FAZLI RADZI
Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebentar tadi mengeluarkan poster berkaitan larangan operasi kelab malam dan pub serta restoran di dalam premis hiburan terbabit.
Perubahan tersebut dimaklumkan menerusi Facebook rasmi MKN sekali gus mengundang kecaman warganet.
Sebelum ini, MKN dalam prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikemaskini pada 4 Februari membenarkan restoran termasuk di kelab malam dan pub beroperasi hingga 10 malam.
Susulan itu, orang ramai menyifatkan MKN seperti membuat pusingan U, bahkan menganggap kerajaan cacamarba dalam usaha melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19.
Ketika pusat hiburan tidak dibenarkan beroperasi pun ketika pelaksanaan PKP, terdapat banyak kes pelanggaran oleh pemilik premis.
Malah, pemeriksaan polis turut mendapati ada premis hiburan terbabit tidak mempunyai lesen sah untuk menjual minuman keras sekali gus melanggar Akta 76 Akta Eksais 1976.
Kegagalan mematuhi arahan sepanjang tempoh PKP membolehkan mereka terbabit dikompaun RM1,000 atau ditangkap dan didakwa di mahkamah.
Tindakan dikenakan mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan