"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hajat Pas, Bersatu bertanding PRN12 Sarawak terbantut

RAYMOMD LUI

Hajat Pas dan Bersatu untuk meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) Ke-12 tidak kesampaian apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) menolak sebarang rundingan dengan komponen parti Perikatan Nasional (PN).

Menerusi kenyataan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, beliau berkata GPS bakal menolak sebarang rundingan dan meletakkan calon komponen PN di negeri ini.

Dengan kenyataan itu, ia adalah satu tamparan hebat kepada Pas dan Bersatu yang bercita-cita mahu meletakkan calon pada PRN12 nanti.

Kronologi sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr. James Jemut Masing telah mengeluarkan kenyataan bahawa GPS tidak mahu Pas, Bersatu atau mana-mana komponen dalam PN bertanding di Sarawak.

Kenyataan Masing itu pernah disuarakan beliau kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada pertemuan yang berlangsung di Kuala Lumpur Julai tahun lalu.

Malah, jaminan itu turut dinyatakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mesyuarat pemimpin 12 parti diadakan ketika itu.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Pas Sarawak, Jofri Jeraiee menegaskan tetap bersedia meletakkan calon di negeri ini khususnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu/Melanau Islam.

Beliau sebelum ini turut memaklumkan bahawa peluang Pas Sarawak di kerusi DUN Beting Maro amat cerah berdasarkan keahlian yang dimiliki di kawasan terbabit.

Semalam, Abdul Karim dipetik dalam Bernama berkata, mana-mana parti yang bukan berasal dari Sarawak, sama ada yang berkongsi perjuangan yang seiring dengan GPS di peringkat nasional atau sebaliknya, tidak diperlukan untuk masuk dan bertanding dalam pilihan raya negeri ini.

Parti komponen PN adalah terdiri daripada Bersatu, Umno, Pas, MCA, MIC dan beberapa parti lain di Sabah selain kumpulan Dato’ Seri Azmin Ali.

Berdasarkan Perlembagaan Negeri, PRN12 Sarawak perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, dan penggal ke-11 DUN Sarawak ini akan tamat pada 6 Jun ini.

Bagaimanapun, sebarang Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) mahupun Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak boleh diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan proklamasi darurat sehingga 1 Oktober depan.

Tiada ulasan: