Ainaa Aiman
PETALING JAYA: Selepas seorang wanita berkongsi di Twitter insiden anggota polis mahu “mengenalinya dengan lebih rapat,” beberapa lagi turut mendakwa berdepan situasi sama.
Dalam kejadian terbaru, seorang wanita membuat laporan polis mendakwa dia diganggu secara seksual oleh seorang anggota polis ketika melalui sekatan jalan raya di Jalan Duta hari ini.
Ain Sabrina Yusof, 24, berkata polis itu memintanya mengangkat blaus dipakainya jika tidak mahu dikenakan saman.
“Pada masa itu, saya lupa membawa lesen saya,” katanya menerusi bebenang di Twitternya dengan menggunakan nama akaun @sabiyusof, bagi memperincikan kejadian itu.
“Selepas itu, dia berkeras untuk menukar nombor telefon dengan saya walaupun saya memberitahunya bahawa saya tidak selesa.
“Dia memberi saya telefonnya dan meminta saya membuat panggilan di depannya (untuk mendapatkan nombor wanita itu).”
Sabrina berkata, dia terkejut dengan kejadian itu, sambil menambah polis sepatutnya melindungi rakyat, bukannya mengganggu mereka.
“Saya tidak hanya diganggu secara seksual, tetapi dipaksa memberikannya nombor saya. Saya diugut dengan saman sekiranya tidak patuh. Itu adalah penyalahgunaan kuasa, ”katanya.
Dalam pada itu, polis sedang menyiasat apakah terdapat salah laku seorang anggotanya yang mengirim pesanan kepada seorang wanita yang kononnya “mahu berkenalan dengan lebih rapat”, ketika menahan mangsa di sekatan jalan raya.
Sementara itu di Twitter, akaun rasmi Bukit Aman @PDRMsia memberi maklum balas kepada pengguna Twitter yang menceritakan semula kejadian hampir sama melibatkan anggota polis pada 11 Feb.
Wanita itu berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan untuk membeli beberapa barang runcit sebelum ditahan polis di sekatan jalan raya.
Dia kemudian dikehendaki mencatatkan butiran diri termasuk nombor telefon dan nombor plat kenderaan.
Wanita itu berkata, polis terbabit menghantar pesanan di WhatsApp tidak lama kemudian. Dalam tangkap layar perbualan dilampirkan di tweetnya, polis itu menyatakan ingin mengenali lebih lanjut wanita berkenaan.
Tweetnya, sejak itu menjadi tular, mendorong wanita lain mendedahkan pengalaman mereka ketika ditahan anggota polis di sekatan jalan raya semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan