"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hakim lawan hakim – bagaimana Hamid tumbang

V Anbalagan

Hamid Sultan Abu Backer diminta hadir di depan Jawatankuasa Etika Hakim atas dakwaannya mengenai teguran oleh seorang hakim tertinggi.

KUALA LUMPUR: Pendedahan baru-baru ini oleh bekas peguam negara, Tommy Thomas membangkitkan lebih banyak persoalan mengenai penggantungan Hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer, yang sebenarnya mengakhiri kerjaya kehakimannya.

Hamid ialah hakim pertama yang digantung daripada tugas sejak undang-undang mengenai etika kehakiman dilaksanakan. Penggantungan itu bermula 4 Feb lalu hingga 27 Ogos ini, tarikh beliau dijangka bersara.

Seorang peguam, yang enggan dinamakan, berkata nampaknya hukuman itu dijatuhkan ke atas Hamid bermakna hakim boleh dikenakan tindakan disiplin atas apa yang mereka tulis dalam penghakiman dan kerana membincangkan keadaan dalam badan kehakiman secara terbuka.

“Berdasarkan apa yang Tommy Thomas tulis dalam memoirnya yang diterbitkan baru-baru ini, yang bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad memaklumkan beliau, maklum balas mendedahkan suruhanjaya siasatan diraja ke atas badan kehakiman tidak disambut baik ramai hakim, yang sedang berkhidmat atau bersara, membangkitkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan.”

Hamid dijangka menggunakan cara undang-undang untuk mendapatkan keadilan, dan perjuangannya untuk keadilan belum selesai.

Punca penggantungannya bermula pada Ogos 2018, apabila Hamid berucap di sebuah persidangan undang-undang antarabangsa di Kuala Lumpur, beliau mengejutkan negara dengan mendedahkan dirinya ditegur seorang hakim atasan kerana membuat penghakiman berbeza dalam kes penukaran agama sebelah pihak yang diikuti ramai.

Hamid berkata, hakim itu, yang identitinya tidak didedahkannya, menegurnya dengan teruk, dan melakukannya dalam caa yang tidak wajar oleh seseorang yang memegang jawatan tinggi.

(Penghakiman berlawanannya itu disokong sebulat suara oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan pada awal 2018, yang bersetuju perlu ada kebenaran kedua-dua pasangan untuk menukar agama anak di bawah umur ke Islam,)

Pendedahannya mengenai teguran itu menyebabkan Presiden Majlis Peguam ketika itu, George Varughese, menggesa kerajaan baru Pakatan Harapan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja menyiasat perkara itu.

Tetapi, tiada apa yang berlaku untuk enam bulan berikutnya.

Pada Februari 2019, Hamid mengesahkan afidavit mengejutkan setebal 65 muka surat untuk menyokong saman pemula difailkan peguam Sangeet Kaur Deo terhadap Ketua Hakim Negara ketika itu, Richard Malanjum.

Afidavit itu, yang tersebar luas, menyatakan Malanjum gagal mempertahankan dan melindungi integriti badan kehakiman.

Hamid turut mendakwa terdapat campur tangan dalam kes liwat Anwar Ibrahim dan rayuan hasutan mendiang Karpal Singh.

Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia cuba mengambil keterangan daripada Hamid, seorang peguam sebelum dilantik sebagai hakim pada 2007.

Katanya, beliau bersedia mendedahkan semuanya dalam suruhanjaya siasatan diraja yang dicadangkan itu, di mana kerajaan pada mulanya bersetuju untuk menubuhkannya.

Pada akhir 2019, saman pemula difailkan Sangeet, yang juga anak perempuan Karpal, ditolak dan hampir semua kandungan afidavit Hamid untuk menyokong tindakan Sangeet dipadam kerana ia diputuskan sebagai melampau, menyusahkan dan remeh.

Bagaimanapun, pada masa sama, rayuan hasutan Karpal dibenarkan Mahkamah Persekutuan pada Mei 2019, setahun selepas Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan penuh kepada Anwar atas tiga sabitannya – satu daripadanya kerana penyalahgunaan kuasa dan dua untuk liwat – atas dasar berlaku “salah laku keadilan”.

Sekitar Jun tahun lalu, Hamid membuat penghakiman kontroversi dalam rayuan dadah jenayah, dan menyatakan hakim harus berhati-hati dengan sumpah kehakiman mereka untuk memelihara, mempertahankan dan melindungi Perlembagaan Persekutuan.

Susulan aduan oleh dua hakim kepada Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai Jawatankuasa Etika Hakim, Hamid diberikan notis tunjuk sebab pada Ogos.

Dalam dokumen mahkamah yang difailkan Hamid, ia mendedahkan beliau diletakkan di bawah “penggantungan konstruktif” dan tidak ditugaskan untuk mendengar dan menentukan rayuan baru.

Beliau diminta hadir di depan Jawatankuasa Etika Hakim (JEC), tetapi Hamid memfailkan dua tindakan di Mahkamah Tinggi untuk menghentikan proses itu sementara menunggu keputusan kehakiman.

Beliau memohon perisytiharan yang prosiding jawatankuasa itu, yang dilakukan secara tertutup, adalah tidak rasional, bertentangan peraturan keadilan semula jadi dan tidak berperlembagaan. Beliau turut mencabar komposisi jawatankuasa itu.

Hamid turut memohon arahan berkaitan afidavit dan penghakiman yang disampaikannya dalam kes jenayah.

Bulan lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Hamid untuk kebenaran memfailkan semakan kehakiman ke atas afidavit dan penghakiman itu. Mahkamah turut mebenarkan permohonan jawatankuasa untuk membatalkan saman pemula Hamid, yang berkait rapat dengan remedi dituntut dalam permohonan semakan kehakimannya.

Permohonan untuk penangguhan sementara menunggu rayuan turut ditolak.

Hamid tidak hadir di depan JEC pada 4 Feb lalu, dan berkata, antara lain, komposisi panel itu tidak ditentukan secara muktamad.

Pada hari sama, JEC mengumumkan pengggantungan Hamid sehingga 27 Ogos nanti.

Tiada ulasan: