Harapandaily
Tidak sampai dua tahun berlalu, pendirian Pas berhubung isu pengampunan kepada pesalah sudah berubah berserta deretan dalil.
Pada 1 September 2023, Presiden Pas berkata, pihak kerajaan yang “setinggi-tinggi kedudukannya tiada hak untuk memberikan pengampunan, termasuk raja-raja atau ketua negara”.
Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan perkara tersebut hanya terdapat dalam hukuman qisas yang berkait dengan hak manusia.
Menurutnya, pengampunan kepada pesalah yang diamalkan di negara ini tidak sesuai dengan ajaran Islam dan sepatutnya, hanya anggota keluarga mangsa jenayah yang berhak memberikan pengampunan, bukan lembaga pengampunan.
Beliau turut menyertakan terjemahan ayat 178 hingga 179 dari Surah al-Baqarah dan ayat 33, Surah al-Isra’ dengan menekankan bahawa kedua-dua ayat al-Quran itu menyatakan bahawa hak pengampunan dalam kesalahan jenayah adalah kepunyaan keluarga mangsa yang disebutkan dengan wali (keluarga terdekat), bukan urusan orang yang lain.
“Perkara ini juga dihuraikan oleh hadis-hadis Rasulullah SAW dan para ulama yang muktabar.
“Ketetapan Allah yang diwajibkan sehingga tidak boleh berijtihad dan menjadi ijmak para ulama semua mazhab dalam Islam, apabila dinaskan dalam al-Quran dan huraian hadis yang mutawatir,” tulis Abdul Hadi.
Sebaliknya, hari ini, bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu berkata, Pas “mendahulukan proses pengampunan, bukannya bersikap mengampu dan menipu” malah menganggap mereka “yang berada di luar ajaran Islam atau menyertai Pas tanpa mengikuti program tarbiah, sedang dalam kepanasan tidak sabar”.
Dia berpendapat keadaan itu berlaku kerana “dendam atau mengejar kebendaan atau menjaga kerusi yang selesa kedudukan pangkatnya.”
Ahli Parlimen Marang berkenaan turut mengaitkan tindakan Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa Fathu Makkah atau Pembukaan Kota Makkah dalam keadaan yang paling kuat dan berkuasa, sama ada dengan memaafkan iaitu pengampunan penuh atau meringankan hukuman.
Menerusi siri Minda Presiden, Hadi berkata, Pas tidak menganggap pelik adanya Titah Adendum oleh Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu menjadi Yang di-Pertuan Agong.
“Mereka yang menolaknya, sama ada kerana jahil agama atau kalangan bukan Islam atau dendam dan tidak sabar ketika berkuasa.
“Pas tetap menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai hukum tertinggi, termasuklah terhadap orang yang paling bermusuh dengannya,” kata Hadi.
Pembangkang dilihat begitu galak menunggang isu Titah Adendum dan menuduh kerajaan menyorokkan titah tersebut selepas peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengemukakan kepada mahkamah surat daripada Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum itu.
Pada 6 Januari lalu, Najib memperoleh kebenaran Mahkamah Rayuan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, bagi memaksa kerajaan melaksanakan Titah Adendum oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu yang membenarkannya menjalani baki tempoh pemenjaraan secara tahanan rumah.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), yang menjadi urus setia kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, pula pada 11 Januari lalu, mengesahkan tidak menerima sebarang Titah Adendum dari Istana Negara untuk Najib menjalani tahanan di rumah.
Sebelum ini juga, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menyangkal pihaknya menyembunyikan titah tambahan tersebut.
Mengulas lanjut isu Titah Adendum yang didakwa dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu, Abdul Hadi berkata, konsep adil kepada semua dan mendahulukan kemaafan menjadikan konsep Islam berjaya mengalahkan golongan penjajah yang lebih kuat dan kaya.
“Banyak kenyataan tokoh ilmuwan dan politik Barat melabelkan slogan Islam itu lebih bahaya daripada fahaman komunis yang dianggap paling kejam dan penjajah liberal yang paling menipu dan ganas.
“Sehingga mencetuskan fitnah Islamofobia dan bahaya gelombang hijau yang ditaja oleh DAP,” kata Abdul Hadi yang seperti kelazimannya kerap menyelitkan DAP dalam siri artikel panjangnya menerusi Minda Presiden.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan