"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Masjid tak berkunci, besi tak hilang

Subky Latif
INILAH rencana iftitah untuk tahun 2013. Hashim Omar, aktivis PAS Kelantan bekas Adun penggal terakhir sebelum PAS kalah di Kelantan tahun 1978 membawa saya menyeberang sempadan Malaysia-Thailand dua hari sebelum tahun 2012, pergi untuk selama-lamanya.

Saya tiada rancangan ke sana, tetapi Hashim mahu saya melihat wilayah yang dikatakan bergolak yang padat dengan penduduk Islam.
Bersama kami Ustaz In, hakim mahkamah syariah yang cuti tanpa gaji. Kami menuju ke Pengkalan Kubur sebaik tiba dari Kuala Lumpur. Banjir sudah surut tetapi beberapa tempat di jalan raya masih berair. Bimbang banjir menuju Pengkalan Kubur belum betul-betul surut, Hashim berpatah balik menuju Rantau Panjang.

Selepas melalui pintu keluar kami masuk pula ke pintu masuk imigresen Thailand yang tertulis SU-NGAI GOLOK, bukannya Sungai Golok. Tetapi papan-papan tanda di luar kawasan imigresen itu menggunakan nama Su-ngai Kolok. Su-ngai Kolok itu Sungai Goloklah.

Sungai Golok itu adalah antara tempat yang bergolak, tetapi saya lihat orang-orangnya tidak cemas seperti dalam suasana tegang.

Laki-laki berkopiah putih selamba saja berjalan kaki dan bermotosikal ke masjid untuk berjumaat. Orang perempuan sambil mendukung anak dan yang lain memimpin anak atau membibit barang tidak pula terburu-buru bimbangkan letupan dan tembak curi.

Pengunjung dari Malaysia penuh memborong seolah-olah berada di negeri yang aman.

Kejadian berdarah selalu dilaporkan tetapi tidaklah seacap kejadian di Kuala Lumpur yang sentiasa berlaku di sana sini. Seolah-olah orang Malaysia lebih cemas dengan ragut di Kuala Lumpur dan orang Thailand takutkan tembak curi dan letupan.

Suasana bergolak itu hanya dirasakan apabila jalan-jalan di sepanjang wilayah berpenduduk Islam itu banyak sekatan tentu dan di setiap sekatan ada dawai pagar berduri. Saya seolah-olah kembali ke zaman darurat menghadapi komunis sebelum merdeka dulu. Zaman itu, malah, dirasakan lebih mengancam.

Di beberapa bandar yang kami lalui tidak nampak suasana bergolak itu. Habis yang dikatakan tembak menembak itu macam mana?

Yang terkena peluru sesat itu nasiblah.

Kami bercadang solat Jumaat di satu masjid yang Hashim kata masjidnya terkenal. Tetapi tidak diketahui berapa jauh dari Sungai Golok dan di mana tempat itu sebenarnya.

Kami tidaklah singgah di masjid-masjid yang ditemui kerana masa masih ada. Kira waktu sudah masuk, kami tidak tiba lagi ke masjid yang dituju dan tidak pula jumpa masjid yang berdekatan.

Ketika di sebuah masjid orang pun sudah keluar dari masjid. Maka kami berjalan terus menyaksikan suasana sekitar. Akhirnya singgah di sebuah masjid yang sudah tidak berorang. Masjidnya cantik dan bersih. Semua pintunya terbuka walaupun di dalamnya tidak berorang. Tiada sejadah tetapi lantainya tidak berhabuk.

Tidak nampak kunci. Satu-satu rantai berkunci yang saya nampak ialah peti duit. Bukan pintu masjid.

Sesiapa yang singgah bersolat tidak perlu mencari anak kunci dan tidak perlu solat di serambi. Masuk hingga ke tepi mimbar.

Adakah semua masjid begitu? Kata Hashim, “Semua masjid di sini begini.”

Adakah orang tidur di masjid? Kata Hashim, “Ada, tapi jarang-jarang sekali sekala pengembara keletihan dari jauh singgah tidur bagi menyegarkan badan.”

Mungkin tidak ada mat rempit, maka boleh masjid itu terbiar bukan sekadar tidak berkunci bahkan pintunya tidak ditutup.

Negara itu bukan negara Islam.

Tetapi tuan-tuan punya masjid tidak bimbang masjidnya diceroboh atau perkakas masjid dicuri. Mungkin masjidnya yang dibina daripada sedekah dan khairat orang ramai, bersih daripada perkara syubahat, ia terhindar daripada tercemar. Kalau ia dibina dengan duit yang bersih, anjing pun tidak singgah sekalipun pintu terbuka luas.

Mungkin itulah yang dikatakan suasana Islam. Negaranya bukan Islam, masjidnya seperti dikawal malaikat.

Apa pun masjid-masjid di Malaysia yang negaranya bernama negara Islam dan dipimpin oleh orang Islam, pintu masjid pantang lepa, kipas anginnya hilang, pembesar suara lesap. Pintu pagar besi masjid yang besar dan berat pun boleh hilang.

Suatu subuh dua bulan lalu, jemaah masuk untuk solat di masjid Taman Koperasi Polis di Kuala Lumpur, sekalipun pintunya berkunci tetapi semua peti duit yang juga berkunci habis terkopak. Tinggal peti besinya saja, isinya kosong. Penduduknya kebanyakannya adalah polis bersara. Pencuri tidak memilih rumah orang bukan polis saja, kediaman pemimpin polis mereka serang.

Jarang juga barang daripada besi tidak dilarikan. Biasanya apa saja daripada besi habis. Pakar besi pun, yang diharap dapat menyelamatkan sesuatu di dalam pagar, juga tidak menjamin harapan.

Bertuahlah besi-besi yang ada di Selatan Thailand, ia terselamat daripada sasaran penyangak besi. Berkekalan pahala besi itu jika ia jadi alat kepada masjid-masjid di Yala Narathiwat, Pattani dan lain-lain. Selagi masjid itu ada besi itu tetap menjadi hamba Allah di situ.

Tetapi kalau besi itu dijadikan peralatan masjid di Malaysia, untuk apa jua ia dibuat, belum tentu ia menjadi hamba yang kekal di masjid itu. Bila-bila masa ia dilarikan dari masjid untuk jadi perkakas bagi perkara yang tidak suci.

Terasa halal kalau kita berderma untuk masjid di Selatan Thailand. Kita terasa derma dan sedekah kita itu akan kekal. Ini tidak bererti kita tidak dapat pahala berderma untuk masjid di Malaysia. Kita tetap dapat pahala tetapi tiada jaminan ia kekal sekalipun masjidnya kekal.

Mengapa masjid di negara bukan Islam dan tiada siapa peduli dengan kemakmurannya selain daripada tuan-tuan punya masjid itu sendiri, boleh terjamin keselamatannya?

Walaupun jiwa masing- masing tidak menentu, tetapi masjidnya boleh dikatakan bebas daripada ancaman dan pencemaran. Kita tahu bahawa ada juga masjid yang diceroboh oleh musuh- musuh Islam, tetapi umumnya masjid boleh dibiarkan tanpa berkunci dan ia tidak bimbang ia dicemari.

Tiada polis tetap yang menjaga masjid-masjid itu dan mungkin rukun tetangga pun tidak ada, tetapi tidak pencuri berkeliaran di masjid. Mungkin tiada yang bimbang apabila keluar masjid, kasut atau seliparnya hilang.

Jika betul suasana di masjid yang saya singgah itu melambangkan suasana bagi kebanyakan masjid, maka apa yang menyebabkan masjid mereka aman makmur sedang ia berada dalam negara dan pemerintahan yang bukan Islam? Sedang di Malaysia semua masjid dibina kerajaan, semua jawatankuasa masjid dipilih oleh kerajaan. Tiada orang yang tidak dipercayai oleh pemimpin kerajaan boleh berperanan dalam masjid. Semua pegawai masjid orang dipercayai oleh kerajaan.

Semua khutbah disediakan oleh kerajaan, tetapi semuanya berkunci selepas jemaah memberi salam. Khatib di Thailand tidak perlu menunggu khutbah daripada kerajaan. Rakyat sendiri menentukan isi khutbah.

Saya sendiri tidak tahu masjid mana lebih makmur? Masjid yang dijaga kerajaan serba serbi di Malaysia lebih makmur atau masjid di Thailand yang dijaga oleh ahli kariahnya lebih makmur.

Yang penting kita boleh masuk masjid bila-bila masa di sana; tetapi di Malaysia kadang-kadang kita terpaksa menunggu lama kerana siak dan bilal lambat datang.

Tiada ulasan: