"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Boikot? Tuntutan maslahah umum dalam isu boikot produk Israel

Dr Mohd Farhan Md Ariffin
Universiti Kebangsaan Malaysia

ISU boikot produk Israel dan sekutunya di Malaysia semakin panas dengan ada pihak yang menyokong penuh, menyokong dengan pilihan, menentang, tiada perasaan dan tidak kurang ada yang tawaqquf, tidak memberikan sebarang respon. Ada juga pihak yang menyatakan boikot adalah bermusim dan menyindir bahawa kita telah “diyahudikan” dengan mengkonsumsi produk-produk Yahudi dan sekutunya sejak kecil. Hakikatnya, ramai orang yang cuba play safe dalam hal ini, dan cenderung menyokong kemaslahatan syarikat kapitalis berbanding kemaslahatan umat Islam Palestin. Apalah sangat maslahah syarikat kapitalis dibandingkan maslahah umat Islam Palestin.

Boikot adalah isu sensitif, bahkan pasti ada pihak yang terluka atau terkorban. Pasti ia memberi impak terhadap rantaian ekonomi kapitalis yang selama ini mengaut berbilion keuntungan. Pada masa getir ini, kita dituntut melaksanakan boikot secara fardu ain dengan melakukan sedikit kerosakan demi mencapai kemaslahan yang lebih penting. Kita memilih antara dua kemudaratan, dan menghindar kemudaratan yang lebih besar dengan melakukan kemudaratan yang lebih ringan.

Perkara ini berkait rapat dengan maqasid syariah melalui kaedah mendahulukan maslahah ‘ammah (kebaikan yang membawa kepada kepentingan umum) berbanding maslahah khassah (kebaikan yang membawa kepada kepentingan peribadi). ‘Izz al-Din Ibn ‘Abd al-Salam berkata: “Jika maslahah lebih besar berbanding mafsadah, maka didahulukan maslahah. Namun jika maslahah dan mafsadah berada pada tahap sama, maka seseorang bebas memilih antara keduanya. Malah boleh juga memilih pendekatan tawaqquf”. Namun, memilih pendekatan tawaqquf iaitu tidak membuat keputusan adalah kurang sesuai, lebih-lebih lagi dalam isu boikot produk Israel dan sekutunya.

Maslahah ‘ammah adalah kebaikan yang dapat diperoleh majoriti manusia secara umum, manakala maslahah khassah adalah manfaat yang hanya diperolehi oleh golongan atau individu tertentu. Imam al-Shatibi membahagikan tiga pembahagian untuk menimbangtara tahap kemaslahatan bagi sesuatu perkara iaitu Daruriyyat, Hajiyyat dan Tahsiniyyat. Kebiasaannya maslahah ini diaplikasikan dengan mempertimbangkan dan mendahulukan kepentingan umum berbanding kepentingan peribadi atau golongan tertentu untuk tujuan mengekalkan ketenteraman awam dan kestabilan masyarakat Muslim.

Dalam mendahulukan kepentingan umum ke atas kepentingan peribadi ini dapat dilihat melalui sirah zaman sahabat, Saidina ‘Umar al-Khattab pernah meminta Nasr Ibn al-Hajjaj untuk mencukur rambutnya kerana ketampanan beliau menyebabkan wanita di Madinah menggilainya. Selepas beliau mencukur rambut, ketampanan beliau semakin terserlah sehingga menyebabkan Saidina ‘Umar meminta beliau berpindah ke Basrah. Dengan itu, kestabilan emosi wanita di Madinah dapat dikekalkan.

Dalam hal produk Israel dan sekutu, tindakan boikot mempamerkan maslahah umum yang lebih besar berbanding maslahah khusus, di mana maslahah khusus melibatkan harta manakala maslahah umum melibatkan agama dan jiwa umat Palestin. Dalam erti kata lain, maslahah umum berada pada tahap daruriyyat dan maslahah khusus berada pada tahap tahsiniyyat.

Walaupun begitu, jika kerajaan Madani mampu menggabungkan kedua-dua maslahah umum dan khusus, yakni menjaga syarikat kapitalis dan tekanan boikot kepada Zionis, maka cara ini adalah lebih baik. Begitu juga, maslahah khusus yang melibatkan harta boleh diganti jika maslahah umum didahulukan. Misalnya jika kerajaan mengarahkan boikot, maka kerajaan perlu menggantikannya dengan duit.

Umat Islam perlu sedar kemaslahatan lebih besar dicapai apabila dilaksanakan boikot di seluruh dunia Islam. Kita sedang melaksanakan jihad fi sabilillah. Namun ia mesti dilaksanakan secara tepat dengan perkara utama, memastikan kapitalis yang diviralkan benar-benar membantu Israel secara langsung, ataupun duit cukai yang mereka bayar digunakan oleh USA untuk memberi bantuan pada Israel. Maklumat berkaitan boleh didapati BDS Movement Global.

Sebagai cadangan mengekalkan kemandirian kapitalis terjejas, restoran Ayam Kruk Kruk boleh menukar nama kepada Ayam Krik Krik, sebagaimana Russia menukar produk kopi berjenama kepada Star Coffee. Hal ini jauh lebih selamat daripada fitnah dan persepsi masyarakat. Kamu katakan bahawa semua bahan adalah dibekalkan sendiri, diuruskan oleh umat Islam dan jaminan halal. Kenapa takut untuk berdiri sendiri, beralih dari nama yang syubhah kepada nama lain yang aslah.

Dalam konteks Islam, nama melambangkan imej dan identiti sesuatu perkara. Begitu juga halnya dengan produk makanan. Islam mempunyai prinsip jelas bahawa penamaan mana-mana produk yang berupaya membuka pintu mudarat atau fitnah perlu ditukar. Boikot produk Israel dan sekutu bukan jihad namanya kalau hanya satu pihak yang ditekan, sedangkan yang lain selesa. Mudarat kecil pada kapitalis negara boleh dipulihkan, dari maruah agama, kehilangan jiwa-jiwa umat Islam dan tanah Palestin. Ini merupakan ujian kepada kita semua dengan satu persoalan, di atas prinsip mana kamu berdiri.

-Malaysiagazette

Tiada ulasan: