"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Jalan Gua Musang-Jeli ditutup, treler 24 tayar terbalik melintang jalan

AIMUNI TUAN LAH
Jalan Kilometer 47, Jalan Gua Musang-Jeli ditutup kepada semua kenderaan selepas sebuah treler membawa muatan kelapa sawit terbalik sehingga melintang jalan FOTO IHSAN POLIS
GUA MUSANG – Laluan di Kilometer (KM) 47 Jalan Gua Musang-Jeli di sini masih ditutup kepada semua kenderaan selepas sebuah treler membawa muatan kelapa sawit terbalik dan melintang jalan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, pemandu treler yang berusia 40 tahun selamat tanpa sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, laluan di kedua-dua arah terhalang menyebabkan pengguna perlu menggunakan jalan alternatif.

Katanya, siasatan mendapati, kenderaan berat itu dalam perjalanan dari arah Gua Musang ke Jeli. Semasa tiba di lokasi, treler tersebut dipercayai mengalami masalah brek sebelum mengundur, terbalik dan melintang atas jalan.

“Kemalangan hanya membabitkan kerosakan pada bahagian tepi kanan treler. Setakat ini, kenderaan berat itu masih belum dialihkan kerana menunggu bantuan kren,” katanya.

Choon Foo meminta pengguna jalan raya menggunakan laluan alternatif Jalan Sungai Sam sekiranya dari arah Jeli dan Jalan Bertam untuk ke Gua Musang. Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959. – KOSMO! ONLINE

Kanak-kanak maut disyaki didera, 4 ditahan bantu siasatan

Bernama 

Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun sembilan bulan meninggal dunia dengan beberapa kesan kecederaan mencurigakan pada badannya, dipercayai menjadi mangsa penderaan Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Abdul Malek Ismail berkata pihaknya menerima laporan berhubung kematian mangsa terbabit daripada pegawai perubatan Hospital Taiping.

Katanya kanak-kanak itu dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan ditempatkan di zon merah pada jam 12.43 tengah hari.

“Doktor yang bertugas telah memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama 30 minit, namun mangsa tidak menunjukkan pemulihan peredaran spontan (ROSC) sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.12 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan mencurigakan pada badan mangsa, manakala keputusan bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan pada bahagian kepala dan leher disebabkan hentakan objek tumpul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, Abdul Malek berkata polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Dia menambah empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia antara 27 hingga 53 tahuntelah ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya semua suspek merupakan ahli keluarga mangsa.

“Mereka direman selama tujuh hari bermula 27 Mac bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Kes ini berjaya diselesaikan dengan penahanan semua suspek terbabit,” katanya.

- Bernama

Warga China ditahan rakam video tak senonoh dalam tandas lelaki

FMT Reporters

PETALING JAYA: Warga China ditahan selepas disyaki merakam video tidak senonoh dalam tandas lelaki di sebuah pusat membeli-belah di Bukit Jalil, Khamis lalu.

Ketua Polis Cheras Mohd Rosdi Daud, berkata lelaki itu diberkas pada 1.28 tengah hari susulan laporan diterima daripada seorang lelaki tempatan.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 11 pagi ketika mangsa sedang menggunakan tandas di tingkat empat premis berkenaan, sebelum menyedari dirinya dirakam individu dari tandas bersebelahan menggunakan telefon bimbit.

“Hasil pemeriksaan awal ke atas telefon bimbit milik suspek menemui sejumlah video lucah dalam galeri simpanan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, suspek berusia lingkungan 20-an turut mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan.

Katanya, lelaki itu kini direman 14 hari sehingga 9 April bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Nurul Izzah akan letak jawatan timbalan presiden PKR?

Fuziah nafi Nurul Izzah akan letak jawatan timbalan presiden PKR

Hariz Mohd & Yiswaree Palansamy

Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, menolak khabar angin yang mengatakan bahawa Nurul Izzah Anwar akan mengosongkan jawatan timbalan presiden parti, di tengah-tengah spekulasi yang mendakwa sedemikian.

Nurul Izzah sebelum ini dispekulasikan akan melepaskan jawatannya dalam masa terdekat.

Malaysiakini telah menghubungi bekas ahli parlimen Permatang Pauh itu untuk mendapatkan komen, tetapi belum menerima sebarang respons.

Walau bagaimanapun, ketika dihubungi, Fuziah menafikan khabar angin itu.

"Sama sekali tidak benar," katanya.

New Straits Time memetik Ketua Penerangan PKR dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut menolak khabar angin itu, melabelkannya sebagai "berita palsu".

Sumber PKR memberitahu Malaysiakini bahawa Nurul Izzah dalam keadaan "bersemangat" semasa mesyuarat majlis kepimpinan pusat Khamis lalu.

Nurul Izzah, anak perempuan perdana menteri dan Presiden PKR Anwar Ibrahim, lantang mengkritik SPRM, dengan menggesa kepada keperluan pembaharuan sistemik, akauntabiliti yang lebih kukuh, dan pengawasan parlimen untuk memastikan kepercayaan orang ramai.

Dia juga menentang pelanjutan kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk penggal ketiga, dengan menyatakan dia akan membangkitkan perkara itu secara langsung dengan Anwar jika dipilih sebagai timbalan presiden PKR.

Anwar juga sebelum ini mempertahankan Azam susulan gesaan agar ketua pesuruhjaya SPRM itu digantung tugas.

Anwar berkata tiada langkah hukuman akan diambil tanpa siasatan menyeluruh.

Ini berlaku di tengah-tengah tekanan yang semakin meningkat terhadap skandal pegangan saham Azam dan dakwaan bahawa pegawai SPRM telah berpakat dengan individu persendirian untuk menjatuhkan pesaing perniagaan dan bersubahat dengan pengambilalihan korporat.

Kontroversi ini kini secara meluas dirujuk sebagai skandal "mafia korporat".

Pada 15 Februari, beratus-ratus orang turun ke jalanan di Kuala Lumpur untuk membantah perkara itu, mendesak Azam meletak jawatan, dan mengkritik Anwar yang didakwa mempertahankan ketua pesuruhjaya SPRM itu.

Anwar juga meremehkan dakwaan pakatan sulit SPRM, memberitahu Parlimen awal bulan ini, bahawa laporan berita yang memetik sumber hanya akan disiasat jika terdapat bukti.

Dia juga sebelum ini berkata gesaan DAP untuk penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung kes itu adalah pramatang sementara menunggu siasatan kerajaan terhadap pegangan saham Azam selesai.

Pada 17 Februari, kabinet bersetuju untuk mempertimbangkan tindakan susulan, termasuk menubuhkan RCI, mengenai dakwaan terhadap SPRM dan Azam, kata jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.

Di tengah-tengah desakan untuk siasatan terhadap dakwaan bahawa pegawai SPRM terlibat dalam skim mafia korporat, suruhanjaya itu pada 24 Februari mengeluarkan penafian tegas kedua dan menolak dakwaan tersebut sebagai tidak berasas.

Azam juga telah memfailkan saman RM100 juta terhadap Bloomberg yang melaporkan perkara itu.

Aksi tak senonoh di jirat, pasangan fail rayuan terhadap sabitan, hukuman

Predeep Nambiar

Peguam berkata Mahkamah Tinggi akan diminta semak semula hukuman penjara setahun dan mempertimbangkan sama ada hukuman itu berlebihan.
couple jirat cina
Halila Abu Bakar dan M Jegathesan diiringi polis ke Mahkamah Majistret George Town semalam.
GEORGE TOWN: Pasangan yang disabitkan kesalahan melakukan kelucahan melampau di tanah perkuburan di sini memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi hari ini untuk mencabar sabitan dan hukuman dijatuhkan ke terhadap mereka.

M Jegathesan, 58, dan Halila Abu Bakar, 37, dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret semalam, selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan tidak senonoh di tanah perkuburan Cina minggu lalu.

Rayuan itu difailkan peguam Naran Singh yang berkata, hukuman penjara itu “terlalu berat”, justeru Mahkamah Tinggi diminta menyemak semula hukuman berkenaan serta mempertimbangkan sama ada hukuman terbabit berlebihan.

Semalam, pihak pendakwaan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan sebagai amaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan perbuatan tidak senonoh.

Ketika itu, peguam R Purantharan yang mewakili pasangan terbabit memohon hukuman lebih ringan atas alasan Jegathesan perlu menjaga isterinya yang menghidap strok serta dua anak mereka, manakala Halila pula tidak bekerja dan ditanggung keluarga.

Naran berkata, mahkamah mungkin diminta meneliti sama ada hukuman yang dijatuhkan sejajar fakta kes dan keadaan peribadi tertuduh.

Kes ini mula mendapat perhatian selepas klip video tular di media sosial menunjukkan pasangan itu melakukan hubungan seks di tanah perkuburan Cina di Batu Gantong Ahad lalu. Laporan polis kemudiannya dibuat seorang lelaki 69 tahun.

Video ‘wang perlindungan’: PKR WP mahu 2 ahli MPP lepas jawatan

FMT Reporters

Majlis pimpinan kata langkah itu untuk beri laluan kepada siasatan polis dan dalaman.
MPP minta wang perlindungan
Tangkap layar video memaparkan dua lelaki memperkenalkan diri sebagai ahli MPP ketika meminta wang daripada sebuah pusat urut.
PETALING JAYA: PKR Wangsa Maju diarah memaklumkan kepada dua ahli majlis perwakilan penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan (WP) supaya melepaskan jawatan serta-merta, susulan dakwaan meminta ‘wang perlindungan’ daripada sebuah premis perniagaan.

Majlis pimpinan PKR WP berkata langkah itu untuk memberi laluan kepada proses siasatan polis dan siasatan dalaman tanpa sebarang gangguan.

“Parti tidak akan bertolak ansur dan tidak akan melindungi mana-mana ahli atau wakil yang terlibat dalam amalan pemerasan, wang perlindungan atau salah guna kuasa.

“Keadilan mesti bermula dari dalam parti sendiri,” kata Pengerusi Azman Abidin, susulan mesyuarat biro politik PKR WP.

Azman memaklumkan jawatankuasa disiplin juga diarah menjalankan siasatan menyeluruh, dan melaporkan dapatan kepada biro politik dalam masa terdekat.

Baru-baru ini, tular rakaman kamera litar tertutup memaparkan dua lelaki memperkenalkan diri sebagai ahli MPP ketika meminta wang daripada sebuah pusat urut.

Difahamkan, wang tersebut diminta sebagai balasan untuk mengelakkan tindakan terhadap premis berkenaan susulan aduan penduduk setempat.

Polis memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana pemerasan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Kelantan: Air paip Machang ‘upgrade’ jadi ‘kopi O kaw’

KOSMO!
Tangkap layar video memaparkan air kotor yang mengalir dari paip rumah penduduk di Machang.
PETALING JAYA – Masalah air kotor di Machang, Kelantan sejak puasa lalu dilihat masih berterusan sehingga kini sehingga menjejaskan kegunaan harian penduduk.

Dalam satu video tular dimuat naik pengguna Threads @teohwoei, menunjukkan air yang mengalir dari paip rumah penduduk dikenali sebagai Mek Ya kelihatan gelap, berbeza daripada kebiasaan.

“Raya punya pasal…dah upgrade (naik taraf) dari teh tarik kepada kopi O kaw. Semoga dipermudahkan segala urusan orang Kelantan,” tulisnya.

Menurut Mey Ya, fenomena itu berlaku sejak raya ketiga lalu dan wanita berkenaan sempat berseloroh menjemput sesiapa yang ingin merasai sendiri boleh datang beraya dan menikmati air ‘istimewa’ tersebut di rumahnya.

Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen dan rata-ratanya menuntut tindakan segera piha berwajib terutama  Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

“Hahaha, Kelantan punya air memang unik! Siapa nak cuba kena datang cepat sebelum habis!,” komen faridah_88.

“Macam ni lah baru raya terasa meriah, kopi O kaw paip,” selorh Nazri.

“Aja MB (Menteri Besar) datang beraya rumah, jemput minum air,” kata @c.ulat82.

“Bersabar dan tabah. Bila lah nak elok air kat negeri Kelantan ni,” luah @nescafeoais.

“Harap AKSB cepat bagi penjelasan, takut ada masalah teknikal pula,” kata Azman. – KOSMO! ONLINE

Percubaan seludup keluar 450 liter RON95, 3 warga emas ditahan

Bernama 

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menumpaskan satu sindiket penyelewengan petrol RON95 selepas menahan tiga lelaki tempatan dalam satu operasi di Pengkalan Hulu, dekat Gerik, tengah hari semalam.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata Ops Tiris yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Gerik itu berjaya menahan tiga kenderaan yang disyaki diubah suai pada tangki asal untuk tujuan penyelewengan petrol.

“Siasatan awal mendapati modus operandi sindiket adalah dengan mengisi petrol di beberapa stesen minyak berhampiran secara berulang kali sebelum keluar masuk ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata selain penahanan kesemua lelaki berumur antara 60 hingga 70 tahun itu, pihaknya merampas tiga kenderaan terbabit dan 450 liter petrol RON95 yang disimpan dalam tangki, dengan keseluruhan rampasan dianggar bernilai RM15,741.50.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memiliki atau menyimpan barang kawalan tanpa kebenaran bertulis daripada pengawal bekalan KPDN.

“KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan dan akan mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah.

“KPDN akan mempergiat penguatkuasaan melalui inisiatif KITA GEMPUR sebagai langkah strategik bagi membanteras penyelewengan barang kawalan serta pelbagai bentuk manipulasi perniagaan,” katanya.

- Bernama

Tiga doktor ortopedik ditahan tunggang motosikal sambil minum arak

Agensi
Rakaman video memaparkan tiga doktor ortopedik menunggang motorsikal secara berbahaya sambil minum alkohol di jalan raya di Bengaluru, India. - FOTO Agensi
Rakaman video memaparkan tiga doktor ortopedik menunggang motorsikal secara berbahaya sambil minum alkohol di jalan raya di Bengaluru, India. - FOTO Agensi
Tamil Nadu: Tiga doktor ditahan di Bengaluru pada Isnin selepas satu video menunjukkan mereka menunggang motosikal sambil meminum alkohol di jalan raya tular di media sosial.

Portal NDTV melaporkan video terbabit merakam tiga lelaki menunggang motosikal dalam keadaan trafik sesak dengan penunggang didakwa bergerak secara zig-zag di atas jalan.

Penumpang belakang pula dilihat memegang botol minuman keras dan meminumnya secara terbuka di khalayak ramai.

Susulan penularan video itu, polis membuka kertas siasatan dan mengenal pasti individu terbabit sebagai Dhanush S, Apoorva dan Avinash yang kesemuanya doktor ortopedik.

Menurut polis, Dhanush yang menunggang motosikal mempunyai kaitan dengan Sapthagiri Medical College di Chikkabanavara.

Sementara itu, Apoorva bertugas di Vydehi Hospital, manakala Avinash berkhidmat di Chamundeshwari Medical College di daerah Ramanagara, Karnataka.

Ketiga-tiga mereka dibawa ke Balai Polis Mico Layout pada Isnin untuk ditahan dan kemudian dibebaskan dengan jaminan.

Mereka berdepan beberapa pertuduhan termasuk menunggang tiga orang serentak, menunggang secara cuai, tidak memakai topi keledar serta meminum alkohol di tempat awam.

Seorang pegawai polis berkata, undang-undang negeri Karnataka tidak membenarkan pengambilan alkohol di tempat awam dan tindakan turut diambil di bawah peruntukan kesalahan trafik berkaitan.

Pihak berkuasa menyatakan perbuatan itu bukan sahaja melanggar undang-undang jalan raya, malah membahayakan keselamatan awam kerana cara tunggangan berbahaya di kawasan trafik aliran tinggi.
-Hmetro 

4 warga Israel ditahan, dihantar balik ke negara asal

Harapandaily

Empat warga Israel, termasuk dua wanita, telah ditahan di Malaysia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara itu, ketika dalam penerbangan transit ke Filipina.

Warga Israel tersebut ditahan kerana kewarganegaraan mereka. Mereka akhirnya memilih untuk kembali ke Thailand, dari mana mereka datang.

Dalam satu lagi kes, dua lelaki Israel telah ditahan di Malaysia ketika dalam perjalanan dari Kemboja ke Filipina. Mereka ditahan selama dua hari dan akhirnya dihantar pulang ke Kemboja.

Sementara itu, ramai rakyat Israel dilaporkan pergi ke Thailand sebagai pelancong ekoran perang yang dibuat Israel dan Amerika terhadap Iran.

Dengan menggunakan visa pelancong, mereka menginap di kawasan pelancongan khasnya Bangkok dan juga Phuket.

‘Ulat gambar’ bergaduh depan KLCC, 18 ditahan

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

KUALA LUMPUR: Berang ditegur dipercayai punca kumpulan ‘ulat gambar’ mengamuk dan membelasah dua individu di hadapan KLCC, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner, Sazalee Adam berkata kejadian berlaku kira-kira 9 malam sebelum 18 individu termasuk seorang remaja 17 tahun diberkas di perkarangan KLCC tidak lama kemudian.

“Mangsa melihat seorang pelancong lelaki India sedang dipukul oleh sekumpulan lelaki yang mengambil gambar pelancong yang berada di hadapan KLCC.

“Selepas itu, mangsa menghampiri mereka dan menegur supaya tidak memukul pelancong berkenaan. Kumpulan suspek memberi amaran supaya tidak masuk campur.

“Tiba-tiba, mangsa diserang di kepala oleh seseorang di bahagian belakang disyaki menggunakan pisau kerambit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa mendakwa dipukul oleh kumpulan ulat gambar terbabit sehingga suasana menjadi tegang dan dianggarkan 30 rakan suspek datang menyerang mangsa.

Katanya, hasil soal siasat kesemua suspek berusia lingkungan 17 ke 45 tahun mengaku berada di lokasi ketika kejadian dan melakukan aktiviti ulat gambar.

Sazalee berkata, kedua-dua mangsa turut mengenal pasti dua suspek yang memukul mereka selepas menjalankan kawad cam.

“Semakan mendapati dua suspek memiliki rekod jenayah lampau manakala selebihnya tiada rekod.

“Sepuluh individu beralamat di Sabah, Selangor (2 ora), Kuala Lumpur (3 orang), dan Johor (2 orang). Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Rais Yatim: Bersatu sudah pecah tetapi saya tak kembali kepada Umno

Elill Easwaran

Bekas yang dipertua Dewan Negara itu berkata Umno telah hilang seri dan daya tarikan untuk Melayu yang berfikir.

Veteran politik Rais Yatim berkata beliau tiada rancangan untuk kembali kepada Umno yang lancarkan inisiatif ‘Rumah Bangsa’ untuk tarik bekas ahlinya kembali.
PETALING JAYA: Veteran politik Rais Yatim menolak kemungkinan untuk beliau kembali ke pangkuan Umno walaupun parti Bersatu, kini berdepan dengan konflik kepimpinan.

Bekas yang dipertua Dewan Negara itu berkata Umno, yang pernah disertainya selama beberapa dekad sehingga dipecat pada 2018, telah hilang seri dan daya tarikan.

“Umno telah hilang serinya bagi orang Melayu yang berfikir. Saya tidak berhasrat untuk kembali sebagai ahli,” katanya kepada FMT, menolak inisiatif ‘Rumah Bangsa’ parti itu untuk bekas ahlinya kembali.

Rais turut mendakwa pemecatannya dari Umno sebelum ini sebagai tidak sah kerana ia dilakukan oleh setiausaha agung ketika itu, Tengku Adnan Tengku Mansor, bukannya lembaga disiplin parti.

“Ia hanya kerana saya berpendapat Low Taek Jho perlu ditangkap dan dibawa pulang untuk dibicarakan pada April 2018,” katanya.

Bagaimanapun, Rais juga tidak menyembunyikan rasa kecewanya terhadap Bersatu, dengan menyatakan parti itu tidak lagi wajar dipanggil ‘Bersatu’ kerana tidak mencerminkan realiti sebenar.

“Segala-galanya dalam Bersatu sudah berpecah, kecuali namanya,” katanya yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan.

Bekas Ahli Parlimen Jelebu selama enam penggal itu, pernah memegang pelbagai portfolio menteri di peringkat persekutuan dan dilihat sebagai sekutu rapat bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Beliau dipecat daripada Umno bersama veteran lain seperti Rafidah Aziz dan Daim Zainuddin pada Mei 2018 selepas mengkritik parti itu dan menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan semasa kempen PRU14.

Rais kemudian menyertai Bersatu tidak lama selepas itu dan pernah berkhidmat sebagai ketua bahagian parti di Negeri Sembilan.

Beliau meletak semua jawatan dalam parti bulan lalu susulan pemecatan 17 pemimpin parti, termasuk timbalan presiden, Hamzah Zainudin, ketika kemuncak krisis kepimpinan antara Hamzah dan presiden parti, Muhyiddin Yassin.

Rais kekal sebagai ahli Bersatu namun lantang mengkritik Muhyiddin, termasuk menegur bekas perdana menteri itu awal bulan ini berhubung ‘tarik tali’ dengan pengerusi Perikatan Nasional, Ahmad Samsuri Mokhtar.

Kedah: Polis tahan lelaki seleweng 2,250 liter diesel subsidi

Bernama

JITRA: Polis menahan seorang lelaki dan merampas 2,250 liter minyak diesel bersubsidi yang dipercayai cuba diseleweng menerusi Ops Tiris di sebuah stesen minyak di Bukit Kayu Hitam, Rabu lepas.

Ketua Polis Kubang Pasu Mohd Radzi Abdul Rahim berkata operasi yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis IPD Kubang Pasu pada 10 pagi itu telah menahan lelaki berumur 32 tahun bersama sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu telah menjumpai beberapa barang yang dipercayai berkaitan aktiviti penyelewengan minyak diesel termasuk beberapa kad subsidi milik syarikat lain yang digunakan, turut ditemukan sebuah tangki tambahan yang diubah suai mengandungi 250 liter minyak.

“Siasatan lanjut membawa kepada penemuan stor di sebuah rumah yang disewa suspek di Kampung Padang Satu. Polis telah menjumpai sejumlah minyak diesel yang disimpan di dalam tong dan tangki dengan anggaran melebihi 2,000 liter,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata permintaan minyak yang sedang meningkat termasuk di negara jiran akibat krisis di Asia Barat kini telah menyebabkan sindiket mengubah modus operandi mereka untuk melakukan aktiviti penyeludupan minyak bersubsidi.

“Suspek telah menutup tangki tambahan di atas lori dengan kayu palet bagi mengaburi mata penguat kuasa. Suspek kemudiannya akan ke satu stesen minyak dan mengisi minyak sebanyak 250 liter dahulu sebelum pergi ke stesen minyak yang lain untuk memenuhkan tangki berkenaan.

“Suspek seterusnya memindahkan minyak ke dalam tong dan tangki di dalam sebuah van usang yang terletak di laman rumah sebelum pembeli tempatan atau dari negara jiran datang membuat pembelian daripadanya. Hasil jualan itu, suspek berjaya mengaut keuntungan lebih tinggi,” katanya.

Radzi berkata suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu ditahan reman selama empat hari hingga Ahad depan, telah diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Pihak polis menegaskan bahawa kegiatan penyeludupan diesel menggunakan kad subsidi milik syarikat lain untuk tujuan penjualan di tempat tertentu adalah salah di sini undang-undang, dan siasatan masih berjalan bagi mengesan pemilik-pemilik kad berkenaan.

“Pemilik stesen minyak dan penduduk setempat diharap dapat menyalurkan maklumat berhubung aktiviti penyeludupan ini, mustahil pemilik stesen minyak tidak tahu mengenai perkara ini. Jika disyaki bersubahat, mereka juga boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Rogol wanita OKU, 'pak Guard’ dijel 10 tahun, 5 sebatan

Bernama

R Sivanesan dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah merogol mangsa di Skudai pada 30 Jan lepas.
R Sivanesan
Mahkamah Sesyen Johor Bahru menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan terhadap R Sivanesan kerana merogol seorang wanita OKU pada 30 Jan lalu. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU: Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah merogol seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU).

Hakim Madihah Zainol menjatuhkan hukuman itu terhadap R Sivanesan, 39, dan memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan selain berada di bawah pengawasan polis selepas selesai menjalani hukuman.

Lelaki itu didakwa merogol seorang wanita berusia 29 tahun yang diketahuinya mempunyai kecacatan fizikal melibatkan pendengaran, pertuturan serta lembam pembelajaran di Skudai pada 11.50 malam, 30 Jan lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(K) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Fadilah Johanuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal atas alasan tertuduh telah mengambil kesempatan terhadap mangsa OKU.

“Selain itu, pihak pembelaan memaklumkan tertuduh menghidap HIV. Perbuatan itu menyebabkan mangsa berisiko dijangkiti penyakit kelamin,” katanya.

Peguam Omar Kutty Abdul Aziz yang mewakili Sivanesan merayu hukuman ringan kerana anak guamnya menghidap HIV dan leukemia yang memerlukan rawatan berterusan, selain ini merupakan kesalahan pertamanya.

Rafizi kaitkan Mr R dengan bekas pegawai Anwar

Malaysiakini 

Rafizi Ramli semalam "mendedahkan" identiti Mr R dan didakwa menjadi perantara dalam kegiatan melibatkan "mafia korporat" dan dikatakan memberi laporan kepada bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Memetik butiran yang didedahkan oleh ahli perniagaan, Victor Chin, Rafizi mendakwa Mr R itu juga ada kaitan dengan dua syarikat yang saling bersaing, iaitu NexG Bhd (NexG) dan dan HeiTech Padu Bhd (HeiTech Padu).

NexG ialah sebuah syarikat yang memegang kontrak kerajaan bernilai RM2.4 bilion bagi membekalkan kad pengenalan dan pasport negara, manakala HeiTech Padu menjalankan kerja-kerja serupa, namun turut melibatkan pembangunan dan penggunaan Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISe).

Dalam komunikasi dengan Chin, kata Rafizi, Mr R sering merujuk kepada seseorang yang dianggap sebagai bossnya.

“Gambarannya jelas bahawa Mr R ialah operator kepada seorang yang lebih berkuasa,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menjelaskan persoalan yang lebih besar menjadi tanda tanya ialah, berdasarkan komunikasi du antara Chin dan Mr R, bos individu terbabit – yang didakwa pernah menjadi pembantu Anwar – mempunyai pengaruh untuk mengarahkan pihak berkuasa memberi tekanan kepada pemilik saham NexG.

Komunikasi yang didedahkan Chin juga, kata Rafizi, menunjukkan individu berkenaan boleh meyakinkan perdana menteri untuk menganugerahkan kontrak berbilion ringgit kepada NexG.

“Yang ini, sebaiknya perdana menteri bagi respon,” katanya.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan dakwaan tersebut secara bebas.

Walaupun Rafizi menamakan secara terbuka individu yang dirujuk dalam hantaran tersebut, Malaysiakini tidak dapat mendedahkan identiti mereka sementara menunggu respons daripada pihak yang berkaitan.

Rafizi juga menegaskan, dalam isu mafia korporat yang diperkatakan itu, Mr R dan ahli parlimen PKR yang didakwa meminta wang RM10 juta daripada Chin adalah dua individu yang berbeza.

Dalam dokumen setebal 40 halaman yang dikeluarkan pada Selasa lalu, Chin memperincikan kronologi peristiwa yang menggambarkan dia dan rakan niaganya dalam NexG menghadapi ancaman serta intimidasi dalam usaha untuk pihak tertentu “merampas” pegangan saham syarikat penyedia penyelesaian IT berkenaan.

Chin mendakwa dia kerap berhubung dengan Mr R bagi menyelesaikan isu tekanan yang dihadapi syarikat tersebut.

Bagi wang bernilai RM9.5 juta – daripada RM10 juta yang diminta – itu pula, Chin menjelaskan ia adalah “yuran perkhidmatan” dan bukannya bertujuan untuk menyelesaikan kemelut yang dialami NexG dengan agensi penguat kuasa negara.

Chin juga mendakwa kumpulan itu menyasarkan ahli keluarga, rakan perniagaan, syarikat, rakan, dan sesiapa sahaja yang dianggap berkaitan dengannya.

Ahli perniagaan itu sebelum ini memberikan tempoh sehingga akhir Mac ini untuk wang berkenaan dikembalikan atau dia akan mendedahkan identiti ahli politik tersebut.

Polis cari waris lelaki maut dipercayai dilanggar kereta api Disember lalu

KOSMO!
Waris warga asing yang ditemui meninggal dunia tahun lalu dicari polis
SUNGAI BULOH – Polis meminta kerjasama orang ramai mengesan waris seorang lelaki warga asing yang ditemui maut berhampiran landasan kereta api di Kilometer 365.75 laluan Sungai Buloh menghala ke Kuang, 19 Disember tahun lalu.

Ketua Polis Balai Kuang, Sarjan Merjar Rosli Mohd. Nor berkata, pihaknya menerima panggilan daripada MERS 999 berhubung penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kecederaan parah.

“Lelaki lingkungan usia 30-an itu dipercayai dilanggar kereta api kira-kira dua meter dari landasan naik Keretapi Tanah Melayu laluan Sungai Buloh ke Kuang,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan identitinya masih belum dapat dikenal pasti.

“Hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli  keluarga boleh hubungi di talian 017-6535782 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Pembaziran dan budaya berlebih-lebihan sepanjang Syawal ketara ketika sambut hari raya

Tabzir, israf sepanjang Syawal ketara ketika sambut hari raya

Yusmizal Dolah Aling, Muhammad Saufi Hassan dan Mahaizura Abd Malik
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sedar tidak sedar, sudah seminggu kita menyambut Aidilfitri, namun dalam keseronokan kita meraikan lebaran, terdapat beberapa tingkah laku segelintir masyarakat Islam yang tidak selari dengan nilai syariah tanpa disedari.

Pembaziran dan budaya berlebih-lebihan, lalai dengan gajet dan hiburan, meremehkan silaturahim dan melalaikan ibadah selepas berakhirnya Ramadan antara sikap yang tidak sepatutnya diamalkan terutama ketika menyambut hari raya sepanjang syawal.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Prof Madya Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin berkata, fenomena pembaziran (tabzir) dan pemborosan (israf) sepanjang Syawal antara perkara yang ketara membelenggu umat Islam ketika hari raya.

Katanya, tabzir merujuk kepada penggunaan harta pada perkara yang tidak memberi manfaat atau sia-sia, manakala israf pula ialah berlebih-lebihan walaupun pada perkara yang harus.

"Dalam konteks rumah terbuka dan sambutan Aidilfitri, makanan disediakan melebihi keperluan sehingga dibuang, pakaian dan perhiasan dibeli bukan kerana keperluan tetapi untuk memenuhi tuntutan gaya hidup dan persepsi sosial.

"Keadaan ini menunjukkan berlakunya peralihan daripada budaya syukur kepada budaya konsumtif. Sedangkan dalam kerangka Maqasid Syariah, harta adalah amanah yang perlu diurus secara seimbang, bukan dibelanjakan tanpa kawalan emosi dan nafsu.

Lebih halus daripada itu ialah unsur riak dan takalluf (memberat-beratkan diri) yang menyelinap dalam budaya perayaan. Keinginan untuk dilihat meriah, mewah atau setanding dengan orang lain mendorong sebahagian masyarakat berbelanja di luar kemampuan.

Katanya, ia bukan saja menjejaskan kestabilan kewangan individu, bahkan mencemarkan nilai keikhlasan dalam beramal.

Pada masa sama, lebihan makanan yang dibuang menggambarkan hilangnya sensitiviti terhadap nikmat Allah dan realiti masyarakat yang masih memerlukan.

Beliau yang juga Prof Madya Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA berkata, satu lagi 'penyakit' masa kini ialah penggunaan gajet berlebihan sepanjang Syawal yang bukan sekadar isu sosial, tetapi berkait dengan nilai dan keutamaan dalam Islam.

"Syawal sepatutnya menjadi ruang mengukuhkan silaturahim melalui interaksi bersemuka yang penuh adab, namun apabila perhatian lebih tertumpu kepada skrin, berlaku keadaan "hadir tanpa jiwa".

"Dalam Islam, hubungan bukan sekadar kehadiran fizikal, tetapi membabitkan ihsan seperti mendengar, berempati dan berkomunikasi dengan penuh perhatian.

"Lebih membimbangkan, penggunaan gajet ketika ziarah menghakis makna silaturahim itu sendiri, menjadikan hubungan hambar dan dangkal. Ia juga menjejaskan aspek penting dalam Maqasid Syariah seperti pemeliharaan akal dan hubungan sosial. Ketagihan digital boleh melemahkan fokus, mengurangkan empati dan merosakkan adab terhadap tuan rumah atau tetamu," katanya.

Selain itu katanya, pergaulan bebas tanpa kawalan, pengabaian aurat, serta hiburan yang melampaui had bukan sekadar isu kecil, tetapi mencerminkan kefahaman yang tidak tepat terhadap konsep kebebasan dalam Islam.

"Syariah datang untuk membimbing manusia agar setiap aspek kehidupan, termasuk kegembiraan, berada dalam kerangka yang seimbang dan bermaruah.

"Sebagai nasihat, Syawal seharusnya dijadikan medan untuk melatih qana'ah dan kesederhanaan, bukan perlumbaan kemewahan. Penyediaan makanan hendaklah berpada dengan jumlah tetamu dan lebihan wajar diagihkan atau disimpan dengan baik. Perbelanjaan pula perlu dirancang berdasarkan kemampuan, bukan tekanan sosial," katanya.

Lelaki bersenjata parang cuba curi kabel ditahan

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Polis bantuan KTMB menahan lelaki bersenjatakan parang dipercayai cuba mencuri kabel di KM39.51 dekat Kampung Raja Uda, Klang. Foto ihsan KTMB
KUALA LUMPUR: Tindakan pantas anggota Polis Bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berjaya menahan seorang lelaki bersenjata parang yang disyaki cuba mencuri kabel di kawasan landasan di Kilometer 39.51 dekat Kampung Raja Uda di Klang, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 6.10 petang itu, suspek yang berkelakuan mencurigakan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota polis bantuan yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah, namun berjaya ditahan.

KTMB dalam kenyataan memaklumkan, pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Anggota bertugas telah merampas sebilah parang, satu guni dan satu gulung kabel bersaiz 2.5 milimeter (mm).

“Suspek bersama semua barang rampasan kemudiannya telah diserahkan kepada anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, KTMB turut memberi amaran keras bahawa perbuatan menceroboh kawasan landasan dan merosakkan harta benda kereta api adalah satu kesalahan jenayah yang amat serius.

Tindakan undang-undang yang tegas boleh dikenakan terhadap mana-mana individu di bawah Akta Keretapi 1991 (Akta 463) serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

18 maut bas terjunam ke dalam sungai di Bangladesh

Astro AWANI
Kejadian berlaku kira‑kira jam 5.15 petang waktu tempatan di terminal feri Daulatdia, bandar Goalanda, apabila bas menuju Dhaka itu hilang kawalan ketika sedang menaiki ponton untuk memasuki feri.
DHAKA: Sekurang-kurangnya 18 orang maut apabila sebuah bas yang membawa kira‑kira 50 penumpang terjunam ke dalam Sungai Padma di daerah Rajbari, Bangladesh, petang semalam.

Kejadian berlaku kira‑kira jam 5.15 petang waktu tempatan di terminal feri Daulatdia, bandar Goalanda, apabila bas menuju Dhaka itu hilang kawalan ketika sedang menaiki ponton untuk memasuki feri.

Pegawai Jabatan Bomba dan Pertahanan Awam, Dewan Sohel Rana berkata bas tersebut terjatuh dari ponton sebelum tenggelam ke dasar sungai sedalam kira‑kira 24 meter.

Majoriti mangsa yang maut merupakan penumpang yang terperangkap di dalam bas, termasuk wanita dan dua kanak‑kanak, manakala 10 hingga 11 penumpang berjaya berenang ke tebing sungai.

Kapal penyelamat Hamza berjaya menaikkan bangkai bas pada jam 11.50 malam tadi, dengan 16 lagi mayat ditemukan di dalamnya selepas dua mayat awal ditemui penduduk tempatan.

Operasi mencari dan menyelamat diteruskan bagi mengesan kemungkinan mangsa lain yang masih hilang.

Insiden berlaku ketika orang ramai pulang ke Dhaka selepas cuti perayaan Aidilfitri selama seminggu, menyebabkan jumlah penumpang di laluan tersebut meningkat.

Penduduk terkejut tengok kereta beratur, sawah padi pun sesak

KOSMO
Laluan sempit di kampung dipenuhi kenderaan. - Reportasentt
JAKARTA – Penduduk sebuah kampung di Sleman, Jogjakarta terkejut apabila melihat laluan sempit dan sawah padi di kampung mereka mengalami kesesakan lalu lintas ketika orang ramai mula kembali ke rumah masing-masing selepas cuti raya, lapor laman berita Lambe Turah semalam.

Kejadian itu dilaporkan berlaku apabila pemandu diarahkan menggunakan ‘jalan tikus’ tersebut oleh aplikasi pemetaan Google Maps sebagai jalan alternatif ke Plaza Tol Purwomartani.

Kesesakan luar biasa berlaku di Kampung  Karangkalasan, apabila deretan kenderaan bernombor pendaftaran luar memenuhi jalan sempit.

Menurut penduduk tempatan, kenderaan mula membanjiri jalan itu pada pukul 1.30 tengah hari (waktu tempatan). 

Penduduk melahirkan rasa terkejut kerana ia merupakan kali pertama kawasan mereka dipenuhi sejumlah besar kenderaan sehingga menyebabkan kesesakan di ‘jalan tikus’.

Melihatkan kekeliruan pemandu, sebilangan penduduk membantu mereka menjaga lalu lintas dan memberitahu jalan yang sepatutnya dituju.

Selepas beberapa jam, kesesakan itu dapat dipulihkan, manakala pemandu mengelak daripada menggunakan jalan tersebut. – AGENSI

Dua lelaki disyaki curi kereta Proton Wira diburu

Buletin TV3 

SHAH ALAM: Polis memburu dua lelaki dipercayai mencuri kereta Proton Wira milik seorang lelaki di sebuah premis di Jalan Salung 33/26, Seksyen 33 di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan kenderaan itu yang diletakkan di kawasan tempat letak kenderaan staf di premis terbabit.

Katanya, laporan diterima pada jam 3.12 pagi Selasa lalu daripada lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an.

“Siasatan mendapati, kenderaan diletakkan pengadu pada Sabtu, (21 Mac) sebelum mangsa pulang ke kampung halaman di Tumpat, Kelantan.

“Pada 1.14 pagi Selasa, apabila tiba dari kampung, pengadu hendak mengambil semula keretanya namun mendapati ia sudah hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramsay berkata, premis itu tidak mempunyai pengawal keselamatan dan pengadu adalah salah seorang pekerja di situ.

“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua suspek lelaki dipercayai menggunakan sebuah kenderaan lain berada di lokasi untuk mencuri kenderaan pengadu.

“Usaha mengesan dan menangkap suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya melaporkannya kepada Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Rafiah Isa di talian 012-3770327 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di talian 03-55202222.

PATI Ditahan kurang 24 jam selepas polis terima aduan kes rogol

Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my
PENDATANG ditahan disyaki merogol remaja perempuan berusia 15 tahun. FOTO Ihsan Polis.
PENDATANG ditahan disyaki merogol remaja perempuan berusia 15 tahun. FOTO Ihsan Polis.
Tawau: Polis menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) kurang 24 jam selepas menerima laporan berhubung kes rogol membabitkan remaja perempuan di Kampung Simpang Tiga, Merotai Besar, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 20 tahun itu ditahan pada 12.54 tengah malam oleh sepasukan anggota Balai Polis Bombalai di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di kampung terbabit.

Sebelum itu katanya, pihaknya menerima laporan kejadian pada 12.08 tengah malam hari sama.

"Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira 2 pagi, 11 Februari lalu di sebuah rumah, dengan mangsa berusia 15 tahun mendakwa suspek, yang juga teman lelaki kepada sepupunya, telah masuk ke dalam bilik tanpa disedari.

"Suspek didakwa mencabul dan memaksanya melakukan hubungan selain turut mengugut untuk mengancam ahli keluarga mangsa hingga remaja itu ketakutan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jasmin berkata, suspek disyaki PATI warga Filipina yang tidak mempunyai dokumen perjalanan atau pengenalan diri sah ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

10 jam beratur isi minyak, pemandu lori ditemui maut

KOSMO
Lori milik mangsa berada di stesen minyak PTT selama 10 jam. - Facebook
BANGKOK – Seorang pemandu lori ditemukan mati di dalam kenderaannya di sebuah stesen minyak di Prachuap Khiri Khan semalam, selepas dia dipercayai menunggu dalam barisan untuk mengisi minyak selama lebih 10 jam, lapor laman berita Thaiger.

Phut Nutchabut, 51, dilaporkan hilang selepas pemilik syarikat lori tersebut gagal menghubunginya melalui telefon. 

Apabila panggilan tidak dijawab, pemiliknya mengesan lokasi parkir terakhir lori tersebut dan mendapati ia masih diletakkan di stesen minyak PTT di daerah Kui Buri.

Lelaki itu kemudian menghubungi stesen minyak berkenaan dan meminta seorang petugas untuk memeriksa lori tersebut. 

Mangsa kemudian ditemukan terbaring mati di tempat duduk belakang dengan enjin masih hidup. 

Polis berkata, siasatan awal menunjukkan mangsa memandu masuk ke stesen minyak itu pada pukul 10.53 malam (waktu tempatan), kelmarin dan meletakkan  kenderaan dengan enjin dibiarkan hidup.

Dia  kekal berada di sana selama lebih 10 jam sebelum ditemui.

Penyiasat percaya bahawa mangsa memasuki stesen minyak untuk mendapatkan tempat berhampiran barisan hadapan bagi mengisi bahan api itu dan tertidur semasa menunggu di dalam lori.

Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu mendapati terdapat celahan kecil di salah satu tingkap, yang dipercayai menyebabkan gas karbon monoksida masuk ke dalam lori. 

Pendedahan berlebihan kepada gas itu dianggap sebagai punca kematian.

Siasatan masih diteruskan, manakala mayat mangsa dibawa untuk bedah siasat. – AGENSI

Kedah: Mayat suami isteri ditemui dalam rumah, kepala terpisah dari badan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pasangan suami isteri ditemui mati dalam keadaan tragis dengan beberapa anggota badan termasuk kepala dipotong manakala anak lelaki mereka juga ditemui maut di sebuah rumah di Sungai Petani, malam tadi.

Ketua Polis Kuala Muda, Hanyan Ramlan berkata, mayat pasangan berusia 65 tahun dan 53 tahun itu ditemui dibungkus di dalam permaidani dan kain di dapur rumah di Kampung Belau di Merbok, lapor Harian Metro.

Katanya, mayat anak lelaki pasangan itu yang berusia 29 tahun ditemukan di dalam bilik tingkat atas rumah dua tingkat itu dengan kesan kelar di leher.

“Polis menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 12.30 malam tadi yang memaklumkan bahawa pasangan suami isteri yang menghuni rumah terbabit sudah tiga hari tidak kelihatan selain terhidu bau busuk sekitar kawasan rumah.

“Kita terpaksa pecah masuk dan menemui dua mayat, pasangan suami isteri, yang berbungkus dan ditutupi dengan permaidani serta pakaian, di kawasan dapur rumah itu,” katanya.

Menurutnya, pasangan itu dipercayai sudah meninggal dunia lebih 48 jam berdasarkan keadaan mayat yang bengkak dan berbau manakala mayat ketiga dipercayai suspek kes itu pula dalam keadaan masih baru.

Hanyan berkata mayat pasangan ditemui dalam keadaan kepala terputus dan anggota badan yang dipotong dipercayai mahu dilupuskan suspek.

“Selain itu polis turut menemui beberapa senjata tajam dikumpulkan dalam bekas yang dikumpulkan berdekatan mayat ketiga,” katanya.

Tambahnya, siasatan awal mendapati kes menjurus kepada perbuatan bunuh dan suspek juga dilaporkan pernah mengalami gangguan mental.

“Semua mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Lapan lelaki disyaki serang polis ditahan, direman 3 hari

Bernama

Polis menahan lapan lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian sekumpulan suspek dipercayai menyerang pihak polis akibat salah faham dalam insiden di kawasan pangsapuri di Jalan Sungai, di George Town, malam tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata kesemua lelaki berusia 28 hingga 39 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar daerah Timur Laut, di George Town susulan kejadian tersebut.

"Siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar insiden tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad dalam satu kenyataan berkata pusat kawalan daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menerima permintaan bantuan daripada anggota polis yang bertugas di lapangan pada 9.50 malam tadi selepas menghadapi masalah sebelum kejadian tersebut.

Beliau berkata anggota polis itu sedang menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang di pangsapuri tersebut dan apabila pasukan bantuan tiba mendapati empat anggota yang bertugas sedang mengejar seorang individu mencurigakan yang melarikan diri ke arah perumahan itu sebelum berlaku perselisihan faham dengan beberapa orang awam di situ.

Abdul Rozak berkata akibat kejadian tersebut, tiga daripada empat orang anggota polis yang bertugas itu mengalami kecederaan ringan semasa pergelutan dengan orang awam di situ.

"Polis menahan lapan lelaki tempatan bagi membantu siasatan dan Mahkamah Majistret George Town di sini membenarkan kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga 28 Mac.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 147 dan 353 Kanun Keseksaan iaitu merusuh serta menggunakan kekerasan jenayah atau ugutan bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas," katanya.

Beliau juga meminta orang ramai agar tidak menular video kejadian itu dan membuat sebarang spekulasi di media sosial sehingga boleh mendatangkan kegusaran masyarakat serta menjejaskan siasatan polis.

Terdahulu, tular beberapa video di media sosial memaparkan kejadian pergaduhan membabitkan sekumpulan individu dengan pihak polis di percayai berkaitan salah faham sehingga menimbulkan ketegangan.

- Bernama

Iraq ‘sertai’ perang Asia Barat

KOSMO!
GAMBAR fail menunjukkan kenderaan dan pejuang PMF di Iraq. - AFPVehicles
BAGHDAD – Majlis Menteri bagi Keselamatan Negara memberi kuasa kepada militia Iraq dikenali sebagai Pasukan Mobilisasi Popular (PMF) dan agensi keselamatan lain untuk mempertahankan diri serta membalas sebarang serangan menyasarkan anggota atau kemudahan mereka, lapor laman berita Eurasia Review hari ini.

Dalam mesyuarat tergempar dipengerusikan Perdana Menteri Mohammed Shia al-Sudani, majlis tersebut turut mengarahkan penguatkuasaan waran tangkap terhadap individu dan kumpulan yang terlibat dalam serangan ke atas institusi keselamatan, kemudahan awam dan misi diplomatik, dengan arahan untuk mendedahkan identiti mereka yang bertanggungjawab kepada umum.

Kerajaan Iraq juga akan memanggil utusan Amerika Syarikat (AS) dan Iran di Baghdad untuk menyerahkan bantahan rasmi berhubung serangan menyasarkan militia Kurdis, Peshmerga dan PMF.

Keputusan itu diambil ketika serangan Amerika Syarikat-Israel semakin sengit di seluruh Iraq, menyasarkan kedudukan PMF.

Semalam, serangan udara membedil markas PMF di wilayah Anbar, mengorbankan sekurang-kurangnya 15 askarnya, termasuk seorang komander kanan, demikian menurut pegawai Iraq yang menyifatkan operasi itu sebagai serangan bersama ‘AS-Israel’.

Sejak perang terhadap Iran bermula pada 28 Februari lalu, tapak PMF dilaporkan telah diserang di pelbagai wilayah, termasuk Baghdad dan Babylon, yang terus mengheret Iraq ke dalam konflik serantau yang semakin meluas.

Dalam perkembangan berkaitan, Kataib Hezbollah yang merupakan kumpulan utama dalam PMF, mengumumkan penggantungan serangan selama lima hari ke atas Kedutaan AS di Baghdad.

Kumpulan tersebut berkata, penangguhan yang kini dilanjutkan itu dengan syarat Israel menghentikan serangan ke atas kawasan perumahan dan operasi ketenteraan di Lubnan. – AGENSI

Liverpool: Kemana Mohamed Salah selepas ini

Tujuh kelab berpotensi sambar Salah

Agensi
SALAH akan meninggalkan Liverpool. FOTO REUTERS
SALAH akan meninggalkan Liverpool. FOTO REUTERS
London: Mohamed Salah menggemparkan dunia bola sepak apabila mengumumkan akan meninggalkan Liverpool pada penghujung musim ini.

Selepas hampir sedekad berbakti, penyerang berusia 33 tahun itu bakal mengakhiri era gemilang bersama kelab berkenaan dengan koleksi trofi termasuk dua gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan satu Liga Juara-Juara.

Dalam satu video emosional di Instagram, Salah mengesahkan keputusan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong di Anfield walaupun masih berbaki setahun dalam kontraknya bernilai 400,000 pound (RM2.12 juta) seminggu.

Keputusan itu sekali gus menamatkan spekulasi berpanjangan mengenai masa depannya, dengan beberapa destinasi berpotensi kini menjadi perhatian.

Liga Pro Saudi dilihat antara pilihan utama selepas sebelum ini kelab seperti Al-Ittihad pernah mengemukakan tawaran lumayan, selain kemungkinan bergandingan dengan Cristiano Ronaldo di Al-Nassr.

Selain itu, Liga Bolasepak Amerika Syarikat (MLS) juga berpotensi menjadi destinasi, termasuk peluang bergandingan dengan Lionel Messi di Inter Miami CF.

Salah turut dikaitkan dengan kepulangan ke AS Roma, kelab yang membantu melonjakkan namanya di Eropah sebelum menyertai Liverpool.

Gergasi Eropah lain seperti Paris Saint-Germain (EPL), Real Madrid dan FC Barcelona juga dilihat berpotensi mendapatkan khidmatnya, selain AC Milan yang terkenal sebagai destinasi pemain berprofil tinggi di penghujung karier.

Pemergian Salah dijangka menutup satu era paling gemilang dalam sejarah moden Liverpool, selepas muncul antara pemain paling berpengaruh kelab itu sepanjang tempohnya di Anfield.
-Hmetro 

Wanita melintas jalan sambil guna telefon bimbit menyebabkan kemalangan tiga kenderaan

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my
TANGKAP layar video papan pemuka tular menunjukkan pejalan kaki wanita melintas jalan sambil menggunakan telefon bimbit dan dirempuh penunggang motosikal.
TANGKAP layar video papan pemuka tular menunjukkan pejalan kaki wanita melintas jalan sambil menggunakan telefon bimbit dan dirempuh penunggang motosikal.
Kuala Lumpur: Pejalan kaki dan penunggang motosikal cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Bangsar di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian pada 2.45 petang itu berlaku ketika wanita berusia 20 tahun sedang melintas jalan.

Katanya, siasatan awal mendapati wanita itu melintas dari bahu kiri ke kanan jalan sambil menggunakan telefon pintar di kawasan yang bukan dikhususkan untuk lintasan pejalan kaki.

"Ia menyebabkan sebuah motosikal ditunggang lelaki tempatan berusia 31 tahun gagal mengelak, lalu melanggar mangsa, sebelum merempuh Toyota Vellfire dan lori yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zamzuri berkata, penunggang motosikal dan pejalan kaki terbabit cedera ringan, dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.

"Manakala pemandu MPV berusia 45 tahun dan pemandu lori berusia 46 tahun dilapor tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Polis turut mengambil maklum mengenai satu rakaman video kejadian itu yang tular di Facebook dan sedang giat mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Kaedah 45 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan.

"Orang awam atau saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Rangka bayi ditemui tertanam di laman rumah

Farhana Yaacob
am@hmetro.com.my
FORENSIK polis melakukan siasatan di lokasi penemuan rangka bayi di kawasan perumahan di Kelemak, Alor Gajah. FOTO Ihsan Pembaca
FORENSIK polis melakukan siasatan di lokasi penemuan rangka bayi di kawasan perumahan di Kelemak, Alor Gajah. FOTO Ihsan Pembaca
Alor Gajah: Polis menemui rangka bayi yang dipercayai dilahirkan kira-kira empat bulan lalu, tertanam di laman sebuah rumah di Kelemak di sini, hari ini.

Penemuan itu sekali gus menggemparkan penduduk teres setingkat berkenaan yang masih dalam suasana Syawal.

Seorang lelaki ditemui berkata, dia terkejut apabila kawasan perumahan itu tiba-tiba dipenuhi pasukan polis bermula kira-kira 9 pagi.

"Saya datang ke sini (perumahan itu) untuk beraya di rumah kakak dan terkejut apabila diberitahu ada pasukan forensik polis datang kerana kes jenayah.

"Pada awalnya saya sangka kes biasa, namun jiran memaklumkan polis menemui rangka bayi yang dipercayai ditanam sebaik sahaja dilahirkan kira-kira empat bulan lalu," katanya ketika ditemui.

Dia juga tidak menyangka kawasan itu menjadi lokasi jenayah memandangkan persekitarannya sunyi dan tempat penemuan berhadapan dengan rumah kosong.

Ujarnya, kakaknya memaklumkan anggota polis menggali tanah di laman sebuah rumah dan hanya beredar dari lokasi kira-kira 12.30 tengah hari.

Sementara itu, Polis Melaka dijangka akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung penemuan itu.

Lelaki hina Nabi Muhammad di Facebook ditahan polis

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki tempatan ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung hantaran di media sosial yang berunsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata suspek berusia 47 tahun itu ditahan pada 8.32 malam oleh sepasukan polis dari Balai Polis Butterworth, Pulau Pinang.

Menurutnya, tangkapan dibuat susulan laporan polis yang diterima pada 22 Mac lalu mengenai satu hantaran tular di Facebook oleh pemilik akaun ‘Sakti Sakti Sakti’ yang didapati menyentuh sensitiviti agama.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenis Vivo 29T yang dipercayai digunakan suspek untuk memuat naik kenyataan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, suspek kini direman selama tiga hari hingga 27 Mac bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Fadil turut menasihatkan orang ramai agar tidak memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan yang menyentuh isu sensitif melibatkan agama, kaum, dan institusi diraja (3R).

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sehingga menggugat keharmonian negara,” katanya.

KJ: Ini pembangkang paling tak berguna

Malaysiakini 

Khairy Jamaluddin menyifatkan pembangkang hari ini merupakan yang paling tidak berguna, menyorot beberapa isu tempatan dan luar negara yang menurutnya seharusnya diketengahkan pembangkang.

Selain mengetengahkan krisis tenaga global yang disebabkan oleh konflik yang berterusan di Asia Barat, Khairy (gambar atas) juga merujuk kepada dakwaan baru-baru ini yang dibuat oleh ahli perniagaan Victor Chin mengenai ahli parlimen PKR yang dikatakan menerima RM9.5 juta berhubung skandal mafia korporat.

Semalam, Chin mendakwa bahawa dia telah memberi RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen PKR selepas ahli parlimen itu berjanji untuk menangani isu yang dihadapinya berkaitan dengan "mafia korporat".

Mendakwa dia membayar RM9.5 juta pada 18 Oktober tahun lepas, Chin mengancam untuk mendedahkan identiti ahli parlimen itu jika dana itu tidak dikembalikan menjelang 30 Mac.

Khairy berhujah bahawa walaupun terdapat "pentas" yang disediakan untuk pembangkang "bersinar" dalam memastikan langkah semak dan imbang yang betul di tengah-tengah krisis sedemikian, mereka "terlalu bodoh dan tidak cekap" untuk memanfaatkan peluang itu.

“Kita benar-benar mempunyai pembangkang yang paling tidak berguna sekarang… berharap untuk menang sendiri tanpa buat apa-apa bukanlah strategi yang meyakinan,” bekas menteri kesihatan itu.

“Anda mengatakan anda seorang jurutera aeronautik, tetapi anda tidak mempunyai pendapat tentang apa-apa isu yang penting,” katanya dalam rujukan yang jelas kepada pengerusi Perikatan Nasional Ahmad Samsuri Mokhtar, yang memegang kelayakan akademik dalam bidang itu.

Kenyataan terbaru daripada Samsuri dikeluarkan Ahad lalu, menggesa kerajaan untuk mewujudkan forum yang serupa dengan majlis rundingan dan intervensi kebangsaan dengan perwakilan daripada pelbagai pihak berkepentingan, di tengah-tengah kenaikan harga minyak mentah akibat konflik di Asia Barat.

Samsuri mahupun pemimpin pembangkang tertinggi lain tidak mengulas secara terbuka mengenai dakwaan Chin.

Minggu lalu, Khairy mengemukakan rayuan untuk menyertai semula Umno - tiga tahun selepas parti itu memecatnya.

Walau bagaimanapun, permohonan itu nampaknya tidak menghalang Khairy bersuara lantang, dengan turut mengkrtik kerajaan.

“Krisis tenaga global. Ahli parlimen kerajaan dituduh menerima rasuah berjuta-juta.

“Mari kita berdiam diri dan harap tiada siapa yang perasan kerana musim Raya ini," katanya secara sinikal.

Khairy juga mempersoalkan identiti ahli parlimen PKR yang didakwa terlibat dalam dakwaan Chin, dengan bertanya: “Siapa yang menyokong orang ini untuk menjadi ahli parlimen pada pilihan raya yang lalu?

“Jangan rasa diri lebih baik dari orang lain sekarang apabila anda tidak mendapat sokongan,” tambahnya.

Dalam sidang media hari ini, Menteri Sumber Manusia R Ramanan menafikan dakwaan yang mengaitkannya dengan dana bernilai RM9.5 juta daripada Chin, menegaskan bahawa dia tidak pernah bertemu atau mendengar tentang ahli perniagaan itu.

Menuduh bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli menyebabkan penyebaran dakwaan sedemikian terhadapnya, Ramanan berkata bahawa dia tidak perlu mengetengahkan isu itu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga presiden PKR.

Katanya, dia enggan membebankan perdana menteri yang kini fokus kepada agenda ekonomi dunia yang lebih penting.

Kedah: Pemandu Kancil rempuh khemah jamuan diberkas

AZAHAR HASHIM
TANGKAP layar rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan kereta suspek dikejar kereta peronda polis dalam kejadian di Padang Serai, Kulim kelmarin.
KULIM – Seorang pemandu kereta jenis Perodua Kancil yang tular dikejar polis sehingga merempuh meja khemah jamuan berjaya diberkas dalam serbuan di Padang Serai, di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd. Faizal Tengku Yeng berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan di tepi jalan Kampung Sidam Kanan kira-kira pukul 8 malam.

Katanya, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.45 malam kelmarin apabila anggota unit kereta peronda (MPV) mengesan kereta Perodua Kancil berwarna biru dalam keadaan mencurigakan di sebuah pasar raya di Taman Serai Wangi.

“Anggota polis mengarahkan pemandu berhenti dengan menyalakan lampu beacon serta siren, namun suspek enggan dan melarikan diri ke arah Taman Lagenda. Suspek memandu secara melulu hingga melanggar khemah, kerusi dan meja di hadapan sebuah rumah sebelum memecut ke arah Taman Mahsuri,” katanya hari ini.

Tambahnya, suspek turut melanggar belakang sebuah kenderaan di Simpang Tiga Fok Siang sebelum meloloskan diri ke arah Kampung Selamat, Pulau Pinang dan menghilangkan diri.

“Hasil risikan dan operasi polis berjaya menahan pemandu lori itu pada keesokan harinya. Pemeriksaan menemukan satu peket plastik lut sinar berisi dadah disyaki syabu seberat 0.3 gram. Ujian air kencing suspek didapati positif methamphetamine,” ujarnya.

Polis merampas kereta Perodua Kancil dan anak kunci bagi membantu siasatan. Suspek yang mempunyai satu rekod kes dadah direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.  – KOSMO! ONLINE

Baru nak beli roti, tiba-tiba kena tampar

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my
FARHAN yang ditampar seorang lelaki ketika membeli roti di Pasar Seni menunjukkan laporan dibuat di balai polis. FOTO ihsan Muhammad Isa
FARHAN yang ditampar seorang lelaki ketika membeli roti di Pasar Seni menunjukkan laporan dibuat di balai polis. FOTO ihsan Muhammad Isa
Kuala Lumpur: "Saya pada mulanya nak beli Roti Boy di Pasar Seni sebelum tiba-tiba ditampar seorang lelaki tidak dikenali di hadapan kaunter sehingga terjatuh ke lantai," kata Farhan Nasir Muhammad Isa, 12.

Dalam kejadian 1.35 tengah hari itu, Farhan melihat tiada orang beratur dan kemudian terus ke kaunter untuk membeli roti itu.

Menurutnya, bagaimanapun kemudian datang lelaki tidak dikenali melihat-lihat makanan sebelum tiba-tiba dia menamparnya di muka.

"Akibat ditampar saya terjatuh ke lantai dan ketika itu berasa sakit di kepala dan telinga.

"Saya ada bertanya kepada dia mengapa menampar sebelum lelaki itu mendakwa saya memotong barisan sedangkan ketika itu tiada orang beratur di kaunter," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Katanya, dia juga sudah membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi untuk tindakan selanjutnya.

"Semalam juga saya dibawa keluarga ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan dan hari ini sedang menunggu laporan X-Ray," katanya.

Sementara itu, bapanya, Muhammad Isa berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu ketika pulang ke rumah selepas kerja.

"Barulah anak beritahu kejadian itu dan difahamkan lelaki itu kemungkinan pemandu teksi namun tidak pasti.

"Anak hanya pergi sekejap ke Pasar Seni untuk membeli roti," katanya.