"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penjual burger dituduh rogol budak 12 tahun baru sehari kenal

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

Muar: "Kalau macam ini (rogol) bukan silap langkah. Awak dah tahu itu kesalahan kenapa buat? Sekarang awak sudah menyusahkan ibu bapa."

Demikian teguran Hakim Mahkamah Sesyen, Emelia Kaswati Mohamad Khalid terhadap seorang penjual burger yang didakwa merogol kanak-kanak berusia 12 tahun, Mei lalu.

Teguran itu dibuat selepas tertuduh Mohamad Akhil Yusuf, 24, yang mengaku tidak bersalah ketika mengemukakan rayuan bagi meringankan ikat jamin dikenakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa dalam kereta yang diparkir di tepi jalan di Tangkak pada jam 3 pagi, 29 Mei lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Berdasarkan laporan polis, tertuduh baru sehari mengenali mangsa sebelum mereka keluar bersama-sama menaiki kereta.

Namun, tertuduh memberhentikan kenderaan di tepi jalan tidak jauh dari rumah mangsa lalu mengajaknya melakukan perbuatan itu di tempat duduk belakang.

Kejadian itu terbongkar apabila ibu mangsa terbaca kandungan mesej mengandungi unsur lucah dalam telefon miliknya.

Selepas disoal oleh ibunya, mangsa mengaku pernah melakukan perbuatan itu dengan tertuduh dan laporan polis dibuat pada 3 Jun lalu dengan tertuduh ditahan pada 7 Ogos lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Amira Sapian, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM8,000 dan memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap Isnin pertama dan melarangnya mendekati mangsa atau keluarganya atau mana-mana saksi dalam apa jua medium termasuk media sosial.

Kes disebut semula pada 17 September ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.

Hutang along: Anak bunuh diri, ‘wariskan’ along kepada ibu bapa

AMIR HAIKAL KAMARUDIN
KUALA LUMPUR – Belum reda kesedihan kehilangan anak lelaki, pasangan warga emas berusia 71 dan 65 tahun kini berdepan gangguan along yang ‘diwariskan’ oleh anaknya dan dituntut untuk melangsaikan hutang mendiang sehingga RM28,000.

Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, anak bongsu pasangan itu yang berusia 35 tahun meninggal dunia pada 1 Julai lalu, manakala keluarga mendakwa tidak mengetahui dia mempunyai masalah hutang dengan pemberi pinjaman wang.

Menurutnya, keluarga hanya mengetahui perkara tersebut selepas premis perniagaan mereka di Kampung Baru Sungai Buloh disimbah cat kuning pada 5 Ogos lalu bersama nota mendakwa mendiang gagal membayar pinjaman.

“Gangguan tidak berhenti di situ apabila premis sama disimbah cat coklat pada 6 Ogos dan cat merah dua hari kemudian. Kereta pelanggan yang datang ke kedai juga menjadi sasaran.

“Individu yang menggelarkan dirinya sebagai ‘Lawrence’ mendakwa, mendiang mempunyai hutang RM10,000 dengan faedah RM3,000, tetapi keluarga turut dikenakan caj RM5,000 setiap kali mereka menyimbah cat,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA, hari ini.

Michael berkata, tiga kejadian simbahan cat menyebabkan caj tambahan RM15,000 dikenakan, sekali gus menjadikan keseluruhan tuntutan sebanyak RM28,000 sebelum keluarga ditawarkan ‘diskaun’ untuk membayar RM25,000.

“Ini taktik baharu mereka. Mereka sembur cat kemudian caj mangsa RM5,000 untuk setiap simbahan. Peminjam sudah meninggal dunia pun mereka masih memburu keluarganya untuk mendapatkan wang,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Lai, 65, berkata, pada hari gangguan pertama berlaku, seorang penghantar Lalamove turut datang ke premis mereka bagi mengambil tiga unit pemampat udara selepas mendakwa menerima tempahan untuk berbuat demikian.

“Pekerja kami tidak membenarkannya mengambil barang kerana kami tidak pernah membuat tempahan. Anak saya pula sudah meninggal dunia pada 1 Julai dan kami langsung tidak tahu mengenai hutang ini,” katanya.

Menurut Lai, mendiang merupakan seorang yang pendiam dan jarang berkongsi masalah dengan keluarga, malah pada malam sebelum kematiannya, dia masih menikmati masakan ibunya serta memuji hidangan tersebut.

Peguam keluarga, Chau berkata, gangguan turut berterusan menerusi WhatsApp dan WeChat termasuk mesej yang mencabar keluarga membuat laporan polis, selain tuntutan bayaran dihantar kepada isteri mendiang walaupun pihak terbabit mengetahui dia sudah meninggal dunia.

Dalam pada itu, Michael berkata, pihaknya menerima 226 kes berkaitan Along membabitkan kerugian melebihi RM21 juta setakat ini, manakala empat kes kematian akibat bunuh diri dan dua percubaan bunuh diri berkaitan masalah tersebut direkodkan tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Terengganu: Rogol wanita OKU, reman 3 lelaki Rohingya disambung

Rosli Ilham
Tiga lelaki warga Rohingya dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman untuk sambungan reman.-Foto NSTP
KEMAMAN: Tiga lelaki Rohingya yang disyaki merogol seorang wanita Orang Kelainan Upaya (OKU) sekali lagi dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman hari ini, untuk disambung reman.

Majistret, Marsha Abdul Malik kemudiannya membenarkan ketiga-tiga supek berusia 19 hingga 28 tahun itu direman selama lima hari hingga Isnin depan.

Perintah sambungan reman itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli sebelum ini berkata, ketiga-tiga suspek yang juga buruh binaan dan kebersihan itu ditahan pada Sabtu lalu.

Menurutnya, tangkapan itu dibuat selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 20 tahun pada Jumaat lalu.

“Kesemua suspek kemudian direman selama lima hari sehingga hari ini.

RCI Tabung Haji: Dakwaan 99% ketua cawangan ke Makkah oleh Ahli Parlimen Langkawi patut disiasat

Harapandaily
Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah mengungkit kembali pengalaman ketika bertanding jawatan Ketua Bahagian Umno yang didakwa menyaksikan sebahagian besar ketua cawangan dibawa menunaikan haji, ketika membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji di Dewan Rakyat.

Suhaimi berkata, ketika pertandingan itu berlaku, beliau berdepan tentangan daripada seorang menteri dan mendakwa kira-kira 99 peratus ketua cawangan ketika itu berada di Makkah.

Menurutnya, perkara berkenaan kembali mengingatkannya kepada apa yang didedahkan dalam laporan RCI yang sedang dibahaskan.

“Ya Allah, ya Tuhanku, Engkau tunjukkanlah satu hari perkara-perkara ini akan timbul. Alhamdulillah, ia timbul pada 11 haribulan ini,” katanya.

Beliau berkata, dalam laporan berkenaan terdapat tiga nama yang disebut berkaitan pertandingan jawatan Ketua Bahagian Umno ketika itu.

“Apabila pertandingan berlaku, tiga nama disebut di dalam laporan ini. Saya tidak akan sembunyi, ketua bahagian Umno yang pertama, ketua Umno bahagian yang kedua dan timbalan ketua bahagian, ada namanya di sini(laporan RCITH),” katanya.

Suhaimi kemudian menyeru ketiga-tiga individu berkenaan supaya membaca laporan RCI tersebut bagi memahami semula apa yang berlaku ketika beliau bertanding jawatan berkenaan.

“Saya betul, serasa saya bertanding waktu itu saya dalam Umno sebagai ketua bahagian. Ada orang datang melawan saya, seorang menteri lawan saya,” katanya.

Menurut Suhaimi, beliau berasa sedih kerana masyarakat ketika itu tidak mengetahui dakwaan mengenai adanya tawaran untuk membawa ketua-ketua cawangan menunaikan haji secara percuma.

Katanya, perkara tersebut menimbulkan persepsi dalam kalangan penyokong yang menerima tawaran berkenaan sehingga ada yang menganggap mereka terhutang budi kepada pihak yang membantu.

“Saya sedih kerana orang kampung tak tahu ada menteri offer pergi ke Mekah secara percuma, siapa tak nak?” katanya.

Suhaimi turut menceritakan bagaimana beliau menerima kunjungan penyokong yang memberitahu bahawa mereka tidak dapat dihantar menunaikan haji dan menganggap diri mereka terhutang budi kepada menteri terbabit.

“Minta maaf, kami terhutang budi dengan menteri ini. Kami terhutang budi,” katanya ketika mengimbas kembali keadaan ketika itu.

Beliau berkata, akhirnya beliau tewas dalam pertandingan tersebut dan tidak lagi memegang jawatan Ketua Bahagian Umno berkenaan.

Namun, menurut Suhaimi, beliau terus berdoa agar suatu hari nanti perkara yang berlaku ketika pertandingan itu dapat diketahui.

“Maka saya meninggallah sebagai ketua bahagian, walaupun kalah dalam gelanggang. Ya Allah, ya Tuhanku, Engkau tunjuk,” katanya.

Ucapan Suhaimi itu dibuat ketika perbahasan khas Dewan Rakyat mengenai Laporan RCI Tabung Haji, yang kini menjadi tumpuan susulan pendedahan berkaitan pengurusan dan tadbir urus institusi berkenaan.

Bagaimanapun, dakwaan mengenai penajaan perjalanan haji dan kaitannya dengan pertandingan Umno itu adalah berdasarkan dakwaan serta pengalaman yang diceritakan Suhaimi dalam Dewan Rakyat dan tidak wajar dianggap sebagai fakta yang telah diputuskan tanpa merujuk dapatan rasmi laporan RCI.

Wong Chen sertai parti Bersama

KOSMO!
Rafizi dan Wong Chen pada sidang akhar di Ibu Pejabat Bersama di Puchong, hari ini.
PUCHONG – Bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen sah menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) selepas meletakkan jawatannya dalam Parti Keadlian Rakyat (PKR), sebelum ini.

Perkara itu diumumkan oleh Pengasas Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Bersama, di sini, hari ini.

Keputusan itu juga menjawab teka-teki hala tuju politik Wong Chen yang pada Isnin lalu mengumumkan peletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Subang berkuat kuasa serta-merta.
-KOSMO! ONLINE

‘Ramai lelaki keluar masuk rumah tu, jangan-jangan…’

KOSMO!
Antara warga asing yang ditahan JIM Pulau Pinang dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di sebuah flat di Perai, malam kelmarin. Foto oleh DANIAL SAAD/KOSMO!
GEORGE TOWN – Kehadiran wanita warga asing yang menyewa di sebuah flat di Perai, di sini sejak beberapa tahun lalu mula menimbulkan kebimbangan penduduk susulan terdapat beberapa unit dipercayai sering menerima kunjungan lelaki berbeza.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, keadaan itu semakin ketara sejak kebelakangan ini sehingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk setempat.

“Cara pemakaian dan keadaan lelaki yang keluar masuk ke rumah tertentu membuatkan kami tertanya-tanya. Sebagai penduduk, kami hanya boleh mengesyaki ada perkara yang tidak kena berlaku.

“Kebiasaannya warga asing yang menyewa akan tinggal beramai-ramai, tetapi apabila satu rumah hanya didiami dua atau tiga orang dan kerap menerima kunjungan lelaki berbeza, memang menimbulkan rasa tidak selesa,” katanya di sini.

Terdahulu, Jabatan Imigresen (JIM) Pulau Pinang menjalankan Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di flat berkenaan susulan aduan penduduk berhubung kehadiran warga asing yang didakwa menimbulkan kegusaran, termasuk dakwaan aktiviti tidak bermoral di beberapa unit kediaman.

Sebanyak 10 rumah yang dikenal pasti dihuni warga asing diperiksa dalam operasi berkenaan.

Dalam salah satu pemeriksaan, seorang wanita warga Indonesia ditemukan bersama seorang lelaki tempatan di dalam sebuah bilik.

Semalam, Kosmo! Online melaporkan beberapa warga asing dipercayai cuba mengelak pemeriksaan apabila bertindak berdiam diri dan menyorok di dalam rumah ketika serbuan dijalankan di sebuah flat di Perai.

Dalam operasi itu, anggota penguat kuasa yang memperkenalkan diri serta mengetuk pintu beberapa kali tidak menerima sebarang respons daripada penghuni walaupun terdapat tanda menunjukkan rumah berkenaan berpenghuni. -KOSMO! ONLINE

5 lelaki warga China disyaki terlibat sindiket pecah rumah ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menumpaskan sindiket pecah rumah membabitkan warga asing selepas menahan lima lelaki China dalam dua serbuan berasingan di Sri Petaling dan Pudu, Ahad lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata semua suspek berusia antara 38 hingga 58 tahun ditahan dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Cheras.

“Dalam kejadian tersebut, mangsa mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM6,000 melibatkan kehilangan wang tunai, barangan kemas dan sebuah beg silang berjenama mewah,” katanya dalam kenyataan.

Bertindak atas maklumat dan risikan, pada 9 Ogos lalu polis melaksanakan dua serbuan di Seri Petaling dan Pudu.

Polis turut merampas sebuah kenderaan berserta pelbagai peralatan digunakan bagi pecah rumah.

“Polis juga menjumpai semula barangan kes milik pengadu serta pelbagai barangan mewah lain termasuk jam tangan, dompet serta wang tunai pelbagai mata wang asing berjumlah lebih RM10,000,” katanya.

Fadil berkata, siasatan awal juga mendedahkan suspek tersebut turut terlibat dua kes pecah rumah berlainan dilaporkan kepada polis di kawasan sekitar Cheras.

Katanya, semua suspek direman mulai 10 Ogos hingga esok bagi membantu siasatan bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Guru prasekolah didakwa amang seksual murid dalam kelas

FMT Reporters

PETALING JAYA: Guru prasekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban terhadap dua pertuduhan amang seksual fizikal ke atas murid lelaki lapan tahun, April lalu.

Muhamad Shazali Sharipudin, 42, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar, lapor Berita Harian.

Mengikut dua pertuduhan yang dibaca berasingan, Shazali didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa bagi tujuan seksual di dalam kelas pra di sebuah sekolah di Rembau, pada 10 pagi 1 April dan 9 pagi, 3 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi kemudiannya menawarkan jaminan RM20,000 dengan dua syarat tambahan kepada tertuduh.

Peguam bela Syed Amirul Syed Edros memberitahu mahkamah, anak guamnya seorang penjawat awam iaitu guru prasekolah selama 17 tahun, masih bujang, dan menanggung ibu dengan pendapatan bersih RM4,000 sebulan.

Katanya, Shazali kini sudah dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Rembau dan tidak lagi mengajar di sekolah terbabit, selain tiada risiko melarikan diri.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM8,000 bagi dua pertuduhan berserta syarat tidak mengganggu mangsa dan saksi, melapor diri di balai polis setiap bulan, dan menyerahkan passport kepada mahkamah.

Sebutan semula ditetapkan pada 15 Sept ini untuk serahan dokumen.

12 ditahan menyamar penjawat awam samun warga asing

Malaysiakini

Polis menahan 12 individu disyaki menyamar sebagai penjawat awam untuk melakukan samun berkumpulan terhadap seorang lelaki warga asing pada 1 Ogos lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata semua suspek yang berusia antara 26 hingga 48 tahun itu ditahan menerusi operasi khas di sekitar ibu negara, Selangor dan Negeri Sembilan sehari kemudian.

Katanya tangkapan itu dibuat susulan laporan polis oleh seorang lelaki warga Jepun yang memaklumkan majikannya, seorang lelaki warga Taiwan yang bekerja sebagai YouTuber, dipukul dan disamun di Eko Cheras Resident, Cheras.

“Mangsa mengalami kecederaan dan kerugian dianggarkan berjumlah RM35,000.

“Suspek mengetahui mangsa mempunyai simpanan tunai dalam mata wang asing yang bernilai tinggi dan ini menjadi pencetus awal kepada niat jenayah,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Fadil berkata tujuh daripada suspek diberikan jaminan polis pada 7 Ogos selepas keterangan mereka diambil, manakala lima lagi masih direman sehingga esok bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyamar sebagai penjawat awam, dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan (melakukan samun berkumpulan).

“Polis sedang giat mengesan baki seorang lagi suspek yang masih bebas,” katanya.

- Bernama

7 pelaburan TH rugi 100 peratus, tanggung rugi hampir RM13 bilion

BERNAMA

Kuala Lumpur: Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa sebanyak tujuh daripada 14 pelaburan bermasalah yang dibuat oleh Lembaga Tabung Haji (TH) telah rugi 100 peratus.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, TH juga terpaksa menanggung kerugian yang dianggarkan hampir RM13 bilion disebabkan 14 pelaburan bermasalah itu.

Pegawai tentera Thailand mengamuk dalam pesawat dari Malaysia, berulang kali sebut 'landing'

Menurutnya, punca utama masalah ini adalah disebabkan salah laku kewangan dan pelaburan.

"Kerugian ini tidak berlaku tiba-tiba dalam penyata akaun, sebaliknya keputusan pelaburan kepimpinan terdahulu.

"Perakaunan umpama termometer. Ia hanya tunjuk anda demam. Sembunyikan termometer tidak menyembuhkan demam anda.

"Yang mesti dirawat ialah penyakitnya, pelaburan yang hilang nilai, risiko yang tidak terkawal tanpa proses membuat keputusan yang lemah," katanya semasa penggulungan perbahasan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkait TH di Dewan Rakyat hari ini.

Menerusi penggulungannya, Amir Hamzah turut memberikan contoh salah satu daripada tujuh pelaburan TH yang telah rugi 100 peratus.

Beliau berkata, kerugian terbesar yang dihadapi oleh TH membabitkan pelaburan Al-Rawda di Arab Saudi.

"Melalui perjanjian pajakan 2015 sehingga 2017, TH membayar 1.4 bilion Riyal atau RM1.5 bilion kepada orang tengah untuk memajak empat buah hotel di Madinah dan Mekah bagi penginapan jemaah haji.

"Orang tengah tersebut sepatutnya mengendalikan keempat-empat hotel dan berjanji membayar sewa 2.49 bilion Riyal kepada TH. Malangnya, bayaran tersebut gagal dilunaskan," katanya.

Amir Hamzah turut mempersoalkan kepimpinan TH pada waktu itu yang dilihat berani membuat bayaran pendahuluan dengan jumlah besar melebihi RM1.5 bilion.

"Jaminan pelaburan yang disandarkan hanya sekeping nota janji peribadi. Sebagaimana rekod RCI menyatakan, Jabatan Pengurusan Risiko TH ada meminta jaminan bank tetapi Al-Rawda gagal sediakan.

"Laporan 'due diligence' (semakan terperinci) juga tidak lengkap. Namun kepimpinan TH tetap meneruskan urus niaga bersandarkan nota jaminan tersebut. Lebih RM1.5 bilion wang umat Islam dipertaruhkan tanpa cagaran bernilai," katanya.

Wanita warga emas maut disambar buaya ketika cari siput

Bernama

MIRI: Seorang wanita warga emas berusia 78 tahun maut disambar dan diheret buaya ketika mencari siput bersama dengan anak perempuannya di sungai berhampiran Batu Niah hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejadian berlaku berhampiran simpang sebelum Jambatan Suai ketika Sambai Anggah berada di atas perahu manakala anaknya di dalam sungai, hanya kira-kira satu meter dari mangsa.

“Anak mangsa menyaksikan sendiri buaya berkenaan tiba-tiba menyambar ibunya dan mengheret mangsa kira-kira 10 meter dari perahu.

“Penduduk kampung yang menyedari kejadian itu bertindak mengepung buaya berkenaan sehingga buaya tersebut melepaskan mangsa, yang kemudiannya dibawa naik ke jeti,” menurut kenyataan itu.

Menurut JBPM Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.26 pagi sebelum lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah tiba di lokasi kira-kira 30 minit selepas itu.

Operasi ditamatkan pada 1.45 tengah hari dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

Lelaki maut dalam kereta terkunci

MOHD YUNUS YAKKUB
Anggota bomba dan petugas perubatan di lokasi kejadian.
KLANG – Seorang lelaki ditemukan maut dalam sebuah kereta yang terkunci di kawasan rangkaian kedai serbaneka di Puncak Alam, di sini hari ini.

Mangsa berusia 56 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh petugas Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Difahamkan, mangsa sempat diberikan bantuan pernafasan atau resusitasi kardiopulmonari (CPR) oleh seorang doktor klinik yang kebetulan melalui lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.30 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar tiba di lokasi pada pukul 11.57 pagi dan mendapati pintu kereta telah dibuka oleh orang awam.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital UiTM Puncak Alam.

“Tiindakan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Kecoh jeritan dalam LRT, wanita dakwa ‘disentuh’ lelaki

KOSMO!

PETALING JAYA – Jeritan seorang wanita di dalam tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Laluan Kelana Jaya pagi tadi mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penumpang.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi ketika tren berada berhampiran Stesen LRT Setiawangsa.

Menerusi perkongsian di Threads, seorang pengguna mendakwa terdengar seorang wanita menjerit sebelum beberapa individu dilihat memegang seorang lelaki.

“Apa jadi dekat LRT Setiawangsa lebih kurang 8.30 pagi tadi? Ada perempuan jerit-jerit dan beberapa orang pegang seorang lelaki. Harapnya tak ada apa-apa,” tulisnya.

Perkongsian itu kemudian mendapat perhatian pengguna lain termasuk individu yang mendakwa berada di lokasi ketika kejadian.

Seorang pengguna mendakwa wanita terbabit meminta bantuan polis selain menuduh lelaki berkenaan menyentuhnya ketika berada di dalam tren.

“Aku ada depan pintu tadi. Dia jerit-jerit panggil polis. Dia kena ‘sexual assault’ (gangguan seksual) kot. Dia cakap lebih kurang, ‘kau ingat aku tak rasa ke kau pegang aku? Aku dari Sri Rampai tadi’. Lepas itu dia tampar lelaki itu tiga kali depan polis,” dakwanya.

Seorang lagi pengguna pula mendakwa ahli keluarganya yang berada di dalam tren turut memaklumkan berlaku kejadian melibatkan seorang wanita sebelum tren tiba di Setiawangsa.

“Nampak tadi dia jerit kuat dan seperti menarik seorang lelaki,” kata pengguna lain.

Terdapat juga penumpang mendakwa jeritan wanita berkenaan boleh didengari dari gerabak tengah, malah ada yang menyatakan suara itu turut kedengaran dari kawasan parkir berhampiran.

Bagaimanapun, punca sebenar kejadian serta dakwaan gangguan seksual tersebut belum dapat dipastikan setakat ini.

Tiada kenyataan rasmi daripada pihak polis atau Rapid Rail berhubung kejadian berkenaan ketika artikel ini ditulis. – KOSMO! ONLINE

Bersatu Parit Buntar dibubarkan, 980 ahli dijangka keluar parti

KOSMO!
Md. Nayan (duduk, dua dari kanan) bersama sebahagian AJK Bersatu Bahagian Parit Buntar yang mengumumkan keluar parti dalam sidang akhbar di Jalan Permatang Tok Mahat, Parit Buntar malam ini.
PARIT BUNTAR – Bersatu Bahagian Parit Buntar dibubarkan malam ini selepas kepimpinan bahagiannya mengumumkan peletakan jawatan beramai-ramai susulan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti di peringkat pusat.

Ketua Bahagian Bersatu Parit Buntar, Md. Nayan Salleh berkata, keputusan itu dibuat selepas satu mesyuarat khas yang diadakan pada 5 Ogos lalu membabitkan Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Bersatu Parit Buntar.

“Pembubaran bahagian ini dijangka akan menyebabkan seramai 980 ahli Bersatu Parit Buntar daripada 15 cawangan turut keluar parti,” katanya pada sidang akhbar di Jalan Permatang Tok Mahat, di sini hari ini.

Md. Nayan berkata, tindakan tersebut diambil susulan keputusan dan tindakan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Bersatu semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang disifatkan tidak selaras dengan semangat perjuangan parti.

Katanya, keputusan kepimpinan pusat itu bercanggah dengan nilai perjuangan parti yang berteraskan slogan ‘Bersatu, Beramanah, Bermaruah’.

“Keputusan ini dibuat kerana kami telah hilang kepercayaan terhadap AMT Bersatu Pusat berikutan tindakan dan keputusan yang diambil semasa PRN Negeri Sembilan yang bercanggah dengan nilai-nilai perjuangan parti,” katanya.

Dia berkata, mereka sebagai ahli yang sentiasa menjunjung Perlembagaan Bersatu serta prinsip perjuangannya tidak lagi mempunyai keyakinan bahawa kepimpinan AMT Pusat sedang memelihara nilai dan amanah, iaitu asas perjuangan parti. – KOSMO! ONLINE

Wong Chen letak jawatan Ahli Parlimen Subang berkuat kuasa hari ini

Seth Akmal

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Dewan Rakyat berkuat kuasa pada jam 5 petang, Isnin.

Wong Chen yang juga Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, surat peletakan jawatan itu telah diserahkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada 5 Ogos lalu.

“Pada 5 Ogos, saya bertemu Speaker dan menyerahkan surat peletakan jawatan saya sebagai Ahli Parlimen, berkuat kuasa 10 Ogos pada jam 5 petang.

“Ini bagi memberikan pegawai Parlimen tempoh tiga hari bekerja untuk membuat persediaan berhubung kekosongan kerusi Parlimen Subang,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook beliau hari ini.

Menurut Wong Chen, beliau dan Johari turut mencapai persefahaman untuk tidak mendedahkan sebarang butiran mengenai peletakan jawatan itu sehingga jam 5 petang, 10 Ogos.

Dalam surat bertarikh 5 Ogos yang ditujukan kepada Johari, Wong Chen memaklumkan secara rasmi hasratnya untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Rakyat dan mengosongkan kerusi P.104 Subang secara sukarela.

Beliau berkata, notis berkenaan diberikan lebih awal bagi membolehkan pentadbiran Parlimen menguruskan segala proses serta dokumentasi berkaitan kekosongan kerusi berkenaan.

Wong Chen turut merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta seluruh warga Parlimen atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama sepanjang tiga penggal beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen.

Susulan peletakan jawatan itu, beliau berkata gelaran kehormat “Yang Berhormat” akan ditanggalkan daripada semua papan iklan, papan tanda dan surat-menyurat pejabatnya selewat-lewatnya bulan depan.

Bagaimanapun, Wong Chen tidak menyatakan sebab peletakan jawatannya dalam kenyataan berkenaan.

Beliau dijadual mengadakan sidang media pada Rabu, jam 11 pagi bagi memberikan penjelasan lanjut.

Untuk rekod, Wong Chen merupakan antara lima Ahli Parlimen PKR yang sebelum ini menyuarakan rasa kecewa berhubung tindakan menyekat akses kepada portal MyKhas, yang digunakan bagi menguruskan peruntukan pembangunan kawasan.

Empat lagi ialah Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan; dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan.

Sebelum ini, dua bekas pemimpin kanan PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad turut meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa, masing-masing berkuat kuasa pada 18 Mei lalu, sebelum meninggalkan PKR untuk menyertai platform politik baharu.

Rafizi merupakan bekas Menteri Ekonomi manakala Nik Nazmi bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam. 

Kedua-duanya sebelum itu meletakkan jawatan daripada Kabinet pada 2025 selepas tewas dalam pemilihan PKR, dengan peletakan jawatan Rafizi berkuat kuasa 17 Jun manakala Nik Nazmi pada 4 Julai 2025.

Langgar lari, gadis 18 tahun maut

ISKANDAR SHAH MOHAMED
Keadaan motosikal dan mangsa yang maut dalam kemalangan langgar lari di Klang, hari ini.
KLANG – Perjalanan pulang seorang gadis ke rumahnya di Shah Alam bertukar tragedi apabila maut dalam kejadian langgar lari di Kilometer 14.1, Lebuh Raya Pulau Indah di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 pagi itu, mengakibatkan remaja tempatan berusia 18 tahun yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, siasatan awal mendapati mangsa dari arah Pulau Indah dipercayai dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti.

“Mangsa hilang kawalan lalu terjatuh di lokasi kejadian. Mangsa yang parah pada kepala disahkan meninggal dunia dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang bagi proses bedah siasat,” katanya, malam ini. – KOSMO! ONLINE

Honda Jazz lumba ‘drag’ rempuh penonton, 7 terkorban

KOSMO!
ANGGOTA polis dan pegawai perlumbaan memeriksa kereta yang merempuh orang ramai di sepanjang Jalan AP Mokoginta di wilayah Kotamobagu, Sulawesi Utara, semalam. - B-Universe/Juandri Paputungan
JAKARTA – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dan sembilan yang lain parah selepas sebuah kereta yang bertanding dalam perlumbaan ‘drag’ terbabas dari litar dan merempuh penonton di Kotamobagu, wilayah Sulawesi Utara, lapor laman  berita Jakarta Globe.

Kemalangan itu melibatkan sebuah kereta Honda Jazz yang dipandu oleh Tian Ngantung daripada pasukan Pangeran 05 Mcloe dalam kategori free-for-all bagi Kejohanan Kotamobagu 2026.

Laporan awal menyatakan,  kereta berkenaan itu melengkapkan pemanduannya tanpa sebarang masalah, namun gagal dikawal sejurus melintasi garisan penamat apabila memasuki zon pembrekan sepanjang kira-kira 100 meter. 

Kenderaan tersebut kemudiannya tersasar dari litar dan merempuh penonton yang berkumpul di sepanjang Jalan AP Mokoginta, daerah Kotamobagu Timur. 

Pihak berkuasa tempatan dan penganjur acara mengesahkan pada kira-kira jam 9 malam (waktu tempatan) bahawa tujuh orang terkorban, manakala sembilan yang lain sedang menerima rawatan perubatan kerana cedera parah. 

Punca kemalangan masih belum dipastikan secara rasmi.

Dalam pada itu,  pengerusi jawatankuasa penganjur  Kotamobagu 2026, Lucky Sugeha, berkata pihak penganjur akan bertanggungjawab atas akibat kemalangan tersebut dan akan menanggung kos perubatan mereka yang masih dirawat di hospital.

Susulan kemalangan, pertandingan tersebut telah dihentikan. – AGENSI

Remaja 16 tahun didakwa rogol dalam tandas perpustakaan

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Seorang pelajar lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, tadi, atas dua tuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar perempuan dalam tandas perpustakaan, Mei lalu.

Tertuduh berusia 16 tahun membuat pengakuan itu sejurus kedua-dua pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa merogol dan amang seksual terhadap pelajar perempuan berusia 16 tahun di dalam tandas perpustakaan dalam daerah ini pada jam 1.30 tengah hari, 7 Mei lalu.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

Hukuman bagi setiap pertuduhan ialah penjara sehingga 20 tahun dan sebatan manakala hukuman bagi pesalah juvana antaranya mengenakan bon berkelakuan baik, denda serta dihantar ke Sekolah Henry Gurney.

Berdasarkan laporan, pengadu yang juga ibu mangsa dipanggil ke sekolah oleh seorang guru memaklumkan anaknya dirogol oleh teman lelakinya.

Laporan polis kemudiannya dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada 5 Ogos lalu sekali gus membolehkan tertuduh ditahan bagi membantu siasatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shazleen Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam, Haryanti Othman daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi kesemua pertuduhan dengan kes disebut semula pada 30 September ini untuk laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), fakta dan perintah.

Terengganu: Jalur Gemilang tanpa bulan, bintang, Dr Sam jawab kes terpencil

FMT Reporters

Menteri besar Terengganu berkata inisiden di Dataran Batu Buruk bukan kes disengajakan dan akan pastikan perkara sama tidak berulang.
Video tular papar Jalur Gemilang tanpa lambang bulan dan bintang dengan PBT bertanggungjawab beri alasan jahitan dua simbol itu tercabut akibat ribut.
PETALING JAYA: Jalur Gemilang tanpa lambang bulan dan bintang yang dipasang di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu, adalah kes terpencil, kata Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau menyifatkan insiden yang tular sejak Jumaat lalu itu tidak disengajakan.

“Saya rasa itu bukan kes yang disengajakan, kes yang terpencil, dan tidak disengajakan.

“Justeru, kita akan lakukan siasatan dan memastikan perkara itu tidak berulang lagi, walaupun siapa juga yang memasangnya termasuk orang awam dan sebagainya,” katanya menurut Berita Harian.

Sebelum ini, tular video memaparkan Jalur Gemilang dipasang di Batu Buruk, tanpa lambang bulan dan bintang sehingga membangkitkan persoalan dan rungutan warganet.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Lizan Che Mat, berkata Jalur Gemilang berkenaan sebenarnya mempunyai lambang bulan dan bintang, namun bahagian tersebut tercabut daripada jahitannya, akibat ribut melanda pada Jumaat lalu.

“Berikutan kejadian itu, pihak kami mengambil tindakan serta-merta dengan menurunkan bendera berkenaan pada Jumaat lalu dan menggantikannya dengan Jalur Gemilang yang baharu.

“Bendera yang lama bukan tidak ada bulan dan bintang, cuma kita jahit dan bahagian sebelah itu tercabut akibat ribut kuat pada hari berkenaan,” katanya.

Katanya, untuk masa mendatang pihaknya tidak lagi akan menggunakan bendera berjahit dan akan membeli bendera yang sudah siap sepenuhnya.

“MBKT mengambil serius perkara berkenaan dan akan memastikan bendera yang dipasang berada dalam keadaan baik serta mematuhi spesifikasi ditetapkan.”

Kelantan: Murid maut jatuh lantai bas reput: Beberapa pihak didapati cuai

Rahmat Khairulrijal

Kuala Lumpur: Penantian seorang ibu selama enam tahun untuk mendapatkan keadilan berakhir apabila Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan, mendapati beberapa pihak bertanggungjawab terhadap kematian anak lelakinya berusia 12 tahun yang terjatuh melalui lantai bas reput ketika mengikuti lawatan sekolah.

Hakim Mohd Rosli Yusoff dalam penghakimannya mendapati pemandu bas, pemilik bas, guru besar sekolah serta pihak berkuasa pendidikan cuai sehingga menyebabkan kematian Wan Mohammed Adam Mohd Suria.

Mahkamah memerintahkan bayaran ganti rugi RM17,573 kepada ibu mangsa, Nik Hasmani Mohamed, selepas beliau berjaya membuktikan tuntutannya berdasarkan imbangan kebarangkalian.

Mahkamah turut memutuskan defendan secara kolektif bertanggungjawab sepenuhnya, iaitu 100 peratus, terhadap kematian mangsa.

Kejadian berlaku jam 11.40 pagi pada 4 Julai 2019 ketika Adam bersama 30 murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, Machang, Kelantan, dalam perjalanan ke Bukit Kluang, Besut, Terengganu.

Mereka dalam perjalanan untuk menyertai program English Booster Week UPSR 2019 di bawah Program Empower ECER Academic Training yang dianjurkan Institut Pendidikan Neo (iNED), Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Adam terjatuh melalui lantai bas yang reput sebelum tercampak ke jalan di Kilometer 12, Jalan Pasir Puteh-Machang-Grik dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Dalam alasan penghakiman bertarikh 9 Ogos itu, Mohd Rosli berkata kemalangan berkenaan boleh dielakkan sekiranya pemandu bas, Shalahudin Ibrahim, menjalankan kawalan sewajarnya terhadap murid sepanjang perjalanan.

"Kemalangan dalam kes ini boleh dielakkan sekiranya beliau bertindak tegas dengan melarang kanak-kanak berkenaan daripada berjalan dan bergerak ke sana sini sepanjang perjalanan.

"Beliau juga boleh memberhentikan bas sekiranya ada kanak-kanak yang enggan mematuhi arahannya," katanya.

Hakim turut mendapati pemilik bas, Mohamad Che Su, melanggar tanggungjawab berjaga-jaga dengan membenarkan murid menaiki bas yang mempunyai lantai reput dan rosak.

"Mahkamah berpuas hati bahawa bahagian hadapan lantai bas tempat mangsa terjatuh sememangnya reput dan tidak kukuh.

"Sekiranya pemilik bas menggantikan keseluruhan lantai bas dengan lantai baharu dan kukuh, kejadian ini tidak akan berlaku walaupun kanak-kanak berjalan atau melompat di dalam bas," katanya.

Mahkamah turut mendapati guru besar ketika itu, Ahmad Sanusi Ramlee, cuai kerana gagal mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan murid.

Mahkamah mendapati tiada guru pengiring disediakan, manakala pegawai pengiring yang dikatakan telah diatur oleh pihak penganjur juga tidak hadir.

"Guru besar bukan sahaja gagal menyediakan guru pengiring, malah gagal memastikan kehadiran pegawai pengiring yang dikatakan disediakan oleh pihak penganjur," katanya.

Hakim berkata walaupun program itu tidak dianjurkan sepenuhnya oleh pihak sekolah, ia diluluskan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan membabitkan murid SK Tok Bok.

Sehubungan itu, JPN dan kerajaan turut dipertanggungjawabkan secara vikarius terhadap kecuaian guru besar berkenaan.

Mahkamah turut mendapati iNED dan UiTM bertanggungjawab selepas didapati gagal menyediakan pegawai pengiring atau fasilitator pada hari kejadian, walaupun seorang kakitangan UiTM dan fasilitator pelajar telah ditugaskan untuk mengiringi murid serta memberikan taklimat keselamatan sepanjang perjalanan.

Plaintif sebelum itu menuntut masing-masing RM1 juta bagi ganti rugi teruk (aggravated damages) dan ganti rugi teladan (exemplary damages), namun kedua-dua tuntutan itu ditolak mahkamah.

Mohd Rosli turut menyatakan simpati kepada keluarga mangsa atas tragedi dan kehilangan yang dialami.

Bagaimanapun, beliau berkata mahkamah tidak boleh membuat keputusan atau menentukan jumlah ganti rugi berdasarkan simpati, sebaliknya terikat kepada fakta, undang-undang dan keputusan mahkamah lebih tinggi terdahulu.

Seramai 34 pendatang haram Indonesia ditahan

BERNAMA

Ipoh: Cuba menyusup masuk ke perairan negara ini pada waktu dini hari.

Itu taktik sindiket penyeludupan warga asing yang dikesan membawa masuk 34 pendatang tanpa izin melalui laluan laut di Lumut sekitar jam 4.20 pagi kelmarin.

Kegiatan itu bagaimanapun berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak bersama Pasukan Gerakan Am (PGA).

Pengarahnya Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, operasi bermula Sabtu lalu, membabitkan dua aset iaitu kapal KM Nusa dan Bot Penggalang 1639.

Menurutnya, aset APMM terbabit melaksanakan rondaan, pengesanan serta pemintasan terhadap bot yang disyaki membawa pendatang berkenaan.

Beliau berkata, pada jam 4.20 pagi kelmarin, Bot Penggalang 1639 mengesan bot dipercayai datang dari Indonesia, dan disyaki membawa pendatang tanpa izin.

"Bot itu bergerak dalam keadaan gelap menuju Pantai Teluk Frigi.

"Menyedari kehadiran aset penguat kuasa, bot tersebut bertindak memecut laju menuju ke arah pantai sebelum menghampiri kawasan berkenaan. Tim Darat PGA yang berada di lokasi kemudiannya bertindak pantas dan berjaya menahan 34 pendatang tanpa izin pada jam 5 pagi," katanya tadi.

Mohamad Shukri berkata, kesemua yang ditahan membabitkan 22 lelaki dan 12 perempuan.

"Mereka diserahkan kepada pihak PGA untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kejayaan operasi itu membuktikan keberkesanan kerjasama dan tindakan bersepadu antara APMM dan PGA dalam mengekang cubaan kemasukan pendatang tanpa izin serta aktiviti rentas sempadan melalui laluan laut.

Penghantar makanan nyaris ditetak penagih dadah di stesen minyak

Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA TERENGGANU: Seorang penghantar makanan nyaris ditetak penagih dadah di sebuah stesen minyak di Jalan Pasir Panjang, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang.

Ia membabitkan mangsa lelaki berusia 26 tahun yang bekerja sebagai penghantar makanan diugut menggunakan sebilah pisau oleh lelaki tidak dikenali.

Menurut laporan polis, kejadian berlaku di sebuah stesen minyak di Jalan Pasir Panjang, ketika mangsa sedang mengisi minyak motosikalnya, sebelum didatangi suspek yang secara tiba-tiba menjerit dan memarahi mangsa.

Suspek kemudian bertindak mengambil sebilah pisau pemotong daging dari bakul motosikalnya dan mengacukan senjata berkenaan ke arah mangsa.

Akibat ketakutan, mangsa bertindak melarikan diri bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang dikatakan lambat mengisi minyak.

Susulan kejadian, polis telah menahan suspek, lelaki berusia 55 tahun dari Kampung Nibong, Kuala Terengganu.

Hasil semakan mendapati, suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau, termasuk kesalahan jenayah dan dadah, selain ujian air kencing didapati
positif methamphetamine.

Polis turut merampas beberapa barangan, termasuk sebilah pisau pemotong daging.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis.

Kelantan: Pekerja kilang didakwa ‘sentuh’ wanita dalam stor

MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
Anggota polis membawa Muhammad Zamri untuk didakwa atas pertuduhan menggunakan kekerasan untuk mencabul kehormatan seorang wanita di Mahkamah Majistret Machang hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!
MACHANG – Seorang pekerja kilang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kekerasan untuk mencabul kehormatan seorang wanita di dalam stor sebuah kilang pengedaran makanan dan minuman dekat Kuala Krai pada minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Zamri Abdullah, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang berstatus duda itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada seorang wanita berusia 22 tahun dengan bermaksud untuk mencabul kehormatan.

Perbuatan itu dilakukan di dalam stor sebuah kilang di Jalan Stapunal Batu Jong dekat Kuala Krai kira-kira pukul 1.40 tengah hari pada 3 Ogos lalu.

Pertuduhan terhadap Muhammad Zamri dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada dua hukuman tersebut jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Hazim Aqiffullah Mohd. Amran, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Norfaraliana Othman.

Terdahulu, Ahmad Hazim mencadangkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh hukuman.

Norfaraliana dalam rayuannya memohon ikat jamin yang tidak membebankan apabila jaminan bukan bersifat hukuman, tetapi untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

“Tertuduh bekerja di sebuah kilang dengan pendapatan RM1,700 sebulan selain perlu menyara ibu bapa yang sudah uzur dan seorang anak berusia setahun enam bulan,” katanya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh atau ejennya dilarang menghampiri, menghubungi, kacau ganggu mangsa atau mana-mana saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan ikat jamin dinaikkan atau dilucutkan sekiranya gagal mematuhi syarat tersebut.

Mahkamah menetapkan 11 Ogos ini untuk prosiding jatuh hukum dan tertuduh tidak membayar jaminan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Warga Pakistan ditahan guna logo imigresen pada kenderaan

Bernama

Pemilik kenderaan mengaku memasang logo itu dan lampu mata arah untuk kegunaan peribadi serta mendakwa tidak tahu ia satu kesalahan.
warga asing bawa kereta imigresen
Tangkap layar klip video menunjukkan seorang lelaki warga Pakistan yang didakwa menggunakan logo rasmi Jabatan Imigresen dan lampu mata arah pada sebuah kenderaan.
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menahan seorang warga Pakistan dipercayai menggunakan logo rasmi jabatan itu dan lampu mata arah pada sebuah kenderaan dalam tempoh kurang 24 jam selepas video kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata lelaki itu ditahan dalam operasi khas pada 4.30 petang semalam di PV3 Platinum Hill Condominium, Setapak susulan risikan berdasarkan video tular yang memaparkan sebuah kenderaan berlogo Jabatan Imigresen digunakan warga asing.

Semasa pemeriksaan di premis itu, beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang wanita warga Indonesia yang didapati tinggal lebih masa di Malaysia serta menemui dua pasport Indonesia dipercayai milik individu lain dalam simpanan lelaki terbabit.

“Hasil siasatan awal terhadap individu tersebut mendapati video tular berkenaan dirakam pada April 2025 dan baru dimuat naik dalam status WhatsApp oleh isterinya pada 7 Ogos lepas. Isteri individu itu berada di Indonesia dan video tersebut dimuat naik ketika isterinya berada di negara itu,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, lelaki Pakistan itu ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/63, manakala wanita Indonesia terbabit ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen.

Susulan tangkapan itu, jelasnya, pasukan operasi mengesan sebuah Toyota Hilux yang dipercayai digunakan dalam video tular berkenaan di sebuah premis cuci kenderaan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur.

Zakaria berkata, pemilik kenderaan itu yang juga warga Pakistan ditahan bersama lapan pekerja asing terdiri daripada empat lelaki Bangladesh, tiga lelaki Pakistan dan seorang warga India.

Katanya, pemilik kenderaan itu disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen, manakala lapan pekerja terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Menurutnya, pemilik kenderaan mengaku memasang logo Jabatan Imigresen dan lampu mata arah untuk kegunaan peribadi tanpa sebarang tujuan rasmi serta mendakwa tidak mengetahui perbuatan itu satu kesalahan di sisi undang-undang.

Beliau berkata, pemilik itu juga mendakwa logo dan lampu mata arah berkenaan telah ditanggalkan sebelum video itu tular.

Politik tunggang agama&bangsa: Penyatuan ummah ‘hilang’ bila kerusi Melaka jadi rebutan? Puad sindir BN-PN retorik siang hari

Harapandaily

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Dr Puad Zarkashi menyindir naratif “penyatuan ummah” antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang didakwanya semakin longgar apabila kedua-dua blok mula berbeza nada menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Puad berkata slogan penyatuan itu kelihatan indah ketika berdepan pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan, namun mula pudar apabila timbul soal pembahagian kerusi di Melaka.

“Bila timbul rasa tamak untuk hadapi PRN Melaka maka nada BN dan PN sudah berbeza.

“Pas kata, formula di Melaka tidak sama macam di Johor dan Negeri Sembilan. BN pula kata tetap akan tanding 21 kerusi. Naratif penyatuan ummah lenyap sekelip mata. Ia retorik bohong di siang hari,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Kenyataan Puad itu turut dilaporkan FMT yang memetik beliau sebagai berkata retorik penyatuan ummah BN-PN “lenyap di Melaka” kerana faktor tamak politik.

Isu itu timbul selepas BN menegaskan mahu mempertahankan kesemua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dimenangi parti itu sebelum ini.

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi berkata BN tidak akan berkongsi kerusi yang dimenangi sebelum ini dengan pihak lain, walaupun parti itu masih terbuka untuk berunding bagi membentuk persefahaman politik lebih luas menjelang PRN Melaka.

Pada PRN Melaka 2021, BN menang 21 daripada 23 kerusi DUN yang ditandingi, sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

Pendirian itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai ruang sebenar yang tinggal untuk PN, khususnya Pas dan Bersatu, sekiranya kerjasama BN-PN mahu diteruskan di Melaka.

Pas pula mahu formula lain

Dalam masa sama, Presiden Pas, Abdul Hadi Awang sebelum ini berkata kerjasama PN-BN di Melaka tidak semestinya mengikut formula Johor dan Negeri Sembilan.

Menurut Hadi, situasi Melaka berbeza kerana BN tidak mempunyai kerusi Parlimen di negeri itu, manakala sebahagian besar kerusi Parlimen dimenangi PN melalui Pas dan Bersatu, dengan selebihnya dimenangi DAP, PKR dan Amanah.

“Adapun Dewan Negeri, Umno yang menang banyak. Namun kita akan berbincang pembahagian kerusi dengan cara lain daripada Negeri Sembilan,” kata Hadi seperti dipetik Sinar Harian.

Bagi Puad, perbezaan nada itu menunjukkan slogan penyatuan ummah yang sering digunakan sebelum ini tidak cukup kukuh apabila bertembung dengan kepentingan kerusi.

“Setelah menang dua negeri, BN kata yang wujud cuma ‘persefahaman’ agihan kerusi, bukan gabungan baharu.

“Kalau bukan gabungan, bagaimana mahu menyatukan ummah?” soalnya.

Puad: Politik makin kotor dengan retorik

Puad mendakwa politik Malaysia menjadi semakin tercemar apabila slogan agama dan ummah digunakan sebagai modal politik, sedangkan di belakangnya masih berlaku perebutan kuasa dan kerusi.

“Politik jujur Malaysia semakin kotor oleh retorik penyatuan ummah. Sedih,” katanya.

Kenyataan itu dilihat sebagai sindiran tajam terhadap pendekatan BN-PN yang sebelum ini menggunakan naratif penyatuan Melayu-Islam untuk mewajarkan kerjasama pilihan raya, khususnya bagi menumbangkan atau mengehadkan pengaruh Pakatan Harapan.

Namun menjelang PRN Melaka, formula itu dilihat mula diuji apabila BN mahu mempertahankan kekuatan tradisinya di DUN, manakala Pas pula mahu rundingan berdasarkan realiti kekuatan PN di kerusi Parlimen.

Secara politik, Melaka kini menjadi medan penting untuk menguji sama ada kerjasama BN-PN benar-benar berasaskan penyatuan atau sekadar strategi menang pilihan raya.

Jika BN kekal mahu mempertahankan semua 21 kerusi, PN mungkin berdepan ruang terhad untuk bertanding. Tetapi jika PN menuntut formula baharu berdasarkan kekuatan Parlimen, BN pula mungkin dilihat mengalah di negeri yang pernah dimenanginya dengan selesa.

Inilah yang menjadi asas sindiran Puad bahawa naratif penyatuan ummah mudah dilaungkan ketika semua pihak mahu menang, tetapi menjadi kabur apabila tiba masa membahagikan kuasa.

Bagi pemerhati, PRN Melaka bukan sekadar soal siapa bertanding di kerusi mana. Ia juga menjadi ujian sama ada hubungan BN-PN mampu bertahan selepas kejayaan di Johor dan Negeri Sembilan, atau akhirnya kembali kepada politik lama: masing-masing mahu lebih banyak kerusi, lebih banyak pengaruh dan lebih besar kuasa.

Wanita pekerja kedai nombor ramalan cedera dibakar seorang lelaki

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang wanita warga emas melecur kira-kira 50% badannya setelah dibakar seorang lelaki tidak dikenali di sebuah premis menjual nombor ramalan di Kuala Lumpur pagi tadi.

Ketua Polis Sentul Jasni Zolpa berkata, kejadian berlaku di Taman Pusat Kepong itu dilaporkan kepada IPD Sentul menerusi talian MERS999 kira-kira 8 pagi.

“Pada 9 Ogos lebih kurang 8.00 pagi, IPD Sentul telah menerima panggilan melalui MERS999 berhubung kejadian seorang wanita berusia 62 tahun disimbah cecair yang disyaki petrol sebelum dibakar oleh seorang lelaki yang tidak dikenali di sebuah premis menjual nombor ramalan.

“Mangsa bekerja sebagai penjaga kaunter telah mengalami kecederaan melecur kira-kira 50% di seluruh badan,” katanya dalam kenyataan.

Jasni berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan dan kini dilaporkan dalam keadaan kritikal tetapi stabil.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai musuh dan tidak pernah menerima sebarang ancaman sebelum ini dan motif kejadian masih disiasat.

Pasukan Forensik IPK Kuala Lumpur turut hadir di tempat kejadian dan mengambil beberapa sampel DNA serta barangan berkaitan bagi membantu siasatan.

Jasni berkata, IPD Sentul telah melancarkan operasi khas bagi mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

'Izzah tak setuju cara Madani urus basmi rasuah'

Malaysiakini 

Keputusan Nurul Izzah Anwar untuk melepaskan jawatan Timbalan Presiden PKR didakwa berkait rapat dengan rasa tidak puas hatinya terhadap pendekatan kerajaan dalam usaha membanteras rasuah.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim dilaporkan berkata anak sulung kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim yang digelar “Puteri Reformasi” itu dipercayai mempunyai pandangan tersendiri mengenai isu rasuah serta keadaan semasa dalam parti dan kerajaan.

“Satu perkara yang saya boleh berani cakap, Nurul Izzah tidak senang tentang bagaimana kerajaan menguruskan soal membasmi rasuah ini.

“Dia ada pandangan sendiri dan ramai orang berkongsi pandangan itu. Dalam keadaan parti PKR sekarang ini dan kerajaan sekarang ini, saya rasa dia kurang selesa dan kurang bersetuju.

“Tapi sebagai anggota parti yang setia, seorang anak pejuang, pilihan dia berundur dahulu.

“Kalau satu masa sampai pada waktunya, dia akan kembali, Insya-Allah,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Malaysiakini telah menghubungi Nurul Izzah bagi mendapatkan maklum balasnya terhadap dakwaan Hassan.

Dalam hantaran di Facebook pada 6 Ogos, Nurul Izzah mengesahkan hasratnya untuk melepaskan jawatan nombor dua parti itu.

Dia telah menyampaikan hasrat tersebut kepada pucuk pimpinan pusat PKR, yang pada awal hari berkenaan memutuskan untuk memberinya cuti sementara.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil turut memaklumkan bahawa Naib Presiden PKR Saifuddin Nasution Ismail akan menjalankan tanggungjawab Timbalan Presiden sepanjang ketiadaan Nurul Izzah.

Sebelum itu, Fahmi berkata Majlis Pimpinan Pusat (MPP) telah membincangkan permohonan Nurul Izzah untuk melepaskan jawatan.

Bagaimanapun, selepas mendengar pandangannya serta pandangan pemimpin parti lain, MPP memutuskan untuk memberikan cuti sementara kepadanya bermula selepas Kongres Nasional PKR pada 14 dan 15 Ogos.

Namun, hantaran Nurul Izzah di Facebook tidak menyebut bahawa dia akan bercuti sementara.

Dia juga merujuk Saifuddin sebagai Timbalan Presiden PKR dan bukannya sebagai pengganti sementara dirinya.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menegaskan bahawa dia akan kekal sebagai anggota PKR dan terus menyokong parti berkenaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Tandus pemimpin baru?

Dalam pada itu, Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor dipetik berkata terdapat kebimbangan mengenai masa depan kepimpinan parti, khususnya keupayaannya melahirkan generasi baru pemimpin muda.

Menurutnya, keadaan tersebut berlaku ketika PKR berdepan kehilangan beberapa tokoh yang sebelum ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh parti.

“Sebab kita tengok ramai pemimpin-pemimpin sudah keluar PKR.

“Lepas itu, Nurul Izzah ini adalah satu-satunya pemimpin muda yang boleh ke depan lagi, tetapi dia pula letak jawatan.

“Ini yang saya sebut dulu, reformasi jangan mati. Sekarang PKR sudah ketandusan pemimpin.

“Satu demi satu berundur malah ada yang sudah keluar parti.

“Tidak mengapa, benda sudah berlaku. Nurul Izzah tetap setia dengan parti,” katanya.

Ibu meninggal dunia selepas jenazah anak selesai dikebumi

KOSMO!
Arwah Saripah Nariah dilaporkan meninggal dunia kira-kira 10 jam selepas pemergian anaknya, Syed Salim.
PETALING JAYA – Dua beranak dilaporkan meninggal dunia pada hari yang sama dengan hanya berjarak kira-kira 10 jam.

Perkara itu dikongsikan seorang kenalan dikenali sebagai Cikgu Izzat Johari menerusi hantaran di Facebooknya semalam.

Menurut perkongsian itu, arwah Syed Salim Syed Abdullah, 56, meninggal dunia pada pukul 12.57 pagi, 8 Ogos, manakala ibunya, Saripah Nariah Said Hanip, 76, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.39 pagi hari sama.

Lebih menyayat hati, Allahyarham Saripah meninggal dunia ketika jenazah anaknya baru sahaja selesai dikebumikan.

“Arwah abang Salim – 12.57 pagi. Arwah maknya – 11.39 pagi (meninggal ketika anaknya baru siap dikebumi),” tulisnya.

Menurut Izzat, Allahyarham Saripah pada awalnya berada dalam keadaan sihat dan masih mampu berbual bersama ahli keluarga ketika menunggu urusan pengebumian jenazah anaknya diselesaikan.

“Semasa menunggu jenazah anaknya disiapkan, arwah maknya sihat boleh borak dalam sedih,” katanya.

Izzat turut merayu kepada keluarga dan rakan-rakan agar sama-sama menghadiahkan bacaan al-Fatihah buat kedua-dua arwah.

“Saya dengan rasa rendah diri, mohon jasa baik semua keluarga dan rakan untuk sedekahkan pahala al-Fatihah buat kedua mereka ini yang pergi serentak hari yang sama.

“Tolong ya semua. Mohon sedekahkan pahala al-Fatihah buat keduanya. Semoga ditempatkan di kalangan orang-orang beriman…Amin,” katanya.

Berdasarkan kad takziah yang dikongsikan, Syed Salim dilahirkan pada 11 September 1969, manakala Saripah dilahirkan pada 11 Ogos 1949.

Perkongsian tersebut mengundang rasa sebak dalam kalangan pengguna media sosial yang turut menitipkan doa buat kedua-dua arwah serta keluarga yang ditinggalkan.

“Semoga arwah kakak saya Saripah Noriah (Kak Pah) dan anak saudara saya Syed Salim) ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kasih sayang seorang ibu kepada anaknya sehingga ke hujung nyawa,” komen Sherry.

“Semoga rohnya keluarga ini dicucuri rahmat bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” kata Roslan.

“Salam takziah,” kata Mat Remmy. – KOSMO! ONLINE

Politik tunggang agama, Pondok Kelantan tegur Hadi: Islam tak kuat dengan fitnah, Melayu tak kuat dengan ketakutan

Harapandaily

Menurut kenyataan media yang tular dan dikaitkan dengan Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan menegur Presiden Pas, Abdul Hadi Awang susulan dakwaannya bahawa DAP memimpin Pakatan Harapan (PH) bagi meneruskan agenda penjajah untuk menghapuskan kedudukan Melayu dan Islam.

Pengerusinya, Baba Zulkarnain Harun berkata tuduhan seberat itu tidak wajar dilemparkan tanpa bukti yang jelas dan sahih.

Menurutnya, kenyataan sedemikian bukan sahaja boleh mencetuskan prasangka dan kebencian, malah berpotensi memecahbelahkan umat Islam serta merosakkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

“Kami berpandangan bahawa tuduhan sedemikian merupakan suatu fitnah dan dakwaan yang tidak berasas sekiranya tidak disertakan bukti yang jelas dan sahih.

“Tuduhan yang begitu berat bukan sahaja boleh menimbulkan prasangka dan kebencian, bahkan berpotensi memecahbelahkan umat Islam serta merosakkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baba Zulkarnain berkata pendekatan politik yang berasaskan tuduhan tanpa bukti bercanggah dengan tuntutan syariat yang menekankan keadilan, tabayyun dan larangan membuat sangkaan buruk.

Beliau turut memetik firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 12 yang menyeru orang beriman menjauhi kebanyakan sangkaan kerana sebahagiannya adalah dosa.

Katanya, pemimpin politik yang membawa nama Islam perlu lebih bertanggungjawab apabila mengeluarkan kenyataan, khususnya apabila kenyataan itu menyentuh hubungan kaum dan agama.

“Pengaruh seorang pemimpin datang bersama amanah yang besar.

“Setiap perkataan boleh menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat atau api yang membakar perpecahan,” katanya.

Mengulas dakwaan bahawa DAP boleh menghapuskan Melayu dan Islam melalui kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan, Pondok Madani berkata gambaran itu tidak tepat dalam kerangka demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang diamalkan negara.

Baba Zulkarnain berkata Malaysia bukan sebuah negara yang membolehkan mana-mana parti politik bertindak sesuka hati.

Sebaliknya, kuasa pemerintahan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, institusi Raja-Raja, Parlimen, undang-undang serta prinsip semak dan imbang.

Beliau berkata kedudukan Islam telah diperuntukkan secara jelas dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, manakala kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak dilindungi melalui Perkara 153.

“Oleh itu, menggambarkan seolah-olah penyertaan DAP dalam Kerajaan Perpaduan dengan sendirinya membolehkan parti tersebut menghapuskan Melayu dan Islam adalah suatu gambaran yang tidak tepat terhadap sistem pemerintahan negara,” katanya.

Menurut Baba Zulkarnain, politik dalam kerangka siyasah syar‘iyyah bukan sekadar soal kawan dan lawan.

Sebaliknya, politik sepatutnya menjadi medan mengurus kemaslahatan manusia, menegakkan keadilan, mencegah kemudaratan dan memelihara keamanan masyarakat.

Beliau turut memetik Surah al-Ma’idah ayat 8 yang menegaskan kebencian terhadap sesuatu kaum tidak boleh mendorong seseorang berlaku tidak adil.

“Justeru, kebencian politik tidak boleh menjadi alasan untuk melemparkan tuduhan bahawa sesuatu kelompok mahu menghapuskan Melayu dan Islam tanpa pembuktian yang kukuh.

“Politik ketakutan mungkin memberikan keuntungan politik jangka pendek, tetapi perpecahan umat dan kerosakan keharmonian negara adalah harga yang terlalu mahal untuk dibayar,” katanya.

‘Islam tidak kuat dengan fitnah’

Pondok Madani turut memberi amaran bahawa kenyataan mengaitkan lawan politik dengan ancaman terhadap Melayu dan Islam tanpa bukti jelas adalah berbahaya.

Katanya, pendekatan itu boleh merosakkan ukhuwah umat, meningkatkan ketegangan antara kaum dan agama serta menggugat keharmonian yang dibina sekian lama.

“Islam tidak menjadi kuat dengan fitnah.

“Melayu tidak menjadi kuat dengan ketakutan.

“Negara tidak menjadi kukuh dengan perpecahan,” katanya.

Baba Zulkarnain berkata perbezaan politik adalah lumrah dalam demokrasi, namun ia mesti diurus dengan ilmu, fakta, adab dan keadilan.

Katanya, sudah tiba masanya politik negara bergerak daripada politik menakut-nakutkan rakyat kepada politik penyelesaian.

Beliau berkata parti politik sepatutnya berlumba-lumba menawarkan gagasan terbaik untuk meningkatkan ekonomi, mengurangkan kos sara hidup, menyediakan pekerjaan, memperkukuh pendidikan, membanteras kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Marilah kita membina politik yang berteraskan ilmu, fakta, keadilan, akhlak dan maslahah, demi Islam yang dihormati, rakyat yang bersatu dan Malaysia yang aman serta sejahtera,” katanya.

Umno Perlis mahu tanding solo, kritik kerajaan PN

FMT Reporters

PETALING JAYA: Umno Perlis bersiap sedia bertanding solo di DUN dan Parlimen selepas mengkritik kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) kerana gagal membawa pembangunan ketara, kata ketua Umno negeri, Rozabil Abd Rahman.

Katanya, tiada perbincangan rasmi dijalankan bersama PN di peringkat negeri walaupun ada ‘pihak’ cuba menghubunginya untuk mengadakan pertemuan.

Beliau berkata, gerak kerja Umno Perlis ketika ini adalah untuk bertanding solo.

“Dalam konteks Perlis, kita tidak ada apa-apa perbincangan dengan mana-mana parti, termasuklah dengan PN. Apa yang dihasratkan ahli parti dan gerak kerja yang telah dibuat adalah persediaan untuk kita terus bekerja di 15 DUN dan tiga Parlimen.

“Ini adalah hala tuju yang sangat jelas untuk Umno Perlis. Kita tidak ada apa-apa perbincangan untuk kita mengadakan pakatan bagi pilihan raya yang akan datang. Itu pendirian Umno Perlis buat masa ini,” katanya menurut Berita Harian.

Pada pilihan raya lalu, Umno tumpas di semua kerusi ditandingi sama di DUN mahupun Parlimen.

Rozabil ketika mengulas lanjut turut menyuarakan keyakinan Umno Perlis semakin mendapat sokongan berdasarkan reaksi dan trend rakyat ketika ini.

“Rakyat Perlis telah memberi peluang kepada PN untuk mentadbir, tetapi sehingga saat ini tidak nampak apa-apa perkembangan pembangunan, terutamanya peluang pekerjaan dan ekonomi kepada anak muda.

“Kita akui pentadbiran BN terdahulu ada kekurangan, tetapi berbanding pentadbiran sekarang, jauh berbeza. Sebab itu jentera termasuk Wanita menerusi Jalinan Rakyat (JR) di setiap pusat daerah mengundi (PDM) telah digerakkan seolah-olah pilihan raya akan berlaku pada bila-bila masa,” katanya.

Saksi pengantin lelaki meninggal dunia tak sempat mengesahkan akad nikah

KOSMO!
Gambar memaparkan suasana pilu di sebuah masjid selepas saksi kepada pengantin lelaki meninggal dunia sebelum sempat mengesahkan akad yang berlangsung
PETALING JAYA – Belum sempat menyaksikan akad nikah disahkan, seorang lelaki yang menjadi saksi kepada pengantin meninggal dunia ketika majlis pernikahan pasangan itu sedang berlangsung di sebuah masjid.

Perkara itu dikongsikan oleh jurugambar yang bertugas pada majlis berkenaan menerusi hantaran di Threads hari ini.

Menurut jurugambar itu, pengalaman berkenaan merupakan antara detik paling menyedihkan sepanjang dia menjalankan tugas merakam majlis perkahwinan.

“Selama jadi photographer (jurugambar), hari ini hari yang paling sedih. Seorang saksi kepada pengantin lelaki meninggal sebelum sempat nak sahkan akad pengantin tersebut,” katanya.

Individu itu memaklumkan, suasana yang pada awalnya dipenuhi kegembiraan dan debaran menantikan detik akad nikah bertukar sekelip mata menjadi hiba selepas kejadian tersebut.

“Momen yang mulanya gembira, sekelip mata bertukar jadi hiba dan sedih.

“Semoga pak cik pengantin ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu di ruangan komen, pengguna @iraa_ramli mendakwa dia berada di lokasi kejadian dan menjelaskan bahawa arwah merupakan bapa saudara kepada pengantin lelaki.

“Saya ada masa majlis, pak cik tu bapa saudara pengantin lelaki. Asalnya jadi saksi untuk nikah tu, tapi tak sempat,” katanya.

Wanita itu turut menjelaskan bahawa akad nikah pasangan tersebut tetap diteruskan selepas urusan berkaitan pengesahan kematian lelaki berkenaan selesai.

Perkongsian tersebut mengundang sebak dalam kalangan pengguna media sosial yang turut menitipkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta mendoakan agar urusan majlis dan keluarga pengantin dipermudahkan.

“Insafnya baca. Sungguh lah hidup kita ini dekat sangat dengan kematian. Al-Fatihah buat pak cik pengantin,” kata @kakak_munge.

“Jodoh dengan ajal, jodoh dengan akad nikah. Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Salam takziah buat seluruh keluarga arwah pak cik,” komen Fateennurillia. – KOSMO! ONLINE

Hadi mahu selesai kemelut Bersatu-PAS tanpa melalui proses

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Kenyataan Presiden PAS Hadi Awang bahawa keanggotaan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) ‘tergugur dengan sendiri’ dilihat sebagai usaha menyelesaikan kemelut antara dua parti itu, tanpa melalui proses yang ditetapkan perlembagaan PN.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata Bersatu mempunyai kepentingan untuk terus berada dalam PN kerana gabungan itu masih mempunyai nilai politik yang besar.

“Kita tahu mereka sukar untuk melepaskan PN kerana PN merupakan gabungan Melayu yang paling kuat dalam politik Malaysia ketika ini,” katanya kepada FMT.

“Jadi, bagi Bersatu, mereka masih menganggap diri mereka sebahagian daripada PN selagi proses untuk menamatkan keanggotaan itu tidak dilakukan mengikut perlembagaan.”

Pada 17 Julai, sehari sebelum hari penamaan calon PRN Negeri Sembilan, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan rancangan untuk membentuk gabungan baharu dengan parti lain, yang akan berdepan PRU akan datang.

Pengumuman itu berlatarkan kemelut dengan PAS, yang menghentikan kerjasama politik selepas mengkaji satu persatu tindakan Bersatu, mengambil contoh situasi politik di Negeri Sembilan dan Perlis, serta pendirian berkenaan usaha membawa masuk parti tertentu ke dalam PN.

PAS tidak menggunakan jenteranya untuk membantu kempen Bersatu pada PRN Johor, dan Bersatu menyertai PRN Negeri Sembilan atas lambang sendiri — kekalahan total membawa kepada Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali mengumumkan Bersatu akan membincangkan pembentukan gabungan parti-parti politik yang sederhana dan progresif.

Semalam, Hadi mendakwa Bersatu secara automatik terkeluar daripada PN tanpa memerlukan surat rasmi mahupun keputusan jawatankuasa memandangkan parti itu mengumumkan pembentukan gabungan baharu.

Katanya, tindakan menyertai atau menubuhkan blok politik lain secara sendirinya menghentikan keahlian sesebuah parti mengikut prinsip perlembagaan PN.

Azmin bagaimanapun menyifatkan kenyataan Hadi itu bercanggah dengan perlembagaan, menegaskan kedudukan Bersatu hanya boleh dimuktamadkan oleh majlis presiden.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata kenyataan Hadi itu suatu ‘isyarat politik’ bagi memberitahu bahawa kuasa dalam PN sedang berubah, dan PAS tidak mahu lagi hubungan lama diteruskan seolah-olah tiada apa berlaku.

“Kita jangan terlalu naif. Kenyataan Hadi bukan sekadar tafsiran perlembagaan,” katanya kepada FMT.

Zaharuddin menegaskan pertikaian itu “perang menentukan siapa yang memegang stereng PN menuju PRU16”, di sebalik persoalan mengenai proses kolektif dalam PN dan fungsi majlis presiden.

Katanya, di sebalik kekuatan akar umbi PAS dan sejarah Bersatu dalam PN ialah mampukah mereka mengikut peraturan apabila ia menyakitkan kepentingan sendiri.

“Kalau belum mampu berkongsi rumah, bagaimana mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu berkongsi Putrajaya?”

AKPS tahan kontena disyaki bawa dagangan eksport ke Israel

Bernama

JOHOR BAHRU: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menahan serta memeriksa sebuah kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas semalam yang disyaki membawa dagangan untuk dieksport ke Israel.

AKPS memaklumkan, penghantaran itu disyaki tidak mematuhi Item No 15 Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023 yang memperuntukkan larangan pengeksportan barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel selaras dengan dasar dan ketetapan kerajaan Malaysia.

“AKPS akan menjalankan siasatan lanjut bersama dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi mengesahkan sifat, spesifikasi, kegunaan serta klasifikasi barangan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

“Ini termasuk menentukan sama ada barangan tersebut merupakan barangan strategik yang tertakluk kepada kawalan di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010 (Akta 708) dan perundangan subsidiari berkaitan.”

AKPS menegaskan, Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang melanggar dasar, sekatan dan perundangan negara berkaitan Israel.

Menurut agensi itu, pendirian kerajaan Madani dalam perkara itu adalah jelas serta konsisten, dan sebarang percubaan mengeksport barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel yang bertentangan dengan undang-undang serta ketetapan kerajaan akan dikenakan tindakan tegas.