"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siapa yang berbohong Dr Mahathir atau anak Pak Lah

'Giliran mencuri': Anak Pak Lah nafi tuduhan Dr M

Malaysiakini 

Anak kepada Abdullah Ahmad Badawi menafikan memberitahu anak Dr Mahathir Mohamad bahawa gilirannya telah tiba untuk memperkayakan dirinya menggunakan kedudukan bapanya sebagai perdana menteri.

“Saya menafikan sepenuhnya. Saya tidak pernah berkata sedemikian dan saya juga tidak melakukan perkara sedemikian,” kata Kamaluddin Abdullah dalam catatan Instagram lewat malam tadi.

Kamaluddin menyorot bahawa Mahathir, yang satu ketika memilih Abdullah untuk menggantikannya sebagai perdana menteri pada 2003, sedang "marah dan kecewa" dengan banyak hal.

"Mahathir jelas sangat kecewa dan sangat marah dengan banyak perkara terhadap ramai orang," katanya.

Kamaluddin bagaimanapun tidak membalas serangan Mahathir dan sebaliknya menyeru orang ramai mendoakan bekas perdana menyeri itu yang akan mencecah usia 100 tahun ini.

"Yang terbaik yang boleh kita lakukan ialah mendoakan kesejahteraannya dan berharap pada usia senjanya, dia mendapat ketenangan dengan dirinya sendiri," tambahnya.

Jumaat lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa Mahathir mendakwa bahawa dia terkejut apabila mengetahui daripada anaknya tentang perbualan yang didakwa dengan anak Abdullah.

“Mereka (penggantinya) percaya semasa saya menjadi perdana menteri, saya menyalahgunakan kuasa dan korup. Anak Abdullah memberitahu anak saya, ‘Sebelum ini giliran kamu, sekarang giliran kami’. Giliran untuk apa? Untuk mencuri wang. Saya terkejut,” katanya.

Mahathir mengeluh bahawa daripada menumpukan kepada memimpin dan membina negara, "mereka melihat kuasa perdana menteri sebagai cara untuk memperkayakan diri mereka sendiri".

“Pada peringkat itu, saya menyesal kerana meletak jawatan sebagai perdana menteri (pada 2003),” tambahnya.

Selepas meletakkan jawatan sebagai perdana menteri buat kali pertama pada 2003, Mahathir memilih Abdullah sebagai penggantinya, namun kemudian sering tampil mengkritik kepimpinan Abdullah.

Abdullah, yang terpaksa melepaskan jawatannya selepas prestasi buruk BN pada pilihan raya umum 2008, diserang tanpa henti oleh Mahathir sepanjang satu penggalnya memegang jawatan.

Dalam bukunya bertajuk Awakening in 2013, Abdullah, yang lebih dikenali sebagai Pak Lah, membidas Mahathir.

“Saya tidak suka apa yang Mahathir lakukan. Saya memberi Mahathir peluang untuk memberikan pandangannya kepada saya. Saya pergi berjumpa dengannya tetapi dia memilih untuk mendedahkan kepada umum dalam serangannya terhadap saya dan pentadbiran saya.

“Mahathir tidak boleh menafikan beliau menyumbang kepada penghakisan sokongan BN pada pilihan raya umum 2008 melalui kritikan dan serangannya yang terbuka dan tidak wajar.

“Memanggil pentadbiran saya, yang termasuk majoriti dari kabinetnya sendiri, sebagai ‘half-past-six' (tidak cekap) dan menuduh kami melakukan rasuah serta segala macam perkara,” katanya.

Abdullah mendakwa Mahathir tidak boleh menerima apa-apa wawasan negara melebihi apa yang telah dipetakannya sebelum bersara.

“Mahathir hanya mahu ikut caranya sendiri. Dan dia percaya bahawa caranya adalah satu-satunya jalan. Apabila saya cuba melakukan perkara yang berbeza, dia percaya bahawa saya melakukan perkara yang salah. Tetapi itulah Mahathir,” katanya.

Pada 2008, Mahathir telah mendesak Najib Abdul Razak, yang ketika itu timbalan perdana menteri, mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Abdullah.

Bagaimanapun, beliau kemudiannya membentuk pakatan dengan Pakatan Harapan yang merupakan pembangkang ketika itu untuk menjatuhkan Najib pada pilihan raya umum 2018 dan menjadi perdana menteri sekali lagi selama 22 bulan pada usia 92 tahun.

Pada 2023, Mahathir telah menyalahkan Abdullah dan Najib atas kegagalan wawasan 2020 selepas Lim Kit Siang dari DAP menegaskan bahawa kesemua sembilan cabaran strategik yang dinyatakan oleh bekas perdana menteri itu semasa melancarkan pelan tindakan pada 1991 itu adalah kegagalan besar.

Mengakui bahawa Wawasan 2020 telah gagal, dia berkata: “Bagaimanapun, ia bukan kegagalan saya. Tiada apa-apa yang menunjukkan bahawa wawasan itu menuju ke arah kegagalan sehingga saya berundur pada 2003.”

"Wawasan ini diketepikan sebaik sahaja Tun Abdullah dan Datuk Seri Najib mengambil alih...mereka mengenepikan semua dasar dan hala tuju yang telah saya petakan untuk Malaysia," tambahnya.

Mahathir, yang mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya umum lalu, kini telah bergabung dengan pembangkang semasa Perikatan Nasional dan merupakan "penasihat tidak rasmi" kepada kumpulan rasmi empat kerajaan negeri yang dikuasai PN yang digelar "SG 4 atau "empat kerajaan negeri”.

Tiada ulasan: