"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Konvensyen Nasional AMANAH yang mendebarkan (Kemana hala tuju AMANAH selepas ini)

HARIS ALIMUDIN
9 Mei 2018 akan tetap terpahat dalam lipatan sejarah besar negara. 61 tahun memperlihatkan hanya satu wajah kerajaan yang mentadbir di bawah empat Perdana Menteri.

Rakyat telah turun dan menyatakan bahawa jangka waktu itu sudah terlalu lama diberikan kepada Perikatan dan Barisan Nasional (BN) mencorakkan bangsa Malaysia dan telah tiba waktunya sebuah kerajaan baharu diberikan mandat memimpin negara.

Pakatan Harapan (PH) yang dibentuk pada 22 September 2015 ditunjangi tiga parti utama, PKR, DAP dan AMANAH. Antara ketiga-tiga parti ini, AMANAH adalah yang termuda, hanya berusia enam hari semasa penubuhan PH dimuktamadkan.

Sejarah adalah cerita yang tidak terpadamkan, dan sejarah mencatatkan bahawa PH adalah benih yang tumbuh selepas berkuburnya Pakatan Rakyat, koalisi yang telah gagal menumbangkan kerajaan BN.

PH ditubuhkan untuk membina sebuah wadah untuk meletakkan AMANAH sebagai sebahagian daripada kerajaan menunggu selepas Pas bermufaraqah.

AMANAH diamanahkan untuk menggantikan kelompangan yang ditinggalkan oleh Pas. Sistem politik negara yang masih berbasis kuat kepada kaum dan agama, meletakkan AMANAH sebagai parti yang mewakili suara majoriti rakyat Melayu dan Islam.

Menarik untuk diperhatikan apakah AMANAH mampu dan dilihat mampu menggalas tugas besar yang selama ini dalam blok pembangkang, peranan membawa suara Islam dan Melayu secara tradisinya adalah tugas Pas?

Hampir keseluruhan pendiri awal AMANAH, di peringkat nasional mahupun negeri, kawasan dan cawangan adalah bekas pemimpin dan ahli Pas yang puluhan tahun didoktrin dengan pendekatan Pas, mahu tidak mahu pendekatan dan fikrah mereka diakui masih tebal dengan sentimen lama.

Menyedari bahawa jalur pemikiran lama harus segera diganti dengan wacana politik baharu yang segar dan baharu, pemimpin AMANAH lantas menggariskan ketetapan bahawa AMANAH ialah sebuah parti Islam yang inklusif, progresif dan peduli dengan meletakkan asas kukuh, Rahmatan Lil ‘Alamin sebagai dasar dan kerangka parti.

Nahdah Ulama’ Li Nahdhah Jadidah (NUNJI) adalah inisiatif awal sebelum penubuhan AMANAH untuk memperkemaskan kefahaman mengenai fiqh watan atau kenegaraan berpandukan maqasid syariah dengan mengiktiraf kepelbagaian dan kemajmukan demografi negara.

Walaupun ramai yang pesimis dan menempelak bahawa AMANAH adalah parti serpihan orang kecewa dan hanya bernafas setahun dua, pembinaan parti terus berjalan dengan penubuhan cawangan dan sayap-sayap di seluruh negara.

Kelebihan yang ada pada AMANAH adalah hampir keseluruhan ahlinya adalah bekas ahli Pas yang mempunyai pengalaman dalam gerakan politik dan siasah Islam. Tidak dapat dinafikan bahawa pada peringkat ini, ketertarikan pemain politik pada AMANAH masih di tahap yang rendah dengan permohonan keahlian yang kecil. Ramai yang mengambil sikap tawaquf atas pelbagai alasan dan ijtihad.

Sedang pembinaan parti masih di peringkat awal, AMANAH diangkat menjadi komponen yang membentuk kerajaan Malaysia baharu. Pimpinan AMANAH dilantik menjadi menteri, timbalan menteri, setiausaha politik, mengetuai agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Di peringkat bawah kekosongan ahli majlis, MPKK, ketua kampung dan pelbagai cabang kerajaan diisi oleh ahli. Natijahnya urusan pembinaan parti tidak mampu diberikan keutamaan demi mengisi kemenangan di peringkat persekutuan dan negeri.

Kemenangan juga menghasilkan gelombang kemasukan ahli yang mencecah puluhan ribu setiap bulan dari pelbagai wadah, sama ada ahli Pas, Umno atau gerakan NGO seperti Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) juga non partisan dan non persatuan.

Jika sebelum ini AMANAH hanya dianggotai sebahagian besarnya bekas ahli Pas, ia mengalami perubahan besar dari segi kepelbagaian latar belakang ahli.

Kemenangan turut mengulangi sirah Uhud. Ramai yang meninggalkan pertahanan untuk sama-sama merasai nikmat kemenangan. Ada yang gembira, tidak kurang yang kecewa dan hampa kerana pengorbanan dirasakan tidak berbalas. Akhirnya memilih untuk berundur, walaupun pada awalnya menjadi perintis kepada penubuhan AMANAH.

Cabaran AMANAH bukan hanya berlegar pada pengurusan dalam parti tetapi bagaimana kekal relevan sebagai sebuah parti bernuansa Islam yang mampu diterima semua kaum, namun kekal utuh dan dilihat utuh kepada pegangan Islam dan meyakinkan kaum Melayu kemampuannya mempertahankan hak dan kepentingan Melayu.

Penubuhan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang membawa agenda Melayu Islam juga memberi cabaran kepada AMANAH untuk kekal relevan.

AMANAH berada pada suatu titik yang memerlukan pemerhatian teliti dengan prediksi untuk menjadi sebuah parti pilihan utama pada masa hadapan.

Sebuah parti yang kekal lama bukan hanya memerlukan sebuah dasar yang kukuh, tetapi lebih utama bagaimana dasar itu difahami, dicanai dan dilaksana di semua peringkat.

Walaupun pendekatan Rahmatan Lil ‘Alamin diletakkan sebagai panduan besar kepada AMANAH, ia perlu dirungkai dan dikhususkan skopnya di peringkat parti secara keseluruhanya.

Ia tidak boleh sekadar menjadi wacana dan label kepada setiap program tanpa difahami secara holistik dan teliti oleh setiap ahli. Pendekatan besar ini perlu dipandu agar ia diterjemahkan dan difahami oleh setiap ahli parti.

Kegagalan meletakkan satu rujukan tunggal akan menyebabkan wujudnya kepelbagaian tafsiran yang menggugah kesatuan kefahaman. Setiap ahli atau kelompok memberikan tafsiran sendiri yang akhirnya membuah firkah dan pertentangan fahaman.

Kesenggangan dan penundaan pembinaan kesatuan fikrah ini menjadi ancaman besar kepada AMANAH. Para pendiri awal AMANAH yang sebahagian besar masih bernostalgia kepada sistem tarbiyah lama, menekankan bahawa AMANAH perlu kekal pada pendekatan awal penubuhannya.
Generasi baharu yang kemudian pula menyatakan bahawa pendekatan baharu perlu diperkenalkan selari dengan wajah inklusif dan keterbukaan AMANAH.

Tanpa sebuah panduan yang jelas, setiap hujah adalah relevan dan terpakai. Maka wujudlah jurang yang melebar dari sehari ke sehari.

Generasi muda AMANAH juga menuntut sebuah parti yang boleh mengakomodasi idea dan pendekatan mereka. Kegeloraan orang muda dalam berpolitik ditampungi dengan pembawaan inklusif AMANAH. Sama ada ia baik atau tidak, ia dibincang dalam premis lain.

Sehingga hari ini, sistem pentarbiyahan AMANAH masih belum mampu dibawakan ke peringkat bawahan. Sebuah parti Islam banyak bergantung kepada fahaman ahli untuk kekal pada landasan syarak.

Namun jika usrah atau pengajian siasah, liqa’ atau pertemuan, latihan dan pembangunan kefahaman ahli tergendala, ia tiada kelebihan dan keistimewaan dengan parti politik biasa.

AMANAH benar-benar berada pada suatu suasana yang memerlukan pemerhatian mendalam barisan kepimpinan. Sama ada mahu mengakui atau tidak, AMANAH belum membentuk sebuah imej kukuh dan menonjol berbanding parti sepakatan ataupun parti oposisi.

AMANAH belum memberikan keyakinan menawarkan sebuah wadah yang Islami atau sebuah parti nasional yang inklusif. AMANAH masih bereksperimen dengan pendekatan yang mampu membawa politik Islam baharu disamping kekal relevan di dalam segmen pengundi Melayu Islam.

Juga pada waktu yang sama diakui bahawa harapan rakyat bukan Islam kepada AMANAH adalah tinggi untuk kekal bersederhana dan meraikan golongan minoriti.

Secara politiknya, kebanyakan kerusi yang dimenangi oleh calon AMANAH pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) lalu disumbangkan di kawasan campuran yang peratus pengundi bukan Melayu dan bukan Islam yang tinggi. AMANAH juga perlu menekuni hakikat ia masih tertolak di kawasan Melayu terutama di pantai timur Semenanjung.

Menjelang Konvensyen Nasional AMANAH awal Disember ini, pemilihan pertama selepas menjadi kerajaan, adalah penantian yang mengujakan dan mendebarkan.

Budaya politik baharu yang meresapi AMANAH boleh menjadi kelebihan, boleh juga menjadi senjata yang mengancam.

Keperpuakan, cai, pergaduhan fizikal dan perseteruan tajam dalam kalangan ahli semakin memuncak. Ia berputik di semua peringkat, sama ada pemuda dan yang lama.

Ramai wajah lama yang terpinggir dan dipinggirkan diganti dengan wajah baharu yang lebih muda dan baharu.

Dendam politik adalah kesumat dan sekam yang sukar dipadam. Jika dibiar membakar, risau yang diwariskan hanya runtuhan dan rentungan bangunan. Ada juga merasa dikhianati, lantas mengambil sikap ‘bumi hangus’.

Pemimpin nasional, negeri, kawasan dan cawangan, ahli lama dan baharu menjadi pencorak kepada AMANAH pada masa hadapan. Nasib parti berada di tangan mereka.

Perjalanan AMANAH sebagai sebuah parti masih panjang. Benihnya baharu ditanam, jika baik benihnya, maka baik jualah buah yang akan dipetik nanti.

Dalam tempoh 20 atau 30 tahun mendatang, AMANAH bagaimanakah yang mahu diwajahkan? Apakah waktu itu AMANAH masih sebuah parti Islam yang inklusif, progresif dan terbuka, atau berevolusi menjadi sebuah parti nasionalis atau parti berbilang fahaman dan idealogi?


* Penulis merupakan Pengerusi AMANAH Negeri Sabah

Tiada ulasan: