"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes Sulu: Stampa akan diheret ke mahkamah, kata Azalina

Bernama

KUALA LUMPUR: Penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa, akan dibicarakan di mahkamah Madrid pada 11 Dis atas dua kes jenayah berkaitan final award kepada kumpulan Sulu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Beliau berkata jika Stampa didapati bersalah, dia akan dikenakan hukuman penjara dan didenda oleh mahkamah berkenaan.

“Tarikh pendengaran itu ditetapkan berikutan permohonan agresif dan berterusan oleh kerajaan Malaysia. Ini bukan tuntutan sivil tetapi Stampa berhadapan dengan tuntutan jenayah.

“Ini faktor utama yang memberikan consistency kepada kesimpulan kerajaan Malaysia bahawa award yang diberi oleh Stampa selaku penimbang tara antarabangsa adalah satu pelaksanaan award yang boleh dilihat sebagai tidak sah dan tidak berasas,” katanya ketika temu ramah bersama media yang diadakan secara dalam talian.

Azalina kini berada di London untuk fasa ketiga tuntutan lapan individu yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu, bagi berjumpa dengan peguam-peguam lantikan kerajaan Malaysia dalam menangani tuntutan mereka, seterusnya menyangkal taktik dan hujahan mereka secara komprehensif.

Menurut Azalina, award yang diumumkan oleh Stampa ke atas kerajaan Malaysia sebanyak USD14 billion dilihat sebagai suatu “fraud award” kerana mahkamah yang melantik beliau sebagai penimbang tara ialah mahkamah sama yang menarik pelantikannya.

“…tetapi beliau (Stampa) masih meneruskan pendengaran kes timbang tara antarabangsa dan melompat ke negara lain untuk melaksanakan keputusan yang telah beliau buat terhadap kerajaan Malaysia.

“Sebab itulah bagi kerajaan Malaysia, tuntutan kes jenayah yang dilakukan beliau yang ditetapkan pendengaran pada 11 Dis amat penting untuk kita mematikan segala tuntutan yang dilaksanakan oleh Stampa,” katanya.

Tambah Azalina, kerajaan Malaysia akan menghadiri prosiding kes itu kerana Malaysia merupakan pengadu.

“Suara kerajaan Malaysia akan didengar oleh Mahkamah Jenayah Madrid… kita konsisten dalam pernyataan dan alasan kita tentang sifat beliau (Stampa) yang melanggar undang-undang timbang tara antarabangsa,” katanya.

Malaysia kini dalam proses membatalkan award akhir USD14.9 bilion (RM62.59 bilion) yang diberikan oleh Stampa dalam kes yang dibawa oleh lapan individu mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.

Pada 6 Jun lepas, Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar award yang diberikan pada 25 Mei 2020 oleh Stampa dalam kes yang difailkan oleh lapan individu itu.

Stampa memberikan award akhir sebanyak USD14.9 bilion (RM62.59 bilion) kepada kumpulan itu dan Malaysia terpaksa menggunakan semua remedi undang-undang bagi membatalkannya di mahkamah Sepanyol, Perancis, Luxembourg, serta Belanda.

Malaysia melakar satu lagi kejayaan apabila Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda pada 27 Jun menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan award akhir tersebut di negara itu.

Dalam usaha mereka untuk menguatkuasakan award akhir itu, kumpulan Sulu dilaporkan cuba menyita aset syarikat petroleum Malaysia iaitu Petronas di Luxembourg dan Belanda selain menyasarkan aset diplomatik negara di Perancis.

Pada 2019, kumpulan itu dilapor memulakan tindakan perundangan di mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah, yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Tiada ulasan: