"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Beranikah Muhyiddin masuk Parlimen dengan sokongan 107 MP sahaja?’

ARIF ATAN

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoal sama ada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berani masuk Parlimen dalam keadaan tanpa majoriti.

Beliau berpendapat Presiden Bersatu itu mempunyai sedikit ruang untuk bernafas kekal jadi Perdana Menteri dalam tempoh darurat dan penggantungan Parlimen.

“Dia (Muhyiddin) juga sempat luluskan projek NIIS (Sistem Imigresen Bersepadu Nasional) yang libatkan menantunya.

“Muhyiddin tahu dia adalah PM tanpa majoriti. Dia ada 109 sokongan sahaja apabila Datuk Jazlan dan Datuk Nazri Aziz tarik balik sokongan kepada Muhyiddin,” katanya hari ini.

Untuk rekod, Puad pernah mengaitkan kontrak membangunkan NIIS untuk Jabatan Imigresen yang bernilai RM1.159 bilion itu dengan menantu Muhyiddin.

Mengulas lanjut, jelas Puad, bukan rahsia 115 Ahli Parlimen menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong supaya diadakan sidang khas Parlimen berdasarkan Artikel 150 Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau 115 bermakna yang menyokong PM cuma tinggal 107. Cukup jelas Muhyiddin jadi PM dengan ehsan darurat,” tegasnya.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu turut bertanyakan sama ada Agong akan beri perkenan supaya darurat disambung selepas Ogos nanti.

“Komen-komen negatif terhadap Muhyiddin dalam Facebook Istana Negara dedah Muhyiddin bukan PM popular.

“Parlimen mesti bersidang semula selepas Ogos. Beranikah Muhyiddin masuk Parlimen dengan sokongan 107 MP sahaja. Ada berani?” tempelak Puad lagi.

Akhir tahun lalu, beliau telah menggesa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) melakukan tindakan berani dengan menarik semula sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tiada ulasan: