"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mentakwil titah atau menghina raja

Subky Latif
TIADA siapa boleh membiarkan sesiapa menghina Raja, bahkan mengina sesiapa yang bukan raja pun tidak boleh diterima akal. Itu adalah adab dalam Islam dan adalah dikongsi oleh semua tamadun.

Tetapi mentakwil sesuatu pendapat manusia termasuk mentakwil titah terbuka kepada keadaan. Sesiapa dibenarkan untuk tidak bersetuju dengan apa yang tidak disetujuinya. Terpakaikah tidak persetujuannya itu bergantung kepada hujahnya.

Justeru kita tidak boleh lihat secara sempit atas kejadian beberapa orang yang mentakwil titah Yang di-Pertuan Agong. Ia mesti diadili seadil-adilnya bagi mengelakkan berlaku ketidak-adilan.

Bertindak dan menghukum mesti adil, jika tidak ia menjerumuskan kepada kezaliman.

Kita jangan mudah untuk berpersepsi beberapa kerat orang tidak setuju dengan Raja atas sesuatu seperti takwil seorang facebooker, bahawa itu mahu menukar sistem beraja kepada republik.

Kalau pun ada beberapa kerat orang Malaysia yang tiga suku tergila-gila hendakkan republik, apakah kita wajar berperang dengan orang tiga suku itu?

Semuanya tidak suka kepada suasana tragedi Al-Marhum Mangkat Dijulang dalam kesultanan Melaka dulu. Orang tidak suka kepada tindakan raja yang menyebabkan ada reaksi sehingga adalah Raja mangkat dijulang. Tetapi tidaklah orang masa itu mahu menjadikan Melaka sebuah republik dan orang zaman ini pun berkongsi rasional tidak menerima sistem republik itu.

Saya katakan, tidak ada orang Malaysia yang rasional baik Melayu, Cina dan lain-lain mahu menukar sistem beraja yang sudah diterima itu kepada republik kecuali yang tiga suku saja. Maka tidak wajarlah kecoh seluruh negara disebabkan oleh dua tiga orang tiga suku itu.

Apa yang berlaku wujud dalam masyarakat anasir yang mengada-adakan dan membesar-besarkan konon orang itu anti raja dan orang ini mahu menegakkan republik. Tujuannya ialah supaya orang yang disasarkan itu ditolak oleh masyarakat dan boleh memecah belahkan masyarakat.

Tidak ada orang yang memperjuangkan republik dalam negara ini. Secara umumnya semua menerima sistem beraja yang ada dan semuanya mahu menunjukkan kesetiaan kepada raja walaupun sebagai manusia Raja tadi ada kelemahan di sana sini. Kelemahan itu tidak menyebabkan rakyat tidak setia kepada raja.

Tetapi dengan membesar-besarkan orang itu mahu republik dan orang ini tidak mahu raja menyebabkan ada yang terasa orang sudah tidak mahu kepada raja. Itu bahayanya membesarkan perkara tiga suku itu.

Amat bahaya kalau yang dikatakan yang mahu republik itu adalah kaum itu dan suku ini. Manakala yng lain pula dikira lebih setia kepada Raja dan negara. Apabila isu ini dihebohkan ialah yang menggugat perpaduan dan keselamatan di Malaysia.

Hingga ada istana resah dan orang-orang yang tidak berbelah bagi kesetiaannya kepada raja mahu diadakan undang-undang baru bagi memperkasa institusi raja dan sebagainya. Peraturan yang sedia adalah sudah memadai. Kedudukan sistem beraja adalah terjamin. Tiada sebarang kebangkitan mahu menumbangkan raja.

Tunjuk perasaan di sana sini dan secara besar-besaran adalah untuk membetulkan kepincangan politik negara, tidak tentang kewujudan sistem beraja. Raja adil raja disembah, Raja zalim raja disanggah hanya wujud dalam peribahasa dan kata-kata hikmat, tetapi tidak wujud dalam gerakan massa dan politik.

Yang menjadi kecoh ialah bila media massa mengheboh dan membesarkan konon orang itu pro republikan dan orang ini pro raja. Orang itu pun membuat aduan polis, minta hukum orang itu dan tangkap orang ini.

Jika orang tiga suku ini tidak dilayan, kisah anti raja ini tidak berbangkit. Dan apabila raja membuat kenyataan berbau politik, politik itu adalah topik mengundang ulasan, suasana terpaksa terima secara terbuka bahawa politik tidak lari dari polemik dan takwil. Takwil boleh diterima. Yang tidak boleh diterima ialah penghinaan.

Tiada ulasan: