"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Azmin dijangka jumpa MP PKR pula petang ini

Malaysiakini
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dijangka bertemu dengan ahli parlimen partinya di parlimen petang ini, menurut laporan berita.

Star Online memetik sumber yang berkata mesyuarat itu dijadualkan pada jam 3 petang ini.

"Kali ini, ia akan diadakan di pejabatnya di parlimen. Kami semua 'dijemput' hadir di pejabatnya pukul 3 petang dan kebanyakan kami akan berada di sana," kata sumber itu.

Spekulasi terbaru ini hadir kurang 24 jam selepas Azmin, yang juga menteri hal ehwal ekonomi mengadakan perjumpaan di kediamannya di Putrajaya dengan lebih 20 ahli parlimen BN termasuk bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein, semalam.

Perjumpaan itu berlangsung selepas kekalahan besar Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai pada Sabtu lalu, yang seterusnya menimbulkan kembali tekanan terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk meletakkan jawatan.

Bekas timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali menyifatkan kekalahan itu sebagai referendum terhadap kepimpinan Dr Mahathir dan menggesa pengerusi PH itu menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim seperti dipersetujui sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Timbul speklulasi sebelum ini yang mengatakan bahawa Dr Mahathir cenderung memilih Azmin untuk menggantikannya sebagai perdana menteri meskipun Dr Mahathir dan Anwar berulang-kali meyakinkan bahawa pelan peralihan kuasa akan diteruskan seperti yang dirancang.

Sebelum ini, sekretariat Pakatan Harapan juga menuduh Hishammuddin cuba membentuk kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah. Hishammuddin bagaimanapun menafikan tuduhan itu.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendakwa bahawa ahli parlimen Umno berjumpa dengan Azmin untuk membincangkan penyaluran projek-projek kerajaan untuk kawasan mereka.

Terdahulu, jawatankuasa disiplin Umno berkata ia sedang menyiasat perjumpaan itu.

Anwar pula menuntut penjelasan daripada Azmin mengenai perjumpaan semalam, yang menurutnya menimbulkan persoalan.

Hubungan antara Anwar dan Azmin dilihat semakin keruh, dengan yang terbaru berhubung isu pembatalan jemputan kepada timbalan presiden PKR itu untuk merasmikan Kongres Pemuda PKR (AMK).

Azmin mendakwa ada 'tangan ghaib' di sebalik keputusan itu.

Sementara itu, ketika berucap di Konvensyen PKR Perlis-Kedah pada hari Sabtu, Anwar menyampaikan kenyataan keras yang dipercayai ditujukan kepada Azmin dan penyokongnya.

Antara lain, Anwar mengingatkan tentang kuasa yang meminggirkan idealisme.

Tiada ulasan: