"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kalau di sana 2 x 5, di sini 5 x 2

Aspan Alias
Seminggu yang lepas heboh diperkatakan oleh Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi supaya rakyat meninggalkan negara ini jika tidak bersefahaman dengan sistem pilihanraya di negara ini.

Dua hari lepas timbul pula desakan dan seruan supaya siapa yang tidak bersetuju dengan sistem yang ada supaya tinggal dalam hutan. Seruan yang ini datangnya dari Noh Omar, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor.

Seorang meminta supaya meninggalkan negara dan yang seorang lagi meminta sesiapa yang tidak bersetuju dengan kerajaan sekarang supaya tinggal dalam hutan.

Apabila kita sarat dengan pemimpin yang ‘gila’ seperti ini, sememangnya tidak dapat sesiapa menyalahkan rakyat memberontak dalam pemikiran mereka.

Rakyat mahukan kepimpinan yang selari tahap dan kemampuan mereka untuk berfikir dan bertindak mengikut waktu dan zamannya.

Kita tidak kisah dengan Noh Omar ini, kerana beliau bukanlah seorang pemimpin yang perlu diberikan perhatian. Beliau hanyalah seorang dari ramai yang memimpin kerajaan yang begitu keliru dengan kedudukan yang mereka sandang.

Kumpulan pimpinan seperti ini adalah kumpulan pemimpin yang tidak tahu bagaimana mereka boleh menjadi pemimpin. Adakah mereka menjadi pemimpin kerana main politik wang, atau menaiki hiraki parti dengan mengampu atau apa? Yang pasti mereka naik bukan kerana mereka itu kepimpinan.

Haram dan salah

Dulu saya selalu berkata dalam Umno bercakap benar itu adalah haram dan salah dan mereka yang bercakap benar wajar disingkirkan.

Dalam Umno, pemimpin mereka terpaksa bersifat menekan terhadap mereka yang tidak disukai kerana pimpinan dalam parti itu tidak tahu untuk berhujah kerana mereka bukannya pemimpin yang sejati dan ‘genuine’. Kalau ditanya kenapa dan bagaimana mereka menjadi pemimpin mereka tidak akan tahu jawapannya.

Pemimpin lemah seperti pemimpin Umno tidak akan senang dengan sistem demokrasi yang sebenarnya. Mereka tidak akan tertahan dengan kritikan dan pandangan yang berlainan dari kemampuan mereka berfikir. Mereka selalunya ego dan jangan sekali berbeza pendapat dengan mereka. Mereka tidak berupaya berpolitik dalam keadaan demokrasi.

Sebenarnya pemimpin Umno lah yang sepatutnya dihalau keluar atau dihalau ke dalam hutan. Merekalah yang sebenarnya tidak menerima sistem demokrasi itu. Itulah sebabnya mereka kadangkala terpaksa menipu dan melakukan jenayah demokrasi itu secara besar-besaran.

Pada siapa yang sudah berumur akan tahu bagaimana demokrasi sebenarnya tidak boleh diterima oleh pimpinan Umno itu. Apabila Mahkamah meminta Umno mengadakan pemilihan sekali lagi kerana ada penipuan dalam pemilihan Umno dalam tahun 1987 yang lalu, Dr Mahathir tidak mahu memenuhi tuntutan undang-undang itu.

Mahathir lantas mencari jalan agar Umno itu diharamkan dan wujudkan Umno yang baru, Umno yang ada pada hari ini. Umno tidak tahan dengan demokrasi itu dan itu merupakan penyebab kerana Umno begitu dipandang rendah oleh rakyat hari ini.

Jadi kalau Noh Omar hendak bercakap besar atau Zahid hendak menghalau orang lain, Umno itu sendiri mesti dikaji, apakah Umno itu sebenar-benarnya terletak di atas landasan demokrasi sebenarnya.

Menipu di sana, menipu di sini

Noh mesti sedar yang Umno itu wujud diatas ketidak-mahuan pimpinan Umno itu sendiri menerima demokrasi. Itu secara tulinnya. Menipu di sana dan menipu di sini.

Itu sebabnya saya tidak begitu terkeliur untuk bersama ‘rally’ anjuran Anwar Ibrahim ini kerana Anwar sendiri adalah seorang pendukung kepada pengharaman Umno itu dan menjadi Naib Presiden kepada Jawatankuasa Penaja Umno baru itu. Parti baru itu ditubuhkan di Seri Perdana pada Februari 1988.

Kepada yang muda-muda yang tidak pun bergiat atau masih main tali seluar lagi semasa itu, tidak akan dapat merasakan apa yang orang seperti saya rasakan.

Anwar pernah berkata semasa beliau bersama Dr Mahathir, “Kalau dapat ku pintar awan dilangit, akan ku tuliskan nama mu Mahathir”;begitulah kuatnya Anwar menyokong Mahathir yang tidak demokratik itu.

Jadi bagaimana Anwar mengajak kita untuk melakukan ‘rally’ setiap malam kerana tidak mahu menerima keputusan PRU 13 itu?

Sekarang ramai di kalangan kita tidak percaya kepada Mahkamah.

Barang diingat Anwar jugalah yang bersama-sama merobohkan sistem Mahkamah semasa itu bersama Dr Mahathir dan sekarang bolehkah beliau mengkritik ketidakadilan Mahkamah itu jika ia masih berlaku? Anwar jugalah yang menyokong penyingkiran Hakim-Hakim Mahkamah Agong yang diketuai oleh Tun Salleh Abas dahulu.

Acuan yang sama

Saya menyebut ini kerana yang hendak membetulkan keadaan itu juga adalah orang yang mewujudkan keadaan yang tidak betul itu. Baik dalam PKR atau Umno itu mereka adalah dari acuan yang sama sahaja. Itu maksud saya sejak akhir-akhir ini.

‘Buntut kuali mengatakan buntut belanga itu hitam’… Bagaimana orang-orang seperti saya hendak yakin? Itulah sebabnya juga saya merasa kasihan terhadap mereka yang bersorak siang dan malam bersama Anwar menuduh negara tidak demokrasi?

Kalaulah Anwar itu tidak dipecat kerana kesalahannya sendiri dahulu, sekarang Anwar sudah menjadi Perdana Menteri Barisan Nasional (BN) dan akan mengekalkan keadaan yang sama juga untuk mengekalkan kedudukannya. Saya mungkin mendapat kritikan kuat dari ramai tetapi apa boleh saya buat? Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana itulah kebenarannya?

Itu sebabnya mana-mana parti yang tidak telus pemilihan dalam partinya itu tidak akan kekal lama. Lama-lama nanti parti yang kuat itu akan lemah juga kerana akhirnya kebenaran akan timbul juga.

Tidak kira parti-parti itu di pihak BN atau pembangkang, jika pemilihan pimpinan partinya tidak telus akhirnya parti itu akan menjadi parti kebencian ramai. Hanya masa akan menentukannya.

Bagaimana hendak menutupi bangkai gajah dengan nyiru sahaja? Tidak boleh.

Tiada ulasan: