Nora Mahpar
PETALING JAYA: Bersatu kelihatan terperangkap dalam percanggahan pandangan berkait himpunan solidariti bekas perdana menteri Najib Razak, selepas seorang pemimpinnya keluar parti baru-baru ini.
Mengulas pengumuman bekas setiausaha Wilayah Persekutuan Mahathir Rais semalam, Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata keadaan itu boleh dielakkan jika pucuk pimpinan Bersatu menyatakan pendirian jelas berhubung penyertaan dalam himpunan Isnin lalu.
“Saya lihat Bersatu terperangkap dan berpecah atas isu solidariti untuk Najib, mungkin menyebabkan hasrat menggantikan Umno sebagai platform perjuangan orang Melayu semakin hilang arah,” katanya kepada FMT.
Semalam, Mahathir yang juga bekas ketua bahagian Segambut umum meninggalkan Bersatu kerana mendakwa ‘perjuangan sudah tidak selari’.
Beliau sebelum ini mengkritik pembabitan rakan Perikatan Nasional (PN) iaitu PAS dalam himpunan menyokong Najib, mendakwa ia mencerminkan kesediaan parti komponen itu berkompromi dengan prinsip demi kepentingan politik.
Antara pemimpin kanan PAS yang hadir ialah Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan. Turut serta Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin.
Menurut Mahathir, sabitan dan hukuman ke atas Najib dalam kes SRC International peristiwa penting bagi Malaysia, dan menyifatkan perhimpunan solidariti itu sebagai mengecewakan.
Hamzah dilapor berkata, mereka hadir ke himpunan itu untuk dengar sendiri sama ada wujud titah adendum berkait tahanan rumah Najib, dalam kes di Mahkamah Rayuan hari itu.
“Orang Melayu menyertai Bersatu pun keliru sama ada Bersatu di bawah Muhyiddin Yassin masih kekal pendirian tolak Najib atau telah mula bersamanya menerusi tindakan Hamzah bersama rakan-rakan,” kata Tawfik.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, pada Khamis bertegas kehadiran pemimpin PN tidak bermakna gabungan itu menukar pendirian berkait skandal 1MDB.
Tawfik bagaimanapun berkata, sebarang percanggahan tidak akan berlaku jika Presiden Muhyiddin tidak membisu, misalnya secara jelas menolak pembabitan Bersatu.
Sebelum ini, penganalisis berpandangan Bersatu tiada pilihan selain membenarkan ahli menghadiri himpunan tersebut, kerana parti itu semakin hilang sokongan berbanding PAS.
“Dehidrasi politik Melayu dalam Bersatu semakin serius sehingga berlaku perbalahan sesama sendiri,” kata Tawfik tidak menolak kemungkinan ahli Bersatu akan keluar parti kerana keliru dengan pendirian mengenai Najib.
Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara berpandangan, tidak mustahil PN akan berpecah kepada beberapa kem, ditambah dengan tindakan PAS cuba berbaik dengan Umno dalam isu Najib.
“Kemungkinan perpecahan lebih besar akan berlaku jika pimpinan tidak mengawal situasi ini segera,” katanya.
“Perkara terakhir yang Bersatu inginkan adalah mereka yang keluar menubuhkan parti sendiri atau memilih untuk kembali kepada Umno.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan