Agensi
London: Bekas juara lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov dilaporkan diiring keluar dari sebuah pesawat selepas terbabit insiden pertikaian dengan Frontier Airlines.
Insiden itu, yang dipercayai berlaku dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Harry Reid, Las Vegas, menuju ke Los Angeles, Sabtu lalu, kini tular di media sosial.
Dalam rakaman itu, Khabib, 36, dilihat berbalas percakapan dengan kakitangan penerbangan sambil duduk di barisan pintu kecemasan pesawat itu.
Seorang pekerja syarikat penerbangan yang tidak dikenal pasti dilihat memberitahunya bahawa dia perlu menukar tempat duduk atau turun dari pesawat.
Kakitangan syarikat penerbangan itu memaklumkan bahawa pramugari tidak selesa dengan kehadiran Khabib di barisan pintu kecemasan.
"Ia tidak adil," kata Khabib yang kemudian dijawab oleh pekerja berkenaan: "Ia adil. Ya, memang begitu."
Khabib menjelaskan bahawa semasa proses daftar masuk, dia ditanya sama ada memahami bahasa Inggeris, dan dia mengesahkan kepada kakitangan syarikat penerbangan bahawa dia memang memahami bahasa itu.
"Saya tidak akan berdebat lebih lanjut. Saya akan panggil penyelia," kata kakitangan penerbangan dalam rakaman itu.
Perbualan mereka berakhir selepas pekerja itu menegaskan bahawa Khabib perlu sama ada menukar tempat duduk atau diiring keluar dari pesawat.
"Yang mana satu pilihan anda?" tanya pekerja itu sebelum menambah bahawa dia akan memanggil penyelia dan Khabib perlu ditempatkan semula dalam penerbangan lain.
Selepas perbincangan itu, Khabib dilihat berdiri dan berjalan ke bahagian depan pesawat.
Rakaman insiden ini menjadi tular di media sosial, dengan ramai pengguna X menuduh Frontier Airlines bertindak secara diskriminasi terhadap Khabib yang beragama Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan