"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jangan tertipu dengan penurunan kes Covid-19, kata kumpulan perubatan

Imran Ariff

PETALING JAYA: Walaupun jumlah kes baharu Covid-19 menurun ke bawah 4,000 daripada jumlah tertinggi pernah dicatatkan sebanyak 5,000 sejak seminggu lalu, pakar kesihatan memberi amaran supaya tidak berasa terlalu selamat.

Mereka berkata penurunan kes itu berlaku kerana jumlah ujian saringan Covid-19 juga berkurang.

Data yang diperoleh daripada CodeBlue menunjukkan dari 3 hingga 8 Feb, jumlah ujian Tindak Balas Rantai Polimerase (PCR) yang dijalankan setiap hari berkurang daripada 67,264 kepada 32,536.

Ini bertepatan dengan bilangan kes yang disahkan setiap hari menurun lebih daripada 1,000 sepanjang tempoh penilaian selepas mencecah 4,571 kes pada 4 Feb.

Menurut CEO Pusat Galen, Azrul Khalib, “kes yang dilaporkan mungkin bukan merupakan gambaran tepat mengenai penurunan jangkitan Covid-19,” kerana kadar positif kekal konsisten di atas penanda aras 5% seperti ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kadar positif adalah bahagian ujian yang dibuat yang memberikan keputusan positif, dengan kadar yang tinggi menunjukkan banyak kes terlepas pandang.

Azrul memberitahu FMT, kadar positif Malaysia yang tinggi, iaitu 9.5% pada 8 Feb, “menunjukkan penularan tinggi dan kemungkinan terdapat lebih banyak orang yang dijangkiti Covid-19 dalam komuniti belum diuji.”

“Ini bermakna kita tidak melakukan ujian yang cukup dan kita tidak mendapat gambaran yang baik mengenai wabak itu di Malaysia.”

Azrul berkata, kadar positif lebih menunjukkan keadaan pandemik dan perlu diambil kira oleh kerajaan apabila membuat perubahan pada strategi negara dalam respons terhadap Covid-19.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata penurunan besar jumlah ujian mungkin mencerminkan dasar kerajaan untuk menguji hanya kontak rapat bergejala, dengan yang lain diberitahu supaya duduk di rumah dan mengasingkan diri.

“MMA menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) supaya kembali kepada dasar sebelum ini untuk menguji semua kontak rapat kerana wujud risiko jangkitan daripada pembawa virus pra-simptomatik atau tanpa gejala,” kata presiden kumpulan itu, Dr Subramaniam Muniandy.

Beliau menggesa penggunaan kit ujian rapid antigen (RTK-Ag) ditambah sebagai satu cara saringan bagi kes berpotensi kerana keputusan ujian lebih cepat daripada ujian PCR dan mereka yang dikenal pasti boleh diasingkan lebih cepat.

Azrul bersetuju bahawa ujian RTK-Ag boleh digunakan untuk diagnosis cepat, tetapi mencadangkan pengesahan dibuat dengan menggunakan ujian PCR.

Kajian mendapati RTK-Ag mempunyai kadar sensitif sebanyak 90%, yang bermakna keputusannya mungkin tidak tepat 10%, sementara kadar sensitif ujian PCR adalah setinggi 98%.

Pakar dasar kesihatan Dr Khor Swee Kheng berkata, rakyat Malaysia mesti melihat pelbagai faktor ketika menilai takat buruk pandemik itu kerana statistik tunggal mudah dimanipulasi oleh faktor luaran.

Sebagai contoh, beliau berkata, satu angka seperti angka jangkitan atau R0 (disebut R-naught) boleh kelihatan lebih rendah jika kedua-dua ujian dan kes harian jatuh, yang mungkin tidak memberi gambaran tepat mengenai pandemik itu.

Angka terbabit menunjukkan berapa banyak orang yang dijangkiti virus itu boleh menyebarkan penyakit.

Katanya, orang ramai “perlu melihat kecukupan ujian untuk betul-betul berasa lega dengan kemajuan yang dicapai,” kerana kualiti data yang dikumpul boleh mempengaruhi metrik yang bergantung pada maklumat tersebut.

Tiada ulasan: