MOHD ARIF JUHANI ABDUL RAHMAN
Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lalu, Muhyiddin muncul sebagai perwira yang dianggap paling besar jasanya kepada rakyat dan negara.
Kemampuan kepimpinannya melandaikan lekuk penularan dilihat bukan kerja calang-calang. Graf peningkatan penularan COVID-19 dilihat umpama sebatang besi waja yang cukup ampuh dan hanya manusia yang gagah sahaja boleh membengkoknya.
Keperwiraan itu lebih terserlah kerana beliau mampu mengendalikan cabaran besar itu pada bulan yang sama beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Walaupun jawatan itu diperoleh dengan cara membelot bersama konco-konconya tetapi pasukan Muhyiddin pantas dan cekap membentuk imej ahli Parlimen Pagoh itu sebagai seorang berwibawa.
Ungkapan blessing in disguise (rahmat yang terselindung) dimanfaatkan untuk Muhyiddin. Muhyiddin dianggap sebagai sebuah rahmat Tuhan yang hadir tepat pada masanya untuk menyelamatkan negara daripada pandemik COVID-19.
Dalam perutusan awal, Muhyiddin sendiri menganggap beliau bukan pemimpin yang dipilih tetapi diperlukan rakyat. Semua ungkapan dan propaganda ini diolah untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap pembentukan Perikatan Nasional (PN) hasil daripada pengkhianatan Langkah Sheraton.
Hakikatnya, Muhyiddin dan PN tiada keabsahan sebagai sebuah kerajaan. Tetapi PN perlu memastikan kemunculan gabungan kuasa ini diterima ramai walaupun berdepan kritikan.
Barangkali dalam politik Malaysia atau politik Melayu, keabsahan tidak penting. Dalil sentiasa ada untuk menghalalkan apa yang haram. Tidak sukar hal ini dibuat kerana memang wujud tokoh agama yang cetek akal akan sanggup bersekongkol bersama kumpulan pengkhianat.
Golongan agama inilah yang akan mengizinkan pembelotan atau pengkhianatan dengan dalil agama yang diputar mengikut selera pemerintah. Hal ini agak mudah dibuat kerana dalam sejarah Islam sendiri bukan sedikit pemerintahan baharu ditegakkan atas pengkhianatan dalaman.
Tetapi selepas demokrasi diterima sebagai konsep memilih pemimpin negara dan negeri, pengkhianatan tidak harus menjadi norma umat manusia hari ini. Malangnya ini tidak pernah menjadi kepedulian kepada orang ramai.
Maka beginilah caranya PN membentuk gabungan untuk berkuasa di peringkat persekutuan dan negeri. Kewujudan Pas dan Abdul Hadi Awang hanyalah umpama terompah tandas. Tiba masa, mereka juga akan dipinggirkan.
Buat masa ini apa yang penting, Muhyiddin selesa bergerak ke mana-mana dan atas sebab inilah, maka kemunculan Muhyiddin dengan mudah diterima ramai.
Orang ramai patuh untuk berada di rumah menikmati konsep kerja dari rumah (WFH) selama beberapa minggu dan PKP mencapai objektif apabila banyak negeri dan kawasan kembali kepada zon hijau.
Sepanjang PKP, Muhyiddin mengubati kebimbangan orang ramai tentang pendapatan yang terjejas dengan memperkenalkan sebuah pakej bantuan yang dikenali sebagai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).
Di samping Prihatin, Muhyiddin pula memperkenalkan ‘Makcik Kiah’ iaitu satu watak penerima pakej yang merupakan golongan B40 yang terjejas akibat PKP. Penciptaan watak ini berkesan sebagai satu contoh keprihatinan Muhyiddin kepada rakyat.
Bagi orang ramai, Makcik Kiah dianggap simbol yang mewakili golongan yang ramai bekerja sendiri sebagai pemandu teksi, penjaja pasar malam, peniaga tepi jalan dan sebagainya.
Pencarian nafkah ini memaksa mereka terpaksa berhempas pulas bukan untuk meningkatkan pendapatan keluarga atau membesarkan poket kekayaan. Sebaliknya, mereka bekerja dan berniaga semata-mata untuk memastikan kelangsungan hidup diri dan keluarga tidak terjejas.
Selagi barang di dapur sentiasa cukup manakala pendidikan anak-anak tidak tersangkut di pertengahan jalan, itu sudah cukup.
Masa berlalu dan kini tidak sampai 12 bulan, penularan COVID-19 meningkat mendadak pada September tahun lalu. Susulan itu, PKP kembali dilaksanakan seluruh negara kecuali Sarawak.
Malangnya PKP kali ini tidak diterima baik oleh rakyat seperti Makcik Kiah. Hampir sebulan PKP berjalan, kerajaan masih gagal mengemukakan SOP yang rasional kepada banyak pihak. Sekolah rendah dan menengah dikendalikan dengan caca-merba.
Lebih malang lagi, hingga kini, nasib rakyat seperti Makcik Kiah sudah tidak disentuh lagi oleh Muhyiddin. Watak ini seperti sudah mati lebih awal dan kematiannya disembunyikan.
Golongan seperti ini hampir tiada perlindungan atau tabungan persaraan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menghadapi kemelut kehidupan seperti ketika ini.
Dalam satu wawancara, bekas penasihat Perdana Menteri, Dr Muhammed Abdul Khalid, daripada 23 juta rakyat pada umur bekerja, kumpulan yang bekerja hanyalah lebih kurang 15 juta.
Tetapi daripada anggaran 15 juta ini pula, golongan yang mencarum setiap bulan dalam KWSP adalah sebanyak 5.5 juta. Salah seorang yang tidak mencarum ini adalah individu seperti Makcik Kiah. Demikian nasib Makcik Kiah yang dahulu ditatang, kini ditendang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan