"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ahli perniagaan bergelar 'Datuk Wira' didakwa perdaya ratusan mangsa, kaut hampir RM1 bilion

Bernama

Seorang ahli perniagaan menggunakan gelaran ‘Datuk Wira’ didakwa telah memperdaya ratusan mangsa dan mengaut hampir RM1 bilion dengan menawarkan pelaburan tidak wujud kepada warga tempatan dan pelabur asing.

Jurucakap sebuah sekretariat yang ditubuhkan sekumpulan mangsa penipuan itu, Shah Abdul Malek mendakwa mangsa terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pegawai kerajaan, doktor dan orang awam terpedaya dengan janji manis ahli perniagaan yang mula menggunakan kedudukan dan pengaruhnya bagi tujuan penipuan itu sejak 16 tahun lepas.

“Tujuan sekretariat ini adalah bagi menghalang lebih ramai orang daripada terpedaya dengan penipuan itu dan mencari jalan bagi mendapatkan kembali wang mangsa,” katanya yang juga mangsa penipuan itu pada sidang media, di Petaling Jaya hari ini.

Shah berkata beliau bersama mangsa yang lain mula mengumpul maklumat tentang operasi perniagaan dan modus operandi ahli perniagaan itu yang didakwa telah mengaburi mata pihak berkuasa dan mangsa menerusi 18 syarikat tidak wujud.

Sementara itu, salah seorang mangsa dari Scotland, Lee Roger Meiklejohn, 51, berkata dia kerugian hampir RM60 juta akibat tertipu oleh janji-janji ahli perniagaan itu.

"Pada mulanya, saya diberikan 10 peratus pulangan yang telah dibayar tetapi saya mendapati pada tahun 2017 apabila dia menghantar penyata bank kepada saya bahawa dia telah mengeluarkan semua wang itu sendiri dan memasukkannya ke dalam poketnya sendiri," katanya pada sidang media tersebut.

Meiklejohn berkata laporan polis telah dibuat dua kali dengan pertama kali pada 2019 di Balai Polis Travers dan terkini di Balai Polis Petaling Jaya, semalam.

Dalam pada itu,Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan mengenai penipuan pelaburan tersebut.

Shah menyeru semua mangsa menghubunginya di talian 012-2214433 bagi menghentikan kegiatan penipuan berkenaan.

- Bernama

Tiada ulasan: