspek menyusup masuk ke wilayah Israel beberapa hari sebelum kejadian, manakala polis mengesahkan lelaki berusia 34 tahun itu adalah penduduk Qabatiya yang menggunakan kenderaan milik majikannya untuk merempuh dua individu di Beit Shean sebelum melanggar sebuah kenderaan yang berhenti.

Suspek kemudian keluar dari kenderaan sambil membawa pisau dan menikam seorang wanita berusia 18 tahun berulang kali, sebelum dibawa ke hospital, sementara majikannya ditahan untuk siasatan.

Berikutan kejadian itu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengarahkan tindakan tegas di Qabatiya bagi mengesan individu yang dikaitkan dengan kegiatan keganasan, dengan tentera melancarkan operasi, menggeledah rumah suspek dan mengenakan perintah berkurung serta menahan beberapa lelaki muda, menurut laporan Wafa.

Hamas pula menyifatkan serangan itu sebagai manifestasi kemarahan rakyat Palestin, yang berlaku beberapa hari selepas tentera Israel membunuh seorang remaja Palestin di kawasan sama. – AFP

Rafizi: PH ‘putus harapan’ di Perlis jika PRN awal

Chia Wan Rou

PETALING JAYA: Bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli berkata Pakatan Harapan (PH) bakal berada dalam situasi kalah-kalah sekiranya PRN Perlis diadakan dalam masa terdekat berikutan kemelut politik yang melanda negeri itu.

Beliau berkata, kerusi tunggal yang dimenangi PH di Perlis iaitu Indera Kayangan kini berada dalam zon bahaya berdasarkan analisis keputusan PRN Sabah pada 29 Nov lepas, meskipun kawasan tersebut mempunyai komposisi 60% Melayu dan 40% bukan Melayu.

“Sebenarnya ketidakpuasan hati lagi besar di Semenanjung berbanding di Sabah.

“Sekiranya ‘mood’ pengundi Cina sama seperti di Sabah dan jumlah keluar mengundi hanya sekitar 40%, PH mungkin hanya mendapat 50 hingga 60% daripada undi tersebut. Ini bermakna Indera Kayangan tidak lagi selamat,” katanya menerusi audio siar Yang Berhenti Menteri, malam tadi.

Khamis lalu, Adun Sanglang Shukri Ramli daripada PAS meletak jawatan menteri besar Perlis selepas tiga tahun menggalas amanah itu atas alasan faktor kesihatan.

Peletakan jawatannya menyusuli tindakan lapan Adun Perikatan Nasional (PN), termasuk tiga daripada PAS, menarik sokongan terhadap beliau menerusi akuan berkanun (SD) diserahkan kepada Raja Perlis, minggu lalu.

Penarikan sokongan Adun terbabit dikatakan menggugat majoriti mudah Shukri di DUN, yang dikuasai PN, untuk terus menjadi menteri besar.

Presiden PAS Hadi Awang memaklumkan keahlian tiga Adun berkenaan, iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).

Lima Adun Bersatu yang didakwa terlibat ialah Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Marzita Mansor (Sena).

Hadi turut menyerahkan kepada Bersatu sama ada mahu mengambil tindakan disiplin terhadap lima Adun parti itu yang menarik sokongan terhadap Shukri sebagai menteri besar Perlis, sambil menegaskan kepentingan solidariti politik.

Mengenai PRU pula, Rafizi berkata Umno dijangka menjadi penerima manfaat terbesar jika PN terus bergolak dan ‘berpecah belah, memandangkan hampir 40% pengundi PN adalah bekas pengundi parti itu.

“Kalau Anwar Ibrahim (Pengerusi PH) masih belum ada strategi untuk mengukuhkan sokongan di bandar, pengundi bukan Melayu dan pengundi PH yang asal, pengundi PN tidak akan ‘swing’ kepada PH walaupun gabungan itu bergelora begini.

“Umno yang menjadi penerima manfaat utama jika parti itu berhati-hati,” katanya sambil menambah kebangkitan semula Umno bergantung kepada cara parti itu mengemudi isu-isu sensitif, termasuk kes mahkamah bekas perdana menteri Najib Razak.

Dua exco dari PAS, Bersatu antara calon MB Perlis

FMT Reporters

Media melaporkan mereka adalah Azmir Azizan dan Abu Bakar Hamzah.
Azmir Azizan dan Abu Bakar Hamzah tile pic 271225
Spekulasi bertiup kencang dua exco Perlis Azmir Azizan dan Abu Bakar Hamzah menjadi pilihan menteri besar Perlis yang baharu.
PETALING JAYA: Adun Santan Azmir Azizan dari PAS yang juga exco kanan kerajaan Perlis disebut-sebut antara calon berpotensi mengisi kerusi menteri besar Perlis yang dikosongkan Shukri Ramli, kelmarin.

Beliau dikatakan mendapat sokongan PAS Pusat, selain dikenali antara individu yang rapat Shukri, menurut laporan BH yang turut memetik sumber mendedahkan calon dari Bersatu adalah Adun Kuala Perlis Abu Bakar Hamzah.

Abu Bakar dilihat menjadi pilihan berdasarkan prestasi cemerlang sebagai exco kerajaan Perlis selain kedudukan kukuh sebagai ketua Bersatu Perlis merangkap timbalan pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri.

Perletakan jawatan Shukri itu menyusuli tindakan lapan Adun termasuk tiga daripada PAS, menarik sokongan terhadap beliau.

Menurut sumber, mereka terdiri Abu Bakar, Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang), dan Marzita Mansor (Sena).

Dari PAS terdiri Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) yang keahliannya telah terhenti.

Shukri bagaimanapun menjelaskan tindakan terbabit atas faktor kesihatan.

Menjelang PRU16: Krisis Perlis boleh dorong PAS nilai kedudukan dalam PN

Dineskumar Ragu

PETALING JAYA: Krisis politik di Perlis yang menyaksikan Shukri Ramli meletakkan jawatan sebagai menteri besar susulan rancangan penyingkiran yang melibatkan rakan-rakan PAS dan Bersatu, berpotensi memaksa parti itu menilai semula kedudukannya dalam Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis.

Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre dan Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata kebuntuan itu boleh mengukuhkan alasan supaya PAS keluar daripada PN dan kembali menjalin kerjasama dengan Umno di bawah Muafakat Nasional (MN), pakatan Melayu-Islam yang diasaskan bersama oleh kedua-dua parti pada 2019.

Katanya, PAS mungkin berasa dikhianati oleh Bersatu Perlis yang berpihak kepada tiga Adun PAS dalam menarik balik sokongan terhadap Shukri. Ketiga-tiga Adun PAS itu kemudiannya ditamatkan keahlian parti.

“Pada akhirnya, PAS gagal menyelesaikan krisis ini di meja rundingan. Isu Perlis tidak diuruskan melalui kerangka pendamaian yang sewajarnya antara parti komponen PN dan krisis ini berpotensi menjadi pemangkin kepada perpecahan yang lebih mendalam dalam PN,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Mazlan berkata masih belum pasti sama ada PAS secara realistik boleh bergabung dengan Umno, memandangkan perkara itu banyak bergantung kepada perkembangan politik akan datang.

Kenyataan itu menyusuli gesaan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh supaya PAS keluar daripada PN dan menghidupkan semula MN susulan ketegangan baharu dalam gabungan tersebut, khususnya berkaitan jawatan menteri besar Perlis.

MN ditubuhkan pada 2019 bagi menyatukan kuasa politik Melayu selepas puluhan tahun persaingan antara PAS dan Umno. Namun, PAS kemudian bekerjasama dengan Bersatu untuk membentuk PN pada 2020, langkah yang dilihat Umno sebagai satu pengkhianatan.

Usaha mengintegrasikan Bersatu ke dalam MN gagal dan pakatan itu akhirnya runtuh pada Disember 2022 apabila Umno menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri selepas PRU15.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berhujah bahawa krisis Perlis bersifat khusus di peringkat negeri, mencerminkan isu kepercayaan dan perebutan kuasa dalam PN, namun katanya ia tidak wajar dijadikan alasan untuk PAS meninggalkan gabungan itu.

“Keluar daripada PN dan menyertai Umno akan meletakkan PAS sepenuhnya dalam pakatan Melayu-Islam dan ini akan mengehadkan usaha parti itu untuk mendekati sokongan di luar asas Melayu,” katanya.

Hisomuddin menegaskan bahawa PAS dan Umno bersaing untuk kerusi majoriti Melayu yang sama, menjadikan pembentukan pakatan yang lancar sesuatu yang mencabar.

“Dalam pilihan raya umum lalu, banyak kerusi ini dimenangi PAS. Berdasarkan watak politik PAS, adalah sangat tidak mungkin parti itu akan menyerahkan kerusi-kerusi ini kepada Umno,” katanya.

Mazlan pula berkata Umno tidak mungkin meninggalkan kerajaan perpaduan, dengan merujuk kepada ketidakpercayaan berterusan terhadap PAS serta kegagalan MN sebelum ini.

“Umno kini berada dalam kedudukan baik selepas menyertai kerajaan perpaduan dengan mencatat beberapa kemenangan dalam pilihan raya kecil kebelakangan ini,” tambahnya.

Sarawak: Remaja 14 tahun dikhuatiri disambar buaya ketika menjala udang

Mohd Roji Kawi
am@hmetro.com.my
Operasi SAR diaktifkan untuk mengesan remaja dikhuatiri disambar buaya di Pulau Bruit, Daro, hari ini. FOTO IHSAN JBPM
Operasi SAR diaktifkan untuk mengesan remaja dikhuatiri disambar buaya di Pulau Bruit, Daro, hari ini. FOTO IHSAN JBPM
Kuching: Remaja lelaki berusia 14 tahun dikhuatiri disambar buaya di Sungai Kelai, Pulau Bruit, Daro dalam Bahagian Mukah, hari ini.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa, Agustine Fernando Nyalong, sedang menjala udang berhampiran jeti di Rumah Panjang Jingga.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Daro pada jam 5.46 petang.

"Tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat itu untuk mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Operasi pencarian dijalankan di sekitar kawasan kejadian, namun sehingga lewat petang mangsa masih gagal dikesan,"'katanya.

Berikutan itu, operasi berkenaan ditangguhkan pada jam 6.30 petang atas faktor keselamatan.

"Operasi SAR remaja terbabit akan disambung esok pagi dengan radius pencarian akan diperluaskan," katanya.

Wan Saiful salahkan Mahiaddin Yassin berkait krisis politik di Perlis

Krisis politik Perlis: Wan Saiful salahkan Mahiaddin Yassin
K PRAGALATH

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan menyalahkan presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Yassin ekoran Langkah Kangar yang telah berlaku.

“Bagi saya apa yang berlaku di Perlis sekali lagi melambangkan kelemahan Muhyiddin dan orang sekelilingnya.

“Mahiaddin bukan saja gagal membaca suasana di Perlis, tetapi juga tidak berbuat apa-apa untuk mencapai penyelesaian awal.

“Seperti biasa, apabila ada krisis, Mahiaddin memilih bersuka ria dengan keluarga di luar negara.

“Hujung tahun lepas, semasa Bendahari PN protes letak jawatan, Muhyiddin pergi luar negara. Hari ini, cuba agak di mana Muhyiddin?

“Adakah MPT Bersatu pernah bermesyuarat apa-apa mengenai suasana di Perlis?”

Turut dipersalahkan ialah ketua penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Abdul Aziz.

Beliau juga berharap agar laporan bahawa Bersatu menghantar calon Menteri Besar adalah tidak benar.

“Sebab jika benar, nampaknya Bersatu sudah tidak hormat kepada Pas.

“Saya sudah sekian lama mengatakan bahawa hubungan dengan Pas adalah hubungan yang berharga.

“Bersatu jangan berperangai besar kepala. Tapi bila saya bercakap bahawa pendekatan Muhyiddin dan penjilat-penjilatnya adalah salah dan songsang, akibatnya kena pecat.”

Krisis politik di Perlis tercetus ekoran akuan bersumpah lima Adun Bersatu dan tiga, Pas menarik sokongan mereka kepada Menteri Besar Shukri Ramli.

Hadi Awang: Isu projek antara punca krisis politik di Perlis

Malaysiakini 

Isu melibatkan beberapa projek di Perlis antara punca krisis politik yang membawa kepada peletakan jawatan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Bercakap pada satu sidang media di Marang hari ini, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata banyak projek besar di negeri itu tidak mengikut peraturan.

"Projek banyak sangat. Projek tak ikut peraturan pula, salah. Di sebaliknya ada rasuah, di sebaliknya ada macam-macam.

“Dia (Shukri) tak boleh ikut. Saya tak perlu sebutlah siapa dia.

"Jadi bila kuat tekanan, kita terpaksa bertindaklah,” kata Abdul Hadi.

Bagaimanapun Abdul Hadi tidak menerangkan lebih lanjut projek besar yang dimaksudkannya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen daripada Bersatu berkenaan dakwaan Abdul Hadi.

Terdahulu, politik di Perlis bergolak selepas wujud usaha menyingkirkan Mohd Shukri menerusi tindakan lapan Adun - masing-masing tiga daripada PAS dan lima daripada Bersatu - yang menandatangani Akuan Bersumpah (SD) bagi menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis berkenaan.

PAS semalam memaklumkan keahlian tiga Adunnya terhenti berkuat kuasa serta-merta.

Mereka ialah Adun Chuping, Saad Seman; Adun Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.

Susulan daripada itu, speaker DUN Perlis, Rus'sele Eizan mengumumkan kekosongan luar jangka di tiga DUN berkenaan.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata Mohd Shukri meletakkan jawatannya sebagai menteri besar bukan kerana zalim dalam pentadbirannya, tetapi kerana “dizalimi”.

“Dia menteri besar yang turun ke medan. Orang masih sokong dia. Dan dia pun tak nak jadi menteri besar dah.

"Dia dizalimi, bukan dia zalim. Kita dalam Islam ni, orang kena zalim ni nabi ajar Tuhan terima doa," katanya.

Najib kena 15 tahun penjara dan denda RM11.38 bilion bagi tuduhan salah guna kuasa

Faisal Asyraf

PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atas Najib Razak berikutan sabitan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dalam kes 1MDB.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memerintahkan pemenjaraan Najib bermula pada 2028, selepas beliau selesai menjalani hukuman penjara enam tahun bagi kes SRC International.

Mahkamah mendapati bekas perdana menteri itu bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Mahkamah juga mengenakan denda RM11.387 bilion ke atas Najib, yang mana jika gagal dibayar, boleh menyebabkan beliau dipenjara selama 10 tahun.

Rupa-rupanya ini punca di sebalik peletakan jawatan Shukri Ramli di Perlis

Ini rupanya punca di sebalik peletakan jawatan Shukri Ramli di Perlis
K PRAGALATH

Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli telah meletakkan jawatannya semalam berdasarkan faktor kesihatan.

Tetapi apakah itu realiti politik Perlis yang menjadi krisis perlembagaan dan krisis untuk parti-parti yang sudah bertapak lama di negeri harum manis?

Sumber mendedahkan bahawa Shukri sepatutnya berundur secara baik seusai pilihan raya negeri Sabah kerana gagal mengotakan janji pilihan raya negeri yang dibuat kepada para pengundi.

Walau bagaimanapun beliau enggan berbuat demikian. Ini menyebabkan sebilangan Adun mengutamakan kepentingan pengundi mereka berbanding kepentingan parti.

Ini yang menyebabkan lapan Adun (5 Bersatu dan 3Pas) menandatangani akuan bersumpah dan menarik sokongan mereka kepada Shukri.

Shukri seterunya mengumumkan peletakan jawatannya pada Hari Natal seusai kembali dari China.

Pas pula menarik balik keanggotaan tiga ahlinya yang turut sama menandatangani akuan bersumpah – Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) and Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Langkah Kangar yang dilaksanakan oleh lapan Adun tersebut telah meretakkan hubungan Pas – Bersatu.

Dalam keadaan ini satu tsunami politik bakal berlaku melibatkan semua parti politik Melayu selain daripada Amanah yang tidak mempunyai kerusi di Perlis.

Di peringkat pusat pula, Pas mencuba nasib menyunting Umno dengan tawaran Muafakat Nasional.

Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah telah menasihatkan Umno untuk berundur daripada kerajaan Madani ekoran kegagalan mantan presiden Datuk Seri Najib Razak mendapat perintah tahanan rumah.

Hubungan MCA dan MIC dengan Umno juga bagaikan retak menantikan belah.

Di Perlis, Umno cuba mengelakkan krisis peringkat pusat tetapi tetap menyalahkan kegagalan kepimpinan Shukri.

“Perlis memerlukan kepimpinan yang kuat untuk mengembangkan ekonominya. Ia tidak lagi boleh menjadi negeri transit tanpa sebarang pelaburan,” kata seorang pemimpin Umno.

Perlis hanya mempunyai beberapa restoran McDonald’s dan sebuah hospital swasta – Hospital Pakar KPJ Perlis.

Di sebelah Pakatan Harapan, satu-satunya Adun PH, Gan Ay Ling (PKR – Indera Kayangan) berkata biar apa pun keputusan, ia mestilah berpihak kepada rakyat yang memerlukan kepimpinan yang stabil dan bersatu untuk membangunkan negeri ini.

Kes 1MDB: Surat derma Arab adalah palsu, ramai yang tertipu

Kes 1MDB: Mahkamah putuskan surat derma Arab adalah palsu
Ahmad Johari Ali, Rahmat Khairulrijal, Qistina Sallehuddin dan Sii Yin Ann
SUASANA di perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya dipenuhi penyokong Razak yang hadir seawal 7 pagi bagi keputusan kes. FOTO Ahmad Ukasyah
SUASANA di perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya dipenuhi penyokong Razak yang hadir seawal 7 pagi bagi keputusan kes. FOTO Ahmad Ukasyah
Putrajaya: Empat surat derma Arab yang dijadikan sandaran oleh Datuk Seri Najib Razak untuk pembelaannya dalam kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah palsu, demikian diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, ketika menyampaikan keputusannya, berkata tiada sebarang pengesahan dibuat oleh bekas Perdana Menteri bagi memastikan dana diterimanya benar-benar daripada Raja Arab Saudi ketika itu, Almarhum Raja Abdullah.

Tegasnya lagi, surat-surat terbabit tidak pernah dikemukakan dalam bentuk asal kepada mahkamah.

Sequerah berkata, bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan itu hanya bersandarkan kepercayaannya kepada kerabat diraja Arab Saudi dan tiada bukti menunjukkan dana itu sepatutnya disalurkan secara berperingkat.

"Dalam pembelaannya, cara dana itu disalurkan adalah sepenuhnya terpulang kepada Almarhum Raja Abdullah, namun hujahan itu tidak membantu kes pembelaan," katanya.

Justeru, katanya, tindakan itu satu cubaan oleh tertuduh untuk mengabsahkan dakwaannya bahawa dana yang diterimanya adalah sumbangan derma.

Sequerah berkata demikian ketika membacakan keputusan pada akhir kes pembelaan membabitkan empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dihadapi Najib.

Hakim menambah, jejak transaksi menunjukkan dana berkenaan disalurkan melalui syarikat persendirian pihak ketiga, iaitu Vista Equity, Blackstone dan Tanore, yang dimiliki Eric Tan Kim Loong (sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low).

Beliau bagaimanapun menegaskan, tiada sebarang pengesahan bertulis atau surat penghargaan dihantar kepada keluarga diraja Arab Saudi, yang disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa.

"Surat derma Arab adalah satu percubaan untuk mengabsahkan dakwaan sumbangan oleh tertuduh, namun kandungannya tidak menyokong naratif bahawa dana itu adalah sumbangan.

"Saksi pembelaan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut mengakui beliau tidak pernah mendengar secara langsung bahawa Almarhum Raja Abdullah berhasrat menyalurkan sumbangan kewangan kepada Najib.

"Kebolehpercayaan saksi pembelaan tidak membantu kes pembelaan," katanya turut membangkitkan isu berkaitan keterangan delegasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), khususnya kenyataan Kim Loong yang dirakam berdasarkan kenyataan disediakan lebih awal.

Selain itu, tiada sesi soal jawab sebenar dengan pihak Arab Saudi, yang didakwa telah diatur sebelum ketibaan delegasi.

Sequerah menegaskan, naratif derma atau sumbangan itu juga tidak direkodkan dalam Minit Mesyuarat Kabinet.

"Najib mempunyai sumber untuk mengesahkan kesahihan dana itu, namun memilih untuk menutup mata secara sengaja. Oleh itu, dana berkenaan adalah sangat meragukan," katanya.

Mahkamah memutuskan bahawa naratif sumbangan Arab adalah tidak berasas dan dana berkenaan sebenarnya berasal daripada 1MDB.

Selepas Sequerah membacakan penghakiman selama dua jam 30 minit, mahkamah berhenti rehat untuk solat Jumaat sebelum bersambung pada jam 3 petang.

Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan membayangkan beliau memerlukan sekurang-kurangnya satu jam 30 minit lagi untuk menghabiskan penghakimannya.

Najib, 72, didakwa pada 2018 atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram. Perbicaraan kes itu bermula pada tahun berikutnya.

Bekas Perdana Menteri didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014 di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, dia dituduh melakukan kesalahan di bank yang sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Pertuduhan salah guna kuasa difailkan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dengan penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan, yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Najib diarahkan membela diri terhadap pertuduhan berkenaan pada 30 Oktober 2024 selepas Sequerah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Selain kes SRC International yang telah diputuskan pada 2022 dan kes 1MDB, Najib sebelum ini berdepan tiga lagi kes rasuah berprofil tinggi. Bagaimanapun, dia dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi dua kes dan dibebaskan sepenuhnya bagi satu lagi pertuduhan.

Flat Sentul Utama terbakar, dua beranak rentung

HARRITH HISHAM
Tangkap layar kejadian kebakaran di sebuah unit rumah Flat Sentul Utama di Jalan Dato Senu, Sentul hari ini
KUALA LUMPUR – Dua beranak maut dalam kebakaran membabitkan sebuah unit rumah Flat Sentul Utama di Jalan Dato Senu, Sentuldi sini hari ini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS 999 pukul 7.18 pagi berhubung kejadian kebakaran sebuah rumah.

Menurutnya, sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dan BBP Gombak Selatan digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati kebakaran berlaku di sebuah unit rumah melibatkan dua mangsa iaitu seorang ibu dan anak lelaki dewasa.

“Lelaki berusia 58 tahun dan wanita warga emas berusia 82 tahun itu ditemui di dalam tandas dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan enam aliran daripada pam jentera bagi memadam kebakaran serta mengawal api daripada merebak ke kawasan sekitar.

“Kebakaran berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya pada pada pukul 8.27 pagi dengan anggaran kemusnahan sebanyak 40 peratus.

“Punca kejadian masih dalam siasatan oleh Unit Siasatan Kebakaran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Selepas Bersatu, PAS juga serah nama calon MB Perlis

FMT Reporters

PETALING JAYA: PAS telah mengemukakan nama untuk dipertimbang sebagai calon menteri besar Perlis baharu bagi menggantikan Shukri Ramli yang melepaskan jawatan itu, semalam.

Presiden Hadi Awang berkata parti itu mengemukakan nama di antara enam Adunnya bagi pertimbangan dan mendapatkan perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, lapor Utusan Malaysia.

PAS sebelum ini mempunyai sembilan wakil rakyat namun tiga daripadanya ditamatkan keahlian kerana telah menyerahkan akaun berkanun tidak lagi menyokong Shukri. Mereka adalah Saad Seman (Chuping), Anwar Ismail (Bintong) dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Hadi bagaimanapun enggan mendedahkan identiti calon berkenaan buat masa ini.

“PAS ada enam Adun dan kami telah mengemukakan senarai calon difikirkan layak,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata partinya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk PRK atau PRN sekiranya diperlukan.

Perletakan jawatan Shukri itu menyusuli tindakan lapan Adun termasuk tiga daripada PAS, menarik sokongan terhadap beliau.

Beliau menjelaskan tindakan terbabit atas faktor kesihatan.

Sebelum ini, Utusan Malaysia memetik sumber melaporkan Bersatu menyerahkan tiga nama sebagai calon menteri besar iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Izizam Ibrahim (Titi Tinggi).

Cemas kereta dihimpit treler 22 tayar

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
Seorang pengurus kilang menempuh detik cemas apabila kereta dipandunya secara tiba-tiba dihimpit sebuah treler di Lebuhraya PLUS. FOTO TULAR
Seorang pengurus kilang menempuh detik cemas apabila kereta dipandunya secara tiba-tiba dihimpit sebuah treler di Lebuhraya PLUS. FOTO TULAR
Sungai Buloh: Seorang pengurus kilang cemas apabila kereta dipandu di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) secara tiba-tiba dihimpit sebuah treler 22 tayar di kilometer (KM) 453, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, ketika kejadian, lelaki tempatan berusia 53 tahun itu dalam perjalanan daripada Petaling Jaya menuju ke Country Homes, Rawang.

Menurutnya, sejurus tiba di lokasi kejadian jam 4.15 petang kenderaan jenis Hyundai Sonata dipandu lelaki itu di lorong tengah dihimpit treler yang menukar arah dari lorong kanan secara mengejut.

"Treler berkenaan menghimpit kenderaan mangsa di lorong tengah kemudian treler berkenaan masuk semula ke lorong kanan dan berhenti secara mengejut di hadapan sebuah kereta lain di lorong kanan.

"Tindakan pemandu treler itu menyebabkan kereta berkenaan memberhentikan kenderaan secara mengejut namun tidak berlaku pelanggaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, akibat kemalangan itu kenderaan mangsa mengalami kerosakan akibat bergesel dengan treler berkenaan.

Katanya, setakat ini pemandu treler dan sebuah lagi kereta masih belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan orang awam.

"Kejadian dipercayai berlaku akibat pemanduan tidak berhemah oleh pemandu terbabit," katanya.

Terdahulu pihak polis terkesan satu video tular berdurasi 50 saatdi media sosial memaparkan kejadian itu.

Mohd Hafiz berkata sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Nizam Othman 0176254779.

Orang politik nak gaduh tunggu PRU16

HALISYA ISMA ZULKURNAIN
Tangkap layar hantaran memaparkan Dr. Mohd Izhar Ariff meminta ahli politik fokus bantu rakyat.
PETALING JAYA – Pendakwah dan personaliti televisyen, Datuk Dr. Mohd Izhar Ariff mempersoalkan keperluan Pilihan Raya Kecil (PRK) ketika rakyat berdepan tekanan ekonomi.

Menerusi hantaran di Facebook, Dr. Mohd Izhar meluahkan rasa kesal dengan sikap ahli politik yang disifatkan tidak memikirkan keadaan rakyat yang bergelut dengan kos sara hidup.

“Orang politik ni tak fikir ke rakyat sedang susah sekarang ni? Ekonomi negara baru nak dipulihkan. Anak-anak muda pula sedang berusaha cari rezeki, cari kerja tetap dan pendapatan lebih.

“Orang politik, kalau nak gaduh pun tunggu la PRU16 nanti. Setahun sahaja lagi. Sepatutnya waktu yang berbaki untuk PRU16 ini, bantu ekonomi rakyat, negeri dan negara,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, Dr. Mohd Izhar turut menyentuh kos pelaksanaan Pilihan Raya Kecil yang memberi kesan kepada kewangan negara.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan speaker Dewan Undangan Negeri Perlis akan memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mengadakan pilihan raya semula bagi mengisi kekosongan di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri.

Perkongsian tersebut meraih pelbagai reaksi netizen yang rata-rata memberi sokongan serta meluahkan rasa kecewa dengan agenda ahli politik negara.

“Sokong sepenuhnya pandangan Dr Mohd Izhar Ariff. Kita rakyat naik muak sudah dengan permainan politik sepanjang tahun tanpa ada faedah kepada rakyat dan negara,” komen @KamaliahSalleh.

“Susah nak menuju kepada kesatuan ummah selagi masih bergaduh soal politik. Kadang-kadang selepas pilihanraya pun masih bergaduh berkaitan isu remeh,” komen @IkaIsa. –KOSMO! ONLINE

PRK di Perlis boleh cetus konfrontasi PAS-Bersatu

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Penganalisis menjangkakan kemungkinan besar berlakunya pertembungan antara PAS dan Bersatu jika PRK diadakan di Perlis, selepas kerusi tiga Adun PAS diisytiharkan kosong hari ini ekoran terhentinya keahlian mereka dalam parti.

Tiada PRK perlu diadakan bagi kerusi Chuping, Bintong dan Guar Sanji memandangkan DUN akan terbubar secara automatik dalam tempoh dua tahun.

Bagaimanapun, Speaker DUN Perlis Rus’sele Eizan berkata, beliau akan mengutus surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memohon agar PRK diadakan demi menjamin kestabilan politik.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara memberi amaran bahawa keretakan antara PAS dan Bersatu dilihat ‘parah’ dan perkara ini boleh mencetuskan persaingan langsung sekiranya PRK diadakan.

“Jika PRK diadakan, kedua-dua parti itu hampir pasti akan bertembung sesama sendiri,” katanya menambah, Barisan Nasional (BN), terutamanya Umno, mungkin akan mengambil kesempatan atas perpecahan tersebut.

“Perlis (sebelum ini) ditadbir oleh BN untuk tempoh yang lama dan sokongan akar umbi tempatan terhadap Umno masih kuat. Peranan Pakatan Harapan pula dijangka lebih terhad,” katanya.

PAS menghentikan keahlian Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji) selepas mereka didakwa menarik balik sokongan terhadap bekas menteri besar Shukri Ramli, yang juga merupakan pemimpin PAS.

Ketiga-tiga bekas Adun tersebut dikatakan terlibat dalam pakatan bersama lima Adun Bersatu untuk menyingkirkan Shukri sebagai menteri besar. Shukri meletak jawatan awal hari ini disebabkan faktor kesihatan.

Sumber sebelum ini dipetik mendakwa Bersatu merupakan dalang di sebalik rancangan menyingkirkan Shukri untuk melantik menteri besar daripada parti itu sendiri.

Bersatu dilaporkan telah mengemukakan nama tiga Adunnya, iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), sebagai calon menteri besar.

Azmi memberi amaran bahawa ketidakstabilan politik akan berterusan sekiranya PRK tidak diadakan.

“Tanpa mandat baharu, sangat sukar untuk mentadbir sebagai kerajaan minoriti,” katanya.

Beliau menyifatkan kemelut ini pada dasarnya merupakan persaingan antara PAS dan Bersatu untuk menguasai Perlis, yang turut membawa implikasi lebih luas pada peringkat nasional.

“Apa yang berlaku sekarang sebenarnya adalah perebutan kuasa antara PAS dan Bersatu bagi mengawal kerajaan negeri Perlis. Selain isu di Perlis, ia juga menyentuh soal siapa yang mengawal PN di peringkat pusat.”

Sivamurugan Pandian daripada Universiti Sains Malaysia pula berpendapat, pertembungan PAS-Bersatu boleh berlaku, namun bukanlah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

“Risiko ini timbul kerana ketiga-tiga kerusi tersebut dimenangi di bawah tiket PAS, namun Bersatu mungkin berhujah mereka berhak bertanding sebagai rakan kongsi PN yang setara, terutama jika imbangan kuasa di Perlis menjadi taruhan,” katanya.

Sivamurugan berkata, amaran Speaker mengenai kemungkinan berlakunya DUN tergantung menunjukkan betapa terdesaknya situasi tersebut, dan tanpa mandat baharu, aspek keabsahan dan kestabilan akan terus dipersoalkan.

Beliau turut memberi amaran bahawa pada peringkat nasional, konfrontasi secara terbuka hanya akan mengeruhkan hubungan dalam blok PN.

“Namun, kedua-dua parti mempunyai dorongan kuat untuk mengendalikan isu ini secara pragmatik, mungkin menerusi rundingan kerusi, bagi mengelakkan gambaran berlakunya perpecahan (dalaman) menjelang pilihan raya akan datang,” tambahnya.

Bersatu rasa ‘terancam’?

Sementara itu, menurut Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya, PRK ketiga-tiga kerusi DUN itu, jika diadakan, akan mendedahkan garis retak yang mendalam di dalam PN.

Beliau berkata, Bersatu kini berada dalam kedudukan yang lebih lemah dan bergantung kepada parti lain di Perlis, memandangkan jawatan menteri besar dipegang oleh PAS, dan parti Islam itu menguasai majoriti kerusi DUN susulan PRN lepas.

“Bersatu semakin terasa dipinggirkan dan sekadar dilayan sebagai rakan kongsi kerdil. Lama-kelamaan, perkara ini menimbulkan kegelisahan dalam Bersatu.

“Apabila sesebuah komponen parti rasa ancaman sebegini, kesepaduan dalam gabungan politik tersebut akan mula terhakis,” katanya.

Krisis politik Perlis: Wujud dalang, perlukan 'lampu ajaib' pastikan situasi tidak berjangkit

Faida Rahim

Dr Mohamad Tawfik berkata, kegagalan menghargai mandat pengundi sehingga tercetus krisis politik ini amat mengejutkan. - FB Mohammad Tawfik Yaakub

KUALA LUMPUR: Situasi keadaan politik di Perlis jelas dipelopori oleh pihak tertentu yang menjadi dalang, susulan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Datuk Shahidan Kasim yang dilihat gagal menyelesaikan masalah dalaman.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pentadbiran & Politik Universiti Malaya Dr Mohamad Tawfik Yaakub berkata, kegagalan menghargai mandat pengundi sehingga tercetus krisis politik ini amat mengejutkan kerana Perlis mencatat sejarah apabila Perikatan Nasional (PN) berjaya mengambil alih pentadbiran negeri dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

"Bagi saya, sudah jelas dan terang apa yang berlaku di Perlis itu dipelopori atau ada 'Pak Pacak' atau mereka yang menjadi dalang di sebalik apa yang berlaku di Perlis itu sendiri kerana bagi saya, pengerusi Perikatan Nasional Perlis, Datuk Shahidan Kasim gagal menyelesaikan masalah dalaman apa yang berlaku di negari Perlis hari ini itu.

"Mereka juga gagal untuk menghargai sokongan ataupun mandat yang diberikan oleh pengundi dan rakyat Perlis sehingga inilah kali pertama dalam sejarah politik negeri Perlis, PN atau pembangkang berjaya mengambil alih pentadbiran negeri Perlis.

"Kita tidak boleh nafikan bahawa peranan Syahidan itu sangat besar dalam perkembangan politik Perlis Sehingga tumbang sebuah negeri kepada Perbangkang dalam PRU15 yang sebelum ini," katanya.

Dalam masa sama, Parti Islam Se-Malaysia (Pas) juga katanya perlu menilai semula kedudukannya dalam PN susulan kemelut politik yang berlaku di Perlis.

Beliau berkata masalah dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat semakin mencengkam sehingga menyukarkan gabungan itu untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

"Pas perlu pertimbangkan bagaimana hubungan mereka dalam Perikatan Nasional kerana masalah dalaman Bersatu itu sendiri menyukarkan mereka untuk berhadapan PN untuk berhadapan dengan PRU16 akan datang," katanya.

Tambah beliau lagi, keadaan politik semasa di negeri itu memerlukan 'lampu ajaib 'untuk memastikan konflik tidak menjangkiti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain atau mencetuskan ketidakstabilan politik di peringkat nasional.

"Bagi saya kena ada satu 'lampu ajaib' untuk memastikan bahawa kemelut politik di Perlis dia tidak jangkit kepada ADUN negeri yang lain ataupun negeri-negeri yang lain yang boleh menyebabkan satu keadaan kemelut politik sehingga mengheret rakyat.

"Bagi saya kalau nak harapkan Tan Sri Muhyiddin Yassin ataupun pemimpin Bersatu, mereka sendiri sedang bertelagah, berebut jawatan dalam Bersatu jadi nak harapkan siapa?," soalnya.

Menurut beliau, ini kerana setiap kali berlaku pertelingkahan politik, rakyat menjadi mangsa keadaan, justeru kematangan politik bukan sahaja perlu datang daripada pemimpin tetapi juga daripada rakyat keseluruhan.

Mengulas lanjut, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menilai keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Perlis susulan kekosongan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jelas beliau lagi, mengadakan PRK akan menyebabkan kos yang besar yang mana rakyat sudah letih dan bosan dengan kemelut politik yang mengheret mereka akibat perebutan kuasa sesetengah ahli politik.

Mohd. Shukri Ramli: Pengganti saya sepatutnya daripada Pas

NORLIDA AKMAR IDROS

KANGAR – Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli menyatakan bahawa calon pengganti bagi jawatan itu sepatutnya datang daripada Pas kerana parti tersebut memiliki kerusi majoriti di negeri ini.

“Sepatutnya dari Pas lah sebab Pas majoriti,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai calon MB baharu yang bakal menggantikannya sama ada daripada Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketika ini, Pas mempunyai enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Bersatu lima dan PKR satu.

Ini selepas tiga kerusi DUN Pas iaitu Chuping, Bintong dan Guar Sanji dikosongkan.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan bahawa Mohd. Shukri mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar secara sukarela atas faktor kesihatan.

Menurut Mohd. Shukri, beliau telah mempersembahkan surat peletakan jawatan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail tengah hari tadi.

Beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Tuanku Raja Perlis untuk mempertimbangkan hasrat tersebut. – KOSMO! ONLINE

Bekas MB Perlis, Shukri Ramli tak jangka ada rancangan di sebalik persahabatan

Dineskumar Ragu

PETALING JAYA: Bekas menteri besar Perlis, Shukri Ramli, langsung tidak menjangka ada rancangan untuk menumbangkan beliau di sebalik persahabatan dengan wakil-wakil rakyat terlibat.

Adun Sanglang itu melepaskan jawatan menteri besar petang tadi, berlatarkan kemelut yang tercetus apabila lapan Adun Perikatan Nasional (PN) — dikatakan lima daripada Bersatu dan tiga PAS — menarik balik sokongan kepadanya.

“Kesilapan sayalah terlalu baik dan terlalu menghargai persahabatan ini dan kita tidak langsung menjangkakan bahawa persahabatan ini yang menyebabkan kita dilakukan sedemikian,” katanya pada sidang media mengumumkan peletakan jawatan.

Shukri mendedahkan bahawa beliau masih melihat mereka sebagai sahabat, sebelum peristiwa yang menurutnya ‘tiba-tiba terjadi’.

“Maklumat langsung tidak dapat dikesan tiba-tiba terjadi saja. Saya pun dapat maklumat itu pada hari kejadian. Jadi… wallahualam. Itu kebijaksanaan mereka merancang,” katanya.

Situasi di Perlis mula dilaporkan FMT pada Isnin. Sumber memaklumkan lapan Adun menyerahkan akuan berkanun kepada Raja Perlis Jumaat lepas, menyatakan mereka tidak lagi menyokong Shukri.

Menurut sumber, lima daripada mereka terdiri daripada wakil rakyat Bersatu, iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang), dan Marzita Mansor (Sena).

Semalam, PAS mengumumkan keahlian tiga Adun iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).

Fasal 15A(1)(b) menyatakan keahlian seorang ahli dipilih sebagai seorang Adun terhenti serta-merta apabila ahli tersebut menyertai atau menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Turut dilaporkan, Bersatu mengemukakan tiga nama Adunnya sebagai calon menteri besar, iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), menurut Utusan Malaysia.

Sementara itu, Shukri menolak pertanyaan wartawan tentang hubungan antara parti dalam PN, susulan kemelut ini.

“Saya tak boleh jawab. Saya kena serah kepada pimpinan tertinggi PN. Kepimpinan tertinggi akan bermesyuarat dan melihat balik macam mana penerimaan ataupun hubungan antara parti dalam PN,” katanya.

5 maut ketika solat isyak di masjid

KOSMO
Orang ramai berkumpul di luar masjid di bandar Maiduguri, Nigeria semalam. - Abubakar Muktar Abba/HumAngle
ABUJA – ​Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dalam letupan sebuah masjid di bandar Maiduguri, Nigeria ketika waktu solat isyak semalam.

​Agensi berita AP memetik polis sebagai berkata, 35 orang turut cedera dalam letupan  tersebut.

​”Siasatan awal menunjukkan letupan  mungkin berpunca daripada serangan bom bunuh diri,” kata jurucakap polis negeri Borno, Nahum Daso.

Menurutnya, ​siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian masih dijalankan dan polis memeriksa kawasan sekitar untuk mengesan sebarang peranti letupan lain.

​Terdahulu, agensi berita AFP memetik sumber tempatan sebagai berkata, sekurang-kurangnya tujuh jemaah maut dalam letupan itu.

​Setakat ini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab, namun masjid-masjid sebelum ini kerap menjadi sasaran kumpulan militan.

​Seorang pemimpin militia dipetik  AFP sebagai berkata, bom itu disyaki diletakkan di dalam masjid sebelum meletup ketika jemaah sedang mengerjakan solat. 

Maiduguri merupakan ibu negeri Borno yang terletak di timur laut Nigeria.

Kawasan itu merupakan lokasi aktif kumpulan seperti Boko Haram dan cawangannya, Negara Islam Wilayah Afrika Barat (ISWAP) selama hampir dua dekad.

​Bandar Maiduguri tidak mencatatkan sebarang serangan besar sejak tahun 2021. 

Bagaimanapun, kesan konflik masih jelas kelihatan di bandar tersebut dengan kewujudan pusat pemeriksaan yang kerap dan rondaan tentera. – AGENSI 

PANAS!!! Shukri Ramli letak jawatan MB Perlis

N Faizal Ghazali

Menteri Besar Perlis Shukri Ramli mengumumkan peletakan jawatannya selepas menyembah maklum surat peletakan jawatan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

“Pertamanya nak maklumkan bahawa saya diperkenan mengadap Ke Bawah Duli Tuanku tengah hari tadi dan telah menyatakan hasrat saya meletak jawatan sebagai menteri besar atas faktor kesihatan saya, seperti mana yang kita tahu tak berapa mengizinkan.

“Saya telah menyembah surat peletakan jawatan, jadi sehubungan itu saya nak merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh warga pentadbiran kerajaan Perlis telah memberi kerjasama yang cukup erat kepada saya dan sahabat dalam pentadbiran,” katanya pada sidang media, sebentar tadi.

Bagaimanapun, Shukri berkata pihaknya masih menunggu jawapan daripada Tuanku Syed Sirajuddin mengenai status jawatannya itu.

Perkembangan itu menyusul selepas Speaker DUN Perlis mengumumkan bahawa tiga kerusi DUN — Chuping, Bintong dan Guar Sanji — dikosongkan apabila PAS mengumumkan terhentinya keahlian ketiga-tiga Adun berkenaan.

Tindakan itu diambil terhadap Adun Chuping, Saad Seman; Adun Bintong, Fakhrul Anwar Ismail; dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim. Ia dipercayai susulan pergolakan yang melanda kerajaan Perlis berikutan usaha menjatuhkan kepimpinan Shukri.

Gerakan terancang

Mengulas krisis tersebut, Shukri yang juga Adun Sanglang menyifatkan tindakan ketiga-tiga Adun berkenaan sebagai gerakan yang terancang.

Malah dia juga menganggap perbuatan tersebut sebagai satu pengkhianatan memandangkan wakil rakyat PAS telah berbaiah sebelum menjadi calon pilihan raya.

“Apabila kita berbaiah, kita tak boleh terima sebarang imbuhan, haram untuk dimakan, itu sama-sama setuju semasa nak jadi calon dulu. Saya tak tahu (gerakan tolak menteri besar), kalau saya tahu dah sekat awal.

“Kalau kita tengok dari segi maklumat tak bocor, terancanglah. Sebab maklumat langsung tidak dapat dikesan, tiba-tiba terjadi saja. Saya pun dapat maklumat pada hari kejadian, itu kebijaksanaan mereka merancang,” katanya.

Ditanya mengenai penggantinya, Shukri menegaskan bahawa calon Menteri Besar sepatutnya daripada PAS.

“Tapi apa pun peletakan jawatan saya ini atas faktor kesihatan dan sukarela , selebihnya saya serahkan kepada kebijaksanaan Tuanku.

“Sepatutnya MB daripada PAS, sebab PAS majoriti,” ujarnya.

Tambah bekas guru itu, dia tidak kecewa dengan apa yang berlaku kerana sikapnya menghargai persahabatan.

“Saya nak kata kecewa pun tidak juga, cuma kesilapan saya terlalu baik dan menghargai persahabatan ini dan kita langsung tidak menjangkakan bahawa persahabatan ini kita dilakukan sedemikian,” kata Shukri lagi.

PH-BN Perlis akan selaras tindakan hadapi ‘sebarang kemungkinan’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di Perlis dijangka akan menyelaras tindakan lanjut bagi ‘menghadapi sebarang kemungkinan’ susulan kekosongan luar jangka di tiga DUN.

Amanah Perlis mengumumkan PH dan BN di negeri itu akan mengadakan perbincangan bagi ‘menyelaras pendirian dan tindakan’ dalam masa terdekat.

“Amanah Perlis menegaskan bahawa parti ini bersedia sepenuhnya untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk PRK, sekiranya ia berlaku,” menurut kenyataan.

Speaker DUN Perlis, Rus’ele Eizan mengumumkan kekosongan luar jangka di DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji, tengah hari tadi.
(Dari kiri) Adun Chuping Saad Seman, Adun Bintong Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim hilang jawatan wakil rakyat selepas keahlian mereka dalam PAS dihentikan serta-merta. (Gambar Bernama)
Perkembangan itu menyusuli pengumuman PAS semalam, bahawa keahlian Saad Seman (Chuping), Anwar Ismail (Bintong), dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji) sebagai ahli parti terhenti, atas ketetapan yang dibuat berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) perlembagaan PAS.

Fasal 15A(1)(b) menyatakan keahlian seorang ahli dipilih sebagai seorang Adun terhenti serta-merta apabila ahli tersebut menyertai atau menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Fasal 76 pula menyentuh tatertib bagi ahli PAS.

Isnin lalu, FMT memetik sumber melaporkan lapan Adun menyerahkan akuan berkanun kepada Raja Perlis Jumaat lepas, menyatakan mereka tidak lagi menyokong Menteri Besar Shukri Ramli.

Saad, Fakhrul dan Ridzuan dikatakan menarik sokongan terhadap Shukri, selain lima wakil rakyat Bersatu iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang), dan Marzita Mansor (Sena), menurut sumber.

Sebelum situasi ini, PAS menduduki sembilan kerusi manakala Bersatu lima kerusi, daripada 15 kerusi DUN.

PH Perlis, yang menduduki satu kerusi DUN, semalam mengisytiharkan sokongan kepada pentadbiran semasa, untuk kekal sehingga tamat penggal.

Kedah: Bapa mentua, menantu meragut disambung reman empat hari lagi

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Alor Setar: Dua lelaki yang mempunyai hubungan bapa mentua dan menantu yang disyaki terbabit dalam kegiatan samun membabitkan seorang penuntut wanita di Masjid Al Bukhary, Jumaat lalu disambung reman empat hari lagi untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, suspek berusia 23 dan 46 tahun itu disambung reman sehingga 28 Disember ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya setakat ini.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki layak digelar bapa mentua durjana kerana sanggup bersekongkol dengan menantu lelakinya untuk melakukan kegiatan jenayah samun sebelum mereka akhirnya ditahan polis, Sabtu lalu.

Shahidan disebutkan sebagai salah seorang calon MB Perlis

Harapandaily

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim disebut-sebut sebagai salah seorang calon Menteri Besar negeri itu.

Aktivis, Syam Ghaz mendakwa Shahidan dikatakan akan bertanding di mana-mana daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang dilaporkan telah dikosongkan, sekali gus membuka laluan kepada kemungkinan pelantikan sebagai Menteri Besar.

Dalam nada menyindir, Syam menyifatkan situasi itu sebagai ironi kepada ahli dan penyokong Pas Perlis yang menurutnya telah melalui proses tarbiyah parti sejak peringkat awal, namun akhirnya terpaksa memberi laluan kepada tokoh luar.

“‘Bertuah’ betul ahli Pas Perlis, habis tarbiyah anak usrah sejak dari Pasti, masuk U, dalam pekerjaan pun kena kerah lagi.

“Akhirnya ahli Pas juga yang dibuang oleh Hadi Awang, digantikan dengan ‘Pas celop’ sebagai bakal calon Menteri Besar Perlis,” katanya.

Untuk rekod, Shahidan sebelum ini sudah pun memegang rekod sebagai Menteri Besar Perlis yang paling lama berkhidmat iaitu selama 13 tahun bermula 1995 hingga 2008.

Ahli Parlimen Arau sejak 1986 hingga 1995 dan 2013 hingga kini, Shahidan kemudiannya keluar UMNO dan menyertai Pas pada 2022 dan sekarang merupakan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.

Mengulas lanjut, Syam turut menyelitkan ucapan sinis berbentuk takziah terhadap Shahidan yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya III Pas Perlis.

“Takziah Tuan Guru Al Fathil Haji Shahidan Kasim,” perlinya terhadap percaturan politik dalaman PN Perlis itu.

Tiga Adun Perlis diminta pulangkan segera aset kerajaan negeri

Bernama

Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di Perlis yang jawatan mereka sebagai wakil rakyat gugur selepas keahlian mereka terhenti serta-merta diminta memulangkan segera aset kerajaan negeri yang digunakan.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Rus'sele Eizan berkata pihak DUN akan memaklumkan mengenai pemulangan keperluan yang diguna pakai ADUN Chuping Saad Seman, ADUN Bintong Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim.

"Secara automatik (jawatan) gugur, kita bukan pecat tetapi memang diberhentikan, semua jawatan dipegang termasuk wakil rakyat, (aset kerajaan negeri digunakan mereka harus) dipulangkan secepat mungkin,” katanya pada sidang media di Kompleks Seri Putra di Kangar hari ini.

Mohd Ridzuan sebelum ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan serta Sains, Teknologi dan Inovasi Perlis.

Terdahulu, Rus'sele mengumumkan berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji selepas keahlian tiga ADUN itu terhenti serta-merta.

Rus’sele berkata kekosongan itu selaras dengan Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.

Sebelum ini, media melaporkan ADUN Perikatan Nasional (PN) di Perlis didakwa telah bertemu Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menyatakan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Menteri Besar Mohd Shukri Ramli.

Berikutan itu, kenyataan media Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang malam tadi memaklumkan keahlian tiga ADUN berkenaan terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas, PN memenangi 14 kerusi DUN negeri itu tediri daripada sembilan ADUN PAS dan lima ADUN Bersatu, manakala seorang ADUN PKR bagi Indera Kayangan.

- Bernama

Kanak-kanak perempuan 2 tahun mati dibaham piranha

KOSMO
Mangsa diserang ikan piranha selepas terjatuh ke dalam sungai berhampiran rumahnya baru-baru ini. - Newsflash
BRASILIA – Seorang kanak-kanak perempuan maut akibat diserang ikan pemangsa piranha selepas terjatuh ke dalam sebatang sungai di Brazil, lapor akhbar The Sun UK. 

Kejadian berlaku di negeri Amazonas, baru-baru ini. 

Clara Victoria, 2, dilaporkan merayau jauh dari rumahnya sebelum terjatuh melalui lubang tidak berpagar di sebuah struktur yang terapung. 

Ibu bapanya segera mencari anak mereka di sungai tersebut selepas menyedari mangsa hilang. 

Mayat mangsa ditemukan di dalam air selepas lima minit pencarian dilakukan. 

Kebanyakan kecederaan yang dialami mangsa adalah pada bahagian leher, dengan kesan luka itu dipercayai akibat gigitan ikan piranha. 

Mayat Victoria dibawa ke Institut Perubatan Undang-Undang untuk prosedur forensik. – AGENSI

Malam Krismas di KL jadi pesta sampah

HARRITH HISHAM
Keadaan pusat bandar yang kotor dan dipenuhi sampah semalam
PETALING JAYA – Keadaan di beberapa lokasi tumpuan di ibu negara didapati kotor dengan dipenuhi sampah susulan sambutan perayaan Krismas malam tadi.

Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, kerja-kerja pembersihan telah dilaksanakan di kawasan pusat bandar bagi memastikan keadaan persekitaran sentiasa bersih, teratur dan selesa untuk semua.

“Namun begitu, masih terdapat segelintir pihak yang membuang sampah merata-rata sehingga menjejaskan kebersihan dan imej bandar raya.

“Walaupun orang ramai meraikan suasana malam perayaan, tanggungjawab menjaga kebersihan tetap perlu diutamakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, DBKL menasihatkan agar elakkan membuang sampah sesuka hati dan gunakan tong sampah yang disediakan bagi memelihara ruang awam bersama.

“Sikap bertanggungjawab setiap individu akan memberi kesan besar kepada kebersihan bandar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Presiden Pas pecat tiga Adun Perlis demi selamatkan besan?

Harapandaily
Abdul Hadi dan Mohd Shukri
Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang didakwa memecat tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari parti itu bagi menyelamatkan Menteri Besar Perlis yang juga besan beliau.

Ini berikutan keputusan Pas Pusat menggugurkan Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Keputusan itu berkuat kuasa serta-merta selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang malam tadi.

Abdul Hadi menerusi kenyataannya berkata, tindakan tersebut dibuat berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).

“Pas akan memaklumkan ketetapan berkenaan secara rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perlis bagi memenuhi Perkara 50A(1)(a)(ii) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022,” katanya.

Abdul Hadi dan Mohd Shukri
Untuk rekod, Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli merupakan besan Abdul Hadi.

Anak Mohd Shukri yang bernama Syafeeq ialah menantu kepada Ahli Parlimen Marang berkenaan.

Syafeeq berkahwin dengan Ummu Kalthom, yang merupakan anak kepada Abdul Hadi.

Tahun lalu, menantu kepada Presiden Pas itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama lima individu lain bagi siasatan berkaitan pertuduhan tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM600,000.

Sebelum ini, heboh dikatakan bahawa Mohd Shukri didakwa hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Isu itu muncul susulan dakwaan beberapa ADUN daripada Pas dan Bersatu menyerahkan akuan berkanun (SD) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepemimpinan Mohd Shukri.

Tindakan itu sekali gus mencetuskan kemelut kepemimpinan kerajaan negeri blok pembangkang tersebut.

Penganalisis Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berpendapat keretakan hubungan Pas dan Bersatu di Perlis boleh mengundang ‘penceraian’ PN pada skala mega.

DUN Perlis mohon adakan PRK untuk kekosongan luar jangka

Aizat Sharif
Speaker DUN Perlis, Rus’ele Eizan.
KANGAR: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis akan memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi tiga kawasan DUN di negeri itu.

Ia berikutan kekosongan luar jangka akibat kemelut politik dalaman Perikatan Nasional (PN) yang menjejaskan majoriti kerajaan negeri.

Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan berkata, kekosongan itu membabitkan DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji selepas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Binting) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) terhenti serta-merta keahlian mereka dalam PAS bermula semalam.

“Pemakluman mengenai perkara itu diterima secara rasmi daripada Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat semalam.

“Setelah membuat semakan dan meneliti perkembangan berkaitan, saya berpuas hati bahawa sudah berlakunya kekosongan luar jangka yang memenuhi kehendak Perkara 50A(1)(a)(ii) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis bagi ketiga-tiga DUN berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pejabat Speaker DUN Perlis di Kompleks Seri Putra, di sini hari ini.

Katanya, notis bertulis berhubung kekosongan luar jangka itu diterima daripada seorang ADUN Beseri, Haziq Asyraf Dun selaras dengan Perkara 50A(3) undang-undang tubuh negeri.

Mengulas lanjut, Rus’sele berkata secara kebiasaan, PRK tidak perlu diadakan sekiranya usia DUN sudah melebihi tiga tahun.

“Memandangkan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN Perlis bermula pada 19 Disember 2022 dan tempoh tiga tahun berakhir pada 18 Disember lalu.

“Saya berpuas hati bahawa kekosongan tiga kerusi itu menjejaskan bilangan majoriti semua Ahli Dewan Negeri Perlis dan menimbulkan keadaan ‘terjejas’ dari segi kestabilan kerajaan negeri.

“Demi kepentingan kestabilan kerajaan dan memastikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kekosongan ini wajar diisi semula,” katanya.

Sehubungan itu, beliau akan menggunakan budi bicara di bawah Proviso Perkara 55(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis untuk memaklumkan secara bertulis kepada SPR serta memohon supaya pilihan raya diadakan bagi mengisi kekosongan luar jangka berkenaan.