FMT Reporters
PETALING JAYA: Polis mengesahkan tiga lelaki yang maut selepas pacuan empat roda mereka dihanyutkan arus deras di Ulu Sedili, Kota Tinggi, semalam bukan korban banjir.
Ketua Polis Kota Tinggi, Yusof Othman, berkata ketiga-tiga mangsa dipercayai baru selesai memancing dalam kejadian 3.35 petang.
Menurutnya, polis menerima laporan daripada rakan mangsa pada 6 petang memaklumkan Toyota Land Cruiser dinaiki ketiga-tiga mangsa terbabas dan dihanyutkan arus deras di kawasan ladang YPJP Sedili.
“Siasatan awal mendapati lelaki tempatan berusia 40 tahun yang juga pengadu bersama seorang rakan mangsa menaiki Toyota Hilux, menarik Toyota Land Cruiser dinaiki tiga rakannya yang terbenam dalam lumpur dekat parit.
“Ketika proses penarikan, Toyota Land Cruiser termasuk dalam parit dan terus ditenggelami air dengan keadaan arus deras,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, pengadu dan rakannya keluar dari Toyota Hilux dan cuba menyelamatkan tiga mangsa dengan memecahkan tingkap kiri depan.
Katanya, seorang mangsa berjaya diselamatkan dalam keadaan tidak sedarkan diri, manakala usaha menyelamatkan dua lagi rakannya tidak berjaya kerana terperangkap dalam kenderaan dimasuki air.
Yusof berkata, lelaki itu mendapatkan bantuan seorang pekerja ladang YPJP Sedili dan menghubungi pihak bomba.
“Mangsa pertama yang diselamatkan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan. Bomba turut menemui dua lagi mangsa terperangkap dalam kenderaan dinaiki dan dibawa ke darat.”
Menurutnya, tiga mangsa maut dikenal pasti Lee Fook Wan, 48; Lee Choy Yeow, 49, dan Leong Kon Fatt, 72.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan mati mengejut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan