"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bila rakyat doakan menteri dihinggapi Covid 19

TAUFEK YAHYA

Ada satu cerita yang tular di media sosial tentang tidak berkesannya Prosedur Operasi Standard (SOP) kerajaan bagi membendung wabak Covid 19 yang melonjak ke empat angkat sejak Januari lalu.

Cerita itu mengisahkan tentang sekumpulan kangaru di sebuah zoo yang kerap terlepas dari kandang. Pada awalnya, pentadbir zoo berkeyakinan bahawa kekerapan kumpulan kangaru itu keluar kandang disebabkan pagar kandang yang tidak cukup tinggi. Kandang kangaru itu dikelilingi pagar setinggi empat kaki; cukup rendah hingga memungkinkan kumpulan haiwan itu melompat melewatinya lantas lepas bebas.

Maka pentadbir zoo pun menambah ketinggian pagar kandang kangaru itu kepada enam kaki. Keesokan harinya kumpulan kangaru itu masih lepas bebas dari kandang sehingga operasi menangkap kawanan haiwan itu terpaksa dibuat. Yakin pagar itu tidak cukup tinggi, maka ketinggiannya ditambah dua kaki lagi menjadi lapan kaki. Namun apa yang memeranjatkan, kawanan kangaru itu masih juga mampu melepaskan diri.

Pentadbir zoo tidak berputus asa lantas meninggikan lagi pagar kandang kangaru itu kepada 12 kaki. Pun keesokan harinya, kawanan kangaru itu masih juga berjaya melepaskan diri menyebabkan pentadbir zoo berada dalam kebingungan. Maka siasatan lanjut pun dibuat bagi mengkaji sebab musabab kawanan kangaru itu mampu melepaskan diri walaupun ketinggian pagar telah ditambah kepada 12 kaki. Mustahil bagi kangaru yang mahir melompat mampu melonjak setinggi itu tanpa sebarang kecederaan. Malah anak kangaru paling kecil juga boleh terlepas.

Si pentadbir zoo pun mengarahkan seorang kakitangan senior menyiasat kejadian itu. Setelah beberapa hari akhirnya misteri itu terjawab. Rupa-rupanya kakitangan baru yang ditugaskan memberi makan kawanan kangaru itu terlupa untuk menutup kembali pintu kandang seusai memberi makan, menyebabkan haiwan-haiwan yang terkurung itu melepaskan diri! Maka sia-sia sahajalah tindakan meninggikan pagar kandang tersebut kerana berapa tinggi pun pagar yang dibina, kawanan kangaru itu tetap mampu melepaskan diri akibat kecuaian petugas berkenaan menutup pintu pagar kandang tersebut!

Begitu jugalah dengan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan bagi membendung wabak Covid 19. Ia seakan tidak berkesan bukan kerana kedegilan orang ramai mematuhinya, tetapi sikap acuh tidak acuh pemimpin kerajaan sendiri dalam mematuhinya. Ibarat ketam mengajar anak berjalan betul dan seumpama ayam jantan, kokok berderai-derai, ekor bergelumang najis.

Sejak awal SOP diperkenalkan kerajaan PN, tindak-tanduk beberapa menteri dan timbalan menteri yang melanggar SOP mendapat perhatian dan kritikan umum. Bermula dengan timbalan menteri kesihatan sendiri yang hadir di suatu majlis tanpa penjarakan sosial dan memakai pelitup muka, membawa kepada menteri berimej lebai yang gagal mengkuarantin diri sekembali dari luar negara, sehingga kepada kenyataan flip-flop menteri kanan pertahanan berhubung kemestian kuarantin bagi penduduk Semenanjung sekembali dari kempen pilihan raya negeri (PRN) Sabah; semua insiden ini menambah amarah rakyat.

Di masa yang sama, orang ramai yang didapati melanggar SOP dikenakan kompaun ribuan ringgit dan dihadapkan ke mahkamah walaupun ada kesalahan yang dilakukan boleh dilepaskan dengan budi bicara penguatkuasa.

Sikap ‘double standard’ dalam pelaksanaan SOP Covid 19 ini berterusan apabila baru-baru ini, menteri kesihatan, Dr Adham Baba mengumumkan bahawa menteri kabinet yang kembali dari lawatan rasmi ke luar negara hanya perlu dikuarantin selama 3 hari dan bukan 10 hari. Peraturan baru itu dibuat melalui Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021.

Menyedari bantahan umum berhubung keputusan kerajaan itu, Dr Adham cuba meredakan keadaan dengan mengumumkan bahawa keistimewaan untuk menteri kabinet itu akan diperluaskan kepada semua pelancong lain, ahli perniagaan dan orang awam yang keluar masuk negara.

Beliau juga mendakwa tempoh kuarantin 10 hari yang ditetapkan sebelum ini telah menjadi penghalang kepada para pelabur, dan juga orang kenamaan asing yang ingin datang ke Malaysia, maka kuarantin tiga hari itu diperkenalkan “untuk memastikan negara dapat membuka ekonomi”.

Kementerian Kesihatan pula menjelaskan hanya menteri kabinet yang melakukan perjalanan dalam ‘gelembung program perjalanan’ (itinerary bubble) yang akan menjalani kuarantin 3 hari, namun alasan ini tidak diterima oleh khalayak ilmuan perubatan tempatan.

Akademi Perubatan Malaysia sebagai contoh mengakui ‘terganggu’ dengan pengumuman Menteri Kesihatan melalui Warta Persekutuan itu malah menggesa kerajaan membatalkan Perintah Pengecualian itu sehingga ada bukti ilmiah yang menunjukkan sebaliknya.

Akademi Perubatan Malaysia, merangkumi 11 kolej dan 15 bahagian, merupakan badan berdaftar mewakili pakar-pakar perubatan Malaysia.

Mereka juga sebulat suara membantah Perintah Pengecualian Menteri Kesihatan dan juga rancangan untuk meluaskan peraturan kuarantin selama 3 hari kepada kelompok tertentu.

“Kami ingin mengingatkan kerajaan bahawa semua SOP perlu berdasarkan pada sains. Tempoh kuarantin untuk pelancong masuk ditetapkan pada 10 hari berdasarkan penelitian yang menunjukkan bahawa risiko penularan sangat rendah (kurang 1 peratus) selepas 10 hari dengan melakukan pemantauan dan ujian.

“Tempoh inkubasi untuk Covid-19 rata-rata lima ke enam hari tetapi boleh selama 14 hari. Oleh itu, tiga hari tidak mencukupi untuk mengesan gejala. Perlu ada penjelasan berdasarkan bukti kesihatan awam untuk keputusan kerajaan mengurangkan hari kuarantin,” kenyataan Akademi Perubatan Malaysia itu dipetik.

Akademi turut mempertikaikan keberkesanan ‘gelembung perjalanan’ seperti dinyatakan pihak kementerian kerana varian baru Covid-19 dengan peningkatan kemampuan penularan pantas di seluruh dunia.

“Kami faham ada desakan untuk membuka kembali ekonomi demi kepentingan rakyat Malaysia dan perniagaan yang sedang berjuang, tetapi ini hanya dapat dilakukan dengan mengawal wabak terlebih dahulu.

“Kerajaan tidak boleh membuka sempadan negara kita untuk delegasi ‘travel bubble’ dan berisiko membawa varian baru yang dapat membanjiri sistem kesihatan kita,” tegas mereka.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Ketua @ Master Akademi Perubatan Malaysia, Profesor Dr Rosmawati Mohamed; Presiden Kolej Pakar Anestesiologi, Dato’ Dr Jahizah Hassan; Presiden Kolej Pakar Pergigian, Profesor Dato’ Dr Lian Chin Boon; Presiden Kolej Pakar Perubatan Kecemasan, Dr Ridzuan Dato’ Mohd Isa;

Presiden Kolej Obstetrik dan Ginekologi, Profesor Datuk Dr Siti Zawiah Omar; Presiden Kolej Oftalmologi, Dr Nur Fariza Ngah; Presiden Kolej Pediatrik, Profesor Dr Thong Meow Keong; Presiden Kolej Ahli Patologi, Profesor Dr Cheong Soon Keng; Presiden Kolej Perubatan, Dr Letchuman Ramanathan; Presiden Kolej Perubatan Kesihatan Awam, Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman; Presiden Kolej Radiologi, Profesor Dr Norlisah Ramli; dan Presiden Kolej Pembedahan, Profesor Dr April Camilla Roslani.

Terdahulu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr M Subramaniam turut tegas membantah perintah menteri berkenaan.

“Ini menyebabkan adanya dwistandard dan MMA mendesak supaya perintah baru itu dicabut dengan serta-merta.

“Pertimbangan yang teliti mesti dilakukan dengan perintah baru yang dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan setiap keputusan dalam menguruskan wabak itu, perlu berdasarkan sains dan bukti,” katanya.

Malah beliau menyifatkan perintah baru menteri itu telah menimbulkan kemarahan rakyat.

“Jika kerajaan mahu rakyat mematuhi SOP dengan tegas, maka ia perlu memimpin melalui teladan dan mematuhi peraturan yang sama. Tempoh kuarantin 10 hari yang sama mesti dilaksanakan kepada semua orang tanpa mengira darjat. Kerajaan perlu menghentikan amalan dwistandard ini,” tambahnya.

Apa yang dinyatakan Dr M Subramaniam bukanlah telahan rambang semata-mata. Hanya beberapa jam kenyataan Dr Adham itu diterbitkan Malaysiakini, laman komen fb portal berita itu dibanjiri komen ribuan netizen yang meluahkan kemarahan mereka.

Malahan ada yang mendoakan agar virus Covid 19 itu menghinggapi semua menteri kabinet dan mereka mati satu demi satu kerana wabak itu. Memanglah komen itu keterlaluan dan tidak sepatutnya dibuat, namun ia dibalas dengan “Aamiiin” (makbulkan ya Allah) oleh ratusan netizen lain.

Kerajaan wajar memandang serius kritikan dan keresahan umum berhubung sikap double standard anggota kabinet, pemuka kerajaan dan pemimpin politik dalam mematuhi SOP membabitkan wabak Covid 19.

Sikap acuh tak acuh dalam mematuhi SOP ini mengakibatkan keyakinan rakyat untuk menghadapi wabak Covid 19 ini semakin pudar. Usaha memerangi Covid 19 menuntut komitmen yang tinggi, pengorbanan dan masa yang panjang.

Dengan indikator ekonomi yang tidak memberangsangkan, sikap flip-flop pemimpin kerajaan menambah garam pada luka yang semakin parah.

Sedarlah dan memimpinlah dengan teladan

Tiada ulasan: