"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ulama Indonesia keluar fatwa boikot syarikat berkaitan Israel

Bharianonline

JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa menggesa orang ramai memboikot barangan dan perkhidmatan syarikat yang menyokong Israel sebagai menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin.

MUI menegaskan, umat Islam di negara itu perlu menyokong perjuangan Palestin menentang pencerobohan Israel dan mengisytiharkan bahawa sokongan untuk Israel atau penyokongnya adalah haram atau bertentangan dengan undang-undang Islam.

Ketua Eksekutif MUI, Asrorun Niam Sholeh berkata, pihaknya menggesa setiap umat Islam untuk mengelakkan sebanyak mungkin transaksi dan penggunaan produk Israel, mereka yang bergabung dengan Israel, dan menyokong penjajahan serta Zionisme.

"Kami tidak boleh menyokong mana-mana pihak yang berperang dengan Palestin, termasuk menggunakan produk yang hasilnya menyokong tindakan pembunuhan rakyat Palestin," katanya.

Fatwa MUI yang terbaharu itu menggesa orang ramai memboikot jenama barat yang menunjukkan sokongan kepada Israel dalam perangnya dengan pejuang Hamas.

Fatwa MUI tidak mempunyai kuasa undang-undang, namun berpengaruh bagi menggalakkan umat Islam di negara berpenduduk majoriti Islam paling ramai di dunia itu supaya tidak mengambil tindakan tertentu yang menyokong Israel.

Indonesia, yang menyokong kemerdekaan Palestin, menggesa penyelesaian konflik berdasarkan ketetapan rumusan dua negara yang dipersetujui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - AFP

Tiada ulasan: